Wednesday, November 26, 2008

Disebalik Isu Projek Ladang Babi

MUQADDIMAH

Penternakan babi di negeri ini telah menjadi perhatian media sepanjang minggu lalu (16 hingga 21 November 2008). Malah ia menjadi antara laporan utama media pada Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada 18 hingga 20 November 2008 (Selasa – Khamis) baru-baru ini. Paling menonjol memberi liputan mengenai perkara ini ialah TV3 dari Kumpulan Media Prima Berhad.

OBJEKTIF

1. Menjelaskan perkara sebenar dari perspektif media.

2. Membuktikan unsur tidak profesional media terbabit.

3. Dokumentasi untuk tindakan lanjut pihak-pihak berkenaan.

PERBINCANGAN DAN PERBAHASAN

Secara rasmi, perkara ini menjadi perhatian media bermula pada Majlis Konvensyen Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Kedah 2008, Ahad, 16 November lalu yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Alor Star. Pada konvensyen tersebut, dalam kertas kerja yang dibentangkan ada menyebut butiran mengenai projek berkenaan.

Sehubungan itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Dato’ Badri Yunus semasa menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Besar telah meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan semula lokasi yang dicadangkan iaitu di Bukit Selambau.

Bermula dari situ, pihak media semasa sesi sidang media telah mengemukakan perkara itu untuk penjelasan lanjut Menteri Besar. YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sekadar memberi penjelasan umum disamping menegaskan kawalan terhadap hal itu. Kebanyakan media hadir pada sesi tersebut termasuk dari Kumpulan Media Prima Berhad iaitu TV9.

Pada Rabu, 19 November iaitu hari kedua Sidang DUN Kedah, TV3 melalui siaran Buletin Utama jam 8:00 malam telah menonjolkan perkara ini sebagai tajuk utama. Laporan TV3 adalah seperti berikut:

Saluran : TV3

Slot : Buletin Utama

Tarikh : 19 November 2008 (Rabu)

Masa : 8:00 malam

Penyampai : Mohamad Yasir Mansor (Y)

: Azwaliza Azman (A)

Tajuk Skrin Paparan: LADANG MODEN DI KEDAH?

Gambar Skrin Paparan: Babi

Tag Tajuk Utama: PENUHI KEPERLUAN BUKAN ISLAM

SL: “Tajuk Utama 19 November; Kedah pula rancang buka ladang babi berteknologi moden.”

Y: “Selepas Selangor dicanang membuka ladang babi mega di Sepang, sebuah lagi Kerajaan Negeri, Kedah yang majoriti penduduknya orang Melayu turut merancang membuka ladang babi.”

A: “Ladang itu dicadang dibuka di Bukit Selambau, daerah Kuala Muda membabitkan kawasan seluas 160 hektar.”

Tag Tajuk: DICADANG DIBUKA DI BUKIT SELAMBAU

SL: “Cadangan membuka ladang ternakan babi itu terkandung dalam jawapan bertulis dikemukakan pada Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri siang tadi. Persidang dewan yang bermula semalam akan berakhir esok. Soalan asal mengenai projek ternakan babi itu dikemukakan ADUN Bakar Bakar Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah. Menjawab soalan itu, Kerajaan Kedah mengakui mempunyai perancangan membuka ladang menternak babi bersistematik. Ladang terbabit akan dibuka di kawasan perindustrian kayu kayan berat di Bukit Selambau. Projek akan diusahakan sebuah syarikat swasta. Dalam jawapan bertulis ini juga Kerajaan Kedah menjelaskan, ladang ternakan babi itu akan menggunakan teknologi moden iaitu ‘closed house system’ atau sistem tertutup. Turut dirancang dibina di ladang yang sama sebuah rumah sembelih tertutup. Kapasiti babi bakal diternak di ladang ini satu-satu masa dianggarkan 46 ribu ekor. Jumlah itu dikatakan bagi menampung keperluan penduduk bukan Islam di Kedah.”

Rujukan:

*SL: Suara Latar

**Siaran turut diselangi paparan ketika sidang dewan, buku jawapan bertulis sidang dewan dan petikan yang dimaksudkan.

Pada Khamis, 20 November, semasa sesi penggulungan sidang dewan, Menteri Besar menegur laporan media berhubung perkara tersebut sekaligus memberikan penjelasan berdasarkan jawapan sebenar yang terkandung dalam buku jawapan bertulis. Beliau turut meminta media memberi laporan yang benar.

Selepas sidang dewan tamat, pihak media memohon untuk mengadakan sidang media dan Menteri Besar memenuhi permintaan tersebut. Pada sesi tersebut yang diadakan diruang menunggu pejabat Menteri Besar, beliau meluahkan rasa kesalnya dengan laporan media berkenaan terhadap perkara itu yang disifatkannya telah mensensasikan perkara sensitif. Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu adalah dari kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional. Beliau juga memberi reaksinya dengan melahirkan nada hairan terhadap tindakan ADUN Bakar Bata membangkitkan perkara tersebut sedangkan ADUN berkenaan adalah Exco semasa keputusan itu dibuat di bawah kerajaan terdahulu.

Jelasnya, beliau juga telah menerima pandangan daripada jabatan berkenaan agar pelaksanaan itu tidak diteruskan di Bukit Selambau. Beliau juga menegaskan ladang tersebut bukan untuk pasaran luar tetapi penggunaan tempatan yang dikawal sebaiknya. Menteri Besar turut menasihati wartawan agar memberi laporan yang benar kerana kerja mereka juga adalah rezeki mereka.

Wartawan dan jurugambar TV9 yang turut hadir membuat rakaman penuh sidang media itu. Malah jelas terlihat pada wajah wartawannya keadaan separuh pucat dan beliau mengaku ketakutan untuk mengajukan soalan kepada Menteri Besar dengan disaksikan ramai media, pegawai dan tetamu yang ada di situ. Bagaimanapun, TV3 pada malam berkenaan tidak menyiarkan penjelasan Menteri Besar semasa sesi sidang dewan mahupun sidang media itu sebaliknya membawa laporan berikut:

Saluran : TV3

Slot : Buletin Utama

Tarikh : 20 November 2008 (Khamis)

Masa : 8:00 malam

Penyampai : Mohamad Yasir Mansor (Y)

: Azwaliza Azman (A)

Tajuk Skrin Paparan: LADANG MODEN?

Gambar Skrin Paparan: Babi

Y: “Laporan kami semalam mengenai cadangan Kerajaan Negeri Kedah membuka ladang babi bersepadu di Bukit Selambau mengundang rasa hairan di kalangan masyarakat termasuk bukan Melayu.”

A: “Ini kerana projek bersekala besar seumpama itu belum pernah diteroka Kerajaan Negeri sebelum ini. Begitupun penyokong PAS ada alasan sendiri, cadangan itu menunjukkan sikap terbuka Kerajaan Negeri.”

Tag Tajuk: REAKSI CADANGAN LADANG BABI

SL: “Cadangan projek ini terkandung dalam jawapan bertulis pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah. Menurut Jawapan itu ladang itu akan diusahakan sebuah syarikat swasta menggunakan teknologi moden. 46 ribu ekor babi mampu diternak pada satu masa bagi menampung keperluan penduduk Kedah.”

Respon awam; Azmi Yaakob

SL: “Malangnya masyarakat bukan beragama Islam yang secara realiti hidup berjiran dengan masyarakat bukan Islam kurang senang dengan cadangan itu.”

Respon awam; Teoh San Seng

SL: “Tidak terkecuali timbul tandatanya berikut.”

