Wednesday, June 25, 2008

Penafian pakatan sulit 'kahwinkan' semula PAS dengan Umno

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms.

Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jelek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’.

PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri.

Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri.

Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat.

PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama.

PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party.

Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan.

Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC.

Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA.

Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno.

Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA.

PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973.

Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974. PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar.

Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan.

Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu.

Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno.

Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan.

Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno.

Mereka mahu PAS renggang dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka.

PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya.

Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’.

Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya.

Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak.

PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS.

Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan.

Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan.

Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja.

Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini.

PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi.

Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini.

Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno.

Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini.

Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini.

Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan.

Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.



YB Haji Mahfuz Omar

Ketua Penerangan PAS

Friday, June 20, 2008

Pertubuhan Khidmat Masyarakat Cacat Penglihatan Dipermainkan



"Sedikit sebanyak, kekesalan tu sememangnya terasa apabila pihak sekolah buat kami seperti ini. Sepatutnya pihak sekolah memaklumkan kepada kami lebih awal. Bagi saya, tindakan pihak sekolah boleh dianggap menderhaka kepada kerajaan negeri yang memerintah di Kedah. Ini bagi pendapat sayalah"


PADANG SERAI: Kesal dengan tindakan pihak sekolah tidak mengizinkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ustazah Siti Ashah Ghazali masuk ke kawasan sekolah, Pertubuhan Khidmat Masyarakat Cacat Penglihatan (PEKHIDMAT) tetap meneruskan Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Kali Kedua pertubuhan tersebut di tempat berasingan.

Pengerusi PEKHIDMAT, Ramli Abu Bakar yang ditemui pada majlis tersebut mendedahkan, mesyuarat agong pertubuhan tersebut sepatutnya diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Lela Pahlawan di sini bermula 24 Mei dan berakhir 26 Mei.

Bagaimanapun, pihak sekolah menghubungi beliau dua hari sebelum program melarang Ustazah Siti Ashah masuk ke kawasan sekolah. Jelas beliau, apabila perkara itu diminta penjelasan, pihak sekolah sekadar menjawab ‘arahan pihak atasan’. Beliau yang seterusnya merayu kepada guru besar, bagaimanapun menerima jawapan yang sama.

“Perjumpaan kali pertama dengan pihak sekolah iaitu dua minggu sebelum majlis tersebut dan pihak sekolah telah menyatakan persetuju melalui surat yang dikeluarkan,” jelas beliau yang hadir jauh dari Kuala Lumpur semata-mata untuk menjayakan program tersebut. Tidak mahu bertentangan dengan pihak sekolah, beliau menjelaskan pihaknya mengambil keputusan menyewa khemah untuk mengadakan majlis di tempat berasingan.

“Sedikit sebanyak, kekesalan tu sememangnya terasa apabila pihak sekolah buat kami seperti ini. Sepatutnya pihak sekolah memaklumkan kepada kami lebih awal. “Bagi saya, tindakan pihak sekolah boleh dianggap menderhaka kepada kerajaan negeri yang memerintah di Kedah. Ini bagi pendapat sayalah,” ujarnya yang turut memaklumkan program lain tetap diteruskan di sekolah berkenaan dengan bayaran sewa yang dikenakan pihak sekolah.

Bagi Penyelia PEKHIDMAT Zon Utara, Ahmad Kamal Abu Bakar yang menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian tersebut turut meluahkan rasa kesalnya yang tidak terhingga terhadap tindakan itu. “Kita jangan anggap kita 50 tahun memerintah, kita anggap kitalah paling raja dalam segala raja. Kita manusia biasa, tidak kekal kuasa yang ada pada kita. “Kita akan mati, kuasa akan pergi dari kita. Harta yang banyak kita akan tinggal.

Apa yang kita akan bawa? Kain putih, kain kafan itu sahaja,” katanya diawal ucapan. Beliau turut mengingatkan agar tidak sombong dan berlagak sombong dengan manusia apatah lagi dengan Allah SWT serta tidak bersikap besar diri di atas muka bumi Allah kerana semua manusia akan kembali kepada Allah.“Cuba kita fikir apa yang mereka buat? Lebih teruk daripada beruk!” ujarnya yang nyata sukar membendung rasa kesalnya dengan perkara tersebut.

Menurutnya lagi, manusia perlu dikenalkan dengan Islam, bukan Islam Hadhari. Islam jelasnya, adalah agama yang syumul dan bukan agama yang ada had dan hari. Oleh itu, katanya mestilah berpegang kepada Islam yang dibawa oleh Rasulullah. Diakhir ucapannya, beliau menjelaskan PEKHIDMAT telah ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dengan nama asal Barisan Alternatif. Bagaimanapun ia kemudian didaftarkan secara rasmi empat tahun lalu dan menjalankan mesyuarat agongnya secara tahunan.

Sementara itu, Ustazah Siti Ashah yang berucap merasmikan mesyuarat agong tersebut melahirkan rasa sedih dan kesalnya dengan tindakan pihak berkenaan. Jelasnya, tindakan itu berupa satu penganiayaan yang tidak sepatutnya dilakukan kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi kepada mereka yang kurang upaya dan sewajarnya dilayan dengan penuh prihatin. Biarpun majlis tersebut dijalankan secara berasingan di bawah khemah, namun suasana muhibbah dan meriah jelas terasa dengan paluan kompang, salawat dan acara memotong kek sebagai simbolik perasmian.






sumber : KedahLanie

Thursday, June 12, 2008

AKAN PUPUSKAH BAHASA PERJUANGAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Mengasihi

Pemuda dan pemudiku. Pada 16 Jun 2008 nanti, genaplah 100 hari pemerintahan Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat di 5 buah negeri.

Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz, sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan dimana sahaja menyampaikan ucapannya terus konsisten menjelaskan asas perjuangan PAS yang diperjuangkan iaitu membawa manusia kepada Beriman kepada Allah dan Perkara Ghaib.

Kebimbangan ku ialah kepada pemuda dan pemudiku di negeri yang baru berjaya memerintah.

Apakah akan pupus selepas ini untaian-untaian kata didalam program tarbiyyah dan ceramah umum kita seperti:-

a. “Kita mesti mencari keredaan Allah bukan keredaan manusia” ditukar kepada “Kita mesti menjaga hati pengundi yang mengundi kita”

b. “Runtuhkan jahiliyyah dan tegakkan Islam di atas runtuhan jahiliyah tersebut” ditukar kepada “Kita akan meneruskan program-program yang ada kerana kalau tak ubah takkan jadi kafir kut”

c. “Kita mesti melaksanakan Islam yang syumul” ditukar kepada “Kita mesti melaksanakan secara berperingkat….. mungkin 50 tahun baru boleh sampai tahap syumul kita bukan nabi dan Kelantan”

d. “Iqamatu Deen, wa siasatut dunia bih” ditukarkan kepada “Kurang sesuai lagi kita nak laksana sekarang kerana masyarakat masih tak faham, kita kena bagi faham dulu”

e. “Kita mesti mengubah undang-undang ciptaan penjajah” ditukar kepada “Takkan semua kita nak kena tiru Kelantan”

f. “Kita mesti tubuh PASTI, sekolah rendah, menengah dan kolej sendiri untuk melatih kadir-kadir Islam kita dengan syakhsiah kita sendiri yang memahami bahasa Al-Quran” ditukar secara praktikal kepada “Ape enta pakai tak begaya nia….. sekarang kita kena pakai kot necktie, mesti tau cakap bahasa penjajah ………..kita jangan tunjuk lekeh”

g. “Omar Abdul Aziz ketika sebelum berkuasa adalah seorang hidupnya mewah, tetapi selepas berkuasa meninggalkan segala kemewahan tersebut……. bla…bla….” Ditukar kepada “Kita jangan tunjuk lekeh, kita kena tunjuk kepada mereka, kita pun tahu guna semua itu dan ia mana ada nas kata haram…. bla…. bla…usul fiqh… bla… bla”

g. Dan banyak lagi yang mungkin akan ditukar (pemuda dan pemudiku boleh tulis sendiri dan semak takut ianya berlaku kepada diri kita sendiri)

Mungkin apa yang ku tuliskan ini masih belum terjadi lagi dan tidak pernah terjadi kepada negeri-negeri baru yang kita perintah.

