Sunday, July 12, 2009

Program Ramah Mesra PAS Kawasan

Pada 4 Julai 2009, bertempat di PASTI Islahiyah Kilang Lama, DPPKPS telah menyertai program ramah mesra anjuran PAS kawasan. Program yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama pimpinan PAS di peringkat kawasan ini telah berjaya menghimpunkan seluruh saf kepimpinan PAS di pelbagai peringkat di dalam kawasan Padang Serai. Antaranya dewan pemuda, dewan muslimat, MTD Merbau Pulas, MTD Lunas, Unit Amal, Keselamatan, dan ahli jawatankuasa PAS kawasan sendiri sebagai penganjur.

Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan solat Marghrib berjemaah, diikuti dengan makan malam yang turut menghidangkan pelbagai variasi buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan. Selepas solat isya', para hadirin kemudiannya mendengar amanat dan taklimat yang disampaikan oleh YDP Kawasan, Hj Fauzi bin Tahir. Antara intipati ucapan YDP kawasan adalah harapan beliau terhadap seluruh pimpinan PAS kawasan dipelbagai peringkat dan dewan memainkan peranan yang berkesan dalam membantu PAS kawasan khususnya dan negeri Kedah amnya untuk mempertahankan kemenangan yang telah diraih oleh PAS dalam pilihanraya ke-13 yang akan datang. YB Ustazah Aishah juga tidak ketinggalan memberikan penerangan dan taklimat berhubung dengan kedudukan dan isu-isu semasa yang berlaku di negeri Kedah.