Tuesday, September 26, 2006

PERUTUSAN RAMADHAN - YDP PAS Kawasan Padang Serai

Saya ucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak. Marilah bersama-sama kita bersyukur kepada Allah yang telah memanjangkan usia kita sehingga dapat bertemu semula dengan Ramadhan 1427H.

Hendaklah kita bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa dan marilah kita tingkatkan taqwa kerana sebaik-baik bekalan di akhirat nanti ialah bekalan taqwa. Puasa akan mendidik kita supaya bertaqwa, puasa mendidik kita supaya kita sentiasa sedar bahawa kita sedang diperhatikan, diperhati oleh Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Perhatian yang telus hingga kedalam hati.

Orang yang benar-benar berpuasa tidak tergamak melakukan maksiat, tidak tergamak melakukan mungkar, tidak tergamak melakukan kezaliman. Sebaliknya akan menjadi lebih tekun beribadat, lebih rajin membaca Al Quran, lebih pemurah, lebih mengasihi orang-orang yang susah dan lebih kuat berjihad. Begitulah natijah dan kesannya ibadat berpuasa kepada sesaorang.

Puasa bulan Ramadhan juga mendidik sesaorang itu merasai bertambah dekat ia dengan Allah. Merasai bahawa ia kasih kepada Allah, merasai bahawa Allah juga kasih kepadanya. Lantaran itu ia sentiasa bermunajat, sentiasa berdoa, sentiasa meminta-minta dari Tuhan Nya. Malam dan siang, tidak berhenti memohon sesuatu dari Allah. Berdoalah sebanyak mana yang anda hendak pohon, Allah akan melayan permohonan anda, Allah Maha Kaya dan tidak berkurang sedikitpun dari kekayaanNya.

Sedarlah bahawa Syarak mewajibkan kita dua perkara dengan sebab kedatangan Ramadhan. Pertama berpuasa dan kedua mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah pula mendidik kita menghilangkan perasaan kedekut, mendidik kita supaya sedar dalam rezeki yang Allah berikan kepada kita ada hak orang lain didalamnya, mendidik kita supaya ingat kepada orang-orang fakir dan juga orang miskin, mengingatkan kita kepada perjuangan fi sabilillah, perjuangan menegakkan kalimat Allah yang tidak pernah terhenti hingga hari kiamat.

Saya menyeru kepada semua ahli PAS, keluarlah sebahagian zakat fitrah kamu kepada fakir miskin dan sebahagian lagi kepada asnaf fisabilillah. Janganlah ragu akan firman Allah yang bermaksud " Sesungguhnya zakat itu hanya untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil, muallaf, hamba mukatab, orang yang berhutang, untuk perbelanjaan fi sabilillah dan ibn sabil. Ketetapan itu adalah ketapan yang datang dari Allah dan ingatlah Allah Amat Mengetahu lagi Amat Bijaksana.

(At Taubah : 60)

Jihad kearah perlaksanaan syariat Allah dan penyebaran syiar Islam wajib diteruskan. Begitu juga jihad mempertahankan aqidah umat Islam yang sedang diserang dari berbagai sudut. Moga-Moga kedatangan Ramadhan pada tahun ini akan membawa kita semua kepada peningkatan taqwa dan peningkatan jihad. Dengan sokongan kuat dari ahli-ahli dan penyokong, PAS akan terus berjihad menegak kalimat Allah bagi mewujudkan masyarakat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih.

Haji Fauzi Tahir

Yang Dipertua

PAS Kawasan Padang Serai.

No comments:

Post a Comment