Monday, December 31, 2007

Wahai Abdullah Ahmad Badawi, tolong hentikan kezaliman ISA ke atas kami!

Norlaila Othman
Mon | Dec 31, 07 | 12:14:55 pm MYT


8.28pm, Sabtu, 29 Disember 2007

"Hai, Kak Laila, Nalini here..."

"I got a call from a Hindraf member. dia tanya suami kak dah dibebaskan ke dari ISA".
"Ha ha ha ! please tell him my hubby is not released yet... bye".
Nalini ialah setiausaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

9.55pm, Sabtu 29 Disember 2007

"Puan, 4 ahli "JI" dibebaskan...adakah suami puan salah seorang dari mereka?- Haji Abdul (bukan nama sebenar)".
"Belum. Tapi ada seorang yang haji selalu tolong tu, suaminya dah dibebaskan..." balasan SMS dari saya.
Haji Abdul ialah salah seorang penyokong GMI yang banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga tahanan ISA.

12.24 am, Ahad 30 Disember 2007

"4 ISA detainees released...". Ini pula SMS dari Amer Hamzah, salah seorang peguam dari pasukan peguam muda yang mengendalikan kes Habeas Corpus tahanan ISA "JI".
"Tahanan yang ada nama Bakkery tu dah 2 minggu dibebaskan, kenapa baru keluar di TV malam ni? tanya SMS saya pada Amer.
"Entah. That was the first thing the newscaster mentioned. Saya tengok di Nightline" itu jawapan Amer pada saya.
"Pelik lah. Tahun 2007 ni, ada 14 tahanan ISA dibebaskan, tapi kenapa Cuma 4 orang ni berita mereka keluat kat TV?" semakin laju pula SMS dari saya pada Amer.
Nak dekat election..." pendek saja jawapan SMS Amer.

Fitnah terbaru pada tahanan ISA "JI

Saya dan Suhaib singgah di Petronas untuk mengisi tangki kereta yang dah hampir kering.

"4 TAHANAN ISA DIBEBASKAN" tertera di muka depan akahbar tabloid SINAR Harian.

Berita di muka 2, dengan gambar Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom, mengesahkan antara 4 tahanan yang dibebaskan ialah Bakkery Mahmud.

Bila tengok berita ni, tiba-tiba saya teringat pada tahun lepas, orang yang sama, iaitu Dato' Johari Baharom membuat pengakuan diakhbar Utusan Malaysia, pada bulan Oktober, sehari sebelum Aidil Fitri bahawa semua tahanan "JI" di Kem Kamunting telah dibebaskan.

Saya memang marah sangat dengan kenyataan itu kerana suami saya salah seorang yang masih ditahan, pandai-pandai pula Timbalan Menteri ni kata, semua tahanan telah dibebaskan. Jadi, yang masih ditahan di Kemta tu siapa?

Tahun 2006 katanya, semua tahanan dah dibebaskan, kini 2007 dia juga yang beritahu, ada 4 tahanan dibebaskan.

Inilah kuasa Allah yang ditunjukkan kepada rakyat, betapa zalimnya Timbalan Menteri ini kerana menahan rakyat tanpa bicara dan yang paling teruk, beliau tidak tahu siapakah rakyat yang ditahan itu...

"4 AHLI "JI" DIBEBAS..." - berita yang mengisi ruangan kecil di mukasurat 13 Berita Harian hari ini sudah cukup menjelaskan rasa pelik yang telah menghambat ketenangan saya malam sebelumnya.

Perenggan paling bawah menyebutkan "kumpulan militant "JI" dikatakan bertanggungjawab dalam kejadian di Bali dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa Al Qaeda……

Sebenarnya, pada tahun 2007 ini, seramai 14 tahanan ISA "JI" telah dibebaskan sepanjang tahun.

Namun, berita pembebasan mereka tidak pernah keluar di media.Jadi, peristiwa 4 tahanan ISA yang dah 2 minggu dibebaskan, tiba-tiba menjadi tajuk utama berita, memang pelik dan ajaib.

Berita 4 tahanan ISA "JI" itu keluar di Buletin Utama dan Nightline malam tadi rupanya nak beritahu rakyat, penguasa ISA pun ingin "tumpang semangkuk" dengan berita mengenai serangan terhadap Benazir di Pakistan yang dikatakan ada kaitan dengan Al Qaeda...

Pastinya semua ini kerja Menteri Dalam Negeri dan kuncu-kuncunya yang seolah-olah ingin meminta simpati rakyat bahawa tindakan mereka menahan anggota "JI" adalah tindakan yang betul kerana kumpulan ini dikatakan ada kaitan dengan kumpulan militant Islam, Al Qaeda.

