Thursday, September 10, 2009

PERUTUSAN AIDILFITRI 1430 KETUA PEMUDA DPPKPS


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kepada pemuda-pemuda PAS Kawasan Padang Serai,

Di sini saya ingin mengambil kesempatan pada bulan Ramadhan al-mubarak ini untuk mengingati diri saya dan semua pemuda supaya memperbanyakkan amalan seperti bersedekah, berzikir dan bermunajat kepada Allah lebih-lebih lagi pada akhir bulan Ramadhan ini. Bulan Ramadhan yang mulia padanya terdapat malam Lailatul Qadar yang ganjarannya bersamaan 1000 bulan beribadat bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut. Dalam kita bergembira untuk menyambut Syawal yang akal tiba, janganlah pula kita lupa menunaikan ibadah yang wajib, iaitu zakat fitrah yang wajib kita tunaikan selaku insan bertaqwa untuk diagihkan kepada insan yang memerlukan.

Saya juga mengharapkan kepada semua pemuda agar tidak terlalu leka dengan kemeriahan menyambut aidilfitri sehingga lalai menunaikan ibadat wajib dan sunat seperti Solat Tarawih serta membuat persediaan sampai membeli barang-barang yang sehingga menyebabkan pembaziran. Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan supaya tidak menanggung hutang di kemudian hari.

Di kesempatan yang ada ini juga, saya bersama seluruh exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai ingin mengingatkan seluruh pemuda-pemudi, belia-beliawanis di kawasan Padang Serai khususnya supaya berhati-hati apabila memandu kenderaan pulang berhari raya ke kampung dan ke destinasi masing-masing. Pandulah dengan cermat supaya anda semua dapat berhari raya bersama-sama dengan orang yang tersayang.

Akhir sekali, saya selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Padang Serai bersama-sama seluruh exco memohon beribu kemaafan sekiranya terkasar bahasa dan sebagainya.

SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

ABU TOLIB BIN YAHAYA
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai

Friday, September 04, 2009

Kota Seputeh: UMNO kalah 8-0

KUALA LUMPUR, 2 Sept: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada kekosongan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh akan menjadi bahan gelak ketawa dunia sekaligus menjadikan Umno kalah kali ke lapan walaupun tiada pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi tersebut, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun tanpa pilihan raya, Pakatan Rakyat (PR) menang kali kelapan setelah menang 7-0 ke atas Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam semua pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu," kata beliau.
Keputusan SPR itu, katanya, membuktikan dengan jelas bahawa Umno tidak bersedia menghadapi menghadapi rakyat di dalam pilihan raya.
"Umno amat jelas dilanda ketakutan setelah kalah 7-0.
"Ia semakin menggeletar menghadapi rakyat ketika tsunami revolusi pilihan raya di Jepun yang menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) sejak Perang Dunia Kedua," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Tindakan mengelakkan pilihan raya kecil di Kota Siputeh itu juga mencatat sejarah yang memperlihatkan SPR terpaksa memberikan alasan yang akan menjadi bahan tertawa dunia, katanya.
"Alasan SPR itu pasti akan menjadi bahan ketawa dunia. Alasan kartun.
"Selepas ini para kartunis bolehlah mencipta watak kartun ala Upin dan Ipin di mana Umno dan SPR menjadi watak utamanya.
"Amat malang bagi demokrasi negara ini apabila SPR menjadi watak kartun untuk menemani Umno yang menggeletar ketakutan untuk menghadapi pilihan raya dan kuasa rakyat," katanya.
Mahfuz menyifatkan SPR sengaja mencari-cari alasan apabila mendakwa bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh kerana beliau tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza dan bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.
"Peruntukan mengenai perkara itu tidak langsung memberikan kefahaman bahawa seseorang ADUN hilang jawatannya jika tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam satu penggal yang sama," kata beliau.
Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.
Sepatutnya, kata beliau, Umno yang mencabar keputusan Speaker yang mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut dan bukannya SPR pula yang menjadi mahkamah yang mentafsir dan membuat keputusan sebelah pihak.
Mengenai surat cuti sakit ADUN Kota Seputeh ayang diterima oleh SPR, Mahfuz mempersoalkan keengganan SPR menyiasat surat cuti sakit itu.
"Adakah ADUN tersebut mendapat surat cuti sakit? Sedangkan, akhbar Sinar Harian edisi tempatan melaporkan beliau menghadiri satu majlis pada tarikh yang dimaksudkan itu," beliau mempersoalkan.
Mahfuz mempersoalkan mengapa SPR tidak mengambilkira persetujuan Speaker untuk membolehkan seseoran ADUN tidak menghadiri sidang DUN.
"Kalaupun ada surat cuti sakit, seseorang ADUN mesti menyerahkan surat itu kepada Speaker dan Speaker pula mesti memberi persetujuan untuk membolehkan ADUN berkenaan tidak menghadiri sidang DUN," katanya.
Sebelum ini Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno yang hilang keanggotaannya di dalam dewan itu.
Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.
Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Seputeh selama empat penggal berturut-turut.
Sumber: Harakahdaily

