Friday, March 21, 2008

Kemudahan KHTP dipertingkat

ALOR STAR: Kerajaan PAS Kedah akan meningkatkan kemudahan yang ada di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bagi membolehkan ia terus menjadi destinasi pelabur asing menanam modal, terutama dalam bidang teknologi tinggi.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak, berkata kerajaan PAS akan meneruskan dasar kerajaan sebelum ini yang menggalakkan kemasukan pelabur ke Kedah, khususnya di KHTP bagi membolehkan ia membantu menjana ekonomi negeri.

"Adalah menjadi dasar kerajaan negeri untuk tidak berundur dalam apa perkara yang baik dilaksanakan kerajaan sebelum ini demi faedah rakyat.

"Malah, kita akan meningkatkan usaha menarik pelabur kerana kerajaan sudah membelanjakan peruntukan besar untuk menyediakan infrastruktur di KHTP.

"Kita mengkaji permohonan pelabur di situ untuk meningkatkan tahap kemudahan sedia ada untuk keselesaan mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjung hormat Persatuan Pengilang KHTP di sini, kelmarin.

Ini kali pertama beliau menerima kunjung hormat itu sejak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru pada 9 Mac lalu.

Azizan berkata, dalam pertemuan itu pelabur terbabit mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan kemudahan di KHTP, termasuk mewujudkan balai polis, melebarkan jalan, membina kompleks sukan, sekolah antarabangsa bagi anak kakitangan asing, hotel, kompleks beli-belah dan pusat latihan.

Selain itu, katanya, mereka juga mahu kerajaan memberi perhatian terhadap aspek teknikal di taman perindustrian itu.

Beliau berkata, segala cadangan yang dikemukakan pelabur terbabit akan diteliti oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Sains, Inovasi dan Pertanian negeri, Amiruddin Hamzah untuk dipertimbangkan.

Katanya, Amiruddin juga akan mengadakan perjumpaan secara berkala untuk mendapatkan maklum balas daripada pelabur di KHTP.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata, kerajaan negeri mengkaji untuk menyediakan latihan bagi membantu ibu bapa dalam membesarkan dan mendidik anak-anak bagi memastikan generasi muda itu sentiasa diberikan asuhan yang terbaik.

"Ia diharap dapat memberi panduan kepada ibu bapa supaya mereka dapat membesarkan anak dalam situasi yang bersesuaian terutama ketika menghadapi pelbagai masalah gejala sosial sekarang," katanya.

Mengenai cadangan mengurangkan atau menutup kedai nombor ekor dalam usaha memerangi tabiat buruk berjudi, Azizan berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan reaksi pemimpin masyarakat dan agama lain terlebih dulu.

"Pada dasarnya semua agama tidak membenarkan penganutnya berjudi kerana ia menimbulkan banyak masalah sosial. Isteri juga tidak suka suaminya menghabiskan masa dan wang dengan berjudi.

"Kita akan dapatkan pandangan pemimpin masyarakat terlebih dulu untuk mengambil kira pandangan mereka sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.


sumber : www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment