Tuesday, December 29, 2009

Ekpedisi Bermotosikal Padang Serai-Seri Mentaloon 2009

Tanggal 26 Disember 2009 bersamaan 9 Muharram 1431H menjadi sejarah bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) kerana buat julung-julung kalinya DPPKPS berjaya menganjurkan konvoi bermotosikal "Ekspedisi Padang Serai-Seri Mentaloon 2009”. Program yang menjadi penutup 2009 dan pembuka Tahun Baru 1431h ini telah dianjurkan oleh Lujnah Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai lebih kurang 60 orang. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Khas kepada YB Ustazah Aishah Ghazali, Hj Mahamud.

Antara matlamat program ini dianjurkan adalah untuk mendekatkan golongan pemuda dengan masyarakat, merapatkan hubungan silaturrahim sesama pemuda di samping memberi kesempatan kepada pemuda PAS Padang Serai untuk menjejakkan kaki dan melihat sendiri kediamana rasmi Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Ustaz Azizan Razak. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini telah dirasmikan oleh Setiausaha PAS Kawasan Padang Serai, Haji Nabil bin Puteh. Bertemakan “Orang Muda Member Kita”, para peserta yang segak berbaju hijau dilepaskan beramai-ramai secara rasmi oleh Haji Nabil selepas mendengar taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Ketua Marshall, Saudara Alwee Nordin yang juga merupakan Bendahari PAS Kawasan. Sebelum bertolak, doa selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keselamatan daripada Allah s.w.t.

Selain berkonvoi beramai-ramai ke Sri Mentaloon, antara pengisian aktiviti sepanjang ekspedisi ini adalah melawat persekitaran Sri Mentaloon, pertandingan motosikal paling lambat, serta taklimat teori dan praktikal solat jama’ dan qasar. Sebaik tamat aktiviti di Seri Mentaloon, para peserta konvoi bergerak ke Kompleks PAS Kedah (KOMPAS) untuk bertugas sebagai mentara di Majlis Perkahwinan puteri kepada YAB Ustaz Azizan Razak. Para peserta juga sempat bersalaman dan beramah mesra dengan pemimpin-pemimpin PAS Kedah yang turut sama bertandang ke majlis perkahwinan anakanda YAB Ustaz Azizan Razak, sebelum berangkat pulang ke Padang Serai.

Di kesempatan ini, DPPKPS ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Program ekspedisi Padang Serai – Seri Mentaloon 2009, terutamanya kepada semua pemuda cawangan yang telah memberikan komitmen. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan sebagai salah satu usaha murni untuk mendekatkan pemuda dengan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang sihat di samping memenuhi masa lapang dengan program-program yang berfaedah.


Tuesday, December 15, 2009

KEM SUPER SYABAB 2009

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai melalui Jabatan Pembangunan Pelajar (JPP) sekali lagi berjaya menganjurkan satu lagi program yang disasarkan kepada anak-anak ahli PAS. Program yang diberi nama KEM SUPER SYABAB (KSS) ini telah diadakan pada 12 dan 13 Disember 2009 di Hutan Lipur Ulu Paip, Kulim.

Program 2 hari 1 malam ini berjaya menghimpunkan para peserta seramai 18 orang yang merupakan alumni Akademi Perwarisan PAS siri 1 hingga 3. Program yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan untuk melahirkan remaja yang cemerlang dan seimbang dari perlbagai aspek seperti intelektual, spiritual, mental dan fizikal.

Sebanyak pelbagai modul dan latihan dalam kumpulan (LDK) telah dilaksanakan seperti taaruf dan pembentukan organisasi, mission and action, riadah pondok-pondok, cinta ayah ibu, burung hantu, kembara rimba dan rekreasi dakwah. Pengisian kuliah subuh, zohor, asar dan mahrib juga diadakan bagi menambah ilmu dan mebina fikrah dan thaqafah di dalam diri setiap peserta.

Secara keseluruhannya program ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama yang baik daripada AJK Akademi Pewarisan PAS, Renjer dan Unit Amal dan Nisa’ kawasan Padang Serai yang sama-sama bertungkus lumus memastikan program ini berjalan dengan lancar. Harapan kami untuk memberikan pendedahan kepada para peserta kepada amal jamai, konsep fokus dan fikir, ketahanan diri, cintai Allah, Rasul dan ibu bapa dan muhasabah diri telah terlaksana apabila hasrat dan azam peserta disuarakan di akhir program.

Maklumbalas yang diterima dari para peserta sangat memberangsangkan. Harapan mereka agar program seumpama ini akan dilaksanakan lagi pada masa akan datang memberikan semangat dan perangsang kepada para ahli jawatankuasa untuk menganjurkan program seumpama ini lagi pada masa-masa hadapan dengan penambahan modul peningkatan dalam bidang akademik.

Tuesday, December 08, 2009

Mohon Simpati dan Sumbangan untuk Ringankan Beban

Salam semua. Lama saya tidak mengupdate blog DPPKPS ini. Kesibukan tugas, masalah internet, membuatkan saya 'terleka seketika' untuk mengupdate blog ini. Salam kemaafan kepada semua. Apapun, di sini disertakan 1 berita yang disampaikan oleh lajnah kebajikan DPPKPS untuk dikongsi dan disebarkan insyaAllah.
Di sini disertakan gambar seorang kanak-kanak istimewa yang mengalami masalah kesihatan (tulang belakang bengkok). Ibunya ialah Pn. Marziana Bt Zainon, seorang ibu tunggal tinggal bersama anaknya bernama Adam B. Rozi, berumur 8 tahun menyewa rumah di alamat 1172, Jalan Sepakat, Taman Sejahtera, Lunas Kulim, Kedah. Keadaan kesihatan anaknya itu tidak mengizinkan kanak-kanak tersebut bergerak seperti kanak-kanak yang lain. Ibunya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan kanak-kanak ini menyebabkan perbelanjaan keluarga ini tidak mencukupi walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyumbang bantuan sebanyak RM300.00 sebulan, namun wang bantuan tersebut hanya cukup untuk perbelanjaan urusan kendiri kanak-kanak ini seperti membeli lampin pakai buang dan susu khas untuk pemakanannya. Mohon simpati masyarakat untuk tampil memberikan sumbangan yang sewajarnya. Kepada masyarakat prihatin yang ingin menghulurkan apa-apa bentuk bantuan/sumbangan bolehlah hubungi terus ibu kanak-kanak istimewa ini di talian 012-4421944 bagi meringankan beban.