Sunday, July 01, 2007

KALAU PILIHANRAYA BERLAKU DALAM MUSIM HAJI?

KALAU PILIHANRAYA BERLAKU DALAM MUSIM HAJI?
oleh : Ustaz Wan Ji (One G Al-Bakistani)

Boleh dikatakan seluruh penganalisa politik Malaysia (melainkan Razak Baginda) menyatakan, kemungkinan pilihanraya berlaku tidak lama lagi. Sebilangan mereka menyatakan, kemungkinan pilihanraya berlaku dalam bulan 8, ekoran menyambut kemerdekaan. Juga sebilangan yang lain menyatakan, pilihanraya mungkin berlaku antara bulan 8 hingga bulan 12. Sebilangan yang lain pula menyatakan, disebalik isu altantuya yang didakwa mempunyai hubungan yang kuat dengan orang no 2 Malaysia, maka berkemungkinan besar, pilihanraya akan di adakan pada awal tahun 2008 yang tidak mustahil ianya didalam musim jemaah haji sedunia, termasuk Malaysia sibuk untuk menunaikan ibadat haji.

Andaian sebegini disebabkan, kebanyakan penyokong parti islam terdiri dari mereka yang dikenali sebagai “tok lebai” yang sentiasa mengambil berat dalam soal ibadat. Justeru, bagi memastikan undi kepada parti Islam berkurangan, tidak mustahil orang no 1 Malaysia akan membubarkan Parlimen dalam musim tersebut.

Tulisan kali ini, tidak memfokuskan sangat kepada ketepatan tarikh pilihanraya akan datang, tetapi sekadar ingin membincangkan tindakan yang perlu dilakukan dari sudut perbahasan hukum disebalik andaian berlakunya pilihanraya pada musim haji.

KEWAJIPAN MENGHAPUSKAN MAKSIAT DI MALAYSIA

Di Malaysia, berbagai-bagai maksiat yang sedang menimpa masyarakat. Bermula dari sekecil-kecil perkara, seperti dosa melihat aurat hinggalah kepada sebesar-besar dosa, seperti murtad dan sebagainya.

Orang-orang islam adalah golongan yang sering menjadi juara dalam isu-isu social ini. Lihatlah kandungan khutbah yang dibaca di mimbar-mimbar jumaat, yang membincangkan isu Dadah, Rempit, Hisap Gam, Kemunduran ekonomi keluarga dan sebagainya, boleh dikatakan semuanya di juarai oleh bangsa melayu yang menganut agama Islam.

Kelemahan yang merupakan penghinaan dari Allah ini adalah berpunca dari sistem pemerintahan yang tidak berasaskan kepada Islam. Kenyataan ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya;
“Maka Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang Yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia”

(Surah Al-Baqarah : 85)

Ayat ini dengan jelas Allah menyatakan bahawa, punca kelemahan dan kehinaan adalah berpunca dari sikap beriman sebahagian kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain.

PEMERINTAH DAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar dari pihak umum dikira sebagai fardu Kifayah yang memberi maksud, sebilangan manusia yang melaksanakannya, maka seluruh umat terselamat dari dosa.

Firman Allah;

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya;
“dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya”

(Surah Al-Baqarah : 104)

Imam Al-Qurtubi menyatakan, dari firman Allah ini menjadi dalil bahawa hukum melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dari sudut umumnya adalah fardu kifayah[1].

Walaubagaimanapun, perlaksanaaan amar makruf dan nahi mungkar dari pihak pemerintah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Ini adalah kerana, pemerintah adalah pihak yang mempunyai kuasa perlaksanaan undang-undang islam yang dibawah kategorinya adalah amar makruf dan nahi mungkar.

Imam Ibnu taimiyyah menyatakan;

لأن الله تعالى أوجب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر ، ولا يتم ذلك إلا بقوة وإمارة

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah mewajibkan amar makruf dan nahi mungkar, semuanya ini tidak akan sempurna melainkan dengan kekuatan dan (kuasa) pemerintahan[2]

Jika pihak pemerintah tidak berbuat demikian, maka pemerintah tersebut sudah melakukan dosa besar dan berhak kepada rakyat mengguling mereka dari pemerintahan.

