Thursday, October 09, 2008

Kuota 50 peratus: Jangan jadikan isu perkauman

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyokong penuh dasar baru Kerajaan Negeri Kedah mewajibkan peruntukan 50 peratus lot bumiputera dalam semua projek perumahan di negeri ini.

DPPNK mengajak Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Kedah/Perlis dan semua pihak menyedari bahawa rumah adalah keperluan asas setiap manusia. Oleh itu ia tidak harus dilihat sebagai satu dagangan sebaliknya hak yang perlu diberi kepada setiap manusia.

Menginsafi terdapat rakyat berkemampuan, namun lebih ramai mereka yang kurang berkemampuan, maka sewajarnya pemaju mengutamakan projek-projek perumahan mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakan di negeri ini dengan mengambil kira demografi sosio-ekonomi semasa.

DPPNK melihat selama ini hak asas manusia telah dimanipulasi dan diperdagangkan melalui kapitalisme yang diamalkan pemaju dengan berorientasikan keuntungan semata-mata. Pemaju perlu melihat perkara ini sebagai satu tanggung jawab sosial kepada masyarakat. Memandangan rumah adalah keperluan asas, keuntungan bukanlah pertimbangan utama walaupun keuntungan itu diperlukan oleh pemaju.

DPPNK percaya para pemaju hartanah dan perumahan di negeri ini telah lama meraih keuntungan daripada industri ini malah kouta 30 peratus yang ditetapkan sebelum ini telah kerap kali diketepikan melalui pelbagai teknik niaga yang 'dimainkan' oleh pemaju. DPPNK juga percaya dengan dasar kuota 30 peratus itu dan diskaun 5 peratus untuk setiap lot bumiputera menyebabkan pemaju memindahkan beban kekurangan keuntungan dengan menaikkan harga rumah bagi lot bukan bumiputera. Tindakan ini nyata tidak wajar. Malah ada golongan yang berkemampuan mengambil kesempatan menjadikan keperluan asas ini sebagai dagangan dan pelaburan sedangkan masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan rumah.

Rehda dan semua pihak perlu melihat tindakan Kerajaan Negeri sebagai mengembalikan hak kepada setiap mereka yang berhak di mana selama ini telah dinafikan. Dasar Kerajaan Negeri hendak memastikan setiap rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri wajar diberi sokongan padu.

Realitinya juga perlu diakui bahawa dari 1.9 juta penduduk Kedah, 70 peratus adalah bumiputera, maka amat wajar kuota sebanyak 50 peratus tersebut. Kaum bukan bumiputera tidak harus bimbang dengan dasar baru ini kerana mereka tidak akan hilang sebarang hak.

Pemaju mungkin melihat soal kemampuan ekonomi bumiputera sebagai antara sebab untuk tidak bersetuju dengan dasar baru Kerajaan Negeri di mana margin keuntungan pemaju bakal berkurangan. Pun begitu, Rehda tidak harus menjadikan ianya sebagai alasan untuk tidak bersama pemerintah negeri ini merealisasikan dasar pemilikan rumah kepada setiap rakyat Kedah. Telah terzahir bukti, apabila pemaju hanya mementingkan keuntungan melalui projek perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki rakyat negeri ini seperti di Sungai Petani dan Kulim, maka ia telah menjadi milik orang luar dari negeri ini. Isu rumah tidak terjual juga tidak harus ditimbulkan jika pemaju mengamalkan pembahagian kawasan perumahan mengikut blok seperti mana di Taman Ria dan Taman Keladi di Sungai Petani.

Rehda juga sebagai sebuah persatuan tidak harus menjadikan hak asas ini sebagai 'peluang' melipat gandakan keuntungan sebaliknya menghulurkan kerjasama kepada Kerajaan Negeri selaku pemerintah negeri ini untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. Kerajaan Negeri juga sudah tentu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pemaju dalam hal ini. Sebagai sebuah kerajaan untuk semua, sudah pasti Kerajaan Negeri Kedah juga memikirkan soal keuntungan pemaju, pun begitu industri ini bukanlah tempat membina keuntungan di luar kewajaran yang sepatutnya.

