Thursday, November 15, 2007

PAS jamin agih kekayaan negara untuk kebajikan seluruh rakyat

Salman Hussin
Thu | Nov 15, 07 | 8:19:50 am MYT

MUAR, 12 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, berkata PAS berjanji tidak akan menaikkan harga minyak petrol sekiranya rakyat memberi mandat kepada gabungan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum akan datang, sebaliknya mencari jalan untuk mengurangkannya.

"Pemberian subsidi minyak petrol bagi meringankan bebanan hidup rakyat akan terus dikekalkan manakala projek-projek mega yang dianggap tidak menguntungkan rakyat perlu ditangguhkan dahulu, sebaliknya mana-mana projek yang dikira memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan, katanya di sini, baru-baru ini.

"BA jika dipilih akan mementingkan amanah rakyat dan sentiasa mencari jalan bagi membantu dan mengurangkan kos bebanan hidup rakyat yang mutakhir ini sangat tertekan disebabkan kenaikan harga barang keperluan harian.

"Selepas pilihan raya nanti berkemungkinan besar rakyat sekali lagi akan dibebani dengan kenaikan harga minyak petrol yang kononnya tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan harga minyak dunia. Kenaikan harga bahan ini tidak dibuat sebelum pilihan raya kerana kerajaan takut rakyat akan marah," tambah Mahfuz.

Hadiah istimewa BN

PAS youth leader Mahfuz Omar "Tetapi percayalah sekiranya BN terus berkuasa selepas pilhan raya nanti, hadiah istimewa yang akan diberi kepada rakyat sebagai tanda penghargaan dan sokongan padu kepada BN ialah kenaikan harga minyak," ujarnya lagi.

Mahfuz seterusnya berkata, "masalah besar yang sedang dihadapi rakyat negara ini adalah disebabkan kepimpinan kerajaan BN yang tidak beramanah."

"Mereka tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab seperti yang sepatutnya dilakukan, sebaliknya mereka lebih mengutamakan konsep "ghanimah", pemimpin BN membahagikan harta kekayaan negara ini di kalangan sesama mereka sahaja sedangkan rakyat terus hidup menderita."

Mahfuz mengingatkan, pemimpin yang beramanah mesti mendahulukan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan peribadi. Malangnya, kata beliau, hari ini pemimpin lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyat. "Sebab itu kita menyeru rakyat supaya menolak pemimpin dan kerajaan yang mendahulukan kepentingan peribadi dan kroni ini."

“Jika kerajaan yang ada ini terus dikekalkan," ujar Mahfuz, "maka rakyat akan terus dibebani dengan kenaikan bukan sahaja harga minyak tetapi juga harga barang keperluan lainnya. Kenaikan demi kenaikan ini akan terus dilakukan kerajaan bagi menampung pembaziran dan penyelewengan wang negara yang diurus secara tidak cekap dan telus."

Beliau mengemukakan bukti seperti yang ditunjukkan dalam laporan Ketua Audit Negara yang menimbulkan kontroversi membabitkan perbelanjaan kerajaan baru-baru ini. Antara lain laporan ini mendedahkan bagaimana kerajaan telah membelanjakan RM117 juta untuk membeli dua buah helikopter untuk kegunaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), manakala kos untuk melatih juruterbang dan anak kapal pesawat ini pula menelan belanja RM15 juta.

Siapa bertanggungjawab kerugian RM132 juta

"Tetapi apa yang menghairankan kita," kata Mahfuz, "setelah helikopter ini dibeli dan dibawa balik ke Malaysia, helikopter tersebut tidak boleh didaftarkan dengan Jabatan Penerbangan Awam (JPA) kerana ia tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan JPA, dan tidak boleh digunakan."

"Siapa yang bertanggungjawab terhadap kecuaian ini sehingga menyebabkan wang rakyat sebanyak RM132 juta dibazirkan begitu sahaja," tegasnya.

Kerajaan, tambah beliau, sepatutnya mendedahkan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pembelian helikopter ini dan mendakwa mereka di atas kecuaian yang berlaku kerana ia membabitkan bukan sedikit wang negara dan wang rakyat.

"Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, yang terbabit secara langsung dalam keputusan pembelian dua buah helikopter ini tidak melakukan apa-apa tindakan pun, malah beliau sebaliknya mengumumkan pula tambahan peruntukan RM250 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk membeli lapan buah lagi helikopter pelbagai jenis.

Subsidi mahu dimansuhkan pula

“Lihatlah bagaimana wang rakyat dibazirkan dengan begitu mudah, tetapi apabila membabitkan soal subsidi untuk meringankan bebanan hidup rakyat, bermacam-macam alasan untuk memansuhkannya," kata Mahfuz.

Ini adalah bukti jelas yang membuktikan sikap tidak beramanah pemimpin negara yang langsung tidak perihatin serta tidak bertanggungjawab terhadap kepentingan dan nasib rakyat jelata.

Persoalannya sekarang, apakah rakyat masih mahu terus mengekalkan kerajaan dan pemimpin negara yang sudah terbukti tidak beramanah ini.

Justeru, katanya, sudah sampai masanya rakyat perlu bertindak bijak dengan memilih sebuah kerajaan yang bersikap beramanah dan mementingkan rakyat.

"Insya-Allah jika kita diberi kuasa memerintah, kita akan kotakan segala janji yang kita buat. Kita juga berjanji akan mengagihkan segala khazanah kekayaan negara ini untuk dikongsi bersama oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahu pun fahaman politik.

"Apa yang penting kita mahu meyakinkan seluruh rakyat bahawa mereka semua berhak untuk menikmati segala kekayaan negara ini, sekali gus jurang pemisah antara golongan yang kaya dan yang miskin dapat dikurangkan.

"Tidak seperti apa yang berlaku hari ini, jurang antara kedua-dua kelompok masyarakat ini terlalu jauh, yang kaya semakin bertambah kaya dan yang miskin semakin bertambah melarat dan ketinggalan jauh di belakang," jelasnya lagi.

Sunday, November 11, 2007

Tahniah rakyat Malaysia! pilih jalan raya tuntut demokrasi tulen - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Salleh
Sun | Nov 11, 07 | 1:13:56 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang memberi ucapan tahniah dan penghargaan tinggi kepada peserta perhimpunan kerana tidak gentar dengan ugutan dan memilih jalan raya untuk menuntut demokrasi tulen di negara ini.


Image"Tahniah kepada Bersih yang telah berjaya anjurkan perhimpunan rakyat pada hari ini.Kepada seluruh peserta himpunan yang datang dari seluruh pelusuk negara saya ucapkan setinggi tahniah, kerana telah berjaya buktikan kepada dunia, bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai kesedaran berjuang untuk membawa perubahan dalam negaranya," tegas Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramah umumnya di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar malam tadi.

Turut serta dalam ceramah umum anjuran Bersih di Taman Melewar malam tadi selepas himpunan 100,000 rakyat pada jam 2.30 petang semalam berjaya ialah, Penasihat Perti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; AJK DAP Pusat, Ronnie Liu dan Koordinator Penggerak Demokrasi, Anuar Tahir.

Presiden PAS melahirkan tahniah kepada peserta himpunan aman kerana cukup bersabar walaupun ada gangguan sambil menyifatkan kesediaan mereka menyertai himpunan semalam adalah satu pengorbanan yang sangat mahal harganya,

"Kita memilih jalan untuk turun di jalan raya jangan paksa kita masuk hutan," katanya sinis sambil disahut dengan laungan takbir oleh penonton.

Kesakitan adalah kemanisan dalam perjuangan

"Tahniah kepada rakan-rakan yang ditahan (42 orang tetapi telah dibebaskan lewat malam tadi) yang sakit.Yang sakit itu adalah kemanisan dalam perjuangan.Mudah-mudahan yang menerima kemanisan perjuangan ini dapat fadhilat dari Allah," katanya.

Katanyanya, rakyat memilih jalan raya, setelah melihat pilihan raya yang penuh dengan kekotoran dan penyelewengan, yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Asas kepada prinsip demokrasi ialah yang memberi hak kepada rakyat menjadi hakim yang adil, melalui 'mahkamah' yang diberi kepada rakyat iaitu pilihan raya, katanya.

"Kita faham demokrasi bukan sahaja mengundi dengan bebas, demokrasi juga termasuk media yang bebas diberi peluang kepada semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Pemerintah zalim, sekat media

"Parti pemerintah adalah zalim apabila tidak beri ruang kepada Imageparti yang bukan memerintah untuk menyatakan hujah melalui media," katanya.

Demokrasi yang adil mestilah minda rakyatnya terbuka boleh berfikir dengan baik dapat maklumat dari semua pihak, ujarnya.

Apa yang berlaku pada hari ini demokrasi media 'dicekik' dan disempitkan hingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil melalui pilihan raya, tegasnya.

Rakyat menjadi mangsa kezaliman dalam masa singkat kerana mereka ditipu dengan hanya beberapa jam dalam pilihan raya, katanya lagi.

PAS dan rakan-rakan parti politik lain serta rakanrakan NGO menubuhkan Bersih untuk lakukan satu gerakan rakyat supaya kelak satu reformasi berlaku dalam demokrasi.

Kata Presiden PAS itu, demokrasi yang baik yang menjadi alat yang penting memilih kerajaan yang sihat melalui pilihan raya yang adil.

Setiap kerajaan ada ajalnya

Ustaz Hadi seterusnya menasihatkan rakyat bahawa, Allah mengajar supaya hambanya berwirid dalam solat lima waktu.

Maksud wirid yang dibacakan Presiden PAS "katakanlah wahai Allah tuhanku yang memiliki kerajaan, mengurniakan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau rampas dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, ditangan kekuasaan Engkau sahajalah wahai tuhan segala kebaikan dan Engkau maha berkuasa di atas segala-gakanya".

Kata Tuan Guru Abdul Hadi lagi, Allah menjadikan kerajaan adalah ujian kepada pemimpin dan rakyat.

ImageAda kerajaan yang baik dan adil, ada kerajaan yang zalim dan jahat, silih berganti, ujarnya.

"Allah tidak menjadikan kerajaan dalam dunia ini kekal selama-lamanya termasuk kerajaan Nabi Sulaiman; Nabi Daud dan Nabi Muhammad s.a.w ada ajalnya," katanya..

Kerajaan zalim pasti temui ajalnya

Begitulah kerajaan yang zalim tidak akan memerintah lama ada ajalnya termasuk kuasa besar dunia Jerman, Perancis, Soviet Union dan kini Amerika Syarikat, semuanya ada ajalnya," katanya.

"BN jangan ingat parti itu tak ada ajal macam orang lain mereka juga ada ajal.Akan tiba masa tamat riwayatnya.

"Orang yang beriman mahu ajalnya disudahkan dengan baik dan hormat bukan ajak disudahkan dengan memalukan.Kita beri peringatan kepada pemimpin BN tamatkanlah riwayat kamu dengan nama yang baik.Jangan tamatkan riwayat kamu dengan nama buruk dan jahat," katanya.

Sambil melaungkan keyakinan bahawa rakyat Malaysia boleh berhadapan dengan kerajaan jahat BN sepertimana rakyat Indonesia, Filipina dan Thailand berhadapan dengan kerajaan mereka yang jahat.

"Rakyat Malaysia boleh berhadapan dengan BN.Wahai BN tamatkan riwayat kamu dengan cara yang terhormat.Ayuh bersihkan demokrasi yang kamu kotorkan.Kalau kamu berkeras percayalah kuasa kamu tak kekal selamanya, kita buktikan keyakinan kita pada hari ini," tegasnya.