Kronologi fitnah penguasa ISA keatas tahanan ISA "JI" pada tahun 2002

Pertama.
Utusan Malaysia, Sabtu 5 Jan 2002.
13 AHLI SAYAP BARU KMM DITAHAN.(Polis juga menyiasat hubungan dengan pengganas antarabangsa).

Dari 13 yang ditahan pada tahun itu, kini masih ada 4 orang lagi iaitu Yazid Sufaat, Dr Abdullah Daud, Shahrial Sirin dan Suhaimi Mokhtar.

Kedua.
Berita Harian Jumaat, 25 Januari 2002.
10 LAGI ANGGOTA SAYAP KEDUA KMM DITAHAN, 200 DIBURU. (kerajaan ada cukup bukti rancangan KMM)

Dari 10 yang ditahan ketika itu, kini masih ada seorang lagi yang belum dibebaskan iaitu Abdullah Minyak Bin Silam.

Ketiga.
Utusan Malaysia Jumaat, 19 April 2002.
14 LAGI AHLI KMM DITANGKAP. (Dipercayai mahu lakukan sabotaj operasi di Pelabuhan Kelang- Norian)

Dari 14 , kini masih ada 2 tahanan yang masih belum dibebaskan iaitu Mat Sah Satray dan Shamsudin Sulaiman.

5 tahun dituduh, masih tiada bukti untuk dibicarakan?

Ini memang fitnah benar di Malaysia Bolehland ini. Semua tahanan ISA "JI" itu asalnya dilabelkan sebagai ahli KMM, namun beberapa minggu selepas itu, satu nama baru telah diberikan oleh Menteri Dalam Negeri kepada mereka iaitu ahli "Jemaah Islamiyyah" atau "JI".

Fakta dan maklumat diatas diperolehi dari kompilasi affidavit 10 tahanan ISA yang mebuat Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2003 dan perbicaraannya dijalankan pada bulan Februari 2004.

Affidavit itu ditandatangani oleh Pesuruhjaya Sumpah Haji Sulaiman Ahmad Yusof.

Dari 10 tahanan "JI" yang membuat HC itu, 6 telah dibebaskan, manakala ada 4 lagi yang masih berada di Kem Kamunting.

Lebih 5 tahun tahanan itu berada di kem Kamunting, mereka tidak pernah dibicarakan di Mahkamah dan tiada bukti dikemukakan untuk memberi peluang pada tahanan membela diri mereka dari tuduhan-tuduhan liar media arus perdana yang menjadi lidah resmi Menteri Dalam Negeri.

5 tahun bukanlah waktu yang singkat. Jangkamasa itu sudah lebih mencukupi bagi pihak kerajaan untuk mengemukakan segala bukti untuk mendakwa mereka di mahkamah, tapi semua itu TIDAK pernah berlaku.

Dari 60 tahanan ISA "JI", 43 telah dibebaskan, apa syaratnya?

Satu perkara yang amat penting diketahui oleh orang ramai, tahanan ISA hanya boleh dibebaskan oleh Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, tidak kira apakah sikap tahanan dan keluarga, tahanan ISA boleh dibebaskan bila-bila masa dan mengikut kesukaan Menteri zalim itu.

Buktinya, tahanan ISA "JI" yang dikatakan ada kaitan dengan Al Qaeda, dikatakan terbukti mempunyai perancangan untuk menumbangkan kerajaan dan pelbagai dakwaan lain, nampaknya tahanan itu telah dibebaskan dengan "mudah" tanpa sebarang siasatan dari mana-mana badan bebas, jauh sekali dibawa ke mahkamah.

"ISA tidak boleh dicabar di Mahkamah" kata Hakim kadir Musa, yang menghakimi HC suami saya pada tahun 2004. Dan kuasa itu dipegang oleh seorang manusia iaitu Menteri Dalam Negeri.

Oleh sebab itu, sebagai seorang Muslim, saya berpendapat, doa ini lah yang paling sesuai untuk ditujukan pada orang yang zalim itu supaya tidak berterusan menggunakan ISA kepada sesiapa saja yang disukainya.

"Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah disisi-Mu didalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari orang yang zalim" Surah at-Tahrim, ayat 11).

6 tahun satu rekod baru oleh Menteri Dalam Negeri @ PM

Tahun 2008, seramai 17 tahanan ISA "JI" akan cukup 6 tahun mereka ditahan di Kem Kamunting. Semua tidak tahu, apakah nasib mereka….samada akan dibebaskan atau disambung untuk dua tahun berikutnya.

Samada disambung atau tidak, penahanan ini adalah satu rekod baru pada PM Abdullah Badawi ,seorang Muslim yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam dan mempunyai sejarah keturunan ulama yang agak terkenal.

Pada alaf 2000 ini, penahanan terhadap tahanan ISA "JI" adalah yang paling lama setakat ini.

Norlaila Othman
Pusat Sokongan Keluarga GMI.
31 Disember 2007 - mr

No comments:

Post a Comment