Respon awam; Abdul Aziz Yaakob

Respon awam; Shuib Abdul Khadir

SL: “Untuk rekod Bukit Selambau yang didiami pelbagai kaum terletak kira-kira 20 km dari Bandar Sungai Petani. DUN Bukit Selambau diwakili Parti Keadilan Rakyat.”

“Sebentar tadi Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan projek ternakan babi di Bukit Selambau dibatalkan. Katanya, lokasi lain akan dicari.”

Rujukan:

*SL: Suara Latar

**Siaran turut diselangi paparan ketika sidang dewan, temubual dengan responden, tempat cadangan di Bukit Selambau, sekumpulan penduduk kononnya sedang melihat kawasan tersebut dan suasana di Pekan Bukit Selambau.

Media yang sama terus memanjangkan perkara ini dalam siarannya pada hari berikut. Laporannya adalah seperti berikut:

Saluran : TV3

Slot : Buletin Utama

Tarikh : 21 November 2008 (Jumaat)

Masa : 8:00 malam

Penyampai : Suhaimi Ahmad (S)

: Pang Chinn Fei (P)

S: Semalam Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan pembatalan projek ladang ternakan babi di Bukit Selambau dan lokasi baru bakal di cari.”

P: “Ini mengundang keresahan penduduk di daerah lain pula yang bimbang projek sensatif itu akan menjadi jiran mereka.”

S: Siang tadi Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi jaminan projek itu akan menggunakan sistem ladang tertutup sekaligus tidak mencemarkan alam sekitar.”

Tag Tajuk: SISTEM LADANG TERTUTUP DIPERKENALKAN

Respon Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPH) Negeri Kedah, Dr Abd Razak Zailan: “Sosio tempat itu akan jauh dari penempatan kerana kita peka dari segi pencemaran alam sekitar dan masyarakat sosial. Sistem ladang yang kita buat ini memang ‘high technology’. Apa yang saya sebut tadi, kita akan gunakan sistem ‘all in one’, maksudnya hanya daging babi yang disembelih dan di’frozen’ beku dan di bawa keluar terus ke pasar, tidak ada lori bawa daging hidup.”

P: “Menurut Dr Abd Razak pembinaan ladang ini meliputi semua aspek termasuk proses pembiakan, penggemukan, proses makanan, pemprosesan dan sistem kumbahan. Jabatan juga sedang mengenalpasti tapak baru bagi projek terbabit. Katanya ada keperluan membina ladang babi di Kedah berikutan masalah pencemaran yang berlaku di Pulau Pinang.”

S: “Apa pun penduduk Kedah tetap menolak cadangan Kerajaan PAS Negeri meneruskan projek ladang babi di negeri itu. Ini jelas ditonjolkan melalui satu demonstarsi di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani selepas solat Jumaat.”

P: “Ia disertai jamaah dan penduduk sekitar. Difahamkan penyokong PAS dan NGO turut menyertai demonstrasi aman itu.”

S: “Kerajaan Negeri sebelum ini bercadang membuka ladang babi di Bukit Selambau. Namun semalam selepas mendapat bantaahan projek seluas 160 hektar dibatalkan.”

P: “Sebaliknya Kerajaan Negeri tetap berhasrat meneruskan projek itu dengan memindahkannya ke lokasi baru. 46 ribu ekor babi akan diternak melalui kaedah ladang tertutup. Ia akan diusahakan sebuah syarikat swasta dikenalpasti Kerajaan Kedah.”

Rujukan:

*Siaran turut diselangi sesi temubual dengan Dr Abd Zailan dan gambar statik demonstrasi.

Tindakan TV3 memanjangkan perkara ini selepas penjelasan rasmi dalam sidang dewan dan sidang media 20 November oleh Menteri Besar nyata mempunyai motif disebaliknya. Walaupun telah dinyatakan mengenai pembatalan, namun perkara ini dipanjangkan dengan dakwaan berhubung lokasi baru (rujuk ayat bergaris).

Pun begitu, TV3 menyiarkan pada siang hari itu (Jumaat, 21 November?) pihak jabatan berkenaan memberi penjelasan seperti yang dinyatakan. Keghairahan TV3 akhirnya memakan diri kerana hari Jumaat adalah hari cuti bagi Negeri Kedah dan sidang dewan telahpun tamat pada hari Khamis, 20 November. Sedangkan rakaman itu jelas diadakan semasa sidang dewan berlangsung di luar pintu DUN Kedah di Tingkat 3, Wisma Darul Aman oleh wartawan TV9 yang kelihatan dalam temubual itu.

Ternyata TV3 telah melakukan satu penipuan fakta dan cubaan untuk mengadakan propaganda bahawa Kerajaan Negeri Kedah mencari lokasi dengan menjadikan kenyataan Pengarah JPH sebagai sandarannya.

Turut dipersoalkan di sini, jika benar rakaman itu dibuat pada siang hari tersebut, bagaimana pihak TV9 dapat masuk ke dalam kawasan Wisma Darul Aman dan daripada pihak mana kebenaran diperolehi?

Motif ADUN Bakar Bata juga wajar dipersoalkan kerana mengemukakan soalan seolah-olah ingin tahu mengenai perkara yang beliau tidak tahu dengan mengemukakan soalan menggunakan frasa ‘Apakah benar...’, walhal beliau adalah salah seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah semasa di bawah pemerintahan BN. Keputusan mengenai perkara itu pula dibuat ketika dalam Mesyuarat Exco ketika itu.

Berikut petikan penuh soalan dan jawapan berkenaan dari buku pertanyaan bertulis tersebut:

Y.B DATO’ PADUKA AHMAD BASHAH BIN MD. HANIPAH

(ADUN BAKAR BATA)

Apakah benar Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membuka ladang bagi menternak babi secara komersial bagi menampung keperluan masyarakat bukan Islam di Negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Pohon penjelasan :-

a) Kawasan manakah yang telah dikenalpasti bagi menjalankan kerja-kerja penternakan tersebut?

b) Berapa buah syarikatkah yang terbabit dalam menjalankan ternakan berkenaan dan bilangan babi yang dibenarkan pada satu-satu masa?

c) Adakah syarikat yang terbabit mengendalikan ladang berkenaan menggunakan teknologi terkini?

d) Adakah Kerajaan Negeri memberi jaminan keselamatan terhadap penduduk sekitar, sekiranya ladang berkenaan dibuka berdekatan dengan penempatan penduduk?

JAWAPAN :

Kerajaan Negeri hanya merancang untuk membuka ladang menternak babi yang bersistematik. i.e. ‘Modern Pig Farming Area’ (MPFA) jika mendapat aduan kacau ganggu daripada masyarakat setempat.

a) Kawasan yang telah dikenalpasti ialah kawasan perindustrian kayu-kayan berat di Bukit Selambau seluas 407 ekar yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK. 4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007, bertajuk : “Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman”.

b) Hanya satu syarikat akan dikenalpasti untuk menjalankan aktiviti perladangan ternakan babi secara moden. Bilangan babi yang akan diternak pada satu-satu masa tidak melebihi 46,000 ekor. Jumlah ini dapat menampung keperluan pengguna bagi Negeri Kedah.

c) Ya, syarikat terbabit dikehendaki mengendalikan sistem penternakan babi secara teknologi terkini, iaitu ‘closed house system’ dengan ‘zero discharged’ dan mewujudkan satu rumah penyembelihan khindzir yang berpusat di situ.

d) Ya, untuk memberi jaminan keselamatan terhadap penduduk sekitar, Kerajaan Negeri perlu menguatkuasakan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Bil. 12 Tahun 1991, yang telah diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman pada 11 Ogos 1991 (dengan pindaan). Dalam Enakmen ini menyatakan zon penampan daripada ladang khindzir ialah sekurang-kurangnya 300 meter daripada penempatan penduduk

KESIMPULAN

Terdapatnya keraguan dan motif sama ada secara langsung mahupun tidak langsung pada pihak media tersebut dan juga ADUN berkenaan. Nyata sekali terdapat unsur-unsur sengaja untuk menimbulkan perkara ini kepada khalayak secara sensasi selain terdapatnya kesalahan, penyembunyian, pemesongan dan putar belit terhadap fakta sebenar.

PENUTUP

Semoga semua fakta sebenar yang ditampilkan berguna untuk semua pihak sama ada untuk tujuan penerangan atau perundangan.

Disediakan oleh:

IZWAN ABDUL HALIM

Friday, November 21, 2008

Dialog Penerangan Dan Dasar Kerajaan Negeri Kedah

 Jutaan terima kasih khusus untuk TV3 diatas usaha gigih menyiarkan secara terperinci dan eksklusif laporan dalam Buletin Utama program yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah bertempat di Dewan Dato’ Fadhil Noor Komplek PAS Kedah baru-baru ini.


Juga dirakamkan ucapan terima kasih kepada individu yang berusaha menyalurkan maklumat kepada pihak TV3.

Secara tidak langsung penyiaran ini memberikan ‘political mileage’ dan publisiti secara percuma kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di Kedah yang selama ini cuba dihindarkan.

Walaupun cara pemberitaan yang digarap lebih bercorak untuk memutar-belit dan menyelirukan rakyat namun hakikatnya telah mempromosi akan ketelusan dan keterbukaan PAS dalam mentadbir kerajaan negeri yang telah diamanahkan.

Ahli – ahli parti khususnya dan rakyat amnya diberi ruang serta kebebasan secukupnya untuk mendapat penerangan tentang dasar pentadbiran kerajaan negeri. Mereka juga dibenarkan mengemukakan pandangan, persoalan dan teguran secara terus sekiranya terdapat sebarang keraguan maupun ketidakpuasan hati bagi mendapatkan penjelasan dari Menteri Besar sendiri.

Untuk rekod, program seperti ini telah dianjurkan sebanyak tiga ( 3 ) kali dalam tempoh lapan ( 8 ) bulan Pakatan Rakyat mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri dari rejim Umno/Bn.

Ironinya rejim Umno/Bn yang telah mentadbir kerajaan negeri selama lebih lima puloh ( 50 ) tahun tidak pernah sekalipun menganjurkan program seumpama ini.Tidak hairan kenapa terdapat banyak kepincangan yang berlaku sehingga membuatkan rakyat merasa muak dan menghukum rejim Umno/BN dalam PRU12 yang lalu.

Penganjuran program seumpama ini jelas menunjukkan keikhlasan kepimpinan dan ahli-ahli parti untuk bermuhasabah dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Secara langsung mempraktis dan menyuburkan fungsi ‘check and balance’ yang menjadi teras kepada corak kepimpinan yang cekap, telus dan bertanggungjawab.

Adalah amat dialu-alukan kepada TV3 untuk terus membuat liputan yang eksklusif atau siaran secara langsung program ini dimasa-masa depan agar rakyat mendapat maklumat disamping membantu mempromosi kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah khususnya dan PAS amnya.

Ustaz Musoddak bin Hj. Ahmad

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Wednesday, November 19, 2008

PROGRAM PEWARISAN PAS Siri ke-3

JABATAN PEMBANGUNAN PELAJAR (JPP)
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PADANG SERAI
______________________________________________________________________________________________________

‘DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI’


1.0 PENGENALAN
’Akademi Pewarisan PAS’ merupakan cetusan idea daripada program Program pewarisan pas yang diadakan pada 7 & 8 Disember 2007 yang lalu. Akademi ini bermatlamatkan kepada pengkaderan yang menjadi pokok kepada penjanaan ahli yang seimbang didalam jemaah (PAS).


2.0 OBJEKTIF PROGRAM
Di antara objektif ‘Akademi Pewarisan PASi’ adalah:

2.1 Mengumpulkan kembali kesemua peserta yang hadir dalam ’Program Pewarisan PAS’ yang lalu.

2.2 Mengumpulkan seramai mungkin anak-anak pimpinan dan ahli PAS peringkat kawasan Padang Serai dan Kulim Bandar Baru.

2.3 Menjana ukhuwah kearah pengembelingan usaha bersepadu antara pimpinan PAS (Kawasan, Muslimat, Pemuda) dengan anak-anak pimpinan dan ahli PAS.

2.4 Menyediakan suatu mardasah bagi pembentukan fikrah, menggilap potensi dan penjanaan iltizam kepada perserta (anak-anak ahli)

2.5 Menyemai kesedaran, matlamat dan peranan terhadap diri sendiri, Islam dan perjuangan PAS

2.4 Memberikan pendedahan kepada anak-anak pimpinan dan ahli PAS mengenai perjuangan PAS dalam pentas dakwah dan politik Malaysia.

2.5 Sebagai titik mula proses pengkaderan amilin muda PAS.

3.0 ANJURAN

3.1 Jabatan Pembangunan Pelajar (JPP) Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai
3.2 Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Serai
3.3 Dewan Muslimat PAS Kawasan Kulim Bandar Baru
3.4 Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulim Bandar Baru.

4.0 PERLAKSANAAN
Di bawah adalah butir-butir program:

4.1 KUMPULAN SASARAN (PESERTA)
Anak-anak pimpinan, ahli PAS, penyokong dan juga terbuka kepada mana-mana remaja yang berminat mengenali perjuangan PAS dari Kawasan Padang Serai dan Kulim Bandar Baru (15-21 tahun).
Sasaran 50 orang/kawasan (Jumlah = 100 orang)

4.2 TARIKH
27 /11/ 2008 hingga 29 /11/2008

4.3 TEMPAT
Pasti Islahiah Kg. Sungai Badak, Kelang Lama, KULIM.

4.4 YURAN PENYERTAAN
RM 40.00/Seorang

4.5 TENTATIF PROGRAM

27/11/2008 (Khamis)
5.00 ptg : Pendaftaran
6.00 ptg : Taklimat Program & “Ice breaking”
7.00 mlm : khidmat diri
7.30 mlm : Solat maghrib
8.00 mlm : Makan malam
8.30 mlm : Solat Isya’
9.00 mlm : Kuliah 1 “Tujuan Hidup Muslim”
Oleh : Ustaz Salim Bin Mahmud
10.30 mlm : Himpun daya

28/11/2008 (Jumaat)
4.30 pg : Hidupkan malam
6.00 pg : Solat Subuh
6.15 pg : Kuliah Subuh
- Oleh :Ustazah Siti Aishah Binti Ghazali
Exco Kerajaan Negeri Kedah

8:00 pg : ”Riadah Toward Ibadah”
9:00 pg : Sarapan pagi
9.15 pg : LDK 1 (Tujuan Hidup Muslim)
10.30 pg : Indoor bersama NISA’
12.30 ptg : Khidmat diri
- Solat Jumaat (muslimin)
- Slot Muslimat (muslimat)
2.00 ptg : Makan Tengahari
2.30 ptg : Outdoor bersama UNIT AMAL
4.30 ptg : Solat Asar berjemaah
5.00 ptg : ”Riadah Toward Ibadah”
7.30 mlm : Solat Maghrib
- kuliah Maghrib,Oleh : Mu’adz Md Nazan
8:00 mlm : Makan malam & Solat Isyak berjemaah
9:00 mlm : Ucapan Aluan Pengarah ‘Program Pewarisan PAS’
9:30 mlm : Pengisian 1 (“PAS”) – Rujuk Lampiran 1
Oleh: Cikgu Sukarno (Bekas Exco DPPNK)
11:00 mlm : Kudapan (Bersama Fasilitator)
12:00 mlm : Himpun daya


