Tuesday, May 27, 2008

Golongan muda diseru ambil alih warisan perjuangan Islam

Mazelan Haron
Tue | May 27, 08 | 1:35:15 pm MYT

SERDANG, KEDAH, 27 Mei (Hrkh) - Golongan pemuda diminta bersedia mengambil alih tanggung jawab dan amanah sebagai pewaris kepemimpinan perjuangan Islam di Malaysia bagi meneruskan cita-cita perjuangan menegakkan keadilan.

Perjuangan Islam yang dipelopori PAS sejak lebih 50 tahun lalu masih relevan untuk diperjuangkan walaupun kepimpinanya silih berganti.

Demikian tegas Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa ketika berucap membentangkan kertas kerja yang bertajuk 'Siapakah Kita - Harapan Kedua Ibu bapa, Kepimpinan PAS dan Masyarakat' pada majlis Akademi Pewarisan PAS yang diadakan di Dewan Dato' Fadhil Noor, di sini, baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan anak-anak aktivis dan penyokong PAS selama dua hari satu malam itu memberikan pendedahan dan pengalaman baru kepada para peserta tentang pentingnya mewujudkan pewaris sebagai kesinambungan perjuangan yang suci ini.

"Para peserta sangat bertuah kerana ditakdirkan oleh Allah menjadi anak seorang pejuang dan sebagai pewaris perjuangan yang besar dan suci ini. Kita perlu merasa izzah kerana berada di dalam perjuangan menegakkan Islam," katanya.

Seterusnya beliau menyeru agar para peserta membuat persediaan yang rapi untuk melayakkan diri sebagai pewaris perjuangan Islam.

Akademi Pewarisan PAS itu adalah anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulim Bandar Baru dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai telah dirasmikan penutupannya oleh Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Ismail Salleh. - mns

Monday, May 26, 2008

Pembatalan MoU Azhar : Kedah mula merintis jalan.


Dr Abd Aziz Hanafi sedang memerhati Prof. Dr. Muhammad Abu Daim...Timbalan Rektor Al-Azhar membaca rayuan Kerajaan Negeri Kedah terhadap isu pembatalan MoU Azhar.

Surat Daripada Al-Azhar kepada Kedutaan Malaysia berhubung penamatan MoU


Kaherah 25 Mei 2008. Rombongan Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai oleh Y.Bhg Dato' Abdullah Mat Khir, Timb. Rektor KUIN dan Y.Bhg. Dr Abd. Aziz Hanafi , Pensyarah Kuliyyah Syariah KUIN berpuas hati terhadap penjelasan yang diberikan oleh Timb. Rektor Universiti Al-Azhar Prof. Dr. Muhammad Abu Daim terhadap isu pembatalan MoU dengan semua Institusi-institusi yang terlibat di Malaysia. Beliau mengakui bahawa pembatalan ini adalah atas kehendak Majlis Azhar dan beliau juga menegaskan bahawa satu hubungan baru antara Azhar - Malaysia sebagai kesinambungan tradisi ini secara lebih tersusun perlu diwujudkan segera. Keputusan ini juga diambil bagi menjamin graduan Azhar lebih berqualiti dan dihormati pada masa akan datang, tegas beliau.


Ustaz Zakaria Othman
http://mymkkk.org/zakariaothman

Thursday, May 22, 2008

T SHIRT HIMPUNAN PEMUDA MEMELIHARA KEMENANGAN


Dapatkan T shirt Pemuda Memelihara Kemenangan yang di sediakan khusus untuk peserta ke Himpunan Memeliharan Kemenangan sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah pada 13 & 14 Jun 2008, jam 8.00 malam di Kompleks PAS Kedah. T Shirt tersebut boleh didapati secara percuma dengan syarat mesti berdaftar sebagai ahli Skim Perlindungan Pemuda (SPP) Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah atau memperbaharui keahlian untuk tahun 2008 sebanyak RM 10.00 .