Dibenarkan melakukan tindakan sedemikian disebabkan pemerintah tidak melaksanakan tugas yang diwajibkan oleh Allah yang sememangnya telah termaktub dalam kitabullah.

Sabda Nabi SAW;

يا أيها الناس اتقوا الله وإن أمر عليكم عبد حبشي فاسمعوا له وأطيعوا ما أقام لكم كتاب الله عز وجل

Maksudnya;
“Wahai manusia, takutlah kamu kepada Allah, walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba habsyi. Maka dengarlah dan taatlah selama kitabullah terlaksana[3]

Dari hadis ini, As-Syaikh Abdullah bin Omar bin Sulaiman Ad-Damiji didalam kitabnya yang bertajuk “al-imamah Al-Uzma” menyatakan, ini adalah hadis yang jelas, menunjukan bahawa syarat dengar dan taat (kepada pemerintah) sekiranya pemerintah melaksanakan kitabullah didalam pemerintahannya. Adapun jika tidak berhukum dengan syariat Allah, maka tiada dengar dan taat (kepada pemerintah) dan ianya boleh membawa kepada menggulingkan pemerintahan tersebut. Ini adalah gambaran sekiranya berlaku dikala pemerintah melakukan perbuatan yang menjadi fasiq. Adapun pemerintah melakukan perbuatan yang boleh menjadi kafir, maka hukum mengguling pemerintah tersebut adalah wajib hatta dengan peperangan sekalipun[4].

MENJATUHKAN KERAJAAN BN DALAM PILIHANRAYA

Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO merupakan satu-satunya parti yang memerintah Negara ini. Pemerintahan BN ini tidak pernah meletakan agama sebagai asas pemerintahan mereka.

Berpunca dari itulah menyebabkan kelemahan demi kelemahan telah menimpa umat Islam di Negara ini. Kelemahan ini bukan sekadar dalam perkara yang kecil, bahkan sudah merebak kepada situasi masyarakat Islam yang sudah tidak segan dan malu untuk keluar dari agama.

Isu lina Joy yang menjadi satu titik bersejarah Negara. Bagaimana seorang wanita boleh memaksa pihak kerajaan untuk mengisytiharkan dirinya murtad secara rasmi, sedangkan pihak kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan pun disebalik penghinaan terhadap agama yang dilakukan oleh Lina Joy ini.

Penghinaan dari golongan musuh Islam terhadap Islam di Negara ini juga dipelopori oleh kerabat-kerabat kepimpinan Barisan Nasional. Lihatlah, hidupnya SIS, Anti hadis dan sebagainya, boleh dikatakan, ianya hidup disebabkan mempunyai sokongan dari pihak dalaman Barisan Nasional.

Penghinaan terhadap Islam dari tokoh agama yang memegang jawatan besar dalam kerajaan sudah menjadi perkara biasa dan tidak dianggap sebagai mungkar oleh kerajaan Barisan Nasional.

Maka dengan itu, “menjahanamkan” Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang merupakan tindakan yang wajib di lakukan setiap umat Islam di Malaysia. Jika tidak dilakukan demikian, nescaya Islam yang tercinta ini akan menjadi “bahan mainan” musuh dalam melakukan penghinaan terhadap Islam.

JATUHKAN BN DALAM MUSIM HAJI?

Dari perbahasan lepas, didapati bahawa tindakan menjahanamkan Barisan Nasional dalam pilihanraya adalah satu tindakan yang wajib. Tetapi, kadangkala, pihak Barisan Nasional menggunakan beberapa strategi untuk mengalahkan parti islam dengan beberapa tindakan. Antaranya adalah, kemungkinan mereka akan mengisytiharkan pilihanraya berlaku dalam musim haji.

Maka dengan demikian, dikalangan pengundi yang pergi ke Haji pada tahun tersebut akan merasa sangsi dalam melaksanakan tugasan rukun islam tersebut.

Bagi memastikan pengundi yang boleh pergi Haji pada tahun tersebut tidak berada dalam kesilapan, marilah perhatikan beberapa ulasan seperti di bawah;

WAJIB LUAS DAN WAJIB SEMPIT

Didalam ilmu usul fiqh, hukum wajib itu terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya adalah, wajib itu dibahagikan kepada wajib mudhayyaq (sempit) seperti menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan, dan juga wajib muwassa’ (luas), seperti menunaikan solat.

