Friday, August 03, 2007

ANAK MENJADI MURTAD SEBAB BAPA BUAT AMALAN SYIRIK!!!

Merujuk di lamanweb bernama.com, ada mendedahkan satu berita berkenaan dengan tindakan “orang no 1 negara” yang telah mengalungkan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan 2007 baru-baru ini[1].

 Tindakan “orang no 1 negara” tersebut sebenarnya satu amalan syirik yang pengakuannya telah diakui sendiri oleh majlis mesyuarat Mufti Pahang sekalipun[2].

Melihat kepada kedegilan Bapa Islam Hadhari yang Badwi itu, menggambarkan betapa beliau seorang yang didakwa sebagai seorang yang faham agama, tetapi hakikatnya beliau merupakan pembawa racun-racun syirik yang berbisa yang akan menghinggap dijiwa dan hati setiap umat Islam di Negara ini.

MURTAD YANG MEMBIMBANGKAN

Di Malaysia, gejala murtad sudah menjadi sesuatu isu yang membimbangkan (walaupun tidak dibimbangi oleh mufti Perlis). Kemurtadan manusia di zaman ini sudah sampai kepada tahap yang kritikal. Manusia sekarang bukan sekadar mereka murtad, bahkan mereka sudah berani meminta bantuan pihak mahkamah untuk mengisytiharkan mereka sebagai murtad.

Disamping gejala ini merungsingkan pemikiran umat Islam di Negara ini, dilihat “Orang No 1 Negara” yang merupakan Bapa kepada seluruh rakyat di Negara ini telah melakukan satu amalan syirik yang telah di isytiharkan kesyirikan amalan tersebut oleh pihak mufti-mufti.

Bila di perhatikan kepada tindakan Bapa rakyat Malaysia ini, pemikiran kita akan mendapat satu jawapan disebalik persoalan berkenaan gejala murtad yang sedang menimpa umat Islam di Negara ini. Yang Ia menandakan, gejala murtad yang sedang menimpa berpuncakan dari sikap dan tindak tanduk yang dilakukan oleh “Orang No 1 Negara” sendiri.

DOSA SYIRIK

Syirik merupakan dosa yang dinyatakan oleh Allah. Banyak-banyak dosa, semuanya akan diampunkan oleh Allah SWT melainkan syirik. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar”

(Surah An-Nisa’ : 48)

Dalam firman yang lain, Allah menyatakan;

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang Yang mempersekutukanNya Dengan sesuatu (Apa jua), dan akan mengampunkan Yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu (Apa jua), maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh”

(Surah An-nisa’ : 116)

Dari dua firman Allah ini, Allah SWT menyatakan tentang kadar dosa bagi manusia yang melakukan syirik kepada Allah. Pada ayat yang pertama, Allah menyatakan bahawa syirik merupakan dosa yang besar, sedangkan dalam ayat yang kedua, Allah menyatakan bahawa syirik merupakan kesesatan yang jauh dari petunjuk dan hidayah Allah SWT.

SYIRIK ULUHIYYAH DAN SYIRIK RUBUBIYYAH

Sesungguhnya syirik itu boleh berlaku dari sudut uluhiyyah Allah seperti melakukan upacara kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara. Begitujuga, syirik juga boleh berlaku di sudut rububiyyah Allah.

Kebanyakan manusia melakukan syirik dari sudut rububiyyah Allah, iaitu mereka mendakwa bahawa perlaksanaan Islam itu tidak dapat memberi keamanan kepada Negara.

Kesyirikan dari sudut rububiyyah ini dinyatakan oleh Hadis berdasarkan tafsiran dari firman Allah;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
“mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai tuhan selain dari Allah”

(Surah At-Taubah : 31)

Ketika ayat ini dibacakan, seorang Nasrani yang bernama ‘Adi bin Hatim datang berjumpa dengan Nabi dalam keadaan memakai salib di lehernya. Dia berkata kepada Baginda SAW, “sesungguhnya mereka (orang yahudi dan nasrani) tidak pernah menyembah pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka”.