T shirt akan mula diedarkan kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan pada minggu pertama bulan Jun 2008 ini. Pemuda yang ingin mendapatkan T shirt ini sila daftar sebagai ahli SPP melalui Dewan Pemuda PAS Kawasan masing-masing. Berikut disenaraikan nama dan NO HP Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan seluruh Kedah

1. Langkawi Hakimi 012 5204279
2. Jerlun Abdul Aziz Hatt 013 4077525
3. Kubang Pasu Zabidi Morad 019 4225025
4. Padang Terap Mohd Shukri Ibrahim 013 5074445
5.Pokok Sena Mohd Firdaus Salleh 019 4135523
6. Alor Star Akhyari Ismail 017 4709002
7. Kuala Kedah Fadzil Baharum 019 4004103
8. Pendang Fadhil Noor Sahani 019 4935526
9. Jerai Nizam Noh 019 5586401
10. Merbok Asri Mat Salleh 013 4850518
11. Sik Fakhrudrizal Mokhtar 019 5062007
12. Sungai Petani Azman Ahmad 019 4730686
13. Baling Ashri Abd. Rahman 013 4219570
14. Padang Serai Zulkarnain Bakar 013 4333911
15. Kulim/Bandar Baharu Pahimi Abdullah 019 4147252

Wednesday, May 21, 2008

Demo Ubi Kayu

Petang tadi, Ahad 18/5/08, waktu tu saya on the back dari Penang; sampai kat tengah Pekan Padang Serai yang memang dah biasa sibuk setiap hari Ahad sebab ada Pekan Hari kat situ, anak saya habag kata kat depan tu macam ada orang tengah dok buat demo.

Sebut aja demo, terus saya teringat sms yang Apit hantar kat saya semalam, dalam sms tu Apit, sahabat saya full-time buat bendang (walaupun miliki Diploma) ada bagi tau pasal ada org nak buat demo tak puas hati pasal harga beras dan barang naik harga. Antara lain Apit tulis, demo yg akan diadakan tu bukan anjuran mana-mana parti politik, tapi cetusan rasa tak puas hati drpd penduduk-penduduk sekitar Padang Serai.

Saya tengok jam baru aja pukul 3.00 petang, ikut plan demo itu akan berlansung sampai 3:30 ptg. So, saya pun rush balik hantar anak-anak, kemudian patah balik mai, pi join depa demo.

Bila tengok sepanduk-sepanduk itu, rasa nak tergelak pun ada. Antaranya ialah pasal UBI KAYU; entah mai mana-mana, poster-poster itu penuh dengan cerita pasal Ubi Kayu. Dah la tu, siap dengan dua tiga tongkoi Ubi Kayu yang masih melekat di akar pokok ubi tu depa angkut mai sekali. Bila tanya pasal apa bawa mai Ubi Kayu?

Depa kata:

"UBI KAYU inilah adalah lambang kemiskinan rakyat-rakyat marhain kat bawah ni!!"


Hmm, baguslah itu, sejak-sejak dah habis PRU12 ini, rakyat marhain kat bawah tu macam dah tenggelam punca, dah tak tau nak relate kat mana-mana pihak/parti politik/organisasi yang betul-betul memperjuang dan mengambil berat tentang isu kemiskinan dan masalah harga barang terutamanya BERAS makanan asasi anak bini depa ni.

Daripada sembang & temubual dengan rakyat-rakyat kat bawah ini, kita dapat rasa yang rakyat macam dah naik meluat dan fed-up dengan kerenah YB-YB dalam Parlimen tu, yang tak habis-habis bertengkar dan bergaduh macam budak-budak tadika. Depa macam buat main-main saja dengan institusi Parlimen, macam tak hormat langsung dengan institusi ini yang sepatutnya merupakan tempat berkumpulnya suara keramat rakyat jelata.

Rakyat dok rasa YB-YB dalam parlimen itu macam tak serius macam main-main saja dengan title YB yang ada pada depa, sedangkan di kala YB-YB tu dok maki hamun sesama sendiri, dok kata kumpulan tu Babi kumpulan ni Babi, rakyat marhain kat bawah ni terus-terusan menderita dengan kenaikan harga barang terutama sekali isu BERAS yang entah bila nak jumpa jalan penyelesaiannya ini.

Berbalik kpd demo di tengah Pekan Hari Padang Serai, Kedah itu; sebaik saja sampai, bila tengok muka-muka yang turun tu adalah wajah-wajah regular penduduk taman dan kampong sekitar; jiran-jiran dan kawan-kawan belaka, rasa seganlah pulak kalau tak pi ke depan sama.

So, walaupun mengetahui risiko join demo yang tak ada permit ini (ya lah, bukan dianjurkan oleh mana-mana parti politik ataupun NGO pun, cumalah perhimpunan ad-hoc rakyat jelata tanpa detail perancangan); saya terus ke depan, dan entah macam mana, macam main game pula, depa pass mai mike/hailer bagi kat saya.

Saya pun apa lagi, lama dah dok geram dok dengar kawan-kawan dan diri sendiri dok rasa tak puas hati; nama saja dok di negeri Kedah, negeri Jelapang Padi, sawah bendang sejauh mata memandang, tapi BERAS pun boleh jadi isu. So, antara sedar, saya balun ajalah cakap apa yang terlintas. Habis demo tu, TV7/S.habag/Harakah mai kat Apit tanya sapa ketua, depa nak interview.

Apit habag dialah ketua, tapi kalau nak interview, suruh interview Munir (saya); laa..x pasal-pasal kena interview, kemudian nama sure naik di Balai. Tak taulah Apit, dah hang suruh aku cakap, aku cakap ajalah!

Saya tak berapa ingat apa yang saya cakap, cumanya saya habag dalam lebih kurang 100 lebih yang turun tu, rata-ratanya adalah pesawah (bendang), penoreh, peniaga dan ramai juga adalah pekerja kilang. Mereka semua ini tak puas hati pasal harga BERAS dok naik mencanak, dan mereka merasakan pihak-pihak yang berkenaan tak betul-betul ambil serius tentang isu ini.

Pihak-pihak yang berkenaan itu bukan semestinya pihak Kerajaan yang memerintah, tetapi adalah semua pihak yang sudah pun diberi undi dan mandat oleh rakyat jelata dalam PRU12 baru ni; maksud mereka ialah YB-YB yang dilantik ke Parlimen.

Mereka (RAKYAT) sudah pun menunaikan tugas mereka dengan membuang Undi dlm p.raya, maka sekarang tibalah pula giliran mereka-mereka yang dilantik untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka dalam Parlimen bagi mencari jalan penyelesaian yang konkrit mengenai isu BERAS ini. Hangpa dah jadi YB, hangpa pikiaqlah macam mana nak buat.

Pihak polis yang datang memantau memberi 25 minit saja untuk demo tersebut; selepas 25 minit semua orang bersurai. Waktu itu baru saya perasan, yang turun tu memang golongan rakyat marhain sungguh: Apit (fulltime buat bendang), Cop (niaga nasi Ayam), Paktam Poi (niaga yong taufu), Midi (bawa van budak tadika), Radhi (jual ikan), Abang apanamalupa (Penoreh), Zul (kerja kilang); ringkasnya rakyat bawahan semuanya.

Waktu pakat dok jamu selera kat rumah Pak Tam Poi (demo buat depan rumah dia mengadap main road Pekan Ahad Padang Serai); saya tanya Apit, betoi-betoinya macam mana boleh mula buat Demo Ubi Kayu ini?

Apit kata:

"Betoi-betoinya lah, AKU TAK PUAS HATI SUNGGUH, SEBAB AKU NI DOK BUAT BENDANG, AKU YANG TANAM PADI, TIBA-TIBA AKU TERPAKSA BELI BERAS HARGA TINGGI!!"

La, patutlah pun Apit pulun sakan; dia tak kisah polis ka sapa ka nak kacau dia, sebab kalau ditakdirkan dia masuk dalam, dia tak rugi apa pun, tapi kita semua rakyat jelata yang rugi, sebab satu hari dia dok dalam, bermakna satu harilah beras kita kurang bekalan. Makna kata, penting sungguhlah rupanya Pak-Pak Tani ini kpd kita. Maka itu, tidak keterlaluan kalau kita sarankan: kali ini kalau ada Anugerah Maulidur Rasul ka Maal Hijrah apa ka, elok kot kita pi bagi kat Pak Tani macam Apitlah pulak. Banyak jasa depa kat kita, tapi kita semua take for granted macam itu saja.

Last sekali Apit habag:

"Selain itu, aku tak puas hati sungguh; cuba hangpa bayangkan BERAS naik harga daripada RM18 ke RM32 sekampit (10kg). Dah la tu, BAJA pula naik harga drpd RM70 ke RM160 sekampit (50kg). Kemudian RACUN pula naik harga drpd RM45 kpd RM120 satu tong (4 Liter). Tak ker gila kerjanya, sedangkan PADI tak naik harga pada kadar yang serupa!!"

Hmm, patutlah Apit marah sangat.

Saya dan rakan-rakan hanya menumpang kemarahan Apit itu saja. Saya dok ingat next PRU, kalau ada peluang, boleh kot kita lobi Apit jadi calun; kalau pun bukan mana-mana parti yang dah ada YB dalam parlimen tu, kalau Apit nak jadi calon BEBAS, boleh kot kita calonkan dia bertanding atas nama Parti Cap UBI KAYU!!

Hidup Apit! Hidup Rakyat Marhain! Hidup Ubi Kayu!

Sekian dilaporkan

p.s: sorrylah tulisan saya ni kelam kelibut sikit, maklumlah bukannya ada orang-orang Besar pun nak baca kisah-kisah rakyat marhain ini. Jadi, saya catatkan juga di sini sebagai journal peribadi saya untuk tatapan anak-anak cucu saya dan juga anak cucu Apit kemudian hari.

Monier_matdin@yahoo.com

18.5.08

http://www.moniermatdin.blogspot.com

Thursday, May 15, 2008

Ucapan Selamat Hari Guru

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU buat semua tenaga pendidik dan bekas pendidik yang tidak kenal erti penat lelah dalam mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna dan berperilaku mulia. Walau siapa pun kita pada hari ini, guru lah yang pada suatu waktu yang lampau telah membentuk sedikit sebanyak peribadi kita sebagai anggota masyarakat. Dengan tema sambutan pada tahun ini, "GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG" diharap dapat memberikan suntikan semangat kepada para guru dalam meneruskan profesyen perguruan untuk terus-terusan mendidik anak bangsa agar menjadi manusia yang berguna kepada Agama, Bangsa dan Tanahair.

DPPKPS juga turut mengucapkan ucapan yang serupa kepada seluruh warga pendidik dan bekas pendidik Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang sanggup mengorbankan tenaga dan waktu berbekalkan imbuhan yang sedikit yang diberikan oleh jemaah, memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak bangsa. Penat lelah mu guru amat kami hargai.

Buat para guru yang pernah mendidik kami dan semua guru pada hari ini, terima kasih cikgu!

Saifol Nizam Nordin
Ketua Penerangan DPPKPS

Tuesday, May 13, 2008

Cukuplah Karpal.............cukuplah

Pengerusi DAP, Karpal Singh terus menjadi objek serangan pihak media termasuklah ahli-ahli Parlimen BN yang berucap di Dewan Rakyat siang tadi. Kontroversi yang beliau cetuskan termasuklah mencabar Raja-raja Melayu mustahil dirasakan dapat reda dalam waktu terdekat. Bagi BN khasnya Umno inilah peluang terbaik mereka untuk menyerang tokoh pembangkang veteran itu termasuklah menyerang pakatan pembangkang Pakatan Rakyat yang walaupun merupakan pembangkang di Parlimen tetapi memimpin 5 buah negeri.

Dalam akhbar THE SUN hari ini Karpal nampaknya terus mencari musuh, kali ini dengan mengulangi serangannya terhadap PAS pula. Beliau dilaporkan berkata kesungguhan PAS untuk mengekalkan agenda Negara Islamnya sebenarnya menyusahkan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Katanya jika PAS berterusan dengan pendirian ini masyarakat akan berpandangan yang Pakatan Rakyat sebenarnya berkrisis.

Menurut akhbar berkenaan Karpal telah ditemuramah oleh akhbar berbahasa Cina iaitu Nanyang Siang Pau dan dalam temuramah itu Karpal telah menegaskan bahawa Penasihat PKR Dato Seri Anwar Ibrahim sedang berunding dengan PAS bagi mempengaruhi parti itu agar menggugurkan perjuangan negara Islamnya.

Tambah Karpal ideologi negara Islam PAS ini merupakan penghalang terbesar terhadap kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan jika PAS enggan menggugurkan ideologi itu tidak mustahil DAP akan meninggalkan pakatan tersebut.Pakatan Rakyat katanya mempunyai prospek untuk mempertingkatkan lagi pencapaiannnya dalam PRU yang seterusnya oleh itu PAS wajar menghentikan sebarang kenyataan berhubung ideologinya itu.

Siapa pun tidak berhak memadam atau menggugurkan apa sahaja yang diperjuangkan oleh PAS, Umno telah berusaha selama lebih 50 tahun, namun gagal, dan kini Karpal pula.

Setahu saya tidak ada mana-mana pemimpin dalam Pakatan Rakyat, yang paling banyak menonjol dan mengadu-domba perpaduan dalam Pakatan Rakyat sendiri selain Karpal, mengapakah begitu? Ancaman untuk keluar meninggalkan Pakatan Rakyat ini saya kira sesuatu yang sangat "childish" atau keanak-anakkan dan tidak langsung mengambil-kira kelangsungan kerajaan yang telah sama-sama dibentuk Pakatan Rakyat yang bergantung antara satu sama lain khasnya antara PAS dan DAP sendiri iaitu di Perak dan Selangor.

Langkah yang paling baik bukannya untuk mendesak Anwar berunding dengan PAS, kerana asas perjuangan PAS tidak boleh dirunding-rundingkan, tetapi yang lebih baik adalah untuk Anwar menasihati Karpal secara individu agar menghargai kepercayaan rakyat, menghormati antara satu parti dengan yang lain, ketepikan perbezaan dan kenal-pasti persamaan.

