Friday, September 18, 2009

Nostalgia corat-coret Aidilfitri pimpinan PAS

Seronok baca kisah nostalgia para pemimpin PAS menyambut Hari Raya Aidilfitri zaman dulu-dulu.. Takdak bezanya antara mereka dan kita..
Nostalgia corat-coret Aidilfitri pimpinan PAS
Azamin Amin
Tue Sep 15, 09 10:14:43 am MYT
Mengacah meriam buluh dan bergasak mengumpul duit raya walaupun 10 sen cuma antara rakaman kehidupan yang tidak dilupakan mereka yang kini sudah bergelar pemimpin. Hakikatnya mereka juga orang biasa, yang punyai memori Aidilfitri sama seperti yang lain.

Seperti AJK PAS Pusat Haji Mohammad Sabu, yang ketika kanak-kanaknya terpaksa memakai baju sekolah sebagai baju raya kerana kemiskinan. Namun dalam serba kedaifan, mampu kumpul duit raya yang banyak lantas ke pekan berhampiran untuk menonton wayang.

Walaupun tika itu comot dan tidak bersikat, jauh sekali anak gadis jatuh minat namun baginya Syawal cukup seronok dan mengujakan!

Bagi Presiden Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Seluruh Malaysia (Anak) dan bekas AJK PAS Mazlan Aliman pula, tidak dapat dilupakan zaman kecilnya ketika demam dan sakit di bulan Ramadan.

Apa tidaknya, malu terasa apabila neneknya mengikat tali kasut di lehernya, sebagai petua mengelak muntah dan bayangkan apabila rakan-rakan menziarah. Tebal mukanya.

Lain pula kenakalan zaman budak-budak Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli terasa begitu berselera dan hampir berbuka puasa hanya semata-mata kerana melihat kerak kuih sepit.

Begitu juga 'kerajinan' Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar bermain mercun dan 'melawan' meriam buluh paling kuat tanpa menghirau bahaya dan sering mengunjungi rumah terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah ketika zaman remajanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula tidak lupa kesusahan yang dilaluinya sehingga tidak mampu membeli baju raya untuk isteri tercinta dan istimewanya, kini isteri beliau masih menerima tempahan menjahit baju raya walaupun Salahuddin bergelar Ahli Parlimen.

Bagi Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamarudin Jaffar menceritakan pengalamannya kerana tuntutan masa dan pengajian memaksanya berhari raya di asrama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sejak tingkatan satu dari tahun 1964 sehinggalah 1970.

"Kami beraya di rumah guru-guru dan warden, walaupun terpaksa berjalan kaki dari rumah ke rumah yang cukup jauh dan penat, kami tetap seronok dan semangat Raya itu ada.

"Zaman itu cuti pendek. Tak dapat untuk balik kampung," katanya yang juga berhari raya selama menuntut di United Kingdom.

10 sen cukup tinggi nilainya

Beliau yang menganggotai Persatuan Pelajar Islam London pernah menganjurkan solat Hari Raya di Malaysian Hall dan dan melahirkan rasa pilu bila kedua-dua ayah bonda telah pergi kerahmatullah ketika menuntut di UK.

Kini beliau beraya bersama keluarga dan seorang cucu yang menjadi teman hiburnya.

Zaman kecilnya sama seperti yang lain, berjalan mengutip duit raya walaupun setiap rumah kadarnya sejumlah 10 sen cuma.

"10 sen boleh membeli bukan setakat ais krim tetapi macam-macam lagi.

"Dulu saya main meriam buluh pakai karbait tetapi taklah sampai putus tangan seperti sekarang ini. Dulu cerita putus-putus ni tak da...," katanya yang kini seorang Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau bersyukur kerana berpeluang berbuka puasa, bertarawikh dan solat subuh bersama penduduk di sekitar Parlimen Tumpat walaupun tidak dapat memenuhi semua jemputan kerana mempunyai 4 Dun dan kawasan yang cukup luas. Sungguhpun begitu ketua-ketua kampung dan pimpinan peringkat cawangan dapat beliau raikan.