Mendengar perkataan Adi bin Hatim itu, Baginda SAW terus bersabda;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
“bahkan, tetapi sesungguhnya mereka mengharamkan keatas mereka perkara yang Halal dan menghalalkan kepada mereka perkara yang halal, lalu mereka (orang yahudi dan nasrani) mengikut mereka (pendita dan ahli agama mereka), maka itulah peribadatan mereka kepada mereka[3]

Dengan hadis yang dinukilkan ini membuktikan bahawa, kesyirikan itu tidak semestinya berlaku dari sudut uluhiyyah Allah, seperti disamping menyembah Allah, tetapi menyembah juga tuhan selain Allah, mengalungkan bunga ke tugu Peringatan negara dan sebagainya, bahkan syirik itu boleh berlaku dari sudut rububiyyah Allah, seperti mengikut kata-kata kepimpinan yang telah menghalalkan perkara yang Allah haramkan dan begitulah sebaliknya.

WAJIB MENJATUHKAN PEMIMPIN YANG SYIRIK

Apabila pemimpin melakukan amalan syirik, maka amalan syirik tersebut mudah tersebar di kalangan manusia, ini adalah kerana, tindak tanduk rakyat itu banyak dipengaruhi dengan perbuatan yang dilakukan pemimpin.

Justeru itu, apabila seorang pemimpin di sesebuah Negara melakukan amalan syirik, Islam mewajibkan untuk menjatuhkan kepimpinan Negara tersebut. Jika tidak berbuat demikian, nescaya amalan syirik ini pasti akan berleluasa di kalangan rakyat Negara dan akan melahirkan natijah yang merosakan aqidah umat Islam.

Firman Allah;

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Maksudnya;
“Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang Yang beriman”

(Surah An-Nisa’ : 141)

Begitujuga hadis yang diriwayatkan oleh Ubbadah bin Somit yang berkata;

بايعنا على السمع و الطاعة في منشطنا ومكرهنا وعسرنا ويسرنا وأثرة علينا وأن لا ننازع الأمر أهله إلا أن يكون كفرا بواحا عندكم من الله

Maksudnya;
“Kami membaiah (akan Rasulullah SAW) atas dengar dan taat dalam keadaan cergas kami, kebencian kami, kesusahan kami, kemudahan kami dan kepentingan diri atas kami dan bahawa kami tidak akan bertelagah dalam sesuatu urusan akan ahlinya, melainkan bahawa adalah dia melakukan kekufuran yang nyata disisi kamu daripada Allah[4]

Menurut Imam An-Nawawi, maksud dengan kekufuran dalam hadis ini adalah maksiat yang dilakukan oleh pemerintah secara nyata. Begitujuga, Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan bahawa, hadis ini tidak ditanggung penakwilan[5].

dengan perbincangan ini, jelaslah kepada kita, kekufuran merupakan punca yang paling besar untuk menyebabkan sesuatu pemerintah itu boleh digugurkan dari kuasanya.

Seperti yang diketahui, setiap yang kufur itu merupakan syirik dan begitulah sebaliknya, maka dengan tindakan dan amalan syirik yang dilakukan seseorang pemerintah menyebabkan wajib kepada rakyat melucutkan pemerintah itu dari memerintah.

PENUTUP

Jika orang-orang tua dahulu pernah mengungkapkan, “bapa kencing berdiri, anak kencing berlari”, maka pada kali ini, dapat kita simpulkan, “Bapa Negara melakukan amalan syirik, maka anak Negara akan menjadi murtad”.

Mungkin punca gejala murtad sedang difikirkan mengapa ianya berlaku, tetapi apabila melihat cara dan pendirian “orang no 1 negara” kita, dapat difahami bahawa, semuanya berpunca dari dirinya sendiri.

Maka dengan demikian, wajib kepada setiap muslim dinegara ini mengambil satu tindakan dan usaha bagi mengatasi perkara ini. Jika tidak berbuat demikian, maka dosa itu akan tertimpa keatas kepala setiap umat Islam di Negara ini.

Pandang dan fikir !!!!!

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=276473
[2] http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=371
[3] Tafsir Ibni Kathir : 2/349.
[4] Masail Al-Jahiliyyah : 1/7 : hadis no :
[5] Al-Imamah Al-Uzma : m/s 469.

Sunday, July 01, 2007

KALAU PILIHANRAYA BERLAKU DALAM MUSIM HAJI?

