Thursday, September 10, 2009

PERUTUSAN AIDILFITRI 1430 KETUA PEMUDA DPPKPS


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kepada pemuda-pemuda PAS Kawasan Padang Serai,

Di sini saya ingin mengambil kesempatan pada bulan Ramadhan al-mubarak ini untuk mengingati diri saya dan semua pemuda supaya memperbanyakkan amalan seperti bersedekah, berzikir dan bermunajat kepada Allah lebih-lebih lagi pada akhir bulan Ramadhan ini. Bulan Ramadhan yang mulia padanya terdapat malam Lailatul Qadar yang ganjarannya bersamaan 1000 bulan beribadat bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut. Dalam kita bergembira untuk menyambut Syawal yang akal tiba, janganlah pula kita lupa menunaikan ibadah yang wajib, iaitu zakat fitrah yang wajib kita tunaikan selaku insan bertaqwa untuk diagihkan kepada insan yang memerlukan.

Saya juga mengharapkan kepada semua pemuda agar tidak terlalu leka dengan kemeriahan menyambut aidilfitri sehingga lalai menunaikan ibadat wajib dan sunat seperti Solat Tarawih serta membuat persediaan sampai membeli barang-barang yang sehingga menyebabkan pembaziran. Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan supaya tidak menanggung hutang di kemudian hari.

Di kesempatan yang ada ini juga, saya bersama seluruh exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai ingin mengingatkan seluruh pemuda-pemudi, belia-beliawanis di kawasan Padang Serai khususnya supaya berhati-hati apabila memandu kenderaan pulang berhari raya ke kampung dan ke destinasi masing-masing. Pandulah dengan cermat supaya anda semua dapat berhari raya bersama-sama dengan orang yang tersayang.

Akhir sekali, saya selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Padang Serai bersama-sama seluruh exco memohon beribu kemaafan sekiranya terkasar bahasa dan sebagainya.

SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

ABU TOLIB BIN YAHAYA
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai

No comments:

Post a Comment