Wednesday, February 13, 2008

PAS sesiakan peluang lonjakkan agenda perkasa Muslimat

Oleh : Puteri Gunung Ledang www.harakahdaily.net


PAS dilihat terlalu konservatif dalam penglibatan Muslimat sebagai calon pilihan raya.

Apakah PAS mensia-siakan peluang bagi melonjakkan agenda memperkasakan perjuangan Muslimat? Kehangatan demam piliha raya telah mula dirasai kini. Di dada-dada akhbar arus perdana yang dimiliki oleh BN telah mula timbul spekulasi calon-calon bertali arus setiap hari.

Pakar-pakar strategi mereka mula menganalisa respons dan tindak balas masyarakat umum. Mereka giat memainkan isu-isu tertentu bagi mempengaruhi sikap dan tanggapan para pengundi.

Mereka juga giat berusaha memadamkan isu-isu yang dianggap merugikan, dengan membesar-besarkan isu pembangunan wilayah seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan lain-lain.

Di dalam hiruk pikuk dan riuh rendah spekulasi calon-calon BN yang dimainkan oleh mereka belum dapat dilihat adanya agenda menarik untuk wanita.

Malah calon-calon wanita utama BN di peringkat Parlimen sudah boleh diduga. Mereka hampir pasti majoritinya terdiri daripada kalangan pimpinan utama kini yang telah bergelar nenek, terutamanya daripada Umno.

Situasi ini cuba diberikan gambaran yang baik dengan janji-janji pertambahan calon-calon daripada Puteri Umno di peringkat Dun. Suasana ini membuat masyarakat mengalihkan pandangan kepada BA dan parti-parti pembangkang untuk melihat sebarang petunjuk yang dapat memberikan harapan jelas terhadap isu-isu memperkasakan perjuangan wanita.

Peluang keemasan ini cepat direbut DAP dengan pengumuman dan janji mereka untuk menambahkan calon wanita sekali ganda daripada kalangan pelapis muda dan profesional.

Begitu juga KeADILan yang telah turun padang menemui para pengundi dan mengenalkan calon-calon wanita mereka. Semua tindakan ini didorong oleh faktor yang dapat dilihat dengan jelas daripada statistik SPR, bahawa dalam banyak kawasan Parlimen pengundi wanita adalah majoriti dan undi mereka adalah undi penentu kemenangan mana-mana calon.

Bagi PAS pada peringkat awal rata-rata masyarakat telah mula melihat tawaran-tawaran yang menarik bagi wanita yang diutarakan di dalam ceramah-ceramah mereka.

Situasi ini membuat masyarakat menanti-nanti penuh harapan untuk melihat kewibawaan calon-calon muslimat yang akan ditonjolkan. Bagi pihak NGO wanita pula sudah mula memfokus dan meneliti calon-calon tersebut yang akan bersuara di Parlimen.

Suasana ini menggalakkan spekulasi calon-calon muslimat dari kalangan akar umbi PAS sendiri. Dari desas desus dan kerancakan pencalon daripada kawasan-kawasan PAS telah mula terdapat senarai yang ada calon-calon muslimat.

Bagi pakar-pakar strategi BN suasana ini amat mencabar. Sehingga kini mereka masih memantau dan melihat dari jauh tanpa sebarang respon yang jelas.

Bagi NGO wanita pula mereka sudah mulai memberi fokus khusus kepada PAS. Berbagai persoalan timbul, adakah tawaran-tawaran itu hanya cantik di atas kertas? Sejauh mana kesungguhan dan komitmen PAS terhadap isu tersebut? Berapa ramaikah calon-calon muslimat yang akan bertanding di peringkat Parlimen?

DI kalangan akar umbi PAS dilihat suasana ini seolah-olah menjadi satu 'tonik' yang dapat meningkatkan penglibatan ahli-ahli terutama daripada kalangan muslimat dalam kerja-kerja pilihanraya.

Sesungguhnya tenaga muslimat adalah amat penting bagi mencapai kemenangan. Harapan dan tuntutan mereka agar pimpinan PAS bertindak pro aktif merebut peluang ini dan menyusun strategi yang berkesan serta menambah jumlah calon-calon muslimat.

Sejauhmana PAS bertindak dalam menangani peluang terbuka ini masih tidak meyakinkan. Sehingga kini dilihat mengecewakan dan tiada usaha dan pendekatan yang radikal.

Pada mesyuarat AJK PAS Pusat terakhir, 10 Februari lepas desas desus keputusan dan spekulasi yang bertiup kencang pada peringkat akar umbi amat meragukan. Tiada kesungguhan dan komitmen daripada pimpinan tertinggi PAS memastikan suara muslimat akan bergema di Parlimen dengan memberikan kerusi selamat.

Keistimewaan ini nampaknya hanyalah khusus bagi pihak Pemuda PAS saja. Amat aneh pula dijangka status quo calon-calon muslimat di Parlimen hampir kekal seperti pada 2004. Jika ada pertambahan pun tidak akan dapat dilihat sebagai satu lonjakan terhadap usaha-usaha memperkasakan penglibatan muslimat di Parlimen.

Desas-desus yang amat menyedihkan dan melemahkan moral muslimat di peringkat akar umbi PAS adalah ura-ura meletak Ketua Muslimat di DUN pinggir kota atau satu DUN di hulu dekat hutan. Timbalan Ketua Muslimat pula dikatakan tidak bertanding langsung. Malah calon-calon muslimat di DUN-DUN lain pun tiada yang diletakkan pada DUN tumpu yang dijangka meraih peluang cerah untuk menang kecuali mungkin satu kes di Kelantan.

Setengah pihak melihat senario ini sebagai petanda bahawa pimpinan PAS masih lagi dibelenggu oleh kerangka pemikiran yang konservatif. Sikap ini tidak menarik bagi mereka yang berada di kelas pertengahan dari kalangan professional muda terutamanya wanita.

Kumpulan masyarakat ini mula menjadi satu kuasa politik yang vokal dan penting dengan pertambahan graduan dari dalam dan luar negeri setiap tahun. Jika tidak diurus dengan baik jelas PAS tidak akan dapat sokongan bulat dari mereka.

Bagi setengah pihak pula terutama pimpinan PAS di peringkat kawasan melihat petanda ini sebagai satu kelesuan pihak Dewan Muslimat PAS Pusat dalam memperjuangkan agenda ini. Muslimat PAS dilihat terlalu akur dengan sepak terajang politik pimpinan tertinggi PAS.

Komitmen dan tuntutan mereka tidak nampak bersungguh-sungguh dan vokal seperti tuntutan Pemuda sedangkan sudah pasti tenaga muslimat adalah amat penting untuk kemenangan. Mungkin juga tanggapan-tanggapan tersebut merupakan satu persepsi yang salah. Tetapi sejauh manakah PAS dapat memberi gambaran yang positif dan menarik bagi membetulkan tanggapan itu.

Usaha itu yang akan dapat mematikan persepsi tersebut. Atau ianya menjadi satu tawaran yang cantik di kertas saja dan yang paling parah diungkap dengan kata-kata "cakap tak serupa bikin!". - mks.

No comments:

Post a Comment