Wednesday, May 07, 2008

Bersediakah Kita Memerintah?

a

Memerintah adalah tanggungjawab yang besar. Dipertanggungjawabkan kepada manusia agar dilaksanakan tuntutan Allah SWT.

Memerintah tidak cukup sekadar mereka mendakwa mereka mampu, tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan.

Islam telah membuktikan pemerintahannya berjaya membawa kepada tamadun. Arab yang dahulunya bangsa yang tidak dikenali, tetapi kemudiannya menjadi hebat dan dikenali, semuanya bersebab Islam dijadikan sebagai asas pemerintahan.

Saidina Omar pernah berkata;

إنا كنا أذل قوم فأعزنا الله بالإسلام فمهما نطلب العزة بغير ما أعزنا الله به أذلنا الله

Maksudnya;
“kita dulu adalah sehina-hina kaum, lalu Allah muliakan kita bersebab kita berpegang kuat dengan Islam. jika kita menjadi kemuliaan yang lain dari cara Allah muliakan kita, nescaya kita akan dihina oleh Allah SWT” (Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 193)

Pemerintahan islam yang “dipesuruhjayakan” oleh Nabi SAW telah memberikan bukti yang kuat. Baginda SAW berjaya membina pemerintahan Islam dengan pelbagai tindakan yang dibuat oleh nabi.

Baginda SAW tidak sekadar menganjurkan “ceramah-ceramah” dan “forum-forum perdana” semata-mata, tetapi dipenuhi dengan tindakan yang membuktikan kejayaan Baginda SAW dalam pemerintahan.

Dalam pemerintahan, Baginda SAW bertindak menukar bentuk pemerintahan yang menzalimi rakyat kepada keadilan sejagat. Keadilan yang disandarkan kepada wahyu menjadi rujukan utama.

Dalam pemerintahan, Nabi tidak menjadikan agenda peribadi dan agenda kaum kerabat sebagai dasar pemerintahan, bahkan Islam adalah asasnya.

Orang yang bekerja bersama Nabi SAW amat seronok bekerja bersama, disamping mereka tidak segan silu berinteraksi dengan Nabi SAW dalam apa jua masalah, hatta kadangkala mereka melihat sesuatu yang tidak sependapat, mereka akan berbincang dengan Baginda SAW, dan nabi pula mudah menerima pandangan dari pihak lain.

PEKERJA DALAM ISLAM

Dalam membentuk pemerintahan yang berjaya, memerlukan pegawai-pegawai kerajaan yang berkelayakkan dalam sesuatu kerja. Sesuatu kerja yang tidak disandarkan kepada orang yang berkeahlian, akan melahirkan natijah yang merosakan.

Sabda Nabi SAW;

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
“Apabila disandarkan sesuatu urusan kepada orang yang tidak berkelayakkan, maka tunggulah saat kehancuran” (Sahih Al-bukhari : 57)

Kelayakkan-kelayakkan yang ditekankan dalam islam, bukanlah kerana status pendidikan yang bertahap Master atau PhD yang dimiliki seseorang, tetapi kelayakkan itu terletak kepada kemampuan seseorang dalam mengurus kerja.

Maka sebab itu, tidak hairan ada sebilangan manusia yang mempunyai status pendidikan Phd atau Master, tetapi jika diberikan kerja kepada mereka, kerja itu tidak berjaya dilaksanakan dengan jayanya, bahkan melahirkan kehancuran.

Mengapa ini terjadi??

Ianya adalah kerana, sesuatu kejayaan itu bukan kerana pangkat Master atau Phdnya, tetapi terletak kemampuan seseorang itu dalam mengurus kerja.

Merujuk kepada Al-Quran, ada beberapa syarat yang telah ditetapkan islam dalam menilai kemampuan seseorang dalam sesuatu kerja. orang yang amanah, berkemampuan dengan kerja dan mengetahui selok belok kerja adalah sangat-sangat didahulukan.

Firman Allah;

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”

(Surah Yusuf : 55)

Juga firman Allah;

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya;
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya."

(Surah Al-Qasas : 26)

Pada firman Allah yang pertama, Allah menjelaskan tentang permintaan Nabi Yusuf atas jawatan perbendaharaan Negara dengan menyatakan kelayakkan yang ada, iaitu pandai menjaga dan mempunyai kemampuan dalam mengurus kewangan.