Thursday, September 03, 2009

Hadiah Hari Merdeka, harga minyak naik lagi!

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Rakyat mendapat hadiah istimewa sempena menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini apabila harga petrol dipercayai akan mula naik mulai tengah malam ini.
Menurut sumber, Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 malam ini manakala F1 akan naik dari RM1,80 ke RM2.05. Bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.
"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.
PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.
Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.
Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.
"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin.

Sumber: Harakahdaily

Adun Lunas didesak letak jawatan



PADANG SERAI, 31 Ogos: Tekanan semakin hebat ke atas Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh agar beliau melepaskan jawatan Adunnya selepas keluar dari PKR menjadi Adun bebas. Ini kerana, mereka mengundi Radzhi kerana dia bertanding atas tiket PKR bukannya bebas apatah lagi menjadi alat kepada Barisan Nasional (BN) pula.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mendesak Radzhi supaya melepaskan jawatan beliau sebagai Adun Lunas kerana ianya tidak bertepatan dengan kehendak penduduk dan pengundi kawasan tersebut. Menurut beliau pada pilihan raya umum yang lalu pengundi kawasan tersebut mengundi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Justeru itu sebagai menghormati para pengundi dan penduduk kawasan yang dimenangi oleh Radzhi atas tiket PKR itu maka beliau harus mengosongkan kerusi tersebut supaya ia dipulangkan kepada pengundi dan penduduk kawasan tersebut untuk membuat pemilihan.
"Beliau telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi kepadanya.
"Jika beliau memang seorang yang berpendirian maka beliau akan melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas dan memulangkan kepada pengundi dan penduduk untuk membuat keputusan samada mahu menerimanya atas tiket bebas atau sebaliknya," kata Gobala.
Lunas adalah salah Dun di bawah Parlimen Padang Serai yang diwakili Gobala.
Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa Radzhi harus sedar dengan perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk menggugurkan beliau sebagai Exco sudah jelas membuktikan kemurkaan Tuanku dengan perbuatan beliau.
"Saya yakin keputusan yang telah diambil oleh Tuanku Sultan untuk menggugurkan Radzhi daripada jawatan Exco adalah untuk menjaga nama baik istana. Radzhi sepatutnya faham mesej yang ingin disampaikan oleh Tuanku kepada beliau.
"Pada waktu yang sama selepas beliau dilucutkan daripada jawatan Exco maka pada ketika itu juga Radzhi sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas.
"Saya juga yakin majoriti daripada pengundi dan penduduk yang diwakili beliau itu mahukan kerusi Lunas dikosongkan selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum yang lalu adalah atas tiket PKR dan bukannya Bebas."
Radzhi sebelum ini mengambil keputusan keluar dari PKR setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan menjadi Adun Bebas.
Rentetan daripada itu beliau kemudian telah dilucutkan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia oleh Tuanku Sultan Kedah.

