Monday, March 31, 2008

JANGAN JADI “PENJILAT” UMARA’


JANGAN JADI “PENJILAT” UMARA’

“Kalau anta nak senang, anta jangan kritik sangat pimpinan yang menang dalam pilihanraya baru ni!!!”. Itulah satu ungkapan dari seorang kawan yang menyebabkanku merasa loya dan sedikit berang.

Sindrom tidak mahu mengkritik kerana bimbang tidak mendapat keuntungan habuan dunia merupakan sindrom yang telah merosakan kewibawaan dalam sesebuah pemerintahan. Inilah kerosakan yang telah menimpa kepada kerajaan barisan Nasional/UMNO, walaupun dikalangan mereka terdapat ulama-ulama yang dianggap berwibawa sekalipun.

Jika merujuk kepada sejarah, keberanian ulama-ulama Tanah melayu zaman dahulu dalam menyatakan kebenaran menyebabkan mereka terpelanting keluar dari UMNO. Kita dapat melihat, bagaimana kebenaranian yang telah ditunjukkan oleh As-Syaikh Abdullah Fahim (datuk kepada Perdana Menteri ke 5) yang mengeluarkan fatwa haramnya loteri kebajikan yang diamalkan oleh UMNO, membuktikan kewibawaan yang ada pada diri ulama tersebut.

tidak dinafikan, wujudnya ulama-ulama seberani itu di zaman sekarang, tetapi apa yang pasti, ianya hanya segelintir sahaja.

Ada juga sebilangan ulama, yang jika dahulu, mereka berani mengkritik kerajaan barisan Nasional yang memerintah, tetapi apabila PAS atau BA menjadi Kerajaan, ada sebilangan ulama ini tidak mahu menjadi pengkritik, ianya dibimbangi tidak dapat habuan dunia dalam masa PAS memerintah.

Aku bukan memaksudkan PAS telah melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam, tetapi ada sebilangan pemimpin tertentu agak menjadikan PAS ini bagaikan ”mak bapak dia yang punya”, yang kadangkala suka mengambil keputusan sendiri yang seakan-akan boleh merosakan keadaan.

Maklumlah, pemimpin-pemimpin PAS tersebut bukanlah Malaikat, begitujuga pengkritik-pengkritiknya juga bukannya maksum. Pun begitu, sepatutnya, setiap kritikan yang disampaikan kepadanya bukan sekadar menjadi bahan ejekan dan balas dendam dari pihak pemimpin tersebut, tetapi perlu dibincang dengan baik untuk menilai antara keburukan dan kebaikan disebalik kritikan tersebut.

ULAMA PERLU BERANI

Merujuk kepada sejarah lampau, didapati ulama-ulama terdahulu agak berani dalam menyampaikan kebenaran sehinggakan mereka ditekan oleh pihak pemerintah.

Kita dapat melihat, bagaimana keberanian Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal dalam menghadapi pemerintah pada zamannya. Walaupun asas pemerintahan ketika itu disandarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi disebabkan beberapa perkara yang diamalkan oleh pemerintah ketika itu tidak bersesuaian dengan kehendak Al-Quran dan As-Sunnah ekoran kepentingan yang dikejarnya, maka ulama-ulama ini sanggup berdepan dengan sebarang kemungkinan agar dapat melihat kebenaran terserlah.

Dr Siddiq Fadhil ada menyatakan dalam satu sesi perhimpunan NGO-NGO Islam di kelantan baru-baru ini tentang keberanian yang seharusnya wujud dalam jiwa ulama-ulama dalam menghadapi umara’.

Beliau menyatakan, ulama adalah golongan yang takut hanya kepada Allah. Tetapi yang membimbangkan ialah, dibimbangi wujudnya ulama-ulama penakut. Takutnya itu bukan lagi kepada Allah, tetapi takut dalam menyampaikan kebenaran, ekoran kesenangan yang ditaburkan kepada mereka.

Menurut beliau, ulama-ulama adalah penegur disebalik kesilapan yang dilakukan oleh umara’. Maka dengan itu, adalah lebih baik kalau ulama-ulama itu tidak bergantung dengan pihak umara’. Ianya adalah dibimbangi, ulama-ulama yang bergantung pada umara’ tersebut akan janggal dalam menegur kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh pihak umara’.

Pada beliau, mana mungkin ulama menegur umara’, kalau ulama bergantung dengan umara’.

Dalam keadaan itu, beliau ada menceritakan seorang tokoh ulama yang tidak mahu menjadikan dirinya bergantung dengan pihak umara’. Walaupun ulama itu mempunyai kemewahan, tetapi ia tetap dengan kehidupan yang zuhud dengan memakan roti yang dicelup air garam. Ianya bertujuan agar ia tidak bergantung dengan pihak umara’ yang dengan itu, ia akan berani menyatakan kebenaran walaupun mendapat tekanan dari pihak umara’ sekalipun.

SEMPURNA DENGAN PRO DAN KONTRA

Kehidupan manusia ini tidak lari dari pro dan kontra. Pro dan kontra perlu diimbangi dengan pemikiran yang sihat, bukan dengan kehendak hawa nafsu dan emosi semata-mata. Ianya adalah bertujuan untuk melahirkan natijah yang baik disebalik perselisihan tersebut.

Allah juga menyatakan kepentingan disebalik pro dan kontra ini. Dinyatakan oleh Allah bahawa, jika tanpa pro dan kontra, sudah pasti akan berlakunya perbalahan diantara manusia dan bumi ini akan hancur.

Firman Allah;

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الْأَرْضُ

Maksudnya;
“Seandainya Allah tidak menolak sebahagian umat manusia dengan sebagian yang lain, pasti rusaklah bumi ini”

(Surah Al-Baqarah : 251)

Tidak dinafikan tidak semua manusia itu mempunyai jalan hidup yang tepat dan betul, bahkan kadangkala, dikala menjalani kehidupan, terdapat kesilapan dan kesalahan.

Apa yang pelik, ada sebilangan mereka yang mendakwa pemimpin Islam, bahawa mereka mendakwa pandangan mereka adalah tepat yang wajib “di wala’”, walaupun kadangkala pandangan itu adalah pandangan yang penuh dengan segala keraguan. Ianya seakan-akan menggambarkan pandangan mereka sebaris dengan wahyu Allah SWT.

Ekoran dari keadaan itulah, menyebabkan mereka menjadi umara’ yang tidak boleh ditegur dan dikritik. Mengkritik mereka dianggap seperti mengkritik wahyu yang menyebabkan mereka mengambil sikap marah dan “takabbur” terhadap pengkritik-pengkritik.

Keadaan ini jika berlaku kepada pemimpin-pemimpin UMNO, itu dianggap biasa, tetapi yang luar biasanya, ianya berlaku kepada pemimpin-pemimpin PAS yang baru “sementah jagung” menang dalam pilihanraya baru-baru ini.

PENUTUP

Permusafiranku di beberapa negeri yang dimenangi BA baru-baru ini, menampakkan kepadaku (pada anggapanku) punca kemenangan tersebut.

Aku tidak melihat segala punca itu sebab kemenangan, tetapi punca kemenangan sebenar adalah hadiah dari Allah.

Melihat kepada kemenangan itu adalah hadiah, maka tidak mustahil juga, di masa akan datang, Allah akan mencabut kemenangan tersebut ekoran dari sikap sebilangan pemimpin-pemimpin yang berkepala “tiga suku” ini.

Aku juga berdoa, agar Allah mengugurkan mereka dari memimpin dimasa akan datang. Ianya bertujuan untuk menjamin kemenangan ini berkekalan dimasa akan datang.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://al-bakistani.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com

No comments:

Post a Comment