29/11/2008 (Sabtu)
5:00 pg : “KEMBARA SUBUH”
8:00 pg : Makan pagi
9:00 pg : Pengisian 2 (“Anda dan PAS”) – Rujuk Lampiran 2
Oleh: Ustaz Ahmad Yahya
10:30 pg : Minum pagi
11:00 pg : Latihan Dalam Kumpulan (LDK) – Rujuk Lampiran 3
12:30 tgh hari : Perasmian Penutup
Oleh: YB Ustaz Mohd Firdaus Jaafar
Ahli Parlimen Jerai
Exco DPPP (DACS)
Ketua Penerangan DPPN Kedah
1:30 tgh hari : Bersurai

Sebarang pertanyaan sila hubungi:-
Dr Nazil: 0139322542
Ridzuan: 0134664660
Shaharani:0134808366

Thursday, November 13, 2008

Pilihanraya Kecil di DUN Kuala Nerang?






Khabar angin yang mula bertiup menunjukkan kemungkinan satu lagi pilihanraya kecil akan berlaku di DUN Kuala Nerang, di bawah Parlimen Padang Terap, Kedah setelah ADUN Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim dilaporkan muflis.

Menurut berita yang dipercayai, Speaker DUN Kedah, Dr. Isa Ismail sudah menghantar surat kepada SPR berkenaan kekosongan kerusi DUN tersebut.

Berikutan itu, semua jentera parti terutama PAS dan UMNO mula digerakkan untuk mengadakan persiapan menjelang pengumuman pilihanraya kecil tersebut.

Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang memenangi Pilihanraya ke 12 yang lalu menewaskan Ust.Zawawi Ahmad yang merupakan YDP PAS Kawasan Padang Terap dengan majoriti hanya 805 undi.

N7 KUALA NERANG
Jumlah Pengundi: 18,394
Peratusan Kaum: M:96.91% C:1.97% I:0.19% L:0.93%
1. Datuk Syed Sobri Syed Hashim (BN) (7,856)
2. Zawawi Ahmad (Pas) (7,051)
Majoriti: 805
Jumlah undi: 15,216
Peratus mengundi: 82.72%
Undi rosak: 309

Sumber : http://www.nasirzakaria.com


Admin : Buat seluruh jentera Pemuda PAS! Ayuh kita buat persiapan untuk menghadapi peperangan Pilihanraya Kecil.



Thursday, October 09, 2008

Kuota 50 peratus: Jangan jadikan isu perkauman

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyokong penuh dasar baru Kerajaan Negeri Kedah mewajibkan peruntukan 50 peratus lot bumiputera dalam semua projek perumahan di negeri ini.

DPPNK mengajak Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Kedah/Perlis dan semua pihak menyedari bahawa rumah adalah keperluan asas setiap manusia. Oleh itu ia tidak harus dilihat sebagai satu dagangan sebaliknya hak yang perlu diberi kepada setiap manusia.

Menginsafi terdapat rakyat berkemampuan, namun lebih ramai mereka yang kurang berkemampuan, maka sewajarnya pemaju mengutamakan projek-projek perumahan mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakan di negeri ini dengan mengambil kira demografi sosio-ekonomi semasa.

DPPNK melihat selama ini hak asas manusia telah dimanipulasi dan diperdagangkan melalui kapitalisme yang diamalkan pemaju dengan berorientasikan keuntungan semata-mata. Pemaju perlu melihat perkara ini sebagai satu tanggung jawab sosial kepada masyarakat. Memandangan rumah adalah keperluan asas, keuntungan bukanlah pertimbangan utama walaupun keuntungan itu diperlukan oleh pemaju.

DPPNK percaya para pemaju hartanah dan perumahan di negeri ini telah lama meraih keuntungan daripada industri ini malah kouta 30 peratus yang ditetapkan sebelum ini telah kerap kali diketepikan melalui pelbagai teknik niaga yang 'dimainkan' oleh pemaju. DPPNK juga percaya dengan dasar kuota 30 peratus itu dan diskaun 5 peratus untuk setiap lot bumiputera menyebabkan pemaju memindahkan beban kekurangan keuntungan dengan menaikkan harga rumah bagi lot bukan bumiputera. Tindakan ini nyata tidak wajar. Malah ada golongan yang berkemampuan mengambil kesempatan menjadikan keperluan asas ini sebagai dagangan dan pelaburan sedangkan masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan rumah.

Rehda dan semua pihak perlu melihat tindakan Kerajaan Negeri sebagai mengembalikan hak kepada setiap mereka yang berhak di mana selama ini telah dinafikan. Dasar Kerajaan Negeri hendak memastikan setiap rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri wajar diberi sokongan padu.

Realitinya juga perlu diakui bahawa dari 1.9 juta penduduk Kedah, 70 peratus adalah bumiputera, maka amat wajar kuota sebanyak 50 peratus tersebut. Kaum bukan bumiputera tidak harus bimbang dengan dasar baru ini kerana mereka tidak akan hilang sebarang hak.

Pemaju mungkin melihat soal kemampuan ekonomi bumiputera sebagai antara sebab untuk tidak bersetuju dengan dasar baru Kerajaan Negeri di mana margin keuntungan pemaju bakal berkurangan. Pun begitu, Rehda tidak harus menjadikan ianya sebagai alasan untuk tidak bersama pemerintah negeri ini merealisasikan dasar pemilikan rumah kepada setiap rakyat Kedah. Telah terzahir bukti, apabila pemaju hanya mementingkan keuntungan melalui projek perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki rakyat negeri ini seperti di Sungai Petani dan Kulim, maka ia telah menjadi milik orang luar dari negeri ini. Isu rumah tidak terjual juga tidak harus ditimbulkan jika pemaju mengamalkan pembahagian kawasan perumahan mengikut blok seperti mana di Taman Ria dan Taman Keladi di Sungai Petani.

Rehda juga sebagai sebuah persatuan tidak harus menjadikan hak asas ini sebagai 'peluang' melipat gandakan keuntungan sebaliknya menghulurkan kerjasama kepada Kerajaan Negeri selaku pemerintah negeri ini untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. Kerajaan Negeri juga sudah tentu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pemaju dalam hal ini. Sebagai sebuah kerajaan untuk semua, sudah pasti Kerajaan Negeri Kedah juga memikirkan soal keuntungan pemaju, pun begitu industri ini bukanlah tempat membina keuntungan di luar kewajaran yang sepatutnya.

DPPNK yakin melalui Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC), sebarang projek akan lebih terjamin dan bertanggung jawab serta terhindar dari sebarang bentuk bebanan kepada rakyat. Sehubungan itu, DPPNK menggesa Kerajaan Negeri melalui GLC mengambil alih tanggungjawab tersebut dalam mengimbangi persaingan dengan pemaju sedia ada di samping merealisasikan hasrat dan dasar Kerajaan Negeri kepada kepentingan rakyat.

DPPNK melihat Rehda telah mempolitikkan keadaan seolah-olah Kerajaan Negeri sedang menganiaya kaum lain di negeri ini. Dengan ini, DPPNK memberi amaran kepada Rehda agar jangan mempolitikkan isu ini yang sebenarnya berlegar kepada persoalan keuntungan pemaju menjadi isu perkauman. Jangan cuba menutup kekurangan keuntungan pemaju dengan menjadikan keharmonian kaum di negeri ini sebagai mangsa. DPPNK menegaskan tidak wujud sama sekali soal perkauman dalam perkara ini kerana di kalangan pemaju juga terdapat pemaju bumiputera.

DPPNK juga dengan ini menggesa Ketua Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid menyatakan pendirian Umno Kedah terhadap perkara ini.

Bersamalah kita mendukung hasrat Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.


USTAZ MUSODDAK HAJI AHMAD
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Tuesday, October 07, 2008

Ghairah dan ghurur dalam politik

Satu artikel yang menarik untuk kita menghimbau kembali kegagalan dan kejayaan PAS Kedah yang selayaknya dijadikan iktibar dalam kita mempolemikkan isu peralihan kuasa melalui proses ‘lompatan’. Sangat tertarik dengan ayat terakhir penulisan ini iaitu, “Harga bagi PAS ialah Islamnya”

Oleh Zulkifli Yahaya

Berbekalkan kemenangan 12 kerusi Dun pada pilihan raya umum 1999, PAS merasai mendapat kekuatan luar biasa di negeri Kedah.

Jabatan Pilihan Raya Negeri kemudian merancang satu agenda lebih besar iaitu melancarkan Tahun Tawan Kedah 2003.

Ia diperbaharui pada tahun 2004 apabila pilihan raya tidak diadakan pada tahun 2003. Misinya digahkan dalam slogan yang dicanangkan ke seluruh negeri.

Selepas kalah teruk pada pilihan raya umum 2004, masing-masing baru menyedari bahawa keghairahan mencanangkan misi dan visi adalah satu kesilapan dalam berdepan dengan BN yang masih berkuasa.

Kuasa dan BN hampir sinonim. Macam nyawa dan badan. Takutnya BN pada kehilangan kuasa macam takutnya manusia hilang nyawa.

Ancaman ‘Tahun Tawan Kedah 2004′ benar-benar menggoncang tangkai jantung BN, lantas pelbagai agenda dilaksanakan bagi menggagalkan hasrat PAS. Sementelahan mereka ada kuasa dan wang. By crook or by hook BN mesti terus berkuasa.

Tabiat manusia, apabila terlalu ghairah maka tindakan yang diambil mengetepikan kerasionalan. Mereka lupa antara strategi yang perlu disembunyikan dan perkara yang wajar didedahkan.

Kesilapan seperti ini juga pernah berlaku pada BN. Pilihan raya kecil Lunas 2001, Ketua Pemuda BN mengumumkan strategi mereka untuk memenangkan calon BN.

Dato’ Seri Hishamudin Tun Hussein menjelaskan bahawa jentera Pemuda BN akan turun menemui setiap orang pengundi muda bagi menyampaikan mesej mereka.

Kelakarnya, selepas membuat pengumuman tersebut Hishamudin cabut ke luar negeri untuk bercuti.

Pihak lawan yang mendengar strategi BN itu lalu mengambil langkah mengatasinya. Barisan Alternatif (waktu itu) mengatur tindak balas dengan ‘turut’ menemui setiap orang pengundi muda bagi menyampaikan mesej.

Walhal BN yang mendedahkan strategi tadi, tidak pun melakukan seperti yang diumumkan. Keputusannya BN kalah.

Pilihan raya kecil Pendang/Anak Bukit adalah iktibar anugerah Allah yang paling baik untuk dikenang oleh pejuang Islam khususnya.

PAS meletakkan harapan 50-50 untuk menang di Anak Bukit selepas melihat saingan sengit dibuat oleh BN di situ. Selepas ikhtiar, pergantungan selebihnya adalah terhadap Allah SWT.

Di Pendang, ada yang sudah menjentik kerongkong menghitung majoriti yang bakal diperolehi oleh PAS. Hasilnya, PAS menang di Anak Bukit dan tewas di Pendang dengan majoriti 283 undi. Sekali lagi tabiat manusia memperlihatkan bahawa kita tawaduk bila merasa diri tidak terlalu kuat lalu mengalih pergantungan kepada Allah dan menjadi ghurur (tertipu) dengan kekuatan sendiri bila terlalu ghairah.

Ekoran kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN dalam pilihan raya umum lalu, timbullah keghairahan luar biasa pakatan pembangkang untuk meneruskan kemaraan.

Entah siapa yang memulakan, tiba-tiba muncul dakwaan bahawa ahli-ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak akan melompat beramai-ramai menyertai pakatan pembangkang, yang kemudian dinamai Pakatan Rakyat.

Dari desas-desus ia kemudian bertukar kepada agenda politik. “Kami dah cukup bilangan ..,” menjadi ungkapan politik yang dijaja sejak berbulan.

Di sebalik keghairahan tersebut, timbul persoalan jika benar ’sudah cukup bilangan’ bijakkah strategi menjaja perkara tersebut saban waktu, sedangkan BN masih berkuasa?

Mereka boleh guna senjata ugut atau habuan kebendaan. Mereka mampu buat apa saja untuk melindungi ahli Parlimen dari melompat.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pendokong perjuangan Islam supaya tidak terlalu ghairah hendak berkuasa sehingga lupa matlamat perjuangan.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli supaya konsisten dengan dasar perjuangan yang berlandaskan Islam dalam apa jua keadaan.

Di awal perjuangan Rasululah s.a.w., baginda pernah ditawarkan untuk menjadi penguasa Makkah tetapi ditolaknya. Para ilmuan Islam menghuraikan sebab-sebab penolakan tersebut.

Apa pun hujah terhadap penolakan tersebut, sirah memberitahu bahawa bukan sikap Islam untuk asal saja peluang berkuasa terhidang, membujur lalu melintang patah. Ada perkiraan yang yang perlu diambil kira.

Antara perkiraannya dasar perjuangan yang perlu didahului sebelum berkuasa. Bukan berkuasa dahulu, dasar kita fikir kemudian.

“Anta mudah cakap macam tu sebab tak jadi ahli Parlimen. Kalau jadi ahli Parlimen anta pun siang malam dok fikir nak jadi menteri..,?" ujar Adnan Saad, bekas Ketua Pemuda PAS Kedah sambil ketawa terbahak-bahak.

Gurauannya agak kasar. Ahli Parlimen kita tidak seburuk itu.

Ahmad Lutfi Othman menulis perihal perlunya kepimpinan PAS tidak menjarakkan diri dengan Dato’ Seri Anwar, di saat percaturan kuasa dilakukan.

Dalam Pakatan Rakyat tiada siapa yang dominan. Semua saling bergantung. Masing-masing boleh letak harga. Harga bagi PAS ialah Islamnya. - mr

Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya 'Idul Fitri

Minal A' ideen Wal Fa Izeen. Kullu 'aamin Wa Antum Bi Khoir.


Selamat Hari Raya 'Idu; Fitri diucapkan kepada semua daripada kami warga Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS).

Salah dan silap harap dimaafkan.

Wednesday, August 20, 2008

Jangan Ambil Golongan Peliwat Sebagai Ahli Parlimen Anda!

Kepada Pengundi Permatang Pauh, jangan pilih pemimpin mereka ini sebagai Ahli Parlimen anda. Inilah golongan peliwat yang enggan mengaku mereka melakukan perbuatan jijik tersebut. Aksi berikut adalah buktinya. Pengikut yang baik terzahir dari kepimpinan berakhlak. Adakah ini yang cuba diajar kepada anak bangsa kita 10 tahun lagi, andai mereka terus dibiarkan BERKUASA?

Buat Pengundi PRK P44 Permatang Pauh!

Wednesday, July 30, 2008

Muqabalah @ Muzakarah: Kenapa PAS Sahaja Yang Terlarang?

oleh Zukri Aksah
Monday, 28 July 2008


Lama dahulu sebelum Saudara Anwar bebas, Wan Azizah ada bertemu Pak Lah, Saifuddin Nasution juga ada bertemu Pak Lah, selain dari yang dinyatakan kepada umum bahawa pertemuan itu pada ketika itu adalah untuk memohon jasa baik Pak Lah bagi membenarkan Saudara Anwar ke luar negara berubat, buah-butir yang selebihnya tidak pernah diketahui penyokong terbanyak, dengar ceritanya Wan Azizah memanggil Pak Lah dengan panggilan ‘Uncle.’ Saudara Anwar juga selepas bebas ada berjumpa Pak Lah ketika rumah terbuka Hari Rayanya, selain kenyataan umum bahawa pertemuan itu semata-mata adalah untuk merakamkan ucapan terima kasih Saudara Anwar kepada Pak Lah kerana tidak mencampuri urusan penghakiman kesnya, yang lain-lainnya juga tidak pernah diketahui oleh penyokong terbanyak. Kita juga tidak pernah lupa bahawa Saudara Khairy Jamaluddin ada bertemu Saudara Anwar selepas bebasnya, selain alasan menguruskan passport, perbincangan lain antara mereka tidak pernah pula cuba dikorek oleh orang-ramai.

Tidakkah semua itu namanya muqabalah, tidakkah sebahagiannya melibatkan muzakarah? Walaupun ada dari insiden di atas yang terus kelam sampai sekarang, nampaknya sama ada Saudara Anwar, Wan Azizah mahupun Saifuddin Nasution tetap terus teguh dan kekal bersama Parti Keadilan Rakyat khususnya dan Pakatan Rakyat amnya.

Tetapi mengapa ia harus menjadi dilema, mencetuskan polemik bilamana muqabalah atau muzakarah sebegini, iaitu pertemuan dengan Pak Lah selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, melibatkan pimpinan PAS? Meyakini seratus peratus tindakan Saudara Anwar, Wan Azizah dan Saifuddin Nasution tetapi mempersoalkan pula tindakan beberapa pimpinan PAS, samalah seperti kita mengatakan kita yakin akan kekuatan jiwa dan pendirian Saudara Anwar, Wan Azizah serta Saifuddin Nasution tetapi ragui kekuatan jiwa dan pendirian pimpinan PAS, kita letakkan jiwa pimpinan PAS di tahap lemah dan lembik, kita andaikan pendirian pimpinan PAS adalah rapuh dan mudah disogok. Betapa berdosanya kita jika ini tersebar menjadi fitnah, apatah lagi mereka ini adalah pimpinan jemaah Islam.

Ya, saya tahu wujud beberapa asas terhadap dilema dan polemik ini. Pertamanya adalah kerana kesilapan lampau yang dibimbangi terulang, kedua kerana ini berlaku pasca 8 Mac 2008, selepas runtuhnya kerajaan Umno dan BN di lima buah negeri, hilangnya kerusi-kerusi strategik Umno dan BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hilangnya dua pertiga majoriti BN di Parlimen, PAS dibimbangi akan dipujuk lagi oleh BN untuk memasuki BN bagi memperkuatkan kembali BN, selepas BN kembali kuat, PAS akan ditendang seperti sampah…

Soalnya kenapa itu yang tergambar di kepala kita bila pimpinan PAS berjumpa Pak Lah? Gambaran PAS akan masuk BN, PAS kena tipu dek Umno, PAS dipermainkan Umno dan sebagainya… Benar, pihak Umno seperti yang diakui Khir Toyo telah menawarkan apa yang dibimbangi itu, PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan kerajaan Negeri Selangor bersama Umno, tetapi itu politik Umno, biarlah dia dengan caranya, tiada apa-apa yang luak pun. Apakah kita ada terdengar PAS hadir dalam muqabalah atau muzakarah itu dengan membawa agenda yang sama? Menawarkan diri untuk membubarkan Pakatan Rakyat dan bercium mulut dengan Umno? Tidak ada bukan! Yang terbukti, sekolah agama rakyat di Kelantan akan mendapat bantuan kerajaan persekutuan, akhbar Harakah mendapat kembali permit dua kali seminggunya, tinggal lagi masalah tahanan ISA yang belum dapat diselesaikan. Jelas bahawa pimpinan PAS hari mempunyai kebijakan politik yang tinggi, sebab ada sesetengah tuntutan perjuangan yang boleh diselesaikan di meja rundingan, bukan di jalanraya atau dalam pilihanraya!

Sejarah perjuangan Islam yang panjang membuktikan bahawa muqabalah atau muzakarah dengan pihak lawan boleh diadakan selagi ia boleh memberi manfaat kepada Islam dan ummah sama ada secara tersirat atau tersurat, sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah sudah sering diceritakan orang, kaedah dakwah Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna juga penting untuk dijadikan rujukan dalam situasi sebegini, bagaimana beliau masuk ke kelab malam untuk berdakwah, sehingga akhirnya kelab malam itu bertukar menjadi sebuah surau! Kalau berjumpa pemilik kelab malampun boleh membuahkan hasil dalam dakwah, maka bukanlah sesuatu yang terlarang untuk PAS berjumpa dengan pimpinan Umno.

Kepada sahabat-sahabat ahli PAS sekalian, kita sudah berbai’ah dengan PAS, maka eloklah kita menuruti rukun bai’ah sepertimana yang juga diperturunkan oleh Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna lewat Risalah Ta’limnya, iaitu Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban (Tadhiyah), Taat, Thabat, Tajarrud, Bersaudara (Ukhuwwah) dan Thiqah.

Oh ya, ada pesanan untuk Saudara Karpal Singh, seeloknya saudara menekuni terlebih dahulu lapis ayat Bahasa Melayu sebelum mengkritik apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz, nanti kalau ada orang kata saudara tak faham bahasa saudara marah.

Thursday, July 24, 2008

Sokong Keputusan Perjumpaan Majlis Syura Ulamak dengan TGNA

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) menyokong penuh keputusan hasil pertemuan Majlis Syura Ulamak PAS dengan Al-Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diadakan pada 23 Julai 2008 berhubung isu Muzakarah di antara PAS-Umno di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan. Atas nasihat Al-Mursyidul Am, perjumpaan dengan Umno sebelum ini yang dikenali sebagai "Muzakarah" ditukarkan kepada "Muqabalah". Perjumpaan itu sebelum ini telah pun dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Syura Ulamak.

Sehubungan itu, DPPKPS menyeru seluruh ahli agar taat dan wala' kepada pimpinan. Sebarang maklumat hendaklah disiasat terlebih dahulu sebelum menerima bulat-bulat. Berhubung satu demonstrasi yang dikatakan akan berlaku di hadapan Pejabat Agung PAS pada hari Jumaat ini, DPPKPS menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin yang bertujuan untuk merosakkan perpaduan jemaah kita. Sayugia diingatkan kepada ahli-ahli supaya mendapatkan kesahihan maklumat tersebut dari pimpinan sebelum menyertainya.

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

Saifol Nizam Noordin
Ketua Penerangan DPPKPS

Wednesday, July 16, 2008

Menunggu Shabery Cheek Letak Jawatan!

