Wednesday, February 21, 2007

Majlis Pelancaran Dana Dewan Dr Burhanuddin Al-Helmy : 1 Safar 1428 satu kejayaan!!

Batu Putih, Isnin - Majlis Makan Malam dan Pelancaran Dana Dewan Dr Burhanuddin Al-Helmy telah dilangsungkan dengan jayanya pada 19 Februari 2007 yang lalu di tapak tanah waqaf di Kg Batu Putih, Kulim. Segala persiapan dan persediaan yang dijalankan hanya kira-kira sebulan yang lalu telah membuahkan hasil yang walaupun tidak 100% tercapai, namun cukup untuk mewar-warkan kepada masyarakat umum tentang usaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) untuk memajukan tanah waqaf tersebut sehingga terdirinya sebuah bangunan dewan serbaguna di situ kelak.

Walaupun perancangan asal adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat bersama Tuan Haji Mohd Sabu, Naib Presiden PAS dalam majlis tersebut, namun pihak penganjur dimaklumkan beberapa malam sebelum program tersebut bahawa Tuan Haji Mohd Sabu tidak dapat bersama majlis tersebut. Ini kerana beliau telah diarahkan oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS untuk menghadiri satu program mahasiswa di United Kingdom. Namun penganjur tetap tidak berputus asa dan berusaha mencari pengganti agar tidak mengecewakan orang ramai dan pada saat akhir sebegitu, penganjur akhirnya berjaya mendapatkan Tuan Haji Yusof Husin, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah sebagai pengganti.

Persiapan tempat untuk majlis jamuan makan malam dan pelancaran dana tersebut berjalan dengan lancar walaupun hujan turun seketika menjelang waktu maghrib sehingga isya'. Majlis dimulakan dengan jamuan makan malam dan diteruskan dengan solat Isya' berjemaah di atas tapak dewan tersebut. Usai solat berjemaah, majlis ceramah bermula dengan beberapa ucapan pimpinan Pemuda dan Kawasan Padang Serai.

Walaupun dengan berat penganjur mengumumkan ketidak hadiran Tuan Haji Mohd Sabu kepada orang ramai yang hadir untuk mendengar amanat pimpinan, namun majlis diteruskan juga. Dan orang ramai yang hadir tampak khusyu' tidak berganjak mendengar ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Yusof Husin. Tuan Haji Yusof juga telah melancarkan dana Dewan Dr Burhanuddin Al-Helmy sebelum beliau memulakan ceramahnya.

Majlis berjalan dengan baik sehingga tamat dan matlamat pelancaran dana juga berhasil dengan sumbangan daripada orang ramai yang memungkinkan untuk kerja-kerja awal pembinaan dewan tersebut diteruskan. Mudah-mudahan gerak kerja Lajnah Bangunan DPPKPS akan berjalan lancar dan seterusnya berhasil mencapai matlamat akhir, Insya-Allah

No comments:

Post a Comment