Sumber: Harakahdaily

Sunday, July 12, 2009

Program Ramah Mesra PAS Kawasan

Pada 4 Julai 2009, bertempat di PASTI Islahiyah Kilang Lama, DPPKPS telah menyertai program ramah mesra anjuran PAS kawasan. Program yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama pimpinan PAS di peringkat kawasan ini telah berjaya menghimpunkan seluruh saf kepimpinan PAS di pelbagai peringkat di dalam kawasan Padang Serai. Antaranya dewan pemuda, dewan muslimat, MTD Merbau Pulas, MTD Lunas, Unit Amal, Keselamatan, dan ahli jawatankuasa PAS kawasan sendiri sebagai penganjur.

Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan solat Marghrib berjemaah, diikuti dengan makan malam yang turut menghidangkan pelbagai variasi buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan. Selepas solat isya', para hadirin kemudiannya mendengar amanat dan taklimat yang disampaikan oleh YDP Kawasan, Hj Fauzi bin Tahir. Antara intipati ucapan YDP kawasan adalah harapan beliau terhadap seluruh pimpinan PAS kawasan dipelbagai peringkat dan dewan memainkan peranan yang berkesan dalam membantu PAS kawasan khususnya dan negeri Kedah amnya untuk mempertahankan kemenangan yang telah diraih oleh PAS dalam pilihanraya ke-13 yang akan datang. YB Ustazah Aishah juga tidak ketinggalan memberikan penerangan dan taklimat berhubung dengan kedudukan dan isu-isu semasa yang berlaku di negeri Kedah.

Saturday, June 27, 2009

Peniaga diisytiharkan calon PAS di Manek Urai

KUALA KRAI, 27 Jun (Hrkh)- Seorang peniaga, Haji Mohd Fauzi Abdullah, 50 diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai malam tadi.

Pengisytiharan itu dibuat Mursyidul Am PAS, tuan Guru Dato? Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah di Kampng Manek Urai Lama, yang sendat dengan ribuan manusia. Hadir sama Presiden PAS, Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kawasan tempat ceramah di padang bola Manek Urai Lama sesak sejak awal petang lagi apabila penduduk tempatan dan petugas parti bertali arus menuju ke tempat ceramah.

Ketika diumumkan nama calon tersebut, suara takbir sambut menyambut mengiringi pengisytiharan tersebut. Kelihatan ramai yang setuju dengan ketokohan yang ditampilkan.

Akhirnya tindakan Umno pecat PAS makan diri

SIAPA sangka langkah Umno pimpinan Hussein Onn memecat PAS daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978 akhirnya memberi kesan panjang kepada perpaduan Melayu dan Islam dalam negara hingga kini menghantui parti itu sendiri dan menyusahkan sebarang usaha kerjasama baru.

Sikap Umno tidak menghormati PAS pimpinan Asri Muda dalam menentukan kedudukan kerajaan BN negeri Kelantan pimpinan PAS ketika itu kini menunjukkan bahawa apa saja keputusan politik akan memberikan kesan panjang yang tidak dijangka pada masa akan datang.

Kini kesukaran Umno untuk mendapatkan kerjasama daripada PAS adalah hasil daripada tindakan Umno yang tidak cukup berwawasan ketika itu. Dengan campur tangan terhadap hal ehwal dalaman parti PAS, Umno meleraikan perpaduan Umno-PAS yang dirintis oleh Tun Razak Hussein dan Asri hingga kesannya sekarang ialah BN sendiri kehilangan sokongan di lima negeri.

Ketika BN berada di kemuncaknya dengan menguasai semua negeri di Malaysia, maka Umno pula memecahkan perpaduan Melayu-Islam dengan langkah pertamanya meretakkan hubungan antara kumpulan yang menyokong Asri dengan pihak Mohamad Nasir. Hasilnya PAS berpecah dengan menghasilkan sebuah parti serpihannya, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Akibatnya PAS kehilangan Kelantan tetapi bukannya kepada Berjasa yang menggantikannya dalam BN, tetapi Umno yang muncul sebagai pemimpin kepada kerajaan negeri Kelantan. Berjasa tidak muncul sebagai parti yang kuat seperti PAS. Maka Umno muncul bertambah gagah dalam BN.