Tetapi naluriku merasa amat bimbang, jika pemuda dan pemudi ku tidak berlatih untuk sentiasa bertutur dalam mana-mana pertemuan dan perjumpaan serta mempraktikkan seperti Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz, Mursyidul Am PAS maka bahasa dan tindakan jujur dan benar kepada Islam yang diperjuangkan lambat laun akan pupus dari kamus perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Apabila ianya pupus, akibatnya Allah Taala akan mencari orang lain sebagai pengganti untuk meneruskan perjuangan Menegakkan AgamaNya tanpa takut kepada celaan orang yang mencela.

Ya Allah lindunganlah kami semua dibawah lembayung rahmat Mu, untuk terus berada di Sirathol Mustaqim.



Aris Awang
http://arisawang.blogspot.com

Tuesday, June 10, 2008

Program : Treasure Hunt Bermotosikal Sekitar Lunas

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan Taman Sejahtera dan Jawatankuasa PASTI Al-Muaz akan mengadakan program Treasure Hunt pada :

Tarikh : 15 Jun 2008 (AHAD)
Masa : 8.00 pagi - 1.30 tengah hari
Tempat : Sekitar Lunas & Kelang Lama
Yuran Penyertaan : RM20.00 per motosikal

*Hadiah yang ditawarkan :
1] RM150.00 + Hamper
2] RM100.00 + Hamper
3] RM75.00 + Hamper
4] - 10] Minyak MAXOIL dll


Tujuan : MENCARI DANA UNTUK PEMBELIAN KHEMAH PELAJAR PASTI

Hubungi wakil PASTI/Pemuda Cawangan untuk penyertaan :-
a) Zalmal : 019-448 8441
b) Ridzuan : 019-411 6811
c) Hj. Azman : 019-474 0424
d) Jusri : 017-428 3285

Tarikh tutup penyertaan : 11 Jun 2008

Alamat PASTI untuk mendaftarkan penyertaan ANDA :

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)
PASTI AL-MUAZ
No. 304, Lorong Desa Seni 3/4
Taman Desa Seni
09600 Lunas
KEDAH DARUL AMAN

* Jumlah hadiah tertakluk kepada penyertaan

Thursday, June 05, 2008

Harga Minyak : Dunia turun, Malaysia naik

DPPKPS kesal dengan kenaikan harga minyak yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia pada petang semalam. Penurunan harga minyak dunia dari USD160 setong kepada USD122 setong pada malam tadi sepatutnya menyebabkan Kerajaan Malaysia mengurangkan harga minyak bukannya menaikkannya. Kerajaan Malaysia disaran berhati-hati selepas ini dengan menaikkan harga minyak sesuka hati. Nanti rakyat akan naik minyak!

Saifol Nizam Nordin
Ketua Penerangan DPPKPS

Minyak : Asalkan Melayu. Mudah Dikelirukan

AdukaTaruna writes "Oleh : AdukaTaruna

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Bila bercakap tentang strategi, Melayulah yang paling lemah. Ini kerana mereka tidak memiliki imaginasi yang kuat. Mudah dan terlalu mudah dikelirukan. Termasuk pemimpin pembangkang Melayu.

Ketika kemuncak amarah rakyat zaman reformasi, di pihak kerajaan, berlakunya satu kebimbangan rampasan kuasa oleh pihak tentera. Maka, helah ini digunakan. Yakni menimbulkan satu maklumat risikan kononnya, bahawa Singapura mahu menakluk Malaysia. Terpecahlah fokus tentera Malaysia ketika itu.

Kemudian, ketika pengumuman pembatalan dakwat oleh SPR. Kebimbangan rakyat akan berdemo secara besar-besaran. Maka, sekali lagi teknik ini digunakan. Timbulnya ura-ura terdapat cetakan baju BERSIH bersar-besaran untuk berhimpun menggunakan nama BERSIH. Fokus dialihkan. Niat dibatalkan.