Kali ini beliau akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan isterinya uzur dan akan memaklumkan kepada umum, Rumah Terbukanya di Tumpat.

"Saya ucapkan Salam Aidilfitri dan mahu rakyat menyambut hari lebaran dengan mendekatkan diri kepada Allah di samping memperbaiki kehidupan dunia dan akhirat.

"Saya menyeru umat Islam akan terus bersama perjuangan Islam dan bersama PAS sebagai harapan rakyat untuk alternatif yang baru...dan parti ini mampu mengisi harapan rakyat itu," jelasnya mengakhiri perbualan.

Seiring dan senada ucapan itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali juga turut merakamkan Selamat Hari Raya kepada semua pendokong dan ahli PAS kerana telah menjalani proses pentarbiyahan dalam bulan ujian penuh berkah ini

"Manfaatkan Ramadan dan Syawal yang menjelma dan jangan lupa tanggungjawab sebagai pejuang Islam di samping menjaga etika jemaah Islam.

"Menjadikan diri contoh Islam yang baik dan jangan lupa perjuangan yang terdekat ini di Bagan Pinang,"katanya ringkas akibat keterbatasan masa dan kesibukan tugas.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Wahid Endut yang berkongsi cerita dengan Harakahdaily berkata beliau menghadapi 'masalah' untuk pusing dan jelajah seluruh masjid di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai 36 buah masjid termasuk DUN Wakaf Mempelam yang ada 15 buah masjid kesemuanya.

'Mereka sayang wakil rakyat'

Adakalanya sukar untuk memenuhi jemputan Iftar berbuka puasa dan solat tarawikh di masjid terbabit yang terlalu banyak dan mengambil sikap 'first come-first serve' iaitu mana yang menjemput lebih awal, itulah yang dipenuhi terlebih dahulu.

"Ada juga yang merajuk ...kata tahun lepas YB dah ke sana, bila nak datang sini pula...saya faham mereka sayang kepada wakil rakyat tetapi terpaksa mohon maaf," katanya sambil bergurau tentang tubuh fizikalnya yang semakin sihat di bulan Ramadan ini.

"Bulan Puasa ini terasa makin sihat kerana makan pun sedikit dan mana seluar yang ketat dah boleh pakai," katanya sesekali ketawa.

Beliau akan berhari raya di Seberang Baruh di Dun Wakaf Mempelam dan terpaksa 'menangguhkan' konsep rumah terbuka kerana lazimnya di Terengganu pada Hari Raya kedua, jemputan kenduri kahwin dan kesyukuran terlalu banyak sekaligus sukar untuk beliau membuat rumah terbuka kepada umum kerana perlu memenuhi jemputan.

"Selamat Hari Raya kepada para pengundi dan rakyat yang saya wakili di Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Wakaf Mempeleam.

"Kita selepas ini bukan sahaja nak menghadapi Hari Raya tetapi pilihan raya. Oleh itu, bersedialah untuk bekerja keras selain bergembira di Hari Raya,"katanya yang akan ke Negeri Sembilan esok bersama Presiden PAS untuk persiapan menghadapi pilihan raya DUN Bagan Pinang.

Lain pula cerita Mantan Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin tentang pengalaman manisnya ketika Ramadan tahun lalu.

Pengalaman paling manis ialah ketika menjadi Menteri Besar Perak di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat sewaktu menganjurkan Majlis Iftar dan solat tarawikh di Dataran Bandaraya Ipoh.

"Cukup menyemarak Ramadan itu bilamana penduduk dan rakyat Perak berpeluang berbuka puasa di tengah-tengah bandar Ipoh sambil menjamu selera juadah berbuka yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

"Seronok melihat orang bukan Islam, Mat-mat rempit, kutu rayau, remaja yang bersidai, lepak sampai bawa makwe datang berbuka sekali lepas itu mereka pun cabut...,"katanya ketawa.

Beliau menjelaskan setiap hari di bulan puasa, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah lebih 500 bungkusan makanan percuma kepada orang ramai yang datang berbuka puasa dan di samping itu, beliau turut diundang menjadi imam solat tarawikh dan menyampaikan tazkirah.

"Dalam bulan Ramadan, saya cuba penuhi jemputan di masjid-masjid di seluruh Perak. Hanya awal-awal dulu berbuka bersama keluarga selebihnya bersama rakyat di Perak

"Alhamdulillah stamina, Allah izinkan kekuatan diberikan untuk menjelajah.

"Saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Perak, pendokong Islam dan PAS dan Salam Bubar DUN Perak !" katanya yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang.

Makan serdak, saki baki kuih raya

Biarpun sudah seminggu Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi demam dan berehat di rumah, namun beliau tetap gagah bercerita kepada Harakahdaily imbauan kenangan lama menyambut Aidilfitri di rantauan orang selama 10 tahun.

Ketika itu beliau melanjutkan pelajaran di Syria dan Mesir, dan hanya pada tahun 1997, kembali ke tanahair meraikan bersama keluarga dirindu.

Berbeza di negara timur tengah ini, katanya orang Arab berpesta hanya pada bulan Ramadan dan menjalani kehidupan seperti biasa dan 'sepi' kembali tatkala masuk hari raya kedua.

"Kenangan paling indah, apabila keluarga hantar kuih-kuih raya kepada kami di sini dan bila sampai semuanya sudah hancur... dan serdak kuih dan biskut raya itulah nikmat yang kami rasai di hari raya.

"Mana tidaknya, kuih raya ini berada dalam sebulan atau tiga minggu perjalanan sebelum sampai ke tangan kami.." katanya dengan nada yang serak akibat demam.

Sementara itu beliau menyeru pendokong gerakan Islam dan PAS agar benar-benar terima dan menghayati "Madrasah Ramadan" atau "University of Ramadan" supaya menjadi mujahid yang bertaqwa.

Pesannya bahawa kemenangan Islam itu pasti sebagai pernah dicapai oleh generasi terdahulu dan umat Islam mesti menang daripada ideologi yang dicipta oleh manusia.

"Jiwa yang menang, belenggu daripada sebarang ideologi yang kufur.

"Dengan kedatangan Syawal, lebih meningkatkan kualiti diri di samping memburu kemenangan Islam," jelasnya.

Bagi Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah, kenangan paling indah apabila melihat anak-anaknya seramai 10 orang bergembira di Hari Raya di samping menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

"Alhamdullilah, yang bongsu 6 tahun pun puasa penuh. Sungguhpun nak kejut sahur mereka merupakan satu perjuangan, tapi saya tetap gembira," katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat 'ganjaran hadiah' kepada anak-anaknya itu.

"Saya tanamkan kesedaran puasa kepada mereka dan mereka pun tak tanya ganjaran sebab akhirnya menjelang Syawal memang ada hadiah dan duit raya untuk mereka yang saya berikan," katanya yang akan berhari Raya di rumah mentua di Klang dan Pahang selepas itu.

Beliau juga turut memperuntukkan sejumlah duit raya untuk 'tetamu-tetamu kecil' yang bertandang ke rumahnya kelak kerana menjadi satu kepuasan melihat si kecil dan kanak-kanak gembira pada hari tersebut apatah lagi apabila mendapat duit raya.

Beli bunga api, gembirakan hati anak

Mencuit hati adalah soalan-soalan lazim yang ditanya oleh anak-anaknya yang sama seperti kanak-kanak lain antaranya "Berapa hari lagi nak puasa?" dan "Nak raya di mana?", yang katanya tidak pernah berubah biarpun saban tahun menyambut Ramadan dan Syawal.

"Saya beli juga baju-baju raya dan bunga api kat anak-anak saya yang kecil ni, sebab nak tengok mereka riang.

"Ada masa kita kena 'give and take' juga supaya mereka akan sentiasa mendengar cakap kita," katanya.

Sambil mengucapkan Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada muslimat seluruh negara khusnya pendokong PAS dan Pakatan Rakyat agar segala amalan baik di Bulan Ramadan diteruskan untuk memantapkan jiwa dan iman masing-masing.

"Banyakkan berdoa di akhir Ramadan dan di Hari Raya kerana waktu itu sangat mustajab.

"dan jangan lupa doakan kemenangan kita di Bagan Pinang akan datang di samping berkerja keras ke arahnya," katanya.

Bagi yang muslimat ingin bertamu ke rumahnya pada Hari Raya atau hari berikutnya, Ustazah Nuridah dengan senang hati menyisipkan nombor telefonnya untuk dihubungi untuk memastikan sama ada beliau ada di rumah atau sebaliknya.

"Tak pa, insya-allah beri nombor hp saya ni..013-9205012. Telefon dulu kalau nak datang ya. Dan Maaf Zahir Batin kepada semua," katanya dengan ramah dan mengakhiri perbualan.

Tuesday, September 15, 2009

Lawatan Kerja DPP ke Langkawi

Salam.. Gambar-gambar kenangan sempena lawatan kerja Dewan Pemuda PAS ke Langkawi pada bulan 8 yang lalu. Maaf, lambat posting..





DPPKPS merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga ke DPPK Langkawi atas kesudian menerima kehadiran kami. InsyaALLAH semoga ketemu lagi pada masa yang akan datang.. Jemputlah bertandang ke kawasan kami...

Program JEJAK FAKIR 2009

Pada tahun ini, bersempena dengan kedatangan Syawal, DPPKPS melalui Lajnah Kebajikan telah mengambil peluang untuk menyantuni golongan fakir dan miskin yang terdapat di sekitar Padang Serai. Lebih kurang 100 buah rumah fakir miskin dan ibu tunggal yang tinggal di Kawasan Padang Serai menerima bantuan makanan seperti beras, gula dan teh bagi memenuhi keperluan Ramadan dan persediaan Aidilfitri. Di samping makanan asas, kain batik, kain pelekat dan wang tunai juga turut disumbangkan. Bantuan melalui hasil sumbangan orang ramai dan pihak korporat yang perihatin telah di sampaikan oleh jawatankuasa kerja lajnah kebajikan DPPKPS yang diketuai oleh En. Abu Tolib Yahya (Ketua Pemuda) dan En. Jusri Mohd Nayan (Ketua Lajnah Kebajikan) bersama rombongan pemuda PAS kawasan dan pemuda PAS cawangan yang terlibat dalam tempoh sebulan. Walaupun ianya bukan satu bantuan yang besar tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan mereka pada bulan Ramadan dan khususnya menjelang Syawal nanti. Dalam merasai dan berkongsi kesusahan serta keperitan hidup bersama masyarakat, DPPKPS berharap lebih ramai yang berkemampuan turut membantu golongan miskin dan tidak berkemampuan, tambahan menjelang hari kemenangan umat Islam yang bakal tiba.


Sunday, September 13, 2009

MB Kedah Sedia Bubar DUN

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau sedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika benar ramai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini termakan umpan sama ada untuk 'melompat parti' ataupun mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas.

"Kalau benar berlaku, kita bubar Dewan (Undangan Negeri). Namun sehingga kini, tiada yang menyokong dakwaan itu. Pentadbiran negeri berjalan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir yang mendakwa akan ada lagi ADUN PKR di Kedah bertukar status menjadi ADUN Bebas.

Azizan berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan itu setelah laporan dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah kelmarin.

"Biarlah polis siasat untuk memastikan tidak ada ADUN yang 'dibeli', diugut ataupun dirasuah pihak tertentu untuk 'melompat parti' ataupun mengisytihar sebagai ADUN Bebas.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasat. Anggap sahajalah mereka yang membuat dakwaan itu umpama berangan pada waktu siang hari.

"Mungkin sebelum ini, mereka berjaya umpan seorang dua, tetapi saya yakin, keempat-empat ADUN PKR yang ada sekarang tidak akan berbuat begitu,” katanya selepas majlis sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat, di sini, semalam.

Azizan berkata, strategi pihak lawan yang tidak putus-putus cuba ‘mengumpan’ anggota PR Kedah tidak akan memanfaatkan sesiapa.

“Saya percaya pihak lawan akan umpan mana-mana ADUN PR sampai bila-bila, sehinggalah pada hari Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Menurutnya, sekiranya berlaku situasi di mana terdapat ADUN dari Pakatan Rakyat Kedah yang ‘termakan umpan’ dan bertindak lompat parti mahupun menjadi wakil rakyat Bebas, beliau bersedia untuk membubarkan DUN.

Aziz dalam kenyataan disiarkan Sinar Harian kelmarin berkata, beliau yakin akan ada lagi ADUN PR di negeri ini yang mengisytihar diri sebagai Wakil Rakyat Bebas daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Sebelum ini, ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, bertindak keluar parti itu dan menjadi ADUN Bebas.

Kalamullah

Thursday, September 10, 2009

Peluang pekerjaan untuk rakyat, Kedah galakkan swasta

KULIM, 26 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri Kedah senantiasa menggalakkan pihak swasta menganjurkan sebarang ekspo yang boleh membuka peluang untuk rakyat negeri ini menikmati pekerjaan di zaman kemelesetan ekonomi global sekarang.




Ujarnya, walaupun negara mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk namun sebagai pihak yang bertanggungjawab menjadikan aset memajukan sesebuah negeri atau negara maka keperluan tersebut turut terletak di atas bahu mereka.
"Kerajaan Negeri mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta yang berminat menganjuran ekspo untuk membantu kerajaan memberi peluang kepada rakyat yang kehilangan pekerjaaan di samping membuka mata mereka yang sedang memikirkan bidangg mana yang ingin diceburi, " tegasnya dalam ucapan merasmikan Career Expo dan Postgraduate 2009 yang diadakan di Dewan Bandaran Kulim semalam.
Menurut beliau, sektor swasta seharusnya menjadi pemangkin kepada kemelut yang melanda negara sekarang ini berikutan kejatuhan ekonomi dunia.
Kerajaan juga sedang mencari formula bermutu untuk membangunkan kembali negeri Kedah yang dianggap negeri miskin sebelum ini dengan menambah bilangan pelabur serta menarik seramai mungkin pelancung dalam dan luar negeri.
Kemunculan pelaburan yang banyak dan kedatangan pelancungan yang tinggi pasti memberi impak kepada negeri Jepalang Padi yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat.
"Sektor swasta wajar jadi pemangkin kepada ekonomi sekarang. Kerajaan pula sedang berusaha mencari pelabur dan menambah bilangan pelancung ke Kedah. Jika ramai pelancung dan nilai pelaburan bertambah maka Kedah akan terus maju sekaligus tercapai hasrat melunaskan hutang kerajaan terdahulu, " kata beliau.
Tidak dinafikan keruntuhan ekonomi melibatkan keluarga menjadi kacau bilau, sengsara dan sebagainya sekiranya keluarga berkenaan menjadikan wang sebagai hambatan.
Justeru itu, Kedah mula melancarkan program yang mendatangkan manafaat kepada rakyat dengan menambah baik peluang dalam bidang elektronik, pertanian dan sebagainya.
"Kedah bukan sahaja mementingkan projek berjalan dengan baik terapi juga mahukan pelaksanaanya mengikut lunas-lunas yang diterima oleh Islam kerana sumber yang baik memberi kebaikan kepada rakyat secara umumnya, " tambah beliau.
Program yang diadakan selama dua hari bermula 25 dan 26 Julai itu dianjurkan oleh PenExpo Events Sdn Bhd dan JCL Kulim bagi tujuan membuka minda rakyat yang sedang mencari pekerjaan serta ingin membina kerjaya dengan syarikat yang maju.
Sebanyak 30 buah syarikat dan Institut Pengajian Tinggi mempamerkan kerjaya serta peluang pekerjaan yang boleh meningkatkan kamahiran seseorang di samping mengenal pasti bidang apa yang boleh diceburi selari dengan kebolehan dan kelulusan yang ada.
Hadir sama dalam program kali ke 3 itu ialah Penolong Pegawai Daerah Kulim, Norizan Khazali, Setiuasaha Majls Bandaran Kulim, Ammar Dato' Mahmud Naim, Pengarah JCL Kulim, Ooi Chong Yew dan Pengarah Urusan PenExpo Events Sdn Bhd, Francis Wong. - mks._


PERUTUSAN AIDILFITRI 1430 KETUA PEMUDA DPPKPS


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kepada pemuda-pemuda PAS Kawasan Padang Serai,

Di sini saya ingin mengambil kesempatan pada bulan Ramadhan al-mubarak ini untuk mengingati diri saya dan semua pemuda supaya memperbanyakkan amalan seperti bersedekah, berzikir dan bermunajat kepada Allah lebih-lebih lagi pada akhir bulan Ramadhan ini. Bulan Ramadhan yang mulia padanya terdapat malam Lailatul Qadar yang ganjarannya bersamaan 1000 bulan beribadat bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut. Dalam kita bergembira untuk menyambut Syawal yang akal tiba, janganlah pula kita lupa menunaikan ibadah yang wajib, iaitu zakat fitrah yang wajib kita tunaikan selaku insan bertaqwa untuk diagihkan kepada insan yang memerlukan.

Saya juga mengharapkan kepada semua pemuda agar tidak terlalu leka dengan kemeriahan menyambut aidilfitri sehingga lalai menunaikan ibadat wajib dan sunat seperti Solat Tarawih serta membuat persediaan sampai membeli barang-barang yang sehingga menyebabkan pembaziran. Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan supaya tidak menanggung hutang di kemudian hari.

Di kesempatan yang ada ini juga, saya bersama seluruh exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai ingin mengingatkan seluruh pemuda-pemudi, belia-beliawanis di kawasan Padang Serai khususnya supaya berhati-hati apabila memandu kenderaan pulang berhari raya ke kampung dan ke destinasi masing-masing. Pandulah dengan cermat supaya anda semua dapat berhari raya bersama-sama dengan orang yang tersayang.

Akhir sekali, saya selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Padang Serai bersama-sama seluruh exco memohon beribu kemaafan sekiranya terkasar bahasa dan sebagainya.

SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

ABU TOLIB BIN YAHAYA
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai

Friday, September 04, 2009

Kota Seputeh: UMNO kalah 8-0

KUALA LUMPUR, 2 Sept: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada kekosongan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh akan menjadi bahan gelak ketawa dunia sekaligus menjadikan Umno kalah kali ke lapan walaupun tiada pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi tersebut, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun tanpa pilihan raya, Pakatan Rakyat (PR) menang kali kelapan setelah menang 7-0 ke atas Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam semua pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu," kata beliau.
Keputusan SPR itu, katanya, membuktikan dengan jelas bahawa Umno tidak bersedia menghadapi menghadapi rakyat di dalam pilihan raya.
"Umno amat jelas dilanda ketakutan setelah kalah 7-0.
"Ia semakin menggeletar menghadapi rakyat ketika tsunami revolusi pilihan raya di Jepun yang menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) sejak Perang Dunia Kedua," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Tindakan mengelakkan pilihan raya kecil di Kota Siputeh itu juga mencatat sejarah yang memperlihatkan SPR terpaksa memberikan alasan yang akan menjadi bahan tertawa dunia, katanya.
"Alasan SPR itu pasti akan menjadi bahan ketawa dunia. Alasan kartun.
"Selepas ini para kartunis bolehlah mencipta watak kartun ala Upin dan Ipin di mana Umno dan SPR menjadi watak utamanya.
"Amat malang bagi demokrasi negara ini apabila SPR menjadi watak kartun untuk menemani Umno yang menggeletar ketakutan untuk menghadapi pilihan raya dan kuasa rakyat," katanya.
Mahfuz menyifatkan SPR sengaja mencari-cari alasan apabila mendakwa bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh kerana beliau tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza dan bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.
"Peruntukan mengenai perkara itu tidak langsung memberikan kefahaman bahawa seseorang ADUN hilang jawatannya jika tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam satu penggal yang sama," kata beliau.
Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.
Sepatutnya, kata beliau, Umno yang mencabar keputusan Speaker yang mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut dan bukannya SPR pula yang menjadi mahkamah yang mentafsir dan membuat keputusan sebelah pihak.
Mengenai surat cuti sakit ADUN Kota Seputeh ayang diterima oleh SPR, Mahfuz mempersoalkan keengganan SPR menyiasat surat cuti sakit itu.
"Adakah ADUN tersebut mendapat surat cuti sakit? Sedangkan, akhbar Sinar Harian edisi tempatan melaporkan beliau menghadiri satu majlis pada tarikh yang dimaksudkan itu," beliau mempersoalkan.
Mahfuz mempersoalkan mengapa SPR tidak mengambilkira persetujuan Speaker untuk membolehkan seseoran ADUN tidak menghadiri sidang DUN.
"Kalaupun ada surat cuti sakit, seseorang ADUN mesti menyerahkan surat itu kepada Speaker dan Speaker pula mesti memberi persetujuan untuk membolehkan ADUN berkenaan tidak menghadiri sidang DUN," katanya.
Sebelum ini Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno yang hilang keanggotaannya di dalam dewan itu.
Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.
Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Seputeh selama empat penggal berturut-turut.
Sumber: Harakahdaily

Thursday, September 03, 2009

Hadiah Hari Merdeka, harga minyak naik lagi!

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Rakyat mendapat hadiah istimewa sempena menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini apabila harga petrol dipercayai akan mula naik mulai tengah malam ini.
Menurut sumber, Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 malam ini manakala F1 akan naik dari RM1,80 ke RM2.05. Bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.
"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.
PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.
Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.
Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.
"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin.

Sumber: Harakahdaily

Adun Lunas didesak letak jawatan



PADANG SERAI, 31 Ogos: Tekanan semakin hebat ke atas Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh agar beliau melepaskan jawatan Adunnya selepas keluar dari PKR menjadi Adun bebas. Ini kerana, mereka mengundi Radzhi kerana dia bertanding atas tiket PKR bukannya bebas apatah lagi menjadi alat kepada Barisan Nasional (BN) pula.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mendesak Radzhi supaya melepaskan jawatan beliau sebagai Adun Lunas kerana ianya tidak bertepatan dengan kehendak penduduk dan pengundi kawasan tersebut. Menurut beliau pada pilihan raya umum yang lalu pengundi kawasan tersebut mengundi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Justeru itu sebagai menghormati para pengundi dan penduduk kawasan yang dimenangi oleh Radzhi atas tiket PKR itu maka beliau harus mengosongkan kerusi tersebut supaya ia dipulangkan kepada pengundi dan penduduk kawasan tersebut untuk membuat pemilihan.
"Beliau telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi kepadanya.
"Jika beliau memang seorang yang berpendirian maka beliau akan melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas dan memulangkan kepada pengundi dan penduduk untuk membuat keputusan samada mahu menerimanya atas tiket bebas atau sebaliknya," kata Gobala.
Lunas adalah salah Dun di bawah Parlimen Padang Serai yang diwakili Gobala.
Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa Radzhi harus sedar dengan perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk menggugurkan beliau sebagai Exco sudah jelas membuktikan kemurkaan Tuanku dengan perbuatan beliau.
"Saya yakin keputusan yang telah diambil oleh Tuanku Sultan untuk menggugurkan Radzhi daripada jawatan Exco adalah untuk menjaga nama baik istana. Radzhi sepatutnya faham mesej yang ingin disampaikan oleh Tuanku kepada beliau.
"Pada waktu yang sama selepas beliau dilucutkan daripada jawatan Exco maka pada ketika itu juga Radzhi sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas.
"Saya juga yakin majoriti daripada pengundi dan penduduk yang diwakili beliau itu mahukan kerusi Lunas dikosongkan selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum yang lalu adalah atas tiket PKR dan bukannya Bebas."
Radzhi sebelum ini mengambil keputusan keluar dari PKR setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan menjadi Adun Bebas.
Rentetan daripada itu beliau kemudian telah dilucutkan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia oleh Tuanku Sultan Kedah.

Sumber: Harakahdaily