Thursday, October 09, 2008

Kuota 50 peratus: Jangan jadikan isu perkauman

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyokong penuh dasar baru Kerajaan Negeri Kedah mewajibkan peruntukan 50 peratus lot bumiputera dalam semua projek perumahan di negeri ini.

DPPNK mengajak Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Kedah/Perlis dan semua pihak menyedari bahawa rumah adalah keperluan asas setiap manusia. Oleh itu ia tidak harus dilihat sebagai satu dagangan sebaliknya hak yang perlu diberi kepada setiap manusia.

Menginsafi terdapat rakyat berkemampuan, namun lebih ramai mereka yang kurang berkemampuan, maka sewajarnya pemaju mengutamakan projek-projek perumahan mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakan di negeri ini dengan mengambil kira demografi sosio-ekonomi semasa.

DPPNK melihat selama ini hak asas manusia telah dimanipulasi dan diperdagangkan melalui kapitalisme yang diamalkan pemaju dengan berorientasikan keuntungan semata-mata. Pemaju perlu melihat perkara ini sebagai satu tanggung jawab sosial kepada masyarakat. Memandangan rumah adalah keperluan asas, keuntungan bukanlah pertimbangan utama walaupun keuntungan itu diperlukan oleh pemaju.

DPPNK percaya para pemaju hartanah dan perumahan di negeri ini telah lama meraih keuntungan daripada industri ini malah kouta 30 peratus yang ditetapkan sebelum ini telah kerap kali diketepikan melalui pelbagai teknik niaga yang 'dimainkan' oleh pemaju. DPPNK juga percaya dengan dasar kuota 30 peratus itu dan diskaun 5 peratus untuk setiap lot bumiputera menyebabkan pemaju memindahkan beban kekurangan keuntungan dengan menaikkan harga rumah bagi lot bukan bumiputera. Tindakan ini nyata tidak wajar. Malah ada golongan yang berkemampuan mengambil kesempatan menjadikan keperluan asas ini sebagai dagangan dan pelaburan sedangkan masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan rumah.

Rehda dan semua pihak perlu melihat tindakan Kerajaan Negeri sebagai mengembalikan hak kepada setiap mereka yang berhak di mana selama ini telah dinafikan. Dasar Kerajaan Negeri hendak memastikan setiap rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri wajar diberi sokongan padu.

Realitinya juga perlu diakui bahawa dari 1.9 juta penduduk Kedah, 70 peratus adalah bumiputera, maka amat wajar kuota sebanyak 50 peratus tersebut. Kaum bukan bumiputera tidak harus bimbang dengan dasar baru ini kerana mereka tidak akan hilang sebarang hak.

Pemaju mungkin melihat soal kemampuan ekonomi bumiputera sebagai antara sebab untuk tidak bersetuju dengan dasar baru Kerajaan Negeri di mana margin keuntungan pemaju bakal berkurangan. Pun begitu, Rehda tidak harus menjadikan ianya sebagai alasan untuk tidak bersama pemerintah negeri ini merealisasikan dasar pemilikan rumah kepada setiap rakyat Kedah. Telah terzahir bukti, apabila pemaju hanya mementingkan keuntungan melalui projek perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki rakyat negeri ini seperti di Sungai Petani dan Kulim, maka ia telah menjadi milik orang luar dari negeri ini. Isu rumah tidak terjual juga tidak harus ditimbulkan jika pemaju mengamalkan pembahagian kawasan perumahan mengikut blok seperti mana di Taman Ria dan Taman Keladi di Sungai Petani.

Rehda juga sebagai sebuah persatuan tidak harus menjadikan hak asas ini sebagai 'peluang' melipat gandakan keuntungan sebaliknya menghulurkan kerjasama kepada Kerajaan Negeri selaku pemerintah negeri ini untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. Kerajaan Negeri juga sudah tentu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pemaju dalam hal ini. Sebagai sebuah kerajaan untuk semua, sudah pasti Kerajaan Negeri Kedah juga memikirkan soal keuntungan pemaju, pun begitu industri ini bukanlah tempat membina keuntungan di luar kewajaran yang sepatutnya.

DPPNK yakin melalui Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC), sebarang projek akan lebih terjamin dan bertanggung jawab serta terhindar dari sebarang bentuk bebanan kepada rakyat. Sehubungan itu, DPPNK menggesa Kerajaan Negeri melalui GLC mengambil alih tanggungjawab tersebut dalam mengimbangi persaingan dengan pemaju sedia ada di samping merealisasikan hasrat dan dasar Kerajaan Negeri kepada kepentingan rakyat.

DPPNK melihat Rehda telah mempolitikkan keadaan seolah-olah Kerajaan Negeri sedang menganiaya kaum lain di negeri ini. Dengan ini, DPPNK memberi amaran kepada Rehda agar jangan mempolitikkan isu ini yang sebenarnya berlegar kepada persoalan keuntungan pemaju menjadi isu perkauman. Jangan cuba menutup kekurangan keuntungan pemaju dengan menjadikan keharmonian kaum di negeri ini sebagai mangsa. DPPNK menegaskan tidak wujud sama sekali soal perkauman dalam perkara ini kerana di kalangan pemaju juga terdapat pemaju bumiputera.

DPPNK juga dengan ini menggesa Ketua Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid menyatakan pendirian Umno Kedah terhadap perkara ini.

Bersamalah kita mendukung hasrat Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.


USTAZ MUSODDAK HAJI AHMAD
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

No comments:

Post a Comment