Monday, January 11, 2010

Hukum Sertai Facebook

Facebook merupakan satu fenomena yang baru wujud di dalam dunia ICT masa kini. Terdapat pelbagai pihak mengutarakan kebaikan dan keburukan facebook, antaranya termasuklah berkaitan hukum-hakam penggunaan facebook. Justeru, di sini disertakan pendapat salah seorang tokoh agama di negara kita berkaitan dengan hukum penggunaan facebook pada kaca mata Islam. Di harap para sahabat pemuda jelas dan faham dengan hukum berkaitan Facebook dan mengambil kesempatan ini untuk manfaat dan kepentingan Islam.

***********************************************************************************

SAYA ditanya soalan: "Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?"Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog.

Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:


 

1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?

Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu: "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda." ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).


 

2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'?

Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?


 

3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?
Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: "Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap," maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.

Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.


 

4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah?

Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had.


 

KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:
a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.


 

Ustaz Zaharudddin bin Abdul Rahman

Wednesday, January 06, 2010

RISALAH PENERANGAN 1: Lajnah Penerangan... Antara Menerang dan Menyerang

Salam ukhuwwah buat semua pemuda-pemuda yang sentiasa menjadikan ilmu dan kefahaman sebagai asas utama dalam perjuangan.

Sebagaimana yang sedia difahami bahawa asas kepada dakwah kita adalah dengan ‘hikmah’ dan ‘nasihat yang baik’. Bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud “serulah manusia kepada jalan Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik” Surah An-Nahl:125. Bermula dari sini dapatlah disimpulkan bahawa dalam usaha kita menyampaikan risalah Islam buat seluruh umat, tidak dapat lari dari methodologi dakwah yg perlu bertepatan dengan anjuran al-Quran dan as-Sunnah supaya pada akhirnya impak yang dihasilkan adalah maksima.

Namun kekadang kita terperangkap dengan pelbagai persepsi dan provokasi yang agak tersasar dari maksud sebenar bilamana kita cuba memahami sesuatu perkara. Seringkali bila menyebut tentang ‘Penerangan’, terlintas difikiran..kena buat ceramah politik..mencaci UMNO..mencari publisiti..dan sebagainya..

Justeru ana ingin mengajak semua pemuda merenung sejenak mesej yang ingin disampaikan berkaitan ‘menerang’ dan ‘menyerang’. Bunyinya agak serupa tetapi hakikatnya sama sekali berbeza. Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi pernah menyebut bahawa, “Kita pejuang bukan pemberontak, kita pendakwah bukan penghukum”. Ana juga ingin menegaskan bahawa “Kita penerang bukan penyerang”..

Dalam keghairahan kita ‘menerang’ kepada masyarakat tentang mesej yang kita perjuangkan jangan sampai kita terbabas melangkaui batas ‘menyerang’ sekiranya masih ada lagi ruang untuk berdiplomasi berbanding konfrontasi. Sekiranya kita mempunyai 3 butir peluru untuk menembak musuh, janganlah dibazirkan dengan membuat ‘tembakan rambang’. Nasib baik mungkin mengena..namun sebaliknya tenangkanlah diri..tarik nafas dalam-dalam..acukan ke sasaran..dan..boomm!!pasti mengena tepat kepala musuh.

Seharusnya sebagai seorang pemuda yang ‘berjiwa daie dan berotak faqih’ harus bijak membezakan dan membuat penilaian yang tepat terhadap sesuatu perkara. Kita perlu jelas membezakan antara orang UMNO..pemimpin UMNO..pro UMNO..dasar UMNO..dan seumpamanya. Siapakah yang sepatutnya diterang dan siapa pula yang sewajibnya diserang.. Janganlah dimarahkan nyamuk.. habis kelambu dibakar.. bila kelambu dah dibakar.. bahayanya adalah kita akan terdedah dengan lebih banyak nyamuk lagi.. sehingga ke satu tahap kita tidak mampu untuk menepisnya..

Sebenarnya ruang untuk kita ‘menerang’ kepada masyarakat adalah terlalu luas. Sekiranya kena cara dan sasarannya, yakinlah berbondong-bondong manusia akan bersama-sama dengan perjuangan yang suci ini. Tetapi kebanyakan kita memilih untuk ‘menyerang’ kerana dirasakan lebih efektif dan memuaskan hati. Terkadang kita terlupa bahawa manusia dihubungkan dengan hati dan perasaan. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menerima pendapat dan pandangan kita sekiranya tidak sampai ke hati si pendengar. Tidak perlu terlalu asyik menyampaikan ‘apa yang kita tahu’ sebaliknya cubalah memahami ‘apa yang diperlukan’ oleh mad’u.

Jadi sudah sampai masanya untuk kita ‘menajamkan kembali mata gergaji setelah sekian lama menggergaji pokok’. Dibimbangi terlalu lama menggergaji pokok, mata gergaji sudah tumpul..pokok tak tumbang-tumbang..apa salahnya belajar dari Covey dalam bukunya ‘The 7 Habits Of Highly Effective People’.

Justeru dengan semangat tahun baru hijrah yang disambut baru-baru ini, sama-samalah kita menjadikannya sebagai ‘nuqtotun bidayah’ atau ‘turning point’ ke arah penjanaan ilmu dan kefahaman supaya setiap tindakan kita sentiasa berada di landasan keredhaanNya..

Wassalam..

Lajnah Penerangan DPPKPS