Kg Siam, 16 Julai : Hari ini rata-rata ramai yang bercakap pasal Debat Antara Anwar dan Shabery Cheek malam tadi berhubung kenaikan harga minyak. Dari malam tadi juga, pihak kami yang menganjurkan Ceramah Umum bersama dengan Saudara Mazlan Aliman (PAS) dan Saudara Kalaivanar (PKR) menunggu-nunggu pengumuman rasmi berhubung janji yang pernah dikeluarkan dari kerongkong Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Penerangan untuk meletakkan jawatan sekiranya beliau tewas dalam perdebatan bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya malam tadi, Shabery Cheek telah tewas dalam perdebatan dengan Anwar Ibrahim. Dalam ceramah yang disampaikan semalam, Saudara Kalaivanar selaku Ketua Penerangan PKR Negeri Kedah memaklumkan akan membuat satu laporan polis di Balai Polis Gurun sekiranya didapati Dato' Ahmad Shabery Cheek masih enggan meletakkan jawatan. Beliau juga menuntut Shabery mengotakan janji dalam tempoh terdekat bagi membuktikan bahawa Shabery memang benar-benar anak jantan.

Belasungkawa : Dato' Paduka Haji Ahmad Basri Mohd Akil meninggal dunia

Pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) mengucapkan takziah kepada keluarga Dato' Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil ke atas pemergian beliau ke Rahmatullah. Jasa beliau dalam pembangunan bolasepak negeri Kedah meninggalkan sejuta kenangan kepada pasukan bolasepak negeri Kedah dan para penyokongnya. Tidak lupa juga sebagai menghargai jasa beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, pihak kami mengucapkan sejuta penghargaan di atas usaha-usaha beliau membangunkan negeri Kedah.

AL-FATIHAH!

Friday, July 11, 2008

TV3 MENEMPAH KEMURKAAN SULTAN KEDAH

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) kesal dengan pemberitaan oleh TV3 berhubung penggunaan jet eksekutif yang membawa rombongan Istana Kedah beserta Menteri Besar ke Brunei dan menyifatkannya sebagai membazir. Berita yang disiarkan pada kira-kira jam 8.15 malam tadi boleh disifatkan menghina Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang sedang meraikan Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Baginda. Kebiadapan pemberitaan TV3 tersebut amatlah dikesalkan kerana ingin mempolitikkan isu Menteri Besar menaiki jet eksekutif bersama dengan rombongan Istana Kedah.

TV3 lebih cenderung untuk memainkan sentimen politik tanpa memperdulikan kedudukan Baginda Sultan Kedah sebagai Timbalan Yang Di Pertuan Agong. Apakah cara yang lebih sesuai bagi Istana Kedah dan Menteri Besar untuk pergi ke Brunei dalam rangka lawatan menjemput Sultan Brunei meraikan pemerintahan ke 50 Tuanku Sultan Kedah? Semua maklum bahawa untuk pergi ke Brunei yang berada di kepulauan Borneo dan terpisah dari Semenanjung Malaysia memerlukan pengangkutan selain dari darat. TV3 sanggup untuk mengambil sikap kebudak-budakan akibat hasutan pihak tertentu yang lebih cenderung untuk mendapatkan 'political mileage' dalam isu ini.

DPPKPS amat kesal dengan pemberitaan tersebut dan menuntut TV3 untuk sembah menghadap kepada Baginda Tuanku Sultan Kedah untuk mendapatkan pengampunan di atas isu yang dibangkitkan oleh mereka.

Daulat Tuanku!

Saifol Nizam Noordin
Ketua Penerangan DPPKPS

Tuesday, July 08, 2008

SMS dari apit..!!!

Oleh Monier http://moniermatdin.blogspot.com

Sabtu mlm Ahad baru ni (5/7) waktu saya tgh dok cari parking nak park keta kat tepi hi-way di luar pagar expo Seb Jaya tempat Anwar Ibrahim nak ceramah; tiba-tiba ada call masuk mai, si Apit sahabat baik saya yg patutnya turun pi demo protest di kelana jaya mlm tu (dia kansel x jadi pi sbg tanda protest kpd protest sbb x mau buat demo kat tempat terbuka), dia call mai.

Apit tanya saya ada mana; saya habag la tgh dok Q bersusun jem nak masuk tapak expo ceramah Anwar Ibrahim tu.

Dia kata:

"Wei, kami ada depan rumah hang ni"

Awatnya:

"Awatnya...hang dok tanya awatnya...luku pala baru tau. Hang tau dak, sementara hang dok pi dengar ceramah Anwar Ibrahim tu, ni ha kat depan rumah hang ni ha, depa tengah dok buat Pesta Minum Arak nala punya gempak!!"

Aik, pesta minum arak apa pulak?

"Ni ha, kat restoren dekat rumah hang ni (dlm 500 meter dari rumah saya), depa boh botol arak gergasi...nala punya dok riuh rendah buat pesta minum arak ka apa ni. Nak minum arak minumlah, ini yg sampai pesta-pesta siap dengan botol besaq ni apa ke ceritanya?"

Laa...mana aku tau!; aku tak balik rumah sejak pagi tadi lagi, ada hal sket; cuba hang call YB ka sapa ka.

Apit kata:
"Aku dah habag kat YB, dia suruh komplen kat Majlis Bandaran"

Ha, eloklah tu.

Kemudian, saya pun terus pi masuk tapak expo dengar ceramah Anwar Ibrahim.

Mlm tu, dlm pukul satu pagi kot, on the way back, tet tet sms hp saya berdering. Tengok2 dari Apit, panjang lebar dia tulis, saya berenti keta sat tepi jalan baca sms dia tu.

Apit tulis:

"Paklah haram jadah, najib gila babi, anwar barua sial, george bush pukimak, semua dajal! MB Kedah pun nak kena dgn aku! Nak tunggu sampai bila nak tutup kdai no ekor, kedai arak, billboard pompuan telanjang, cyber cafe cermin gelap, tiger show di pdg serai pun ada dah! Pelacur pun dah ramai, budak sekolah pukui cikgu, tong sampah tgh jln..BILA LG KITA NAK TUNGGU!! LG 100 HARI!! SAMA SJ DEPA NI!! SEMUA HARAM JADAH!! Dok pandai ceramah ja!!"

Tergamam saya bila baca sms Apit tu....sebab Apit ni org kuat cawangan, PA YB lagi. Tak tau nak reply nak tulis apa.

Marah sungguh Apit.

Nasib baik Apit tak jadi turun pi demo Protest di mana pendemo-pendemo tu kena tunjuk pungkoq dengan sorang mamat Punk tu. Kalau tidak dengan penganjur dan mamat-mamat Punk tu sekali nanti kena penerajang To-Moi dengan Apit.

Saya x mau komen apa; cuma saya nak kongsikan sms Apit ini sebagai satu renungan buat semua. Walaupun tuan-tuan semua x kenai Apit (full time buat bendang), tapi saya merasakan sedikit sebanyak bait-bait dalam SMS beliau itu melambangkan suara dan isi hati sebahagian besar daripada kita. Kita semua dah naik muak dah dengan apa yang sedang berlaku ini; kita harap pihak-pihak yang berkenan dapatlah membantu meredakan keadaan.

Tension sungguh haih, banyak benda lagi yang kita rakyat jelata ini nak kena fikirkan; tapi macam Apit juga, suka ka tak suka ka, cerita-cerita politik ni terpaksa dilayan juga.

Wassalam.

Monday, July 07, 2008

Ini bukan Protes tapi Karnival Turun Minyak

Izwan Abdul Halim
Mon | Jul 07, 08 | 2:28:29 pm MYT

KOTA SARANG SEMUT, 7 Julai (Hrkh) - Pemuda PAS Kedah melahirkan rasa kesal dengan pengendalian Himpunan Protes Sejuta Rakyat yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya semalam.