Saya yakin dan percaya majoriti pemimpin dan ahli-ahli serta penyokong Pakatan Rakyat samada dari PAS, DAP atau PKR tidak bermasalah berkerjasama dan bermuafakat, yang bermasalah nampaknya Karpal seorang, lalu apa yang sebaiknya dilakukan?


ROSLAN SMS
http://n32.blogspot.com

Wednesday, May 07, 2008

Bersediakah Kita Memerintah?

a

Memerintah adalah tanggungjawab yang besar. Dipertanggungjawabkan kepada manusia agar dilaksanakan tuntutan Allah SWT.

Memerintah tidak cukup sekadar mereka mendakwa mereka mampu, tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan.

Islam telah membuktikan pemerintahannya berjaya membawa kepada tamadun. Arab yang dahulunya bangsa yang tidak dikenali, tetapi kemudiannya menjadi hebat dan dikenali, semuanya bersebab Islam dijadikan sebagai asas pemerintahan.

Saidina Omar pernah berkata;

إنا كنا أذل قوم فأعزنا الله بالإسلام فمهما نطلب العزة بغير ما أعزنا الله به أذلنا الله

Maksudnya;
“kita dulu adalah sehina-hina kaum, lalu Allah muliakan kita bersebab kita berpegang kuat dengan Islam. jika kita menjadi kemuliaan yang lain dari cara Allah muliakan kita, nescaya kita akan dihina oleh Allah SWT” (Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 193)

Pemerintahan islam yang “dipesuruhjayakan” oleh Nabi SAW telah memberikan bukti yang kuat. Baginda SAW berjaya membina pemerintahan Islam dengan pelbagai tindakan yang dibuat oleh nabi.

Baginda SAW tidak sekadar menganjurkan “ceramah-ceramah” dan “forum-forum perdana” semata-mata, tetapi dipenuhi dengan tindakan yang membuktikan kejayaan Baginda SAW dalam pemerintahan.

Dalam pemerintahan, Baginda SAW bertindak menukar bentuk pemerintahan yang menzalimi rakyat kepada keadilan sejagat. Keadilan yang disandarkan kepada wahyu menjadi rujukan utama.

Dalam pemerintahan, Nabi tidak menjadikan agenda peribadi dan agenda kaum kerabat sebagai dasar pemerintahan, bahkan Islam adalah asasnya.

Orang yang bekerja bersama Nabi SAW amat seronok bekerja bersama, disamping mereka tidak segan silu berinteraksi dengan Nabi SAW dalam apa jua masalah, hatta kadangkala mereka melihat sesuatu yang tidak sependapat, mereka akan berbincang dengan Baginda SAW, dan nabi pula mudah menerima pandangan dari pihak lain.

PEKERJA DALAM ISLAM

Dalam membentuk pemerintahan yang berjaya, memerlukan pegawai-pegawai kerajaan yang berkelayakkan dalam sesuatu kerja. Sesuatu kerja yang tidak disandarkan kepada orang yang berkeahlian, akan melahirkan natijah yang merosakan.

Sabda Nabi SAW;

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
“Apabila disandarkan sesuatu urusan kepada orang yang tidak berkelayakkan, maka tunggulah saat kehancuran” (Sahih Al-bukhari : 57)

Kelayakkan-kelayakkan yang ditekankan dalam islam, bukanlah kerana status pendidikan yang bertahap Master atau PhD yang dimiliki seseorang, tetapi kelayakkan itu terletak kepada kemampuan seseorang dalam mengurus kerja.

Maka sebab itu, tidak hairan ada sebilangan manusia yang mempunyai status pendidikan Phd atau Master, tetapi jika diberikan kerja kepada mereka, kerja itu tidak berjaya dilaksanakan dengan jayanya, bahkan melahirkan kehancuran.

Mengapa ini terjadi??

Ianya adalah kerana, sesuatu kejayaan itu bukan kerana pangkat Master atau Phdnya, tetapi terletak kemampuan seseorang itu dalam mengurus kerja.

Merujuk kepada Al-Quran, ada beberapa syarat yang telah ditetapkan islam dalam menilai kemampuan seseorang dalam sesuatu kerja. orang yang amanah, berkemampuan dengan kerja dan mengetahui selok belok kerja adalah sangat-sangat didahulukan.

Firman Allah;

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”

(Surah Yusuf : 55)

Juga firman Allah;

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya;
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya."

(Surah Al-Qasas : 26)

Pada firman Allah yang pertama, Allah menjelaskan tentang permintaan Nabi Yusuf atas jawatan perbendaharaan Negara dengan menyatakan kelayakkan yang ada, iaitu pandai menjaga dan mempunyai kemampuan dalam mengurus kewangan.

