Thu | Nov 15, 07 | 8:19:50 am MYT
MUAR, 12 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, berkata PAS berjanji tidak akan menaikkan harga minyak petrol sekiranya rakyat memberi mandat kepada gabungan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum akan datang, sebaliknya mencari jalan untuk mengurangkannya.
"Pemberian subsidi minyak petrol bagi meringankan bebanan hidup rakyat akan terus dikekalkan manakala projek-projek mega yang dianggap tidak menguntungkan rakyat perlu ditangguhkan dahulu, sebaliknya mana-mana projek yang dikira memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan, katanya di sini, baru-baru ini.
"Selepas pilihan raya nanti berkemungkinan besar rakyat sekali lagi akan dibebani dengan kenaikan harga minyak petrol yang kononnya tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan harga minyak dunia. Kenaikan harga bahan ini tidak dibuat sebelum pilihan raya kerana kerajaan takut rakyat akan marah," tambah Mahfuz.
Hadiah istimewa BN
"Tetapi percayalah sekiranya BN terus berkuasa selepas pilhan raya nanti, hadiah istimewa yang akan diberi kepada rakyat sebagai tanda penghargaan dan sokongan padu kepada BN ialah kenaikan harga minyak," ujarnya lagi.
Mahfuz seterusnya berkata, "masalah besar yang sedang dihadapi rakyat negara ini adalah disebabkan kepimpinan kerajaan BN yang tidak beramanah."
"Mereka tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab seperti yang sepatutnya dilakukan, sebaliknya mereka lebih mengutamakan konsep "ghanimah", pemimpin BN membahagikan harta kekayaan negara ini di kalangan sesama mereka sahaja sedangkan rakyat terus hidup menderita."
Mahfuz mengingatkan, pemimpin yang beramanah mesti mendahulukan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan peribadi. Malangnya, kata beliau, hari ini pemimpin lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyat. "Sebab itu kita menyeru rakyat supaya menolak pemimpin dan kerajaan yang mendahulukan kepentingan peribadi dan kroni ini."
“Jika kerajaan yang ada ini terus dikekalkan," ujar Mahfuz, "maka rakyat akan terus dibebani dengan kenaikan bukan sahaja harga minyak tetapi juga harga barang keperluan lainnya. Kenaikan demi kenaikan ini akan terus dilakukan kerajaan bagi menampung pembaziran dan penyelewengan wang negara yang diurus secara tidak cekap dan telus."
Beliau mengemukakan bukti seperti yang ditunjukkan dalam laporan Ketua Audit Negara yang menimbulkan kontroversi membabitkan perbelanjaan kerajaan baru-baru ini. Antara lain laporan ini mendedahkan bagaimana kerajaan telah membelanjakan RM117 juta untuk membeli dua buah helikopter untuk kegunaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), manakala kos untuk melatih juruterbang dan anak kapal pesawat ini pula menelan belanja RM15 juta.
Siapa bertanggungjawab kerugian RM132 juta
"Tetapi apa yang menghairankan kita," kata Mahfuz, "setelah helikopter ini dibeli dan dibawa balik ke Malaysia, helikopter tersebut tidak boleh didaftarkan dengan Jabatan Penerbangan Awam (JPA) kerana ia tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan JPA, dan tidak boleh digunakan."
"Siapa yang bertanggungjawab terhadap kecuaian ini sehingga menyebabkan wang rakyat sebanyak RM132 juta dibazirkan begitu sahaja," tegasnya.
Kerajaan, tambah beliau, sepatutnya mendedahkan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pembelian helikopter ini dan mendakwa mereka di atas kecuaian yang berlaku kerana ia membabitkan bukan sedikit wang negara dan wang rakyat.
"Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, yang terbabit secara langsung dalam keputusan pembelian dua buah helikopter ini tidak melakukan apa-apa tindakan pun, malah beliau sebaliknya mengumumkan pula tambahan peruntukan RM250 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk membeli lapan buah lagi helikopter pelbagai jenis.
Subsidi mahu dimansuhkan pula
“Lihatlah bagaimana wang rakyat dibazirkan dengan begitu mudah, tetapi apabila membabitkan soal subsidi untuk meringankan bebanan hidup rakyat, bermacam-macam alasan untuk memansuhkannya," kata Mahfuz.
Ini adalah bukti jelas yang membuktikan sikap tidak beramanah pemimpin negara yang langsung tidak perihatin serta tidak bertanggungjawab terhadap kepentingan dan nasib rakyat jelata.
Persoalannya sekarang, apakah rakyat masih mahu terus mengekalkan kerajaan dan pemimpin negara yang sudah terbukti tidak beramanah ini.
Justeru, katanya, sudah sampai masanya rakyat perlu bertindak bijak dengan memilih sebuah kerajaan yang bersikap beramanah dan mementingkan rakyat.
"Insya-Allah jika kita diberi kuasa memerintah, kita akan kotakan segala janji yang kita buat. Kita juga berjanji akan mengagihkan segala khazanah kekayaan negara ini untuk dikongsi bersama oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahu pun fahaman politik.
"Apa yang penting kita mahu meyakinkan seluruh rakyat bahawa mereka semua berhak untuk menikmati segala kekayaan negara ini, sekali gus jurang pemisah antara golongan yang kaya dan yang miskin dapat dikurangkan.