Bagi pemuda Kedah, himpunan semalam tidak mencapai tujuan asal gerakan Protes yang telah digerakkan sejak tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK), Ustaz Musoddak Ahmad di Kompleks PAS Kedah sebentar tadi.

Menurutnya, ramai kontingen pemuda dari kawasan-kawasan yang hadir ke himpunan berkenaan turut 'memprotes' pengendalian himpunan itu semalam.

"Pemuda-pemuda dari (Kawasan) Kuala Kedah, Pendang, Sik, Merbok, Padang Serai, Sungai Petani, Langkawi dan lain-lainnya pergi untuk menyatakan protes tetapi pulang awal kerana 'memprotes' cara himpunan itu.

"November lalu himpunan Bersih telah memasuki 'gear empat' suara rakyat dan sepatutnya gelombang itu menjadikan Protes memasuki 'gear lima' tetapi semalam himpunan jadi 'gear satu'," ujarnya kecewa.

Menurutnya, rakyat sudah ada keberanian untuk turun ke jalan dan tidak bimbang kepada risiko berhadapan 'water-cannon' dan semburan kimia.

Oleh itu, menurut beliau, mengadakan himpunan di stadium seolah-olah berundur semula ke belakang.

"Bila buat himpunan macam ini, protes yang dinyatakan tidak tampak kepada umum apatah lagi pihak yang diprotes juga tidak akan rasa apa-apa," tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan kekesalannya kerana wujud konsert pada himpunan berkenaan.

"Rata-rata pemuda Kedah pulang setelah konsert diadakan, mereka menggelar himpunan itu bukan 'protes' tetapi 'karnival turun minyak'.

"Pemuda Kedah datang bukan untuk berhibur, mereka datang atas nama perjuangan. Jadi sebarang sekatan yang mungkin berlaku mereka sanggup hadapi," jelasnya yang turut memaklumkan DPPNK akan menghantar nota bantahan kepada jawatankuasa penganjur himpunan itu. - mks. _

Wednesday, July 02, 2008

ISU TUDUHAN LIWAT:INDAHNYA KALAU SYARIAT ISLAM DILAKSANAKAN DI NEGARA INI

oleh Ustaz Idris Ahmad http://idrisahmad.wordpress.com

Masyarakat Malaysia dan dunia dikejutkan dengan berita tuduhan liwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan 23 tahun. Laporan polis telah dibuat oleh Mohd Saiful Azlan pada 26hhb Julai 2008. Apakah ini satu lagi konspirasi yang melibatkan plot yang sama pada tahun 1998. Wallahua’lam.

Apa yang berlaku ini adalah satu tuduhan yang berat yang dikenakan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan melibatkan maruah peribadi beliau dan juga keluarga. Rakyat Malaysia tidak sanggup lagi untuk melihat peristiwa tilam diusung pula ke dalam mahkamah. Anak kita yang masih kecil bertanya apa dah jadi dengan Malaysia, ketika tilam diusung ke mahkamah. Kesemua ini menuntut kepada kita untuk terus merenung bahawa inilah masanya untuk kita memikirkan bahawa Syariat Islam adalah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang ada pada hari ini.

Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa terutama terhadap musuh politik , tetapi dengan syariat Islam perkara ini dapat dibendung dan disekat, kerana ada satu hukuman “qazaf” yang akan dikenakan sebanyak 80 rotan jika tidak ada 4 orang saksi. Tidak ada manusia yang waras boleh menerima perbuatan yang terkutuk yang menjadi amalan kaum Nabi Lut sehingga Allah mendatangkan balasan terhadap kerja buat mereka dengan diterbalikkan bumi.

Tuduhan liwat sama seperti tuduhan zina, kerana ia perlu kepada 4 orang saksi yang adil. Kesemua ini menunjukan bahawa Islam menitik berat soal maruah seseorang supaya tidak tercemar dan mudah orang lain lain membuat tuduhan palsu

Amaran Allah ayat 4, Surah An-Nur yang bermaksud, “dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasiq”,

Apabila adanya hukum kepada pelaku zina dan liwat maka disana ada juga hukum “qazaf” iaitu menuduh orang melakukan zina atau liwat tanpa 4 saksi. Dengan ini semua orang takut untuk membuat tuduhan kerana memerlukan kepada 4 orang saksi. Mungkin orang berhujah kalau begitu bebaslah orang hendak melakukan zina dan liwat kerana sukar untuk mendapat 4 orang saksi yang adil. Kita jangan memandang apabila hukuman dikena baru kita anggap adil.

Sedangkan dalam Islam ia lebih suka untuk mendidik hambanya bukan untuk menghukum. Syariat Islam akan menimbulkan kegerunan kepada mereka daripada melakukan jenayah tersebut dengan ini amruah akan terpelihara. Syariat Islam ada ruh dan jasad, sedangkan hukuman manusia hanya ada jasad. Sebab itu undang-undang manusia tidak pernah mengurangkan jenayah malahan bertambah dari semasa kesemasa.

Imam Malik berkata :

*Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes Al-Mughirah Bin Syu’bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi, maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)*

Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menuduh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majoriti ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.

Tetapi kesemua ini menunjukkan bahawa indahnya syariat Islam dan gerunnya untuk mereka hendak membuat satu tuduhan yang melibatkan aib dan maruah orang yang dituduh. Apa yang berlaku terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberikan keinsafan kepada kita untuk membuat penerokaan baru dan berfikir sedara rasional dan buangkan tabiat fobia dengan syariat Islam akibat daripada kejahilan kita mengenai agama sehingga kita takut dengan agama sendiri dan orang bukan Islam pula bertambah takut dan keliru kerana dihijab oleh orang islam sendiri.

Dalam suasana sekarang kita hanya boleh becakap supaya membawa 4 orang saksi dan kalau gagal dikanakan hukuman qazaf (kerana membuat tuduhan tanpa saksi). Semuanya itu kita hanya boleh bercakap dan bersyarah dalam surau dan di masjid kerana keindahan Syariat Islam hanya dalam lipatan Quran dan Hadis dan kitab-kitab sahaja. Kerana negara kita tidak mengamalkan Syariat Islam dalam hukuman hatta dalam mahkamah syariah sekalipun.

Maka kesannya sekarang berlaku di hadapan mata kita. InsyaAllah apa yang berlaku memberi kesedaran kepada kita dan ini lah masanya untuk kita menerangkan bahawa indahnya Syariat Islam kalau dilaksanakan dan perkara ini tidak ada siapapun yang boleh menuduh sebarangan. InsyaAllah fajar Islam semakin terang, kerana masyarakat makin melihat bahawa selain daripada Syariat Islam semuanya tempang dan cacat dan boleh membuat tuduhan kepada siapa yang mereka mahu. Mereka tahu hukuman yang berat seperti yang dikenakan oleh Islam tidak dikenakan kepada orang yang menuduh. Syariat dimartabat maruah terpelihara.

Wednesday, June 25, 2008

Penafian pakatan sulit 'kahwinkan' semula PAS dengan Umno

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms.

Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jelek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’.

PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri.

Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri.

Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat.

PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama.

PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party.

Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan.

Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC.

Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA.

Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno.

Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA.

PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973.

Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974. PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar.

Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan.

Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu.

Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno.

Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan.

Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno.

Mereka mahu PAS renggang dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka.

PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya.

Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’.

Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya.

Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak.

PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS.

Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan.

Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan.

Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja.

Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini.

PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi.

Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini.

Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno.

Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini.

Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini.

Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan.

Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.



YB Haji Mahfuz Omar

Ketua Penerangan PAS