Sebaliknya pada 1984, PAS bertambah pecah dengan muncul sebuah lagi parti serpihan iaitu Hizbul Muslimin Malysia (Hamim). Parti ini diterima masuk ke dalam BN walaupun dibantah oleh Berjasa.

Walaupun ada dua, iaitu Berjasa dan Hamim dalam BN, ia tidak dapat menggantikan kekuatan PAS, tetapi sebaliknya ia juga gagal mengimbangi Umno. Ketika ini Umno berasa jalannya ini adalah benar. Dengan memecahkan parti Islam tetapi akhirnya Asri sendiri menyertai Umno walaupun usahanya untuk membubarkan Hamim gagal.

Maka tidak lama kemudian, Umno sendiri mengalami perpecahan. Daripada kehancurannya, muncul Umno Baru pimpinan Mahathir Mohamad dan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Walaupun Umno Baru muncul sebagai pengganti Umno untuk menerajui BN, Berjasa dan Hamim memilih untuk bersekutu dengan PAS dan Semangat 46, beserta untuk Kongres India Muslimin Malaysia (Kimma) menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah.

Menjelang pilihan raya umum tahun 1986, pihak yang mendukung perpaduan ummah hampir menang mengalahkan kumpulan yang banyak memecahkan perpaduan ummah. Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat hampir kalahkan BN.

Maka dalam menghadapi situasi ini, BN mengambil jalan untuk memecahkan Angkatan-Gagasan ini. Mereka menghantar wakil ke PAS supaya keluar daripada Angkatan-Gagasan, sebaliknya bekerjasama dengan Umno.

Kalau rancangan Angkatan-Perpaduan adalah membenarkan PAS menjadi ketua kerajaan negeri bagi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, maka BN juga mampu menawarkan perkara yang sama kepada PAS asalakan parti itu bekerjasama Umno.

Lagi pun digambarkan bahawa PAS yang Islami adalah lebih hampir dengan Umno, ketika itu di bawah pimpinan Mahathir dan Anwar Ibrahim, yang imejnya juga Islami, jauh berbeza daripada Semangat 46.

Tetapi janji adalah janji. Dalam detik-detik penting ini, PAS wajar beristiqamah dengan Semangat 46. Namun Semangat 46 ternyata yang tersilap dengan bersikap angkuh apabila berjaya menarik keluar Parti Bersatu Sabah (PBS) daripada BN. Maka Angkatan-Gagasan pun kecundang. Cumanya Angkatan pimpinan PAS berjaya menyapu bersih Kelantan.

Namun begitu, akhirnya Umno berjaya juga memecahkan Angkatan-Gagasan apabila Semangat 46 dibubarkan dan diserapkan ke dalam Umno Baru.

Kerja-kerja memecahkan parti orang lain akhirnya memakan diri. Pada tahun 1999, Umno sendiri yang berpecah dan serpihannya menubuhkan Parti Keadilan Nasional. Padahnya diterima oleh BN pada pilihan raya tahun 1999, apabila Terengganu menyertai Kelantan untuk menjadi negeri bukan BN.

Pada 1999, kemenangan PAS juga adalah hasil daripada perpaduan empat parti dalam Barisan Alternatif, iaitu PAS, Keadilan, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Tetapi jentera propaganda BN sentiasa berusaha untuk memecah-belahkan Barisan Alternatif. Ia berjaya di satu peringkat apabila DAP keluar daripada Barisan Alternatif.

Tetapi di pihak lain, gerakan perpaduan bergerak juga apabila Keadilan bergabung dengan PRM untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat. Ia dan PAS mengukuhkan lagi Barisan Alternatif dengan Keadilan mempunyai jalinan kerjasama bersama DAP.

Umno dan Barisan Nasional berasa mereka berada di landasan betul apabila dalam pilihan raya tahun 2004, ia berjaya merampas Terengganu dan hampir menumbangkan kerajaan PAS Kelantan. Ketika itu, tidak ada sedikit pun cakap-cakap mengenai perpaduan. Sebaliknya, mereka berasa sokongan rakyat terhadap Umno dan BN telah pulih.

