Friday, April 18, 2008

Semakin ramai pelancong bertumpu ke Kelantan selepas PRU ke 12

Salmah Mat Husain
Fri | Apr 18, 08 | 9:39:34 am MYT

KOTA BHARU, 18 April (Hrkh) - Kelantan semakin menjadi pilihan pelancong sebagai pilihan untuk bercuti dihujung minggu disamping untuk mendapat maklumat sebenar berhubung negeri itu terutama selepas Pilihanraya Umum ke-12.

Setiap minggu tidak kurang tiga rombongan sekitar 500 hingga 1,000 orang yang datang untuk melawat Kelantan terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Mereka bukan sahaja datang untuk menziarahi tempat-tempat menarik di negeri ini, membeli-belah atau sebagainya sebaliknya juga untuk mendapat maklumat terkini berhubung kerajaan negeri khususnya selepas PRU-12.

Semalam 200 orang di mana 40 daripadanya masyarakat India dari UPU Bagan Sena, Dun Merbau Pulas, Padang Serai telah melawat negeri ini.

Rombongan itu diketuai oleh Ketua UPU, Ustaz Khairi Ishak.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha KeAdilan Labu Besar, Maniandy a/l Krishnan dan Setiausahanya, Sangaran a/l Krishanan.

Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, ketika berucap pada majlis itu berkata Kedah akan menerima pelbagai tekanan sebagaimana Kelantan sedikit masa lagi akibat rasa dendam dari golongan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya lagi, Kedah akan berhadapan dengan tentangan kerajaan Pusat secara halus dan terang-terangan sebagaimana kerajaan Kelantan diawal kemenangannya pada tahun 1990 seperti penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), penafian hak sebagai kerajaan negeri khsusnya dalam peruntukan dan berbagai lagi.

"Bagaimanapun kita berharap Kerajaan Kedah tidak panik kerana Kelantan telah mendahuluinya dan mampu berhadapan dengan situasi itu berkat dengan pertolongan Allah dan kemampuan pimpinan kerajaan negeri.

"Kita juga berharap Kedah akan sedemikian dan kita yakin pemimpin kerajaan di negeri itu juga mampu menghadapinya sebagaimana Kelantan,"ujarnya lagi. Pada majlis itu juga, beliau menasihati masyarakat minoriti di negeri itu sama ada Cina, India atau Siam tidak berasa bimbang berada di bawah kerajaan baru.

Katanya, Menteri Besarnya tidak akan meminggirkan golongan itu dan akan menjaganya dengan baik sebagaimana di Kelantan, kerana Kedah akan menjadikan negeri ini sebagai modelnya dalam pentadbiran.

"Tuan-tuan sendiri lihat nasib bangsa tuan-tuan di sini tidak pernah dikhianati bahkan mereka mendapat layanan yang sama sebagaimana orang-orang Melayu, jadi tidak perlu risau," ujarnya lagi. - mr


sumber : Harakahdaily.


No comments:

Post a Comment