Tuesday, April 22, 2008

Kedah perlukan banyak hotel

ALOR STAR 21 April - Daerah Kulim dan Sungai Petani memerlukan lebih banyak hotel bagi menampung keperluan pengunjung termasuk golongan profesional yang bekerja di kawasan-kawasan industri khususnya di Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Exco Kedah, Ir. Phahrolrazi Zawawi berkata, kedua-dua daerah itu memerlukan hotel bajet hingga empat bintang bagi memenuhi keperluan golongan berkenaan.

"Ramai tenaga pakar di kawasan industri terutama KHTP yang menggunakan hotel-hotel di Butterworth atau Pulau Pinang kerana kemudahan seumpama ini tidak mencukupi di daerah-daerah ini.

"Adalah merugikan kerana mereka menginap atau mengadakan majlis-majlis tertentu di tempat lain kerana kita tidak mempunyai kemudahan mencukupi," kata beliau ketika mewakili Menteri Besar dalam Jamuan Tengah Hari Bersama Exco Negeri Kedah Dengan Hotel StarCity di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Kerja Raya Negeri Kedah berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada pelabur-pelabur hotel yang ingin membuka perniagaan di daerah tersebut.

Setakat ini, kata beliau, terdapat cadangan daripada pelabur untuk membina hotel lapan tingkat bertaraf empat bintang dengan kemudahan 139 bilik di kawasan Sungai Ular, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat, Mohammad Razhi Salleh berkata, Bandaraya Alor Star turut mencatat kekurangan bilik hotel bagi menampung kemasukan pengunjung sejak akhir-akhir ini.Justify Full

''Bandaraya Alor Star cuma mempunyai 2,000 bilik hotel dan masih kekurangan 1,400 bilik lagi. Lagi pun banyak acara akan diadakan di sini dan pasti akan menerima ramai pengunjung.

''Ini termasuk 60 acara bersempena dengan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah," katanya.


- KEDAH LANIE

No comments:

Post a Comment