
Antara matlamat program ini dianjurkan adalah untuk mendekatkan golongan pemuda dengan masyarakat, merapatkan hubungan silaturrahim sesama pemuda di samping memberi kesempatan kepada pemuda PAS Padang Serai untuk menjejakkan kaki dan melihat sendiri kediamana rasmi Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Ustaz Azizan Razak. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini telah dirasmikan oleh Setiausaha PAS Kawasan Padang Serai, Haji Nabil bin Puteh. Bertemakan “Orang Muda Member Kita”, para peserta yang segak berbaju hijau dilepaskan beramai-ramai secara rasmi oleh Haji Nabil selepas mendengar taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Ketua Marshall, Saudara Alwee Nordin yang juga merupakan Bendahari PAS Kawasan. Sebelum bertolak, doa selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keselamatan daripada Allah s.w.t.
Selain berkonvoi beramai-ramai ke Sri Mentaloon, antara pengisian aktiviti sepanjang ekspedisi ini adalah melawat persekitaran Sri Mentaloon, pertandingan motosikal paling lambat, serta taklimat teori dan praktikal solat jama’ dan qasar. Sebaik tamat aktiviti di Seri Mentaloon, para peserta konvoi bergerak ke Kompleks PAS Kedah (KOMPAS) untuk bertugas sebagai mentara di Majlis Perkahwinan puteri kepada YAB Ustaz Azizan Razak. Para peserta juga sempat bersalaman dan beramah mesra dengan pemimpin-pemimpin PAS Kedah yang turut sama bertandang ke majlis perkahwinan anakanda YAB Ustaz Azizan Razak, sebelum berangkat pulang ke Padang Serai.
Di kesempatan ini, DPPKPS ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Program ekspedisi Padang Serai – Seri Mentaloon 2009, terutamanya kepada semua pemuda cawangan yang telah memberikan komitmen. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan sebagai salah satu usaha murni untuk mendekatkan pemuda dengan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang sihat di samping memenuhi masa lapang dengan program-program yang berfaedah.
No comments:
Post a Comment