Sun | Nov 11, 07 | 1:13:56 am MYT
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang memberi ucapan tahniah dan penghargaan tinggi kepada peserta perhimpunan kerana tidak gentar dengan ugutan dan memilih jalan raya untuk menuntut demokrasi tulen di negara ini.
"Tahniah kepada Bersih yang telah berjaya anjurkan perhimpunan rakyat pada hari ini.Kepada seluruh peserta himpunan yang datang dari seluruh pelusuk negara saya ucapkan setinggi tahniah, kerana telah berjaya buktikan kepada dunia, bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai kesedaran berjuang untuk membawa perubahan dalam negaranya," tegas Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramah umumnya di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar malam tadi.
Turut serta dalam ceramah umum anjuran Bersih di Taman Melewar malam tadi selepas himpunan 100,000 rakyat pada jam 2.30 petang semalam berjaya ialah, Penasihat Perti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; AJK DAP Pusat, Ronnie Liu dan Koordinator Penggerak Demokrasi, Anuar Tahir.
Presiden PAS melahirkan tahniah kepada peserta himpunan aman kerana cukup bersabar walaupun ada gangguan sambil menyifatkan kesediaan mereka menyertai himpunan semalam adalah satu pengorbanan yang sangat mahal harganya,
"Kita memilih jalan untuk turun di jalan raya jangan paksa kita masuk hutan," katanya sinis sambil disahut dengan laungan takbir oleh penonton.
Kesakitan adalah kemanisan dalam perjuangan
"Tahniah kepada rakan-rakan yang ditahan (42 orang tetapi telah dibebaskan lewat malam tadi) yang sakit.Yang sakit itu adalah kemanisan dalam perjuangan.Mudah-mudahan yang menerima kemanisan perjuangan ini dapat fadhilat dari Allah," katanya.
Katanyanya, rakyat memilih jalan raya, setelah melihat pilihan raya yang penuh dengan kekotoran dan penyelewengan, yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Asas kepada prinsip demokrasi ialah yang memberi hak kepada rakyat menjadi hakim yang adil, melalui 'mahkamah' yang diberi kepada rakyat iaitu pilihan raya, katanya.
"Kita faham demokrasi bukan sahaja mengundi dengan bebas, demokrasi juga termasuk media yang bebas diberi peluang kepada semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.
Pemerintah zalim, sekat media
"Parti pemerintah adalah zalim apabila tidak beri ruang kepada parti yang bukan memerintah untuk menyatakan hujah melalui media," katanya.
Demokrasi yang adil mestilah minda rakyatnya terbuka boleh berfikir dengan baik dapat maklumat dari semua pihak, ujarnya.
Apa yang berlaku pada hari ini demokrasi media 'dicekik' dan disempitkan hingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil melalui pilihan raya, tegasnya.
Rakyat menjadi mangsa kezaliman dalam masa singkat kerana mereka ditipu dengan hanya beberapa jam dalam pilihan raya, katanya lagi.
PAS dan rakan-rakan parti politik lain serta rakanrakan NGO menubuhkan Bersih untuk lakukan satu gerakan rakyat supaya kelak satu reformasi berlaku dalam demokrasi.
Kata Presiden PAS itu, demokrasi yang baik yang menjadi alat yang penting memilih kerajaan yang sihat melalui pilihan raya yang adil.
Setiap kerajaan ada ajalnya
Ustaz Hadi seterusnya menasihatkan rakyat bahawa, Allah mengajar supaya hambanya berwirid dalam solat lima waktu.
Maksud wirid yang dibacakan Presiden PAS "katakanlah wahai Allah tuhanku yang memiliki kerajaan, mengurniakan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau rampas dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, ditangan kekuasaan Engkau sahajalah wahai tuhan segala kebaikan dan Engkau maha berkuasa di atas segala-gakanya".
Kata Tuan Guru Abdul Hadi lagi, Allah menjadikan kerajaan adalah ujian kepada pemimpin dan rakyat.
Ada kerajaan yang baik dan adil, ada kerajaan yang zalim dan jahat, silih berganti, ujarnya.
"Allah tidak menjadikan kerajaan dalam dunia ini kekal selama-lamanya termasuk kerajaan Nabi Sulaiman; Nabi Daud dan Nabi Muhammad s.a.w ada ajalnya," katanya..
Kerajaan zalim pasti temui ajalnya
Begitulah kerajaan yang zalim tidak akan memerintah lama ada ajalnya termasuk kuasa besar dunia Jerman, Perancis, Soviet Union dan kini Amerika Syarikat, semuanya ada ajalnya," katanya.
"BN jangan ingat parti itu tak ada ajal macam orang lain mereka juga ada ajal.Akan tiba masa tamat riwayatnya.
"Orang yang beriman mahu ajalnya disudahkan dengan baik dan hormat bukan ajak disudahkan dengan memalukan.Kita beri peringatan kepada pemimpin BN tamatkanlah riwayat kamu dengan nama yang baik.Jangan tamatkan riwayat kamu dengan nama buruk dan jahat," katanya.
Sambil melaungkan keyakinan bahawa rakyat Malaysia boleh berhadapan dengan kerajaan jahat BN sepertimana rakyat Indonesia, Filipina dan Thailand berhadapan dengan kerajaan mereka yang jahat.
Dipetik dari laman HarakahDaily.
No comments:
Post a Comment