Sekali lagi yang terbaru. Bimbang protes rakyat bakal menjadi revolusi negara. Maka, berlaku lagi helah ini. Timbulnya maklumat-maklumat kononnya menangkap ISA pemimpin Barisan Rakyat. Atau ada pihak sudah merancang untuk sabotaj dan sebagainya.

Kebimbangan pemerintah.

Cuba anda semua berada di sudut pemerintah seketika. Ketika kesedaran rakyat terhadap isu-isu negara dalam keadaan tinggi, dengan 5 negeri diperintah Barisan Rakyat, beranikah mereka berhadapan dengan kekacauan politik sekiranya menangkap pemimpin taikun Barisan Rakyat? Mereka sendiri adalah golongan yang dilahirkan tanpa mengenal erti susah. Tekanan antarabangsa, tekanan rakyat, kekacauan politik akibat tindakan mereka itu boleh membelit tengkuk keselesaan dan kemewahan diri mereka.

Mampukah mereka berhadapan sesama kompenan BN yang sudah pasti akan berpecah, dan berhadapan dengan pemilihan Agong UMNO atau pemimpin UMNO lain sekiranya tindakan itu dilakukan?

Kuasa rakyat banyak mengheret pemimpin tamak turun.

Tidak perlu disenaraikan pemerintah negara dunia termundur (dunia ketiga) yang direntap turun melalui perarakan jalanan rakyat berbanding PRU. Seolah-olah itu adalah syarat negara dunia ketiga (termundur) untuk memasuki landasan perubahan.

Ini yang ditakuti mereka. Dan helah ini yang banyak memperbangangkan Melayu yang sedia ada bangang. Kalau takut dengan risiko di tahan ISA, tidak perlu jadi pemimpin Barisan Rakyat, jadi rakyat biasa macam wa.

Wallahualam.

http://adukataruna.blogspot.com/

Wednesday, June 04, 2008

Petrol/Diesel Naik : Tahniah pengundi BN!

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) mengucapkan tahniah kepada para pengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu di atas kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri petang tadi. Bagi kami dan rakyat marhain lain, kenaikan harga minyak ini memberikan beban kepada perbelanjaan seharian setiap individu di Malaysia. Kenaikan ini haruslah dibanggakan oleh para pengundi BN yang masih mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional sebagai Kerajaan Pusat.

DPPKPS mengajak dan merayu kepada semua rakyat terutamanya yang beragama Islam yang turut merasai bebanan kenaikan harga minyak ini untuk sama-sama kita memohon dan mengadu nasib hanyalah kepada Tuhan Rabbul Jalil di atas penganiayaan yang dilakukan oleh Pemerintah Zalim Barisan Nasional di atas kenaikan harga minyak ini. Balasan yang setimpal hanyalah layak bagi Yang Maha Menguasai Kerajaan Langit dan Bumi untuk membalas di atas perbuatan mereka itu.


Webmaster

Monday, June 02, 2008

PAS SELANGOR WAJIB BERUSAHA TUTUP KILANG ARAK

PAS SELANGOR WAJIB BERUSAHA TUTUP KILANG ARAK

Pada 31 Mei baru-baru ini, aku telah dibawa oleh seorang kawan telah membawaku pergi ke daerah Kulim, Kedah. Disana aku dibawa berjumpa dengan seorang tokoh dalam PAS yang sejarahnya sudah dimalapkan oleh PAS sendiri.

Seorang tokoh yang merupakan antara orang terawal menjadi pensyarah pengajian Islam di Universiti Malaya. Orang yang pernah berjuang bersama-sama dengan Dato’ Asri. Orang yang pernah memegang jawatan besar dalam PAS. Tetapi kini, sumbangan beliau dalam perjuangan islam sudah semakin dimalapkan.