Adapun pada firman Allah yang kedua pula, Allah menjelaskan tentang permintaan anak Nabi Syuaib atas kalayakan yang ada pada Nabi Musa untuk mengambil beliau sebagai pekerja, iaitu mempunyai kekuatan mengurus kerja dan orang yang amanah.

Dilihat dari kedua-dua firman Allah ini, secara kesimpulannya, kelayakan yang paling penting dalam mengurus kerja itu adalah, hendaklah seseorang itu mempunyai dua syarat, iaitu orang yang beramanah dan orang yang berkemampuan dalam mengurus sesuatu kerja.

AMANAH DALAM KERJA

Apabila menyebut orang yang beramanah, sudah pasti orang tersebut merupakan orang yang bertanggungjawab atas sesuatu kerja yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Seseorang yang tidak bertanggungjawab, menandakan orang tersebut bukanlah orang yang amanah. Apabila orang tersebut tidak bertanggungjawab, maka orang tersebut tidak layak untuk diberikan sesuatu kerja yang diharapkan natijah yang baik.

Dalam kontek pemerintahan Negara, amanah merupakan perkara penting. Amanah tersebut, samada amanah dalam berusaha dalam mendaulatkan negara mengikut acuan yang diredhai Allah dan juga amanah dalam mengurus negara setelah memerintah.

Apabila seseorang itu tidak beramanah dalam usaha hendak mendaulatkan amanah Allah, maka lebih-lebih tidak layak lagi bagi orang tersebut memegang jawatan dalam mengurus negara setelah memerintah.

MAMPU BEKERJA

”Tangkap muat” bukanlah satu tindakan yang bijak bagi menentukan sesuatu kerja itu melahirkan natijah yang baik. Orang yang bekerja itu, disamping seorang yang beramanah, hendaklah didapati ianya seorang yang berkemampuan dalam bekerja.

Berkemampuan itu bukanlah dilihat kepada status pendidikannya semata-mata, bahkan yang lebih penting kemampuan itu dilihat pada pengalaman kerja. Pengalaman kerja itu dapat dinilai dari sudut kebijaksanaannya dalam mengurus sesuatu kerja sewaktu dia menjadi pembangkang lagi.

Kadangkala didapati orang yang berpengalaman kerja, tetapi ianya seorang yang tidak amanah, maka orang sebegini juga tidak layak untuk memegang sesuatu kerja.

PEMBAHAGIAN TUGAS

Dalam bekerja, terutama dalam usaha hendak mendaulatkan islam, sudah pasti memerlukan kerja keras bagi menjayakannya.

Dalam sesebuah negara atau negeri, tidak akan ada orang yang mampu bekerja dengan seorang diri, bahkan memerlukan bantuan dari orang lain.

Mana mungkin seorang yang dilantik menjadi exco dalam sesebuah negeri melaksanakan semua kerja atau jabatan-jabatan yang dibawahnya. Maka bagi menyelesaikan kerja-kerja yang banyak itu, hendaklah wujudnya pembahagian tugas.

Pembahagian tugas tersebut pula, hendaklah pekerja-pekerjanya terdiri dari kalangan orang yang mempunyai ciri-ciri pekerja yang berkelayakkan, iaitu mempunyai amanah dalam kerja dan mempunyai kemampuan dalam sesuatu kerja.

BERFIKIR PEMERINTAH DALAM BEKERJA

Berfikir pemerintah juga merupakan perkara penting dalam hendak menjayakan sesuatu kerja. Berfikir dalam kepompong pembangkang dikala selepas memerintah, memungkinkan sesuatu kerja itu akan dilihat lembab dan lembik atau kolot.

Ada sebilangan exco-exco di negeri Pakatan rakyat, mereka masih lagi berfikir seperti pembangkang. Maka dengan sebab itulah, apabila mereka dijemput untuk merasmikan program kerajaan dan kemasyarakatan, seperti mesyuarat PIBG, himpunan pelajar dan sebagainya, ucapan mereka bukanlah seperti pemimpin negeri, tetapi bersifat pemimpin sesuatu parti yang tidak pernah puas menghentam musuh parti. Lantaran itu, tidak hairan, dalam sesuatu perasmian mesyuarat atau program kemasyarakatan, mereka sering menghentam UMNO, sedangkan rakyat yang menjemput mereka, bukannya mahu mendengar pandangan mereka terhadap UMNO, tetapi mereka mahu mendengar pengharapan pemimpin baru terhadap sesuatu organinasi.

Ada juga sebilangan exco dalam kerajaan pakatan Rakyat, apabila mereka dijemput untuk menyampaikan satu ucapan dalam sesuatu program, mereka mengambil sikap sinis dengan memerli kepada penjemput dengan dakwaan, jemputan itu mengandungi maksud, mahu mendapat bantuan kewangan dan sebagainya.

Alangkah biadabnya YB itu.................

PEMERINTAH TIDAK BOLEH SOMBONG

Ada sebilangan pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat, apabila mereka menang dalam pilihanraya baru-baru ini, kemenangan itu telah menyebabkan mereka menjadi bongkak dan sombong.

Kesombongan mereka terserlah, apabila sebilangan rakyat ingin berjumpa, mereka menggambarkan memekmuka yang tidak menyeronokkan. Apabila mereka dihubungi, mereka sudah mula tidak mahu mengangkat telefon. Apabila mereka ditegur, mereka akan mengambil sikap sombong bagaikan Firaun menghadapi Musa AS.

Semasa kempen pilihanraya sedang berjalan, setiap program kemasyarakatan sudah pasti mereka hadir, tetapi apabila sudah menang, masakan program kemasyarakatan, bahkan menghadirkan diri dalam menziarahi pengundi-pengundinya yang meninggaldunia pun sudah diabaikan dengan alasan ianya perkara remeh.

Yang lebih teruk, apabila kemenangan ini menyebabkan mereka sudah mula lupa kepada petugas-petugas yang bertungkuh lumus dalam memenangkan mereka, dengan mereka mengabaikan petugas-petugas tersebut, dan memanggil ”kawan-kawan” lama yang tidak pernah terlibat dalam usaha memenangkan mereka bagi memegang sesuatu jawatan kerajaan.

Apabila ditanya atau ditegur, jawapan mereka adalah, ”ana adalah pemimpin, dan inilah tindakan profesional”..........

BIJAK MENGGUNAKAN KUASA

Tindakan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang meluangkan masa makan tengahari di restoran Cheng Ho kepunyaan Amy Serch di Wangsa Maju merupakan tindakan seorang pemimpin yang menjadi pemerintah. Pemikiran ini sepatutnya ditauladani oleh semua kerajaan Pakatan rakyat.

Seseorang yang zaman silamnya gelap, tidak seharusnya dianggap ianya sentiasa berada dalam kegelapan. Jika dilihat kepada langit, ada masa ia gelap, dan dimasa lain ia menjadi cerah, maka begitujuga kehidupan manusia, walaupun di zaman dahulunya ”jahat”, tetapi sebagai pemerintah, perlu difikirkan cara dan kaedah untuk membaiki kejahatannya sehingga dia menjadi orang yang baik.

Kuasa yang diberikan, merupakan peluang keemasan dari pihak pemerintah untuk mengubah mereka, bukannya tidak habis-habis dengan pemikiran pembangkang yang tidak relevan lagi diguna pakai di zaman menjadi pemerintah.

Berfikir ”membunuh” semua pembangkang kita, bukanlah pemikiran pemerintah. Bahkan sebagai pemerintah, pemikiran hendak menjadikan pembangkang itu sebagai pengkritik sehat merupakan tindakan yang bijak.

Sebagai pemerintah, tidak seharusnya ”membunuh terus” program-program yang dilihat maksiat, tetapi pemerintah perlu menggunakan segala kuasa yang ada, dalam mengubah bentuk program, dengan ”membunuh” semua kandungan maksiat yang ada dalam sesuatu program, disamping program tersebut diisikan dengan pengisian yang bersifat dakwah dan keinsafan.

PENUTUP

Kemenangan yang membawa kita menjadi pemerintah, perlu difikirkan cara untuk mengisi kemenangan tersebut.

Berfikir tersebut, tidak boleh lagi seperti berfikir ketika menjadi pembangkang. Jika dikala pembangkang, tindakan kita hanya membangkang, tetapi sebagai pemerintah, pemikiran kita perlu menyediakan alternatif, agar rakyat dapat melihat keindahan Islam.

Isilah kemenangan ini dengan bijaksana, agar kemenangan ini tidak menjadi fitnah kepada perjuangan yang telah diusahakan sejak sekian lama.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani

http://al-bakistani.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com

Friday, May 02, 2008

Kepada Pemuda dan Pemudi Islam Ku Sandar Harapan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihi

Wahai pemuda dan pemudi Islam,

Kepadamu kusandarkan harapan untuk mengisi kemenangan separa ini dengan Islam. Ku sebutkan kemenangan separa adalah kerana pemuda dan pemudi harus memahami bahawa kemenangan yang kita perolehi sekarang bukanlah kemenangan total Islam.

Sudah tentu semua kamu bersetuju.

Dan kemungkinan, kemenangan kita adalah ibarat, kemenangan menubuhkan persatuan banduan di dalam penjara. Janganlah kita terlalu asyik merayakan kemenangan menubuhkan persatuan itu, sedang hakikatnya masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk bebas dari penjara.

Mungkin pihak penguasa penjara dan banduan-banduan jahat lain (yang memang mahu terus berada dalam penjara – kerana suka makan tanggung berak tong) nampak sedikit lunak kepada kita. Oleh itu mungkin kita semua akan terjebak dengan kelunakkan tersebut dengan meninggalkan matlamat sebenar kita iaitu bebas dari penjara dengan apa cara sekali pun.

Demi mengambil hati penguasa penjara setelah dibenar menubuh persatuan banduan, mungkin kita sudah memberhentikan kerja menebuk lubang di dinding penjara.

Demi mengambil hati banduan-banduan jahat yang lain setelah berjaya menubuh persatuan banduan, mungkin kita sudah tidak minat lagi menghasut mereka secara terang-terang bahawa akan kepentingan keluar dari penjara dan membina hidup sendiri.

Harus kita ingat bahawa kedua-dua pilihan tolak ansur jangka pendek di atas yang kita pilih walaupun kadang-kadang untuk sementara waktu sahaja, tetapi akhirnya ia akan menjadi pilihan yang menyeronokkan.

Tolak ansur jangka pendek itu kemudiannya akan menjadi kukuh dan memupuk ketetapan jangka panjang. Apabila berakar umbi sebagai suatu kelaziman dalam tindakan sebuah sistem politik, ia akan sukar diubah lagi.

Oleh itu wahai pemuda,

Nafas Islam mesti didenyutkan dalam setiap gerakkan dan tindakan kita demi membebaskannya dari penjara kegelapan.

Kugantungkan harapan kepada mu pemuda dan pemudi untuk berfikir dan bertindak memecahkan tembok penjara kegelapan antaranya seperti berikut:

  1. Mantapkan Parti Islam Semalaysia (PAS) yang kita dokongi ini, elakkan persengketaan tetapi subur perbezaan pendapat untuk mencari yang terbaik.
  2. Suburkan budaya 'amal jama'ie (kerja berpasukan) di setiap kawasan dan cawangan.
  3. Isikan kemenangan separa ini dengan Islam yang kita perjuangan kepada seluruh rakyat jelata samada yang Islam ataupun yang Kafir. Jelaskan secara lebih terang kepada mereka kebaikan bernaung di bawah sistem pemerintahan Islam tanpa rasa teragak-agak lagi.
  4. Kepada pemuda dan pemudi yang memegang amanah parti peringkat negeri berfikir dan merancanglah bagaimana mengunakan kesempatan yang ada untuk memancarkan aura Islam dalam setiap sendi jentera kerajaan secara langsung dan tidak langsung.
  5. Kepada semua yang terlibat sebagai kepimpinan negara, negeri, kawasan, MTD, UPU dan cawangan janganlah berebut ghanimah demokrasi sehingga terlupa matlamat perjuangan asal kita yang cukup jelas iaitu melaksanakan Fasal 5 Perlembagaan PAS.
  6. Tentukan capaian bertahap yang ingin kita capai demi Islam, seperti tahap jangka pendek iaitu 100 hari pertama pemerintahan, tahap jangka sederhana setahun sehingga dua tahun pemerintahan, tahap jangka panjang 5 tahun pemerintahan.
  7. Tentukan apakah peranan jihad dan syahid selepas memperolehi kemenangan separa, jangalah setelah beroleh sedikit kuasa tiba-tiba pemuda dan pemudiku menjadi semkin bacul dan malu-malu untuk mempamerkan aura Islam.
  8. Gunakan peluang ini menjadi agen mentarbiyyahan masyarakat kepada Islam yang syumul, jangan tanya siapa perlu buat, tanyalah dirimu apa yang telah engkau buat untuk Islam.
  9. Kepada pemuda dan pemudiku yang diberikan kesempatan mencurah bakti di dalam kerajaan dan anak-anak syarikatnya bimbinglah pegawai kerajaan dengan penuh kasih sayang untuk kembali menghayati keindahan akhlak Islam.

Ya Allah bimbinglah diriku dan pemuda-pemudi Islam yang merindui tertegaknya kembali sistem Islam di atas muka bumiMu ini.

sumber - http://arisawang.blogspot.com