Dikatakan berpuasa di bulan ramadhan sebagai wajib mudhayyaq (sempit) adalah kerana, berpuasa itu tidak boleh dilakukan dibulan-bulan yang lain. maka dengan sebab itulah, berpuasa di bulan ramadhan dikira sebagai wajib mudhayyaq (sempit).

Adapun solat, dikatakan sebagai wajib muwassa’ (luas) adalah kerana, solat itu tidak semestinya di tunaikan diawal waktu, bahkan selagi waktu bagi solat belum habis, maka selagi itulah solat boleh di tunaikan[5].

Maka dengan demikian, sekiranya berlaku pilihanraya di musim haji, maka hendaklah dihimpunkan kedua-dua kewajipan tersebut, iaitu kewajipan mengundi dan kewajipan melakukan haji.

Kewajipan mengundi untuk memenangkan parti islam adalah satu kewajipan yang mudhayyaq (sempit), ini adalah kerana, di sebabkan kekalahan parti islam dalam sesuatu pilihanraya akan menatijahkan penghinaakan terhadap agama Islam selama 5 tahun.

Adapun kewajipan haji merupakan wajib yang muwassa’ (luas). Ini adalah bersebab, dibenarkan kepada kita menunaikan ibadat haji di tahun yang mendatang.

Oleh yang demikian, apabila berhimpun dua wajib ini, maka ketika itu, wajib kepada pengundi yang pergi haji bahawa tidak pergi ke Mekkah untuk buat haji pada hari berlakunya pilihanraya, bahkan wajib kepada pengundi mengundi parti islam untuk memastikan islam tidak dihina dimulut musuh-musuh Islam.

MUDHARAT YANG LEBIH BESAR

Mudharat tidak ke makkah untuk melakukan ibadat haji tidaklah sebesar mudharat kalah parti islam dalam pilihanraya.

Jika seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat melakukan ibadat haji, dibenarkan kepada waris untuk menunaikan haji niyabah untuk dirinya[6].

Adapun penghinaan Islam dari pelbagai sudut merupakan mudharat yang besar jika dibandingkan dengan mudharat tidak mengerjakan haji ketika itu. Antara cara untuk menjadikan Islam di hina adalah dengan membiarkan pihak Barisan nasional memerintah.

Maka dengan demikian, apabila berhimpun dua mudharat ini, maka hendaklah diambil mudharat yang paling ringan antara dua mudharat, iaitu tidak melakukan haji pada tahun tersebut, bahkan mengambil tindakan menunggu pilihanraya dan mengundi parti islam pada tahun tersebut.

Ini didasarkan kepada kaedah fiqh yang berbunyi;

إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بإرتكاب أخفهما

Maksudnya;
“Apabila bertembung dua mafsadah, maka diraikan mudharat yang paling besar dari kedua-duanya dengan melakukan yang paling ringan daripada kedua-duanya[7]

PENUTUP

Tulisan ini bukanlah satu andaian yang tepat dalam menyatakan bahawa pilihanraya itu berlaku dalam musim haji, tetapi ianya sekadar andaian semata-mata.

Sekiranya ianya berlaku juga, maka sebagai pengundi dikehendaki kepadanya memahami konsep ini agar Islam yang hendak didaulatkan tidak dibantutkan dengan strategi musuh-musuh islam yang sering melemahkan Islam

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com



[1] Tafsir Al-Qurtubi : 4/165
[2] Siasah syariyyah : m/s 168.
[3] Al-Mustadrak ‘ala sahihain : 4/206 : hadis no : 7381.
[4] Al-Imamah Al-Uzma : m/s 473.
[5] Al-Wadih Fi Usul Al-Fiqh : m/s 73.
[6] Menurut Jumhur ulama melainkan hanafi, dibenarkan melakukan niyabah (ganti) haji ketika tidak mempu menunaikannya (al-fiqh al-Islami Wa adillatuh : 3/38)
[7] Al-Aqmar Al-Mudiah : m/s 123