Ustaz Ali Taib adalah merupakan seorang tokoh yang selayaknya diberikan penganugerahan terhadap perjuangannya. Perjuangan yang menekankan Islam sebagai pegangan hidup dan dasar perjuangan PAS, merupakan penyebab utama beliau bergiat aktif dalam PAS di awal 80 an.
Ustaz Ali Taib (Bekas YDP PAS Kawasan Padang Serai)

Pun begitu, disebabkan kelantangan beliau terhadap beberapa tindakan sebilangan pimpinan PAS yang dilihat seakan-akan bersifat Nasionalis, menyebabkan beliau tertendang dari perjuangan PAS.

Sebilangan pimpinan PAS tertentu sahaja yang dipuji oleh Ustaz Ali Taib dan sebilangan yang lain, pada pandangan beliau, masih lagi menjadikan Islam sebagai alat kepada PAS.

”Sepatutnya kita perlu menjadi alat kepada Islam, bukannya kita memperalatkan Islam untuk Parti”, itulah kata-kata keramat beliau yang menyebabkan aku berfikir tentang realitinya.

KEADAAN YANG SAMA

Setelah pulang dari Kedah, aku mendapat beberapa SMS dari sebilangan sahabat tentang kenyataan Dr Hasan Ali yang merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, merangkap Exco Agama Kerajaan Selangor tentang kenyataan beliau berkenaan dengan status kilang-kilang arak dan kedai-kedai judi di selangor.

Aku tidak mengetahui tentang kenyataan Dr Hasan Ali itu. tetapi, tetap mahu mengetahui tentang kenyataan tersebut.

Membuka beberapa laman web, didapati memang benar bahawa Dr Hasan Ali ada mengeluarkan kenyataan sedemikian. Membaca berita sedemikian, aku mula berfikir dengan beberapa tindakan Dr Hasan Ali yang sering mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan bagaikan PAS ini macam ”mak bapak” dia yang punya.

Padaku, kenyataan itu bukanlah dari lidah rasmi PAS, tetapi ianya datang dari kenyataan peribadi Dr Hasan Ali yang tidak memahami tentang agama ini dengan kefahaman yang tepat.

Sebelum ini pun, banyak kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan Dr Hasan Ali yang tidak merujuk kepada Jemaah, bahkan hanya terbit dari mulut beliau, lalu dianggap sebagai kenyataan Jemaah. Dan kadangkala, kenyataan-kenyataan itu bercanggah dengan dasar PAS yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas perjuangan dan syura sebagai asas penyelesaian kemelut.

Tindakan Dr Hasan Ali ini, sedikit sebanyak membenarkan kenyataan Ustaz Ali Taib yang menyatakan bahawa, ada sebilangan pemimpin PAS menjadikan Islam sebagai alat mereka, bukannya menjadikan mereka sebagai alat kepada Islam.

ARAK DAN JUDI

Sepertimana yang telah dimaklumi, arak dan judi adalah dua unsur yang telah diharamkan oleh Allah secara Qatii. Tidak boleh dinafikan pengharamannya. Menafikan pengharamnya boleh membawa kepada kufur.

Pun begitu, dalam isu menentukan kewujudan Kedai arak dalam negara Islam, perkara ini dikhilafkan oleh Ulama.

Ada ulama yang membenarkan, dan ada ulama yang mengharamkan. Pun begitu, pendapat ulama yang membenarkan itu pun masih lagi tertakluk dengan syarat, iaitu hendaklah dipastikan kewujudan kedai arak itu dipenempatan non muslim sahaja, disamping kewujudan kedai arak itu tidak mencacatkan imej sesebuah negara atau negeri.


Dalam kes selangor, yang tersergam gagah beberapa buah kilang arak, bukanlah perkara yang dibenarkan oleh syarak. Ianya kerana, kewujudan itu telah menggambarkan kecacatan pada negari selangor disamping kewujudan kilang itu bukanlah untuk memenuhkan keperluan non muslim, tetapi sudah menjadi bahan keuntungan dalam perniagaan.

Maka dengan itu, wajibnya pihak berkuasa menghentikan perniagaan Kilang arak tersebut. Jika tidak berbuat demikian, kerajaan tersebut merupakan kerajaan yang dayus, walaupun kerajaan itu masih dilebelkan sebagai negara Islam sekalipun.