Tetapi setelah kerajaan negeri BN di Selangor dan Perak tumbang dalam pilihan raya umum 2008, tanpa tertangguh-tangguh usaha dilakukan untuk menarik keluar PAS daripada Barisan Alternatif. Maka gambarannya ialah muncul kerajaan PAS-Umno di Perak dan Selangor.

Tidakkah ada pertimbangan bahawa rakyat yang mengundi PAS di kedua-dua negeri itu adalah atas kerjasama PAS, KeADILan dan DAP? Kalau betul hendak diuji, bubarkan Dewan Undangan Negeri Perak di mana platformnya adalah Umno dan PAS bekerjasama dan bertanding. Akibatnya adalah PAS akan berpecah. Itulah yang dikehendaki Umno. - mks. _

Sunday, June 21, 2009

Ziarah Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK) ke DPPKPS

Pada 17 Jun 2009, bertempat di Pejabat PAS Kawasan Padang Serai, Kilang Lama, DPPKPS telah diziarahi dan dikunjungi DPPNK. Ziarah yang diketuai oleh Saudara Sanusi (Timb Ketua Pemuda DPPNK)ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan ikatan di antara AJK DPPNK yang baru dengan DPPKPS, berkongsi perancangan, gerak kerja, hala tuju DPPNK selepas muktamar yang lalu di samping untuk berkongsi gerakerja dan permasalahan yang berlaku di peringkat kawasan. Pelbagai perkara telah dibentangkan dan perbagai persoalan telah ditujukan yang berkisar sekitar hala tuju dan perancangan kedua-dua pihak. Selain Timbalan Ketua Pemuda, ziarah ini juga turut disertai oleh beberapa orang AJK DPPNK yang lain antaranya Ustaz Ahmad Izzat Shauki, Ustaz Yusuf Awang, dan Ustaz Azam Samad.


Pihak DPPKPS mengucapkan jutaan terima kasih, syukran jazilan kepada DPPNK di atas kesudian untuk berkunjung ke Padang Serai. Semoga dengan adanya ziarah seperti ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah dan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang, InsyaAllah..


Tuesday, May 26, 2009

WARKAH TERBUKA DARI WISMA DARUL AMAN

WARKAH TERBUKA KEPADA : SELURUH PEMBACA KEDAHLANIE.BLOGSPOT.COM, PENYUMBANG BERITA DAN ARTIKEL, & ADMIN.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahteraSalam hormat daripada saya di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Terlebih dahulu saya mengajak diri yang kerdil ini, seluruh pembaca, penyumbang berita dan blogger untuk memanjatkan rasa syukur kepada Allah s.w.t di atas nikmat dan rahmat yang dianugerahkan. Mari kita terus meningkatkan ketaqwaan kepadaNya, moga-moga kita semua beroleh keampunan dan keredhaan.

Saya telah mengikuti rapat bahan-bahan yang dipaparkan dilaman maya Kedahlanie berkaitan isu-isu Negeri Kedah, dan mengutip semua sumbangsaran yang dilontarkan, sama ada punya identity atau bersembunyi. Saya ambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih atas usaha anda semua.

Bagi undian prestasi Kerajaan Negeri Kedah, saya telah menganalisa semua komen berasaskan beberapa bidang dan kelompok, dan saya telah memanjangkannya kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar (MB) untuk tindakan selanjutnya.

Berkaitan isu tuntutan yang dikatakan melampau yang tidak dinyatakan tuan tubuh Exco yang terlibat, saya telah memaklumkan kepada MB dan beliau akan mengambil tindakan perlu untuk mengatasi perkara tersebut jika didapati wujud kes seperti yang didakwa. Tidak dapatlah saya nyatakan di sini bentuk tindakan dan siapakah individu tersebut. Kepada penulis yang menggunakan nama Penyiasat Persendirian diharap dapat menghubungi saya untuk penjelasan lanjut.Berkenaan isu rumah Adun Merbau Pulas, saya telah berjumpa dan mendapatkan penjelasan beliau. Benar seperti yang dinyatakan oleh beberapa responder bahawa ruang tambahan itu adalah untuk dijadikan Pusat Khimat Wakil Rakyat (PKWR). Kos ