Tuesday, February 24, 2009

Golongan celaka mahu teruskan PPSMI - TG Hj Hadi

Irwan Muhammad Zain
Tue | Feb 24, 09 | 8:58:17 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang mengelarkan mereka yang masih mahu meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai golongan celaka.

Beliau turut menyelar tindakan merendahkan peratus kelulusan pelajar semata-mata kerana mahu mempertahankan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tindakan tersebut kata beliau merupakan satu perbuatan yang dianggap sebagai menipu bangsa sendiri.

"Pemimpin jenis ini merupakan pengkhianat kepada bangsa dan bahasa serta lebih menyedihkan lagi kerana mereka sanggup meneruskan dasar PPSMI ini kerana memetingkan kroni," tegas beliau dalam satu forum himpunan dan ikrar mansuh PPSMI malam tadi.

Selain itu, Hadi juga menegaskan, tamadun bangsa yang pernah wujud mempunyai bahasa masing-masing dan kemajuan tamadun ini berkembang bersama dengan perkembangan bahasa mereka.

Beliau menggesa supaya rakyat di didik dengan ilmu dengan menggunakan bahasa sendiri dan bukan dengan bahasa asing.

"Tidak salah belajar bahasa asing tetapi rakyat perlu di ilmukan dengan bahasa kebangsaan," kata beliau.

Lebih kurang 20 orang pemuda yang dipimpin oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) Kamaruzaman Mohamad membaca ikrar taat setia dan berjanji akan mempertahankan Bahasa Kebangsaan.

Majlis tersebut yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu turut diserikan dengan bacaan sajak oleh Dinsman.

Turut berucap pada forum tersebut adalah Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali yang menggantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden GMP, Dato' Dr Hassan Ahmad, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik dan Presiden Teras Hj Azmi Abdul Hamid.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat bertindak selaku pengerusi forum tersebut.- tmj _

sumber : harakah

Monday, February 23, 2009

PPSMI: Dr M.. bertaubatlah sebelum 'wafat'


Ali Bukhari Amir
Mon | Feb 23, 09 | 11:19:29 pm MYT

Kepada Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad. Salam sejahtera dan semoga sihat sahaja. Saya menulis surat kepada Tun kerana ada banyak hal yang kita perlu muhasabahkan bersama.

Sebagai umat Islam yang mengaku menjadi umat Muhammad s.a.w, kita mestilah sentiasa memperbaharui taubat.

Saya menyeru diri saya sendiri termasuk Tun dan kepimpinan Melayu Umno dulu, kini dan selama untuk sama-sama bermuhasabah mengenai sejauhmanakah kita telah berusaha memperbaiki taraf hidup Melayu, Muslim dan bangsa Malaysia seluruhnya.

Mutakhir ini, kita melihat keadaan yang membimbangkan. Khir Toyo mula menyerang Elizabeth Wong dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya dapat menghidu semua ini. Selepas kes Eli, maka gambar mereka berdua disiarkan di Agenda Daily. Memang tepat.. Khir Toyo akhirnya menyerang Khalid pula.

Rakyat tahu bahawa saat menjelangnya Perhimpunan Agung Umno, Khir Toyo cuba menonjolkan dirinya sebagai 'bakal' Ketua Pemuda dengan cara menunjukkan kejaguhan beliau menghentam parti lawan.

Walhal, apa salahnya mengorbankan lembu-lembu untuk rakyat. Beliau mengelak daripada memandu kereta rasmi, sebaliknya menggunakan kereta sendiri. Apa salahnya menggunakan peruntukan itu untuk 'maintenance' kereta peribadinya sendiri?

Kalau watak Khir soleh dan warak sangat, tanya semula anak-anak Selangor di Al-Azhar dan Timur Tengah yang terpaksa mengikat perut kerana sukar mendapat peruntukan wang zakat. Banyak betul kalau kita mahu bahaskan hal-hal hipokrit manusia yang bergelar pemimpin ini.

Rakyat tahu, pemimpin Umno rasa cemburu dan iri hati dengan kemenangan Pakatan Rakyat. Hal ini terpaksalah diakui oleh Khir sendiri. Siapa suruh beliau menghadiahkan penyapu kepada salah seorang kakitangan bawahannya?

Wanita-wanita yang teraniaya
Sejarah menunjukkan, sesiapa yang menganiayai wanita-wanita di dalam sesebuah negeri, maka kerajaan mereka bakal diterbalikkan oleh Tuhan.

Kita sama-sama anak Kedah. Langkawi bukan asing kepada kita. Pulau itu pernah ditimpa musibah akibat menghukum Mahsuri tanpa proses keadilan yang benar-benar telus. Sebelum meninggal dunia, Mahsuri bersumpah: "Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan!"

Doa orang yang teraniaya, khasnya wanita itu jangan kita buat main. Tidak lama sesudah itu, Langkawi diserang dan dilanggar dengan kejamnya.

Anak perempuan Sang Rajuna Tapa dibunuh sultan tanpa diteliti dosa-dosanya, isteri Laksamana Bentan Megat Seri Rama dibunuh cuma kerana mengidam buah nangka raja. Semua ini contoh-contoh klasik.

Bagaimana pula dengan contoh-contoh moderen dan pasca-moderen berhubung kaum wanita yang terbunuh tanpa keadilan ini?

Wanita berdoa menggunakan hati dan perasaan. Kaum Adam menggunakan pemikiran. Sebab itulah doa kaum wanita lebih mudah dimakbulkan Tuhan. Marilah kita lihat dan bermuhasabah, sudah berapa ramaikah wanita-wanita yang terbunuh di dalam negara kita mutakhir ini.

Kita mungkin terlupa nama Mustakizah. Contoh popular ialah Altantuya of Mongolia. Tunggulah azab Tuhan. Najib masih belum menerima pembalasan.

Tapi, mereka ini semuanya dilantik dan terangkat ketika tuan menjadi Perdana Menteri. Tun juga mesti bertanggungjawab termasuk rakyat yang mengangkat Najib melalui undi-undi mereka.

Keadilan sukar ditegakkan bagi kes-kes ini. Mereka sedang ghairah di puncak kekuasaan. Jadi, sebelum kita menyeru anak-anak didik kita bermuhasabah, marilah kita bermuhasabah mengenai hal-hal yang sedikit ringan. Apa kata Tun, untuk kali yang pertamanya, kita berbicara mengenai isu PPSMI ini?

Menjadi amalan khalifah terdahulu, mereka kerap bermuhasabah. Tapi, dalam realiti sekarang.. akhbar-akhbar boleh juga menjadi saluran, sumber peringatan kepada sang pemimpin untuk kembali membetulkan kesilapan mereka.

Hari kematian Tun makin hampir
Tiada siapa yang dapat menduga ajal seseorang. Mungkin Tun akan meninggal dunia esok, lusa, minggu ini, minggu depan, bulan ini atau bulan depan. Kita tidak tahu bilakah maut datang menjemput.

Dan, saya juga risau, jika usia muda saya direnggut sekarang, maka tidak sempatlah saya sampaikan peringatan kepada tuan berhubung maksud kehadiran surat ini.

Maka, sebelum terlambat.. Saya rasa perlulah saya menyampaikan peringatan kepada Tun berhubung isu-isu yang pernah Tun lakukan sepanjang pemerintahan sebelum ini.

Kalau mahu disentuh semua, tentulah panjang berjela. Maka, saya memilih satu perkara sahaja yang rasanya perlulah Tun lakukan sebelum Tun meninggal dunia.

Hal itu berkaitan dengan PPSMI. Umum diketahui bahawa Tun adalah pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini. Jadi, saya dan rakan-rakan amat berharap supaya Tun dapat segera betulkan hal ini melalui kenyataan-kenyataan Tun. Jangan sampai murid-murid dan guru-guru sekolah kita menderita dengan sebab PPSMI ini.

Roh Tun di alam barzakh kelak akan terseksa dengan sebab PPSMI ini. Dasar ini telah banyak memenatkan mereka. Pada era penjajahan, sememangnya keseluruhan murid-murid pada zaman itu terpaksa belajar dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Sebenarnya, mereka pun bermasalah dengan matapelajaran mereka itu. Tapi, apabila ditinjau semula, kita masih boleh menerima keadaan tersebut kerana kita belum merdeka sepenuhnya.

Kini.. selepas merdeka, kebanyakan guru, murid-murid dan setiap anggota masyarakat kita tidak dapat menerima dasar tersebut. Dasar ini telah menyusahkan mereka. Di sini, kalau Tun enggan membantah PPSMI, maka padah akan menimpa roh Tun kelak setelah kematian Tun nanti.

Setiap kali mereka merungut dengan sebab kesusahan ini, maka roh Tun akan terseksa mendengar kutukan dan kecaman mereka ke atas Tun. Sekurang-kurangnya, Tun perlu mengeluarkan kenyataan membantah PPSMI ini. Tiada salahnya..

Kenapa dahulu, Tun boleh keluarkan kenyataan bahawa Auku sudah tidak lagi diperlukan, dan sekarang tidak boleh keluarkan pandangan membantah PPSMI? Sedangkan kedua-duanya; Auku dan PPSMI adalah produk dasar yang diperkenalkan melalui gagasan Tun.

Usia Tun sudah lanjut dan hampir menuju ke alam barzakh. Banyak betul yang perlu Tun perbetulkan segera. Saya dan rakan-rakan cuma meminta agar Tun dapat berikan kenyataan kepada kerajaan supaya PPSMI itu ditarik balik pelaksanaannya.

Itu saja. Kami tidak minta lebih-lebih. Sementara waktu yang masih tersisa ini, manfaatkanlah segala waktu dengan membanyakkan muhasabah.

Umno berjiwa Inggeris?
Arakian.. baru-baru ini, saya membeli buku Memoir Shamsiah Fakeh. Termuat di dalamnya beberapa pandangan berhubung perbezaan antara Umno dan PKMM.

Menarik juga sesekali diselak jendela pemikiran watak-watak Melayu berhaluan kiri. Pandangan beliau mengenai Umno adalah seperti berikut:-

Sewaktu aku berada di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, aku sering ikut dalam pertemuan yang dianjurkan oleh Umno iaitu kependekan dari bahasa Inggeris, United Malaya National Organization.

Sebenarnya dalam bahasa Melayunya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau singkatannya Pekembar, tetapi pertubuhan ini lebih suka memakai nama Umno. Seterusnya, nama Umno saja yang digunakan sehingga sekarang.

Tun.. Nampak kelihatan jelas di sini bagaimana Shamsiah Fakeh tidak senang dengan sikap Umno yang mengenepikan nama pertubuhan Pekembar, bahasa Melayunya sendiri. Pemakaian nama Umno itu sendiri menunjukkan bagaimana Umno terjajah dengan mudahnya daripada sudut pemikiran mereka.

Oh ya Tun..sekarang jam 10:15 malam. Kebetulan ketika sedang menaip kepada Tun ini, mesin faks di tepi saya sedang mencetak surat cabaran daripada Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub kepada Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein. Saya catit sedikit kenyataan yang tertera di dalam surat tersebut..

"Saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini mengemukakan cabaran untuk berdebat dengan YB Dato' Seri sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Saya menyerahkan pemilihan tarikh, tempat dan masa yang sesuai kepada pihak YB Dato' Seri dan mencadangkan supaya ianya disiarkan secara langsung di mana-mana saluran televisyen untuk membolehkan rakyat mengadilinya.

"Saya berharap YB Dato' Seri dapat memberikan jawapan dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini."

Tamat isi surat. Tapi, menurut Tun, adakah Hishammuddin itu boleh berdebat? Saya tidak fikir beliau berani. Seorang ahli remaja Putera Umno pernah memberitahu saya tentang sikap Hishammuddin ketika beraksi di atas pentas sebelum berucap dalam Perhimpunan Agung Umno dahulu.

"Dato' Hishammuddin upah budak-budak untuk tepuk tangan kepadanya ketika dia mahu naik ke pentas untuk berucap," kata ahli Putera Umno tersebut.

Bermakna, Dato' Hishammuddin sendiri sedar bahawa beliau tiada sokongan akar-umbi ke atas dirinya sendiri, sehinggakan beliau terpaksa 'mengupah' orang-orang tertentu untuk bertepuk tangan apabila dia sedang berucap.

Sebab itu, saya yakin bahawa cabaran Salahuddin Ayub yang baru saya taip kepada Tun ini tidak akan disambut oleh Hishammuddin. Saya lebih yakin kepada Tun untuk mempertahan PPSMI itu sendiri. Tun mungkin tidak lari.

Sebaliknya, Hishammuddin akan mencari helah nanti. Kalau tak percaya, tengoklah selepas ini. Bukannya mudah Kumpulan Prihatin mahu menyusun pertemuan dengan Hishammuddin.

"Pembantu Hishammuddin akan selalu cakap bahawa jadual menteri tu dah penuh," kata seorang penggiat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). "Jadi, kami tak dapat ruang untuk turut berbincang dengan Hishammuddin berhubung isu PPSMI ini."

Kemudian, apabila GMP mengajak orang-ramai pakat-pakat turun ke jalan raya, Hishammuddin, Naina Merican GPMS dan juak-juaknya mula menyusun ayat-ayat klise, "Kenapa harus turun ke jalanan. Marilah berbincang secara elok-elok."

Apa Tun rasa kalau Tun berada di tempat saya? Memang mulut dan hati saya jadi jahat dan panas baran tatkala mendengar perkataan seumpama ini. Nak maki, mencarut pun ada.

Tapi, itulah ujian dan dugaan dalam perjuangan ini. Saya memang panas baran. Mamalialah katakan. Lagi pun saya orang muda yang memang disifatkan sebagai 'angry young man; (tetapi sedikit berjiwa romantis).

Saya yakin Hishammuddin akan mengelak pertembungan dengan Salahuddin Ayub. Sehingga surat ini ditulis, saya tidak tahu adakah Tun mahu bermuhasabah terhadap keburukan PPSMI atau masih lagi mahu memperjuang dasar tersebut.

Jika Tun mahu menebus kesilapan, maka saya syor Tun menggantikan tempat Salahuddin dan betulkan semula Hishammuddin (itu pun kalau Hishammuddin berani sahut cabaran Salahuddin).

Tapi, jika Tun tetap tegar pendirian dalam mempertahan PPSMI, maka saya ada syor lain pula.

Antara ramai-ramai Menteri Pelajaran Umno, selain Tun dan Hishammuddin, Tun Abdul Rahman Yaakob adalah sosok yang begitu istiqamah menentang PPSMI.

Jadi, jika debat antara Hishammuddin dan Salahuddin itu terbatal, tertangguh atau ditunda, maka ruang kekosongan itu mungkin boleh diisikan dengan debat antara Tun dengan Tun Abdul Rahman Yaakob. Ini berlaku jika Tun masih lagi tegar mempertahan PPSMI.

Soalan cepu saya kepada Tun, beranikah Tun berdebat dengan Tun Abdul Rahman Yaakob berhubung isu PPSMI itu?

Sekian Tun.. Tun buatlah keputusan dengan bijaksana dan penuh waspada. Jika Tun insaf dengan kesilapan Tun dalam memperkenal PPSMI, maka saya minta Tun dapat menasihati Abdullah Ahmad Badawi, Hishammuddin dan kelompok mereka agar segera memansuhkan PPSMI itu.

Tapi, jika Tun masih tegar dengan pendirian Tun, bahawa PPSMI ini suatu tindakan yang sah, betul dan wajar, maka saya mencabar Tun berdebat dengan mantan Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Yaakob sebelum menjelangnya kematian Tun, sebelum ajal datang menyambar maut.

Kalau Tun bijaksana dalam bermuhasabah, bermula hari Tun membaca surat ini, maka hendaklah Tun melakukan solat sunat istikharah, memohon petunjuk kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk yang tepat tentang bagaimana yang seharusnya Tun lakukan selepas ini.

Saya berwasiat begini, kerana usia dan hayat tempoh Tun akan berakhir tidak lama lagi. Mungkin juga hayat dan tempoh hayat saya juga tak panjang. Soalnya, yang paling penting.. adakah kita bersedia bertemu Tuhan di Padang Mahsyar kelak untuk bersoal jawab dengan Tuhan berhubung isu PPSMI ini?

Malam ini juga, di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, telah berhimpun segala pimpinan Pakatan Rakyat dalam meratibkan jiwa sengsara rakyat dalam isu PPSMI ini. Dan mereka telah berusaha keras untuk memansuhkan PPSMI.

Harap Tun membuat keputusan dengan bijaksana sebelum ajal Tun menjelang tiba tidak berapa lama lagi.

Syahadan.. Tun, berjuanglah bersama kami.. Mansuhkan PPSMI!

http://bmppsmi.blogspot.com

10:57 p.m, 23 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru

sumber : harakah

Mana Suara Boikot USD oleh Ahli Parlimen PAS di Parlimen?

Seperti biasa, ramai orang suka boikot barangan Amerika berbanding matawang Amerika. Apa sebabnya?
Entahlah. Mungkin boikot barangan lebih mudah difahami berbanding boikot USD.

Penerangan menunjukkan boikot USD tidak memberi kesan kepada mereka juga sukar difahami.

Kalau kita tidak membeli barangan mereka sekali pun, mereka boleh cetak duit atau wujudkan "duit perakaunan" (accounting money) untuk menggantikan kekurangan duit akibat boikot itu.

Tahniah kepada Ahli Parlimen PAS Pasir Putih yang mengatakan kerajaan tidak serius memboikot barangan Amerika.

Tetapi bagi saya tidak cukup, kerana tidak disebut boikot matawang.

Asyik-asyik barangan.

British datang Ke Malaysia dan berkuasa kerana kita membeli barangan mereka, atau mereka mahu mendapatkan barangan dari kita?

Jepun datang menjajah mahu kita beli produk jepun? atau mahu hasil bumi kita?

Situasi tidak stabil, lombong bijih timah di Perak menyebabkan British tidak senang duduk kerana bekalan timah terganggu. Mereka seolah-olah mahu membeli secara paksa.

Apabila Malaya di tawan Jepun , British dan Amerika tidak senang duduk kerana risaukan bekalan getah.

Adakah British risau kalau orang Melayu tidak mahu membeli basikal Ralieghnya?

Hari ini kejadian merampas barangan daripada negara Asia tetap wujud. Walaupun mereka "beli" tetapi wujudnya seigniorage atau dalam erti kata lain "cukai inflasi" atau bak kata Awaludin sebagai "mencuri".

Akan tetapi berapa ramai Ahli Parlimen PAS faham apa maksud seigniorage? Kaedah penjajahan Amerika terhadap kita itu?

Adakah kita tidak merasa perlu untuk menentang penjajahan itu?

Beberapa hari lalu Obama telah meluluskan 'bailout' 787 billion, sebelum itu pun telah beratus bilion telah dibailoutkan. Daripada mana duit itu?

Duit itu hutang.
Hutang daripada mana?
Obama nak bayar pada siapa 787 bilion itu?

USD tidak turun nilai serta-merta akibat penciptaan duit baru dalam bentuk kertas atau pun elektronik ataupun bon.
Kesan inflasi daripada perbuatan itu lambat lagi, maka mereka mempunyai cukup duit untuk membeli barangan mentah dari serata dunia.

Kemudian nilai USD itu akan jatuh, dikenakan inflasi yang lewat, siapa yang kena? Kita semua.

Duit yang dalam dompet kamu itu, dalam Simpanan Bank, dalam Simpanan apa pun, akan susut nilainya, dan nilai yang susut itu sebenarnya telah diambil awal-awal oleh Obama.

Obama pula menghantar tentera ke Afghanistan, menggunakan duit kamu itu.
Duit Ahli Parlimen PAS juga, duit Ahli Parlimen lain, duit semua rakyat Malaysia, tak kira apa keturunan.



Jadi perlunya Malaysia melakukan serangan terhadap USD seperti mana yang dilakukan oleh Iran, China dan beberapa negara lain.

Maka, saya cadangkan Ahli Parlimen PAS supaya menggesa
1. rizab USD dalam Bank Negara dikurangkan,
2. Tamatkan terus rundingan US-FTA
3. Banyakkan rizab emas dalam Bank negara seperti yang dicadangkan oleh MPMUM

Mungkin konsep "seigniorage" agak sukar difahami, tetapi tolonglah cuba fahaminya.


Dipetik dari : http://hasbullah.pit.my

Tuesday, February 10, 2009

Menteri Kewangan banyak berpolitik, Ekonomi merudum

Melihat kepada situasi semasa, Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai berasa amat dukacita dengan sikap Menteri Kewangan yang terlalu berpolitik sehinggakan skop ekonomi yang ditadbir-urus oleh beliau menghadapi penurunan oleh kerana kesan dari kelembapan ekonomi dunia. Dikala rakyat bersusah hati dengan kenaikan harga barang dan diberhentikan kerja, politikus ini dilihat tidak bercakap ke arah memperbaiki keadaan ekonomi yang kian merudum, malahan bercita-cita untuk menjatuhkan beberapa buah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat walaupun usaha beliau dan Barisan Nasional untuk merampas Kerajaan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat dilihat separuh gagal. Sehubungan itu, DPPKPS mengingatkan Menteri Kewangan supaya mengambil berat hal ehwal ekonomi negara yang turut terkesan dengan kemeruduman ekonomi dunia sebelum Barisan Nasional berkubur dalam Pilihanraya Umum akan datang akibat penolakan oleh rakyat yang kehilangan kerja.

Ketua Penerangan
DPPKPS