TUTUP KILANG ARAK

Arak merupakan maksiat dan kemungkaran. Setiap maksiat dan kemungkaran yang berlaku, wajib dicegahi agar tidak menimpa umat. Mencegah maksiat itu dinamakan sebagai nahi mungkar.

Dalam mencegah kemungkaran, tidak cukup sekadar kita berceramah dan berforum siang dan malam. Tetapi, lebih dari itu adalah, perlunya mendapat kuasa dalam menghapuskan segala kemungkaran yang berlaku.

Apabila mendapat kuasa, sewajibnya berusaha untuk menghapuskan semua kandungan maksiat yang berlaku dibawah kekuasaaan kita. Jika tidak dilakukan juga, kita adalah manusia yang dayus dengan kuasa yang ada.

Sabda Nabi SAW;

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya;
”Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ditukar dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman” (Sahih Muslim : 70)

Dalam mensyarah hadis ini, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Qadi Iyadh dengan katanya;

هَذَا الْحَدِيث أَصْل فِي صِفَة التَّغْيِير فَحَقُّ الْمُغَيِّر أَنْ يُغَيِّرهُ بِكُلِّ وَجْه أَمْكَنَهُ زَوَاله بِهِ قَوْلًا كَانَ أَوْ فِعْلًا

Maksudnya;
“Hadis ini adalah asal (dalil) pada sifat mengubah (dari mungkar kepada ma’ruf). Hak (wajib) kepada pengubah bahawa mengubahnya (maksiat) itu berdasarkan kepada kemampuannya yang dia mampu sehinggakan maksiat tersebut terhapus, samada dengan perkataan atau dengan perbuatan”(syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim: 1/131)

Memang tidak dinafikan, kuasa PAS dalam kerajaan Selangor amat terhad. Keadaan ini berlaku disebabkan pembahagian kuasa yang berlaku antara parti PAS, PKR dan DAP dalam kerajaan.

Pun begitu, dalam berusaha hendak mengubah kemungkaran, sebagai parti yang merupakan salah satu badan yang berada dalam kerajaan, sewajibnya melakukan usaha sekadar mampu yang mungkin, seperti memberi cadangan atau desakan kepada pihak kerajaan atas perinsip ini.

Pihak kerajaan menerima atau tidak, itu diserahkan kepada ahli mesyuarat kerajaan, tetapi tindakan memberikan cadangan dan desakan kepada pihak kerajaan merupakan tindakan yang wajib.

Jika tidak berbuat demikian, exco-exco PAS yang berada dalam kerajaan sudah dikira sebagai dosa dan wajib bertaubat kepada Allah.

PENUTUP

Sebagai ahli PAS yang memegang beberapa jawatan kecil dalam parti, banyak tindakan pihak kerajaan Pakatan rakyat di Selangor yang aku tidak berpuas hati. Ketidak puas hati disebabkan kelemahan exco-exco PAS dalam kerajaan dalam mengambil kesempatan dalam menyampaikan dan melaksanakan Islam dalam kerajaan.

Arak merupakan perkara yang diharamkan oleh Allah. Ianya menjadi isu turun temurun oleh PAS dikala berlaku pilihanraya untuk menolak UMNO.

Pun begitu, semenjak PAS menjadi salah sebuah parti bersama kerajaan Pakatan rakyat di selangor, aku tidak dapat lihat lagi kesungguhan exco-exco PAS dalam kerajaan dalam berusaha untuk menutup kilang arak yang mencacatkan pandangan dunia terhadap selangor.

Yang lebih menyedihkan, disaat kita menunggu kesungguhan exco-exco ini melakukan usaha menutup kilang arak, tetapi yang terpancul dari mulut mereka hanyalah kenyataan yang boleh disifatkan sebagai seakan-akan tidak mahu berusaha langsung dalam menutup kilang-kilang arak ini.

Padaku, baik semua exco PAS ini letak jawatan sahaja dalam kerajaan, kemudian digantikan dengan orang yang ada kesungguhan dalam mendaulatkan islam, seperti Dr Syafii dari Bangi dan sebagainya.

Sekian

Al-Bakistani
http://al-bakistani.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com