Adapun pada firman Allah yang kedua pula, Allah menjelaskan tentang permintaan anak Nabi Syuaib atas kalayakan yang ada pada Nabi Musa untuk mengambil beliau sebagai pekerja, iaitu mempunyai kekuatan mengurus kerja dan orang yang amanah.

Dilihat dari kedua-dua firman Allah ini, secara kesimpulannya, kelayakan yang paling penting dalam mengurus kerja itu adalah, hendaklah seseorang itu mempunyai dua syarat, iaitu orang yang beramanah dan orang yang berkemampuan dalam mengurus sesuatu kerja.

AMANAH DALAM KERJA

Apabila menyebut orang yang beramanah, sudah pasti orang tersebut merupakan orang yang bertanggungjawab atas sesuatu kerja yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Seseorang yang tidak bertanggungjawab, menandakan orang tersebut bukanlah orang yang amanah. Apabila orang tersebut tidak bertanggungjawab, maka orang tersebut tidak layak untuk diberikan sesuatu kerja yang diharapkan natijah yang baik.

Dalam kontek pemerintahan Negara, amanah merupakan perkara penting. Amanah tersebut, samada amanah dalam berusaha dalam mendaulatkan negara mengikut acuan yang diredhai Allah dan juga amanah dalam mengurus negara setelah memerintah.

Apabila seseorang itu tidak beramanah dalam usaha hendak mendaulatkan amanah Allah, maka lebih-lebih tidak layak lagi bagi orang tersebut memegang jawatan dalam mengurus negara setelah memerintah.

MAMPU BEKERJA

”Tangkap muat” bukanlah satu tindakan yang bijak bagi menentukan sesuatu kerja itu melahirkan natijah yang baik. Orang yang bekerja itu, disamping seorang yang beramanah, hendaklah didapati ianya seorang yang berkemampuan dalam bekerja.

Berkemampuan itu bukanlah dilihat kepada status pendidikannya semata-mata, bahkan yang lebih penting kemampuan itu dilihat pada pengalaman kerja. Pengalaman kerja itu dapat dinilai dari sudut kebijaksanaannya dalam mengurus sesuatu kerja sewaktu dia menjadi pembangkang lagi.

Kadangkala didapati orang yang berpengalaman kerja, tetapi ianya seorang yang tidak amanah, maka orang sebegini juga tidak layak untuk memegang sesuatu kerja.

PEMBAHAGIAN TUGAS

Dalam bekerja, terutama dalam usaha hendak mendaulatkan islam, sudah pasti memerlukan kerja keras bagi menjayakannya.

Dalam sesebuah negara atau negeri, tidak akan ada orang yang mampu bekerja dengan seorang diri, bahkan memerlukan bantuan dari orang lain.

Mana mungkin seorang yang dilantik menjadi exco dalam sesebuah negeri melaksanakan semua kerja atau jabatan-jabatan yang dibawahnya. Maka bagi menyelesaikan kerja-kerja yang banyak itu, hendaklah wujudnya pembahagian tugas.

Pembahagian tugas tersebut pula, hendaklah pekerja-pekerjanya terdiri dari kalangan orang yang mempunyai ciri-ciri pekerja yang berkelayakkan, iaitu mempunyai amanah dalam kerja dan mempunyai kemampuan dalam sesuatu kerja.

BERFIKIR PEMERINTAH DALAM BEKERJA

Berfikir pemerintah juga merupakan perkara penting dalam hendak menjayakan sesuatu kerja. Berfikir dalam kepompong pembangkang dikala selepas memerintah, memungkinkan sesuatu kerja itu akan dilihat lembab dan lembik atau kolot.

Ada sebilangan exco-exco di negeri Pakatan rakyat, mereka masih lagi berfikir seperti pembangkang. Maka dengan sebab itulah, apabila mereka dijemput untuk merasmikan program kerajaan dan kemasyarakatan, seperti mesyuarat PIBG, himpunan pelajar dan sebagainya, ucapan mereka bukanlah seperti pemimpin negeri, tetapi bersifat pemimpin sesuatu parti yang tidak pernah puas menghentam musuh parti. Lantaran itu, tidak hairan, dalam sesuatu perasmian mesyuarat atau program kemasyarakatan, mereka sering menghentam UMNO, sedangkan rakyat yang menjemput mereka, bukannya mahu mendengar pandangan mereka terhadap UMNO, tetapi mereka mahu mendengar pengharapan pemimpin baru terhadap sesuatu organinasi.

Ada juga sebilangan exco dalam kerajaan pakatan Rakyat, apabila mereka dijemput untuk menyampaikan satu ucapan dalam sesuatu program, mereka mengambil sikap sinis dengan memerli kepada penjemput dengan dakwaan, jemputan itu mengandungi maksud, mahu mendapat bantuan kewangan dan sebagainya.

Alangkah biadabnya YB itu.................

PEMERINTAH TIDAK BOLEH SOMBONG

Ada sebilangan pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat, apabila mereka menang dalam pilihanraya baru-baru ini, kemenangan itu telah menyebabkan mereka menjadi bongkak dan sombong.

Kesombongan mereka terserlah, apabila sebilangan rakyat ingin berjumpa, mereka menggambarkan memekmuka yang tidak menyeronokkan. Apabila mereka dihubungi, mereka sudah mula tidak mahu mengangkat telefon. Apabila mereka ditegur, mereka akan mengambil sikap sombong bagaikan Firaun menghadapi Musa AS.

Semasa kempen pilihanraya sedang berjalan, setiap program kemasyarakatan sudah pasti mereka hadir, tetapi apabila sudah menang, masakan program kemasyarakatan, bahkan menghadirkan diri dalam menziarahi pengundi-pengundinya yang meninggaldunia pun sudah diabaikan dengan alasan ianya perkara remeh.

Yang lebih teruk, apabila kemenangan ini menyebabkan mereka sudah mula lupa kepada petugas-petugas yang bertungkuh lumus dalam memenangkan mereka, dengan mereka mengabaikan petugas-petugas tersebut, dan memanggil ”kawan-kawan” lama yang tidak pernah terlibat dalam usaha memenangkan mereka bagi memegang sesuatu jawatan kerajaan.

Apabila ditanya atau ditegur, jawapan mereka adalah, ”ana adalah pemimpin, dan inilah tindakan profesional”..........

BIJAK MENGGUNAKAN KUASA

Tindakan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang meluangkan masa makan tengahari di restoran Cheng Ho kepunyaan Amy Serch di Wangsa Maju merupakan tindakan seorang pemimpin yang menjadi pemerintah. Pemikiran ini sepatutnya ditauladani oleh semua kerajaan Pakatan rakyat.

Seseorang yang zaman silamnya gelap, tidak seharusnya dianggap ianya sentiasa berada dalam kegelapan. Jika dilihat kepada langit, ada masa ia gelap, dan dimasa lain ia menjadi cerah, maka begitujuga kehidupan manusia, walaupun di zaman dahulunya ”jahat”, tetapi sebagai pemerintah, perlu difikirkan cara dan kaedah untuk membaiki kejahatannya sehingga dia menjadi orang yang baik.

Kuasa yang diberikan, merupakan peluang keemasan dari pihak pemerintah untuk mengubah mereka, bukannya tidak habis-habis dengan pemikiran pembangkang yang tidak relevan lagi diguna pakai di zaman menjadi pemerintah.

Berfikir ”membunuh” semua pembangkang kita, bukanlah pemikiran pemerintah. Bahkan sebagai pemerintah, pemikiran hendak menjadikan pembangkang itu sebagai pengkritik sehat merupakan tindakan yang bijak.

Sebagai pemerintah, tidak seharusnya ”membunuh terus” program-program yang dilihat maksiat, tetapi pemerintah perlu menggunakan segala kuasa yang ada, dalam mengubah bentuk program, dengan ”membunuh” semua kandungan maksiat yang ada dalam sesuatu program, disamping program tersebut diisikan dengan pengisian yang bersifat dakwah dan keinsafan.

PENUTUP

Kemenangan yang membawa kita menjadi pemerintah, perlu difikirkan cara untuk mengisi kemenangan tersebut.

Berfikir tersebut, tidak boleh lagi seperti berfikir ketika menjadi pembangkang. Jika dikala pembangkang, tindakan kita hanya membangkang, tetapi sebagai pemerintah, pemikiran kita perlu menyediakan alternatif, agar rakyat dapat melihat keindahan Islam.

Isilah kemenangan ini dengan bijaksana, agar kemenangan ini tidak menjadi fitnah kepada perjuangan yang telah diusahakan sejak sekian lama.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani

http://al-bakistani.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com

No comments:

Post a Comment