Dipetik dari laman HarakahDaily.

Friday, November 09, 2007

Polis Akan Bantu Mengawal Perhimpunan 100 000 Rakyat



oleh : Amin Iskandar @ Black http://aminiskandar.wordpress.com


Tinggal lagi beberapa jam sahaja lagi Dataran Merdeka akan dibanjiri oleh ratusan ribu rakyat yang menjadikan warna kuning sebagai simbol penyatuan. Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Lim Kit Siang telah memberikan komitmen untuk menggepalai Perhimpunan Raksaksa yang dijangka akan melebihi angka 100 000.

Malam telah bertemu dengan ramai rakan-rakan dari luar Kuala Lumpur. Ramai yang telah sampai. Amaran-amaran polis yang dimainkan oleh media arus perdana agar rakyat tidak menyertai Perhimpunan Raksaksa anjuran BERSIH sedikitpun tidak dihiraukan oleh bakal peserta. Semuanya sudah muak dengan taktik-taktik lama malahan ianya telah bertukar menjadi promosi besar-besaran.

Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak juga telah membanjiri Kuala Lumpur dan akan bersama-sama kita. Aktivis-aktivis dari Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, England, India dan Mongolia sedang melakukan persiapan terakhir dan sering menghubungi saya dan Badrul untuk meng”update”kan situasi mereka.

Sebenarnya media arus perdana telah memanipulasi kenyataan polis. Pihak polis sebenarnya akan membantu mengawal lalulintas bagi menjayakan Perhimpunan 100 000 rakyat anjuran BERSIH. Memang benar 4000 orang anggota polis akan dikerahkan untuk menjaga Dataran Merdeka. Maklumlah hadirin yang hadir dijangka melebihi angka 100 000 orang.

Sekatan jalanraya yang dilakukan oleh polis bukanlah untuk menangkap aktivis atau rakyat yang hadir, mereka sebenarnya mahu menangkap agen-agen provokasi yang diupah oleh UMNO, MCA dan MIC yang takut dengan arus kebangkitan rakyat.

Jadi rakyat tidak perlu takut untuk menghadiri Perhimpunan Raksaksa yang akan menjadi pemangkin kepada Arus Perubahan yang semakin hari semakin membesar. Terima kasih diucapkan kepada Pihak Polis kerana sudi membantu menjayakan Perhimpunan Bersejarah ini. Jangan percaya Utusan Melayu, TV3, The Star, NST dan semua media arus perdana. Bacalah blog dan website yang melaporkan berita-berita yang sahih!!!

Panduan Bagi Peserta Himpunan 100k Rakyat

"Oleh Herman Samsudeen*

aPerhimpunan 100 ribu rakyat pada 10 November bakal menjadi sejarah dalam tawarikh demokrasi Malaysia. Pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi akan hadir, pelbagai agama dan kepercayaan akan berhimpun. Himpunan ini kerana satu perkara yang kita semua sama-sama perlukan iaitu Pemulihan Demokrasi yang telah korup dan tercemar oleh kuku-kuku besi berwarna ‘Biru Tua’. Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan semua masalah dapat diselesaikan secara bersama.

Perkara yang perlu anda bawa/sediakan

  • Pakaian atau riben, topi, arm band berwarna kuning

  • Bendera Malaysia atau negeri masing-masing

  • Kad pengenalan

  • Air mineral, sedikit makanan atau gula-gula

  • Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.

  • Kain tuala kecil untuk lap peluh atau tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata

  • Payung kecil untuk elakan hujan atau cuaca panas

  • Lampin, jika bawa anak

  • Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.

  • Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama & no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.

  • Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di himpunanrakyat@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.

Perkara yang tidak dibenarkan dibawa

  • Jangan bawa sebarang bendera atau logo parti atau organisasi anda bagi NGO

  • Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.

  • Jangan bawa terlalu banyak wang atau barang yang tidak perlu

  • Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.

  • Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti molotov cocktail dan mercun.

  • Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.

  • Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.

  • Jangan bawa anak-anak yang berumur 5 tahun ke bawah bagi mengelakan sebarang masalah.

Perkara yang perlu anda lakukan

Sebelum perhimpunan

  • Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa

  • Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.

  • Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.

  • Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini

  • Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.

  • Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.

  • Jangan lupa charge bateri handphone dan kamera.

  • Pastikan anda berniat kerana Allah (bagi yang muslim) sebelum keluar rumah.

  • Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan; Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni atau Masjid Negara.

  • Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.

  • Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian

  • Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke arah Dataran Merdeka.

Semasa Perhimpunan dan perarakan

  • Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan (Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni atau Masjid Negara) dan berarak beramai-ramai ke Dataran Merdeka.

  • Ikutilah arahan dari Unit Amal atau pimpinan BERSIH sepanjang program.

  • Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan.

  • Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di himpunanrakyat@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.

  • Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.

  • Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.

  • Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.

  • Elakkan mencerca atau memaki hamun semasa perhimpunan berlaku.

  • Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.

  • Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.

  • Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.

  • Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi sound system akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.

  • Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.

  • Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.

  • Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan.

Selepas Perhimpunan

  • Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.

  • Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.

  • Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.

  • Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di himpunanrakyat@yahoo.com

Apa anda perlu buat jika Polis buat provokasi dan serbuan.

  • Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.

  • Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila Polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.

  • Duduk jika pimpinan arahkan.

  • Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air water canon berwarna kuning.

  • Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan Polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.

Apa yang anda perlu buat jika ditahan

  • Jangan banyak cakap dengan Polis. Diamkan dan tenangkan diri.

  • Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.

  • Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).

  • Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawab yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.

  • Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab “Masih tengah cari kerja” atau berikan jawapan lain yan sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.

  • Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu di luar Balai jika anda ditahan,

  • Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab “saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja”. Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah.

  • Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi Polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.

  • Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.

  • Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.

Apa yang anda buat selepas dibebaskan

  • Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.

  • Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.

  • Ceritakan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.

  • Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.

  • Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.

  • Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.

  • Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.

  • Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.

  • Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.

  • Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.

Secara keseluruhannya, kita berdoa semoga Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan. Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan tekanan kepada perosak Demokrasi dan memberikan laluan untuk Agong mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem demokrasi negara kita.

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.

Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.

Tuesday, November 06, 2007

Demonstrasi Budaya Malaysia

Oleh : Amin Iskandar @ Black http://aminiskandar.wordpress.com


Ramai yang terlupa bahawa demonstrasi ialah budaya Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Malaya. Dato Onn bin Jaafar, datuk kepada Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin Tun Hussein (yang lebih terkenal dengan panggilan Hishamuddin Keris) adalah Pemimpin Demonstrasi menentang Malayan Union pada tahun 1946.

Kepada semua ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC dan juga semua parti komponen BN,

Jangan segan silu untuk bersama menyertai Perhimpunan Raksaksa 100 000 rakyat pada 10 November 2007. Anda semua layak untuk bersama dalam perhimpunan bersejarah ini. Tinggalkan pemimpin anda yang tidak berani dan bacul. Mereka sudah lari dari landasan perjuangan. Mereka lebih mementingkan kekayaan sendiri daripada menjaga kebajikan anda.

Ingatlah, harga minyak dan tol akan menyusul naik tidak lama lagi. Sampai bila nak terus miskin dan menderita?

Keputusan di tangan masing-masing. Mahu hidup hina dan miskin di negeri sendiri dan mati tanpa berbuat apa-apa ataupun mahu dikenang dalam sejarah negara sebagai pejuang untuk mengembalikan kedaulatan rakyat?

Masyarakat dunia juga akan berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada Gelombang Kuning. Setakat ini rakan-rakan aktivis dari India, Indonesia, Filipina, Monggolia, Thailand, England, Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah memberikan komitmen untuk berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di negara mereka pada tarikh yang sama.

Apakah anda hanya mahu tinggal di rumah?