DPPNK yakin melalui Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC), sebarang projek akan lebih terjamin dan bertanggung jawab serta terhindar dari sebarang bentuk bebanan kepada rakyat. Sehubungan itu, DPPNK menggesa Kerajaan Negeri melalui GLC mengambil alih tanggungjawab tersebut dalam mengimbangi persaingan dengan pemaju sedia ada di samping merealisasikan hasrat dan dasar Kerajaan Negeri kepada kepentingan rakyat.

DPPNK melihat Rehda telah mempolitikkan keadaan seolah-olah Kerajaan Negeri sedang menganiaya kaum lain di negeri ini. Dengan ini, DPPNK memberi amaran kepada Rehda agar jangan mempolitikkan isu ini yang sebenarnya berlegar kepada persoalan keuntungan pemaju menjadi isu perkauman. Jangan cuba menutup kekurangan keuntungan pemaju dengan menjadikan keharmonian kaum di negeri ini sebagai mangsa. DPPNK menegaskan tidak wujud sama sekali soal perkauman dalam perkara ini kerana di kalangan pemaju juga terdapat pemaju bumiputera.

DPPNK juga dengan ini menggesa Ketua Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid menyatakan pendirian Umno Kedah terhadap perkara ini.

Bersamalah kita mendukung hasrat Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.


USTAZ MUSODDAK HAJI AHMAD
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Tuesday, October 07, 2008

Ghairah dan ghurur dalam politik

Satu artikel yang menarik untuk kita menghimbau kembali kegagalan dan kejayaan PAS Kedah yang selayaknya dijadikan iktibar dalam kita mempolemikkan isu peralihan kuasa melalui proses ‘lompatan’. Sangat tertarik dengan ayat terakhir penulisan ini iaitu, “Harga bagi PAS ialah Islamnya”

Oleh Zulkifli Yahaya

Berbekalkan kemenangan 12 kerusi Dun pada pilihan raya umum 1999, PAS merasai mendapat kekuatan luar biasa di negeri Kedah.

Jabatan Pilihan Raya Negeri kemudian merancang satu agenda lebih besar iaitu melancarkan Tahun Tawan Kedah 2003.

Ia diperbaharui pada tahun 2004 apabila pilihan raya tidak diadakan pada tahun 2003. Misinya digahkan dalam slogan yang dicanangkan ke seluruh negeri.

Selepas kalah teruk pada pilihan raya umum 2004, masing-masing baru menyedari bahawa keghairahan mencanangkan misi dan visi adalah satu kesilapan dalam berdepan dengan BN yang masih berkuasa.

Kuasa dan BN hampir sinonim. Macam nyawa dan badan. Takutnya BN pada kehilangan kuasa macam takutnya manusia hilang nyawa.

Ancaman ‘Tahun Tawan Kedah 2004′ benar-benar menggoncang tangkai jantung BN, lantas pelbagai agenda dilaksanakan bagi menggagalkan hasrat PAS. Sementelahan mereka ada kuasa dan wang. By crook or by hook BN mesti terus berkuasa.

Tabiat manusia, apabila terlalu ghairah maka tindakan yang diambil mengetepikan kerasionalan. Mereka lupa antara strategi yang perlu disembunyikan dan perkara yang wajar didedahkan.

Kesilapan seperti ini juga pernah berlaku pada BN. Pilihan raya kecil Lunas 2001, Ketua Pemuda BN mengumumkan strategi mereka untuk memenangkan calon BN.

Dato’ Seri Hishamudin Tun Hussein menjelaskan bahawa jentera Pemuda BN akan turun menemui setiap orang pengundi muda bagi menyampaikan mesej mereka.

Kelakarnya, selepas membuat pengumuman tersebut Hishamudin cabut ke luar negeri untuk bercuti.

Pihak lawan yang mendengar strategi BN itu lalu mengambil langkah mengatasinya. Barisan Alternatif (waktu itu) mengatur tindak balas dengan ‘turut’ menemui setiap orang pengundi muda bagi menyampaikan mesej.

Walhal BN yang mendedahkan strategi tadi, tidak pun melakukan seperti yang diumumkan. Keputusannya BN kalah.

Pilihan raya kecil Pendang/Anak Bukit adalah iktibar anugerah Allah yang paling baik untuk dikenang oleh pejuang Islam khususnya.

PAS meletakkan harapan 50-50 untuk menang di Anak Bukit selepas melihat saingan sengit dibuat oleh BN di situ. Selepas ikhtiar, pergantungan selebihnya adalah terhadap Allah SWT.

Di Pendang, ada yang sudah menjentik kerongkong menghitung majoriti yang bakal diperolehi oleh PAS. Hasilnya, PAS menang di Anak Bukit dan tewas di Pendang dengan majoriti 283 undi. Sekali lagi tabiat manusia memperlihatkan bahawa kita tawaduk bila merasa diri tidak terlalu kuat lalu mengalih pergantungan kepada Allah dan menjadi ghurur (tertipu) dengan kekuatan sendiri bila terlalu ghairah.

Ekoran kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN dalam pilihan raya umum lalu, timbullah keghairahan luar biasa pakatan pembangkang untuk meneruskan kemaraan.

Entah siapa yang memulakan, tiba-tiba muncul dakwaan bahawa ahli-ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak akan melompat beramai-ramai menyertai pakatan pembangkang, yang kemudian dinamai Pakatan Rakyat.

Dari desas-desus ia kemudian bertukar kepada agenda politik. “Kami dah cukup bilangan ..,” menjadi ungkapan politik yang dijaja sejak berbulan.

Di sebalik keghairahan tersebut, timbul persoalan jika benar ’sudah cukup bilangan’ bijakkah strategi menjaja perkara tersebut saban waktu, sedangkan BN masih berkuasa?

Mereka boleh guna senjata ugut atau habuan kebendaan. Mereka mampu buat apa saja untuk melindungi ahli Parlimen dari melompat.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pendokong perjuangan Islam supaya tidak terlalu ghairah hendak berkuasa sehingga lupa matlamat perjuangan.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli supaya konsisten dengan dasar perjuangan yang berlandaskan Islam dalam apa jua keadaan.

Di awal perjuangan Rasululah s.a.w., baginda pernah ditawarkan untuk menjadi penguasa Makkah tetapi ditolaknya. Para ilmuan Islam menghuraikan sebab-sebab penolakan tersebut.

Apa pun hujah terhadap penolakan tersebut, sirah memberitahu bahawa bukan sikap Islam untuk asal saja peluang berkuasa terhidang, membujur lalu melintang patah. Ada perkiraan yang yang perlu diambil kira.

Antara perkiraannya dasar perjuangan yang perlu didahului sebelum berkuasa. Bukan berkuasa dahulu, dasar kita fikir kemudian.

“Anta mudah cakap macam tu sebab tak jadi ahli Parlimen. Kalau jadi ahli Parlimen anta pun siang malam dok fikir nak jadi menteri..,?" ujar Adnan Saad, bekas Ketua Pemuda PAS Kedah sambil ketawa terbahak-bahak.

Gurauannya agak kasar. Ahli Parlimen kita tidak seburuk itu.

Ahmad Lutfi Othman menulis perihal perlunya kepimpinan PAS tidak menjarakkan diri dengan Dato’ Seri Anwar, di saat percaturan kuasa dilakukan.

Dalam Pakatan Rakyat tiada siapa yang dominan. Semua saling bergantung. Masing-masing boleh letak harga. Harga bagi PAS ialah Islamnya. - mr