Wednesday, December 12, 2007

Kenyataan Media PAS Pusat

Abdullah Cabul Demokrasi, Robohkan Parlimen Sebagai Institusi Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun Kerajaan BN yang menghalang proses demokrasi di negara ini dengan menyekat hak rakyat untuk berhimpun.

Pada hari ini, berpuluh-puluh pemimpin PAS dan parti pembangkang yang lain ditahan dan didakwa di mahkamah kononnya kerana mengadakan perhimpunan haram.

Pihak BERSIH yang merancang untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri di Parlimen terhadap cadangan untuk melanjutkan tempoh persaraan Pengerusi SPR turut disekat oleh polis dan beberapa pimpinannya juga ditahan.

PAS berasa amat kesal di atas apa yang berlaku kerana perkara seperti ini sepatutnya tidak disekat lebih-lebih lagi adalah menjadi hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

BERSIH tidak merancang untuk mengadakan keganasan atau rusuhan, sebaliknya merancang untuk bertemu dengan Perdana Menteri secara aman di Parlimen bagi menyerahkan memorandum rakyat.

Tindakan menahan pemimpin pembangkang menggunakan Akta Polis adalah amat tidak demokratik dan memalukan sekali. Apakah rakyat tidak boleh menegur kerajaan sehingga begitu sekali, sedangkan dahulu Perdana Menteri pernah menyebut "Bekerjalah bersama-sama saya."

Dengan tragedi hitam di Parlimen hari ini terbukti slogan kosong pemimpin Islam Hadhari ini telah menjerat rakyat.

Tidak lagi al-Ghazali dan as-Syafie yang dicari. Tetapi pemimpin negara mulai menunjukkan kuku besi untuk menekan dan memaksa rakyat menerima apa sahaja kehendak mereka.

Bermula dengan ugutan Pak Lah, "Jangan cabar saya", kini beliau sudah mula bertindak kasar ke atas peserta perhimpunan aman dan menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang yang hanya mendesak untuk suatu pilihan raya yang bersih.

PAS bimbang jika keadaan ini terus berlaku, pemerintah kuku besi hari ini akan berkata kepada rakyat, "I am the State" seperti yang diucapkan oleh Raja Louis XIV di Perancis pada abad ke-17 dahulu. Di sinilah bermulanya penindasan besar-besaran regim zalim dan angkuh ke atas rakyat.

PAS melihat apa yang berlaku di Parlimen pada hari ini adalah suara rakyat yang datang ke satu institusi tertinggi rakyat iaitu Dewan Rakyat bagi menyampaikan suara hati mereka.

Mereka datang secara aman untuk berbincang dengan kerajaan setelah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong tidak diambil perhatian oleh Kerajaan BN.

Sepatutnya sebuah kerajaan yang adil, jika menerima sungutan rakyat mereka patut memanggil rakyat duduk semeja berbincang, bukan menghantar polis untuk membawa rakyat ke penjara.

Hari ini apabila rakyat bergerak ke Parlimen untuk mendesak kerajaan membersihkan sistem pilihan raya, bukan sahaja hak bersuara dan berhimpun rakyat disekat, bahkan hak untuk bebas bergerak pun dicabul.

PAS mendesak supaya semua keganasan kerajaan ini dihentikan segera dan kembalikan kebebasan kepada rakyat sebelum rakyat hilang sabar.


Haji Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS
11 Disember 2007