KALAU PILIHANRAYA BERLAKU DALAM MUSIM HAJI?
oleh : Ustaz Wan Ji (One G Al-Bakistani)

Boleh dikatakan seluruh penganalisa politik Malaysia (melainkan Razak Baginda) menyatakan, kemungkinan pilihanraya berlaku tidak lama lagi. Sebilangan mereka menyatakan, kemungkinan pilihanraya berlaku dalam bulan 8, ekoran menyambut kemerdekaan. Juga sebilangan yang lain menyatakan, pilihanraya mungkin berlaku antara bulan 8 hingga bulan 12. Sebilangan yang lain pula menyatakan, disebalik isu altantuya yang didakwa mempunyai hubungan yang kuat dengan orang no 2 Malaysia, maka berkemungkinan besar, pilihanraya akan di adakan pada awal tahun 2008 yang tidak mustahil ianya didalam musim jemaah haji sedunia, termasuk Malaysia sibuk untuk menunaikan ibadat haji.

Andaian sebegini disebabkan, kebanyakan penyokong parti islam terdiri dari mereka yang dikenali sebagai “tok lebai” yang sentiasa mengambil berat dalam soal ibadat. Justeru, bagi memastikan undi kepada parti Islam berkurangan, tidak mustahil orang no 1 Malaysia akan membubarkan Parlimen dalam musim tersebut.

Tulisan kali ini, tidak memfokuskan sangat kepada ketepatan tarikh pilihanraya akan datang, tetapi sekadar ingin membincangkan tindakan yang perlu dilakukan dari sudut perbahasan hukum disebalik andaian berlakunya pilihanraya pada musim haji.

KEWAJIPAN MENGHAPUSKAN MAKSIAT DI MALAYSIA

Di Malaysia, berbagai-bagai maksiat yang sedang menimpa masyarakat. Bermula dari sekecil-kecil perkara, seperti dosa melihat aurat hinggalah kepada sebesar-besar dosa, seperti murtad dan sebagainya.

Orang-orang islam adalah golongan yang sering menjadi juara dalam isu-isu social ini. Lihatlah kandungan khutbah yang dibaca di mimbar-mimbar jumaat, yang membincangkan isu Dadah, Rempit, Hisap Gam, Kemunduran ekonomi keluarga dan sebagainya, boleh dikatakan semuanya di juarai oleh bangsa melayu yang menganut agama Islam.

Kelemahan yang merupakan penghinaan dari Allah ini adalah berpunca dari sistem pemerintahan yang tidak berasaskan kepada Islam. Kenyataan ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya;
“Maka Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang Yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia”

(Surah Al-Baqarah : 85)

Ayat ini dengan jelas Allah menyatakan bahawa, punca kelemahan dan kehinaan adalah berpunca dari sikap beriman sebahagian kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain.

PEMERINTAH DAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar dari pihak umum dikira sebagai fardu Kifayah yang memberi maksud, sebilangan manusia yang melaksanakannya, maka seluruh umat terselamat dari dosa.

Firman Allah;

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya;
“dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya”

(Surah Al-Baqarah : 104)

Imam Al-Qurtubi menyatakan, dari firman Allah ini menjadi dalil bahawa hukum melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dari sudut umumnya adalah fardu kifayah[1].

Walaubagaimanapun, perlaksanaaan amar makruf dan nahi mungkar dari pihak pemerintah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Ini adalah kerana, pemerintah adalah pihak yang mempunyai kuasa perlaksanaan undang-undang islam yang dibawah kategorinya adalah amar makruf dan nahi mungkar.

Imam Ibnu taimiyyah menyatakan;

لأن الله تعالى أوجب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر ، ولا يتم ذلك إلا بقوة وإمارة

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah mewajibkan amar makruf dan nahi mungkar, semuanya ini tidak akan sempurna melainkan dengan kekuatan dan (kuasa) pemerintahan[2]

Jika pihak pemerintah tidak berbuat demikian, maka pemerintah tersebut sudah melakukan dosa besar dan berhak kepada rakyat mengguling mereka dari pemerintahan.

Dibenarkan melakukan tindakan sedemikian disebabkan pemerintah tidak melaksanakan tugas yang diwajibkan oleh Allah yang sememangnya telah termaktub dalam kitabullah.

Sabda Nabi SAW;

يا أيها الناس اتقوا الله وإن أمر عليكم عبد حبشي فاسمعوا له وأطيعوا ما أقام لكم كتاب الله عز وجل

Maksudnya;
“Wahai manusia, takutlah kamu kepada Allah, walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba habsyi. Maka dengarlah dan taatlah selama kitabullah terlaksana[3]

Dari hadis ini, As-Syaikh Abdullah bin Omar bin Sulaiman Ad-Damiji didalam kitabnya yang bertajuk “al-imamah Al-Uzma” menyatakan, ini adalah hadis yang jelas, menunjukan bahawa syarat dengar dan taat (kepada pemerintah) sekiranya pemerintah melaksanakan kitabullah didalam pemerintahannya. Adapun jika tidak berhukum dengan syariat Allah, maka tiada dengar dan taat (kepada pemerintah) dan ianya boleh membawa kepada menggulingkan pemerintahan tersebut. Ini adalah gambaran sekiranya berlaku dikala pemerintah melakukan perbuatan yang menjadi fasiq. Adapun pemerintah melakukan perbuatan yang boleh menjadi kafir, maka hukum mengguling pemerintah tersebut adalah wajib hatta dengan peperangan sekalipun[4].

MENJATUHKAN KERAJAAN BN DALAM PILIHANRAYA

Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO merupakan satu-satunya parti yang memerintah Negara ini. Pemerintahan BN ini tidak pernah meletakan agama sebagai asas pemerintahan mereka.

Berpunca dari itulah menyebabkan kelemahan demi kelemahan telah menimpa umat Islam di Negara ini. Kelemahan ini bukan sekadar dalam perkara yang kecil, bahkan sudah merebak kepada situasi masyarakat Islam yang sudah tidak segan dan malu untuk keluar dari agama.

Isu lina Joy yang menjadi satu titik bersejarah Negara. Bagaimana seorang wanita boleh memaksa pihak kerajaan untuk mengisytiharkan dirinya murtad secara rasmi, sedangkan pihak kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan pun disebalik penghinaan terhadap agama yang dilakukan oleh Lina Joy ini.

Penghinaan dari golongan musuh Islam terhadap Islam di Negara ini juga dipelopori oleh kerabat-kerabat kepimpinan Barisan Nasional. Lihatlah, hidupnya SIS, Anti hadis dan sebagainya, boleh dikatakan, ianya hidup disebabkan mempunyai sokongan dari pihak dalaman Barisan Nasional.

Penghinaan terhadap Islam dari tokoh agama yang memegang jawatan besar dalam kerajaan sudah menjadi perkara biasa dan tidak dianggap sebagai mungkar oleh kerajaan Barisan Nasional.

Maka dengan itu, “menjahanamkan” Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang merupakan tindakan yang wajib di lakukan setiap umat Islam di Malaysia. Jika tidak dilakukan demikian, nescaya Islam yang tercinta ini akan menjadi “bahan mainan” musuh dalam melakukan penghinaan terhadap Islam.

JATUHKAN BN DALAM MUSIM HAJI?

Dari perbahasan lepas, didapati bahawa tindakan menjahanamkan Barisan Nasional dalam pilihanraya adalah satu tindakan yang wajib. Tetapi, kadangkala, pihak Barisan Nasional menggunakan beberapa strategi untuk mengalahkan parti islam dengan beberapa tindakan. Antaranya adalah, kemungkinan mereka akan mengisytiharkan pilihanraya berlaku dalam musim haji.

Maka dengan demikian, dikalangan pengundi yang pergi ke Haji pada tahun tersebut akan merasa sangsi dalam melaksanakan tugasan rukun islam tersebut.

Bagi memastikan pengundi yang boleh pergi Haji pada tahun tersebut tidak berada dalam kesilapan, marilah perhatikan beberapa ulasan seperti di bawah;

WAJIB LUAS DAN WAJIB SEMPIT

Didalam ilmu usul fiqh, hukum wajib itu terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya adalah, wajib itu dibahagikan kepada wajib mudhayyaq (sempit) seperti menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan, dan juga wajib muwassa’ (luas), seperti menunaikan solat.

Dikatakan berpuasa di bulan ramadhan sebagai wajib mudhayyaq (sempit) adalah kerana, berpuasa itu tidak boleh dilakukan dibulan-bulan yang lain. maka dengan sebab itulah, berpuasa di bulan ramadhan dikira sebagai wajib mudhayyaq (sempit).

Adapun solat, dikatakan sebagai wajib muwassa’ (luas) adalah kerana, solat itu tidak semestinya di tunaikan diawal waktu, bahkan selagi waktu bagi solat belum habis, maka selagi itulah solat boleh di tunaikan[5].

Maka dengan demikian, sekiranya berlaku pilihanraya di musim haji, maka hendaklah dihimpunkan kedua-dua kewajipan tersebut, iaitu kewajipan mengundi dan kewajipan melakukan haji.

Kewajipan mengundi untuk memenangkan parti islam adalah satu kewajipan yang mudhayyaq (sempit), ini adalah kerana, di sebabkan kekalahan parti islam dalam sesuatu pilihanraya akan menatijahkan penghinaakan terhadap agama Islam selama 5 tahun.

Adapun kewajipan haji merupakan wajib yang muwassa’ (luas). Ini adalah bersebab, dibenarkan kepada kita menunaikan ibadat haji di tahun yang mendatang.

Oleh yang demikian, apabila berhimpun dua wajib ini, maka ketika itu, wajib kepada pengundi yang pergi haji bahawa tidak pergi ke Mekkah untuk buat haji pada hari berlakunya pilihanraya, bahkan wajib kepada pengundi mengundi parti islam untuk memastikan islam tidak dihina dimulut musuh-musuh Islam.

MUDHARAT YANG LEBIH BESAR

Mudharat tidak ke makkah untuk melakukan ibadat haji tidaklah sebesar mudharat kalah parti islam dalam pilihanraya.

Jika seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat melakukan ibadat haji, dibenarkan kepada waris untuk menunaikan haji niyabah untuk dirinya[6].

Adapun penghinaan Islam dari pelbagai sudut merupakan mudharat yang besar jika dibandingkan dengan mudharat tidak mengerjakan haji ketika itu. Antara cara untuk menjadikan Islam di hina adalah dengan membiarkan pihak Barisan nasional memerintah.

Maka dengan demikian, apabila berhimpun dua mudharat ini, maka hendaklah diambil mudharat yang paling ringan antara dua mudharat, iaitu tidak melakukan haji pada tahun tersebut, bahkan mengambil tindakan menunggu pilihanraya dan mengundi parti islam pada tahun tersebut.

Ini didasarkan kepada kaedah fiqh yang berbunyi;

إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بإرتكاب أخفهما

Maksudnya;
“Apabila bertembung dua mafsadah, maka diraikan mudharat yang paling besar dari kedua-duanya dengan melakukan yang paling ringan daripada kedua-duanya[7]

PENUTUP

Tulisan ini bukanlah satu andaian yang tepat dalam menyatakan bahawa pilihanraya itu berlaku dalam musim haji, tetapi ianya sekadar andaian semata-mata.

Sekiranya ianya berlaku juga, maka sebagai pengundi dikehendaki kepadanya memahami konsep ini agar Islam yang hendak didaulatkan tidak dibantutkan dengan strategi musuh-musuh islam yang sering melemahkan Islam

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com



[1] Tafsir Al-Qurtubi : 4/165
[2] Siasah syariyyah : m/s 168.
[3] Al-Mustadrak ‘ala sahihain : 4/206 : hadis no : 7381.
[4] Al-Imamah Al-Uzma : m/s 473.
[5] Al-Wadih Fi Usul Al-Fiqh : m/s 73.
[6] Menurut Jumhur ulama melainkan hanafi, dibenarkan melakukan niyabah (ganti) haji ketika tidak mempu menunaikannya (al-fiqh al-Islami Wa adillatuh : 3/38)
[7] Al-Aqmar Al-Mudiah : m/s 123

Wednesday, June 20, 2007

Mengenali Syiah

Kata ‘Syiah’ bermakna pengikut atau penolong dan kata musyaaya’ah sepadan dgn kata munaasaharah.

Siapa Pencetus gerakan syiah?

Ia dimulakan oleh Abdullah ibn Saba’ berasal dari kota Sana’a, Yaman. Dia dikenali dgn panggilan anak perempuan hitam dan dia adalah seorang yahudi yg menganut islam pada zaman Uthman tetapi tidak memperbaiki Islamnya. Beliau telah dihalau dari Bandar Basrah kmdn singgah di Kufah. Dari sana dia merantau ke Syam. Di situ, dia diburu lagi dan akhirnya lari ke Mesir. Beliau telah banyak memburukkan Uthman dan pemerintahannya dan pada masa yg sama ia membuat propaganda menaikkan semangat ahlul bait. Ramai yg tinggal jauh dari pentadbiran ibu Negara islam ketika itu dipengaruhi beliau. Antara mereka bersekutu dgnnya ialah Khalid bil Maljam, Saudan bin Hamran dan Kinanah bin Bisyr. Semasa dia yahudi, beliau pernah mendakwa Yusha’ bin Nun adalah wasiat bagi nabi Musa. Dan dia menggunakan tektik yg sama dgn mengatakan bahawa Ali adalah washi (wasiat) nabi Muhammad S.A.W. Dia pernah dihukum oleh Saidina Ali kerana perkataannya: “Kamu adalah kamu (maksud saidina ali adalah tuhan).” (Tarikh Ibn Khaldun, Ibn Khaldun)

Namun demikian, kewujudan Ibn Saba’ cuba dinafikan oleh ulamak mutaakhirin syiah dgn mengatakan ia tidak wujud dan mitos sahaja. Namun ini adalah tertolak kerana sudah berkurun2 lamanya dan baru mereka cuba menafikan kewujudannya. Malah kitab2 mereka sendiri menyebut perihal Ibn saba’ ini spt Syarh Nahjul Balaghah Li Ibn Abil Hadid dsb. Namun demikian, terdapat pecahan antara syiah dgn gerakan ibn saba'. Tetapi asasnya bermula dr Ibn Saba'.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani memberikan definisi apakah itu syiah, katanya:

والتشيع محبة على وتقديمه علىالصحابة فمن قدمه على أبي بكر وعمر فهو غال في تشيعه ويطلق عليه رافضي وإلا فشيعي فإن انضاف إلى ذلك السب أو التصريح بالبغض فغال في الرفض وإن اعتقد الرجعة إلى الدنيا فأشد في الغلو

“Tasayyu’ (berfahaman syiah) itu ialah menyintai Ali dan mengutamakannya berbanding sahabat2 lain. Org yg mengutamakan Ali daripada Abu Bakr dan Umar adalah syiah yg melampau dlm fahamannya. Syiah yg melampau ini juga dipanggil dgn rafidhi atau rafidhah. Jika ia mengutamakan saidina Ali drpd Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar, maka ia adalah seorang syiah. Jika di samping ia mengutamakan Ali berbanding Saidina Abu Bakr dan Umar, ia juga memaki atau menyatakan juga dgn jelas kebenciannya terhadap mereka berdua, maka ia adalah melampau di dlm rafadhnya. Jika ia mempercayai raj’ah juga, maka ia adalah org yg terlalu melampau di dlm rafadhnya.”

(هدي الساري مقدمة فتح الباري لابن حجر العسقلاني)

Dlm kitab lainnya, Ibn Hajar menyebut: “Syiah dlm istilah ulamak mutaqaddimin ialah mempercayai keutamaan Ali lebih dari keutamaan Uthman dan Ali berada di pihak yg benar di dlm semua peperangan. Org yg menentangnya adalah salah. Di samping itu mereka mengutamakan Abu Bakar dan Umar berbanding Ali. Syiah dlm istilah ulamak mutaakhirin ialah rafidhah tulin. Riwayat seorang rafidhah yg melampau dlm fahamannya tidak boleh diterima sama sekali dan tidak ada kehormatan sama sekali bagi mereka.”

(تهذيب التهيب لابن حجر العسقلاني)

Berdasarkan terma2 ini, berbagai istilah yg digunakan dlm mengklasifikasikan kultus2 syiah tetapi 3 kumpulan besar yg utama dan di bawahnya terdapat pelbagai pecahan yakni:

1.Syiah Tafdhiliyyah:

Syiah yg mengutamakan saidina Ali R.A berbanding saidina Uthman (tidak termasuk saidina Abu bakr dan Umar) tanpa mengkafirkan, memaki atau menaruh kebencian terhadap mereka semua. Antaranya adalah Syiah Zaidiyyah yg dikatakan fiqhnya hampir kepada kumpulan Ahlus Sunnah Wal jamaah. Tetapi syiah ini dikatakan telah pupus. Antara ulamak yg tersohor ialah Imam As-Syaukani yg terkenal dgn Nailul Awthar Syarh Muntaqa’ Akbar. Namun demikian, beliau telah keluar dari syiah zaidiyyah dan masuk kpd Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 2.Syiah Saba’iyyah: Syiah yg memaki dan mengkafirkan sahabat2 kecuali sbhgn kecil mereka spt Salman Al-Farisi, Abu Dzar Al-Ghifari dan Ammar bin Yasir r.a. Mereka berlepas diri (memutuskan kasih sayang) drpd sahabat lain drpd mereka ini. Kultus ini mempertuhan Ali dan berkeyakinan raj’ah (kebangkitan semula Ali).

3.Syiah ghulat:

Syiah ini adalah syiah yg memaki hamun dan mencela Abu Bakr dan Umar kerana mereka dikatakan merampas hak ahlul bait. Kultus yg popular dlm kumpulan ini ialah syiah Imamiyyah Ithna `Asyariyyah dan menjadi anutan yg terbesar terutamanya di Iran dan antara ulama mereka yg kita kenali ialah Ayatollah Khomeini, pencetus Revolusi berdarah terhadap pemerintah boneka barat Shah Iran. Namun demikian di bawahnya terdapat bbrp lagi pecahan. Secara umumnya, Ia mempunyai beberapa iqtiqad, antaranya kepercayaan mereka kpd 12 imam (Ithna Asyariyyah) dan ma’shumnya para imam ini yg bermula spt berikut:

a. Ali bin Abi Talib
b. Hassan Bin Ali
c. Hussein Bin Ali
d. Ali Zainal Abidin Bin Hussein
e. Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin
f. Jaafar As-Sadiq bin Muhammad Al-Baqir
g. Musa Al-Kazim bin Jaafar As-Sadiq
h. Ali Ar-Ridha bin Musa
i. Muhammad Al-Jawaad Bin Ali
j. Ali bin Muhammad
k. Hassan bin Ali
l.Muhammad bin Al-Hassan Al-Askari: yg dikatakan ghaib dan akan muncul semula sbg Imam Mahdi.

(اسلام بلا مذهب لامسطف محمد الشكعه)

Dahulunya syiah menolak bulat2 apa2 sumber periwayatan dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Namun demikian, kebelakangan ini mereka cuba menyebarkan dakyah mereka bahawa segala pegangan mereka bersumberkan dari Sunni sendiri spt Sahih Bukhari, Sahih Muslim dsb. Mereka cuba menggoyahkan pegangan individu muslim ahlus sunnah wal jamaah. Mereka yg mudah terperangkap adalah mereka yg lemah asas dlm bidang hadith spt jarh wa ta’dil, gharibul hadith, musykilatul hadith dsb. Berhati2 apabila membaca buku2 mereka!

Wallahua’lam

Monday, May 28, 2007

DPPKPS Kesal Premis Sekolah Digunakan Untuk Konsert

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) kesal dengan tindakan pihak Komuniti Bestari bersama-sama Pejabat Penerangan Daerah Kulim yang menggunakan premis Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik untuk penganjuran konsert baru-baru ini.

Konsert yang telah diadakan pada malam tanggal 22 Mei 2007 di padang sekolah tersebut didapati turut mengganggu ketenteraman penduduk yang tinggal di kawasan sekitar dengan bunyi bisingnya.

Bagi DPPKPS, penggunaan premis sekolah tersebut seolah-olah telah mencabuli Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berusaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Pihak penganjur juga menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dan bebal dengan mengadakan konsert tanpa mendapat persetujuan penduduk sekitar terlebih dahulu. DPPKPS juga turut merasa bimbang terdapatnya unsur meraih sokongan politik oleh pihak tertentu disebalik penganjuran konsert tersebut.

DPPKPS mengambil sikap menentang sebarang penganjuran konsert yang tidak berlandaskan syarak yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas terutamanya dikalangan remaja. Konsert sebegini cenderung untuk menyumbangkan masalah sosial kepada umat Islam yang majoritinya tinggal di kawasan persekitaran sekolah. Kesan buruk yang biasanya ditinggalkan oleh penganjuran konsert sebegini iaitu meninggalkan ibadah solat, berlakunya zina, penyalahgunaan dadah, perlumbaan motor haram, mengundang berlakunya jenayah rogol, bunuh, pecah rumah, rompakan atau kecurian akibat pengambilan arak dan dadah yang berleluasa semasa konsert dijalankan.

Pihak DPPKPS turut kesal dengan sikap Guru Besar dan Pengerusi PIBG sekolah kerana mendiamkan diri dan membiarkan premis sekolah digunakan sewenang-wenangnya untuk aktiviti sedemikian. Sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sekolah, kedua-dua pihak tersebut seharusnya memikirkan kesan dan akibat sama ada di pihak masyarakat sekitar mahupun murid-murid sekolah sebelum membiarkan konsert tersebut berlangsung.

Harapan DPPKPS dimasa-masa hadapan, aktiviti sebegini tidak lagi berlaku di premis pendidikan di seluruh kawasan Parlimen Padang Serai khasnya dan Negeri Kedah amnya. Pihak penganjur disarankan terlebih dahulu memahami sensitiviti masyarakat sebelum mengadakan sebarang penganjuran konsert dimasa-masa akan datang. DPPKPS juga berharap pembaziran wang rakyat seharusnya dielakkan dalam aktiviti-aktiviti sebegini yang diketahui umum tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat keseluruhannya.


Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai
24 Mei 2007

Wednesday, April 25, 2007

DPPKPS Johan Futsal Piala Ketua Pemuda PAS Kedah 2007!!

Sabtu, 21 April 2007 - Bertempat di Gemilang Futsal, Sg Petani Kedah, satu Kejohanan Futsal Ukhuwwah Piala Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah telah dilangsungkan. Pertandingan yang hanya membabitkan AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan ini telah disertai oleh 11 kawasan dalam negeri Kedah serta pasukan dari Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Dengan 12 buah pasukan yang masuk bertanding, semua perlawanan telah berlangsung dalam suasana yang muhibah dan penuh ukhuwah. Pengarah program iaitu Pengerusi Lajnah Sukan DPP Negeri, Ustaz Yusof Awang telah menekankan peri pentingnya aktivis Pemuda bergiat aktif dalam semua lapangan termasuklah dalam bidang sukan. Di samping itu penganjuran kejohanan tersebut adalah bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah sesama AJK DPP kawasan di seluruh negeri Kedah setelah berlangsungnya pemilihan kepimpinan baru DPP kawasan masing-masing.

Piala Ketua Pemuda PAS Kedah 2007 telah dimenangi oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai yang telah menewaskan DPP Kawasan Alor Setar dalam perlawanan akhir dengan keputusan 2-1. Sebelum mencapai kejayaan tersebut, DPPKPS telah bertemu DPP Kawasan Pendang dengan kemenangan 7-0, diikuti lawan berikutnya DPP Kawasan Sik dengan kemenangan 5-0 sebelum bertemu DPP Kawasan Kuala Kedah dalam saingan separuh akhir yang berkesudahan kemenangan 4-0.

Tahniah diucapkan kepada semua pemain-pemain futsal DPPKPS yang berjaya mengharumkan nama Padang Serai. Mudah-mudahan pencapaian ini akan melonjakkan lagi semangat dan gerak kerja di peringkat kawasan. ALLAHUAKBAR!!

Tuesday, April 24, 2007

Saf Kepimpinan DPP Kawasan Padang Serai Sesi 2009-2011

Jawatankuasa Harian DPPKPS Sesi 2009/2011

Ketua : Ustaz Abu Tolib Yahya
Timbalan : Sdr Yahya bin Abdullah
Naib : Sdr Ahmad Rizal bin Mohd Noor
Setiausaha : Sdr Aziz bin Abd Rahman
Bendahari : Sdr Mohammad Azizul Fitri bin Damiri
Ketua Penerangan : Al-Akh Saifol Nizam Noordin

Tuesday, April 10, 2007

BAHAYA AIDS HARAKI
DALAM HARAKAH ISLAMIAH :
SUATU PERINGATAN DARI USTAZ FATHI YAKAN
( Virus Merbahaya Yang Menyerang
Harakah Dakwah Masa Kini )

Disediakan oleh : Akhukum fiLlah, Ahmad Akhyari bin Ismail @ Abu Amjad Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Muqaddimah

Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.

Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin.

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.

Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.

Mengenal Virus Merbahaya

Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :

1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh.

Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata.

Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.

2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.

Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan merealisasikan tujuan-tujuannya.

Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.

3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.

Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah.

Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka.

Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah.

Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.

Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.

Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.

Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).

Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW.

Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.

Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).

Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.

Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.

Kesimpulan

Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.

Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.

Kepada para Pejuang yang merindukan kejayaan.....

Kepada Rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskan
Sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia Wahai kalian yang rindu kemenangan…..

Wahai kalian yang turun ke medan Demi mempersembahkan jiwa dan raga Untuk Islam tercinta...

makluman : Artikel ini pernah diterbitkan dalam Blog Ustaz Nasrudin Tantawi tanggal 17 Mac 2006.

Thursday, February 22, 2007

CERAMAH BOIKOT PILIHANRAYA

bersama

YB SALAHUDDIN AYUB
Ketua Pemuda PAS Pusat

USTAZ MOHD NAZRI DIN
Ketua Pemuda PAS Kawasan Larut

Pada : 27/2/2007
Hari : Selasa
Jam : 9.00 malam
Tempat : Markaz PAS Kg Padang Limau, KARANGAN.

Semua dijemput hadir.