ALOR STAR: Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi guru sekolah agama rakyat (SAR) di negeri ini berkuat kuasa semalam.
Menteri Besar, Azizan Abdul Razak, berkata kenaikan itu dibuat mengikut Skim Saraan Malaysia (SSM), selaras dengan tangga gaji yang diterima oleh guru sekolah kebangsaan.
“Sebelum ini, tangga gaji guru SAR tidak mengikut kelulusan yang mereka miliki, justeru kerajaan negeri meluluskan permohonan untuk menaikkan gaji mengikut gred SSM,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Beliau berkata, kenaikan gaji kepada 214 orang guru SAR di 21 buah sekolah itu membabitkan peruntukan RM2.5 juta bagi tahun ini saja.
Mengenai peletakan jawatan anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya, Azizan berkata, pihaknya sudah menerima surat berhubung perkara itu hari ini.
“Lantikan baru akan dibuat selepas mesyuarat Exco minggu depan,” katanya.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan semua 1,938 JKKK serta ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya daripada Umno meletak jawatan berkuat kuasa semalam ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini dalam pilihan raya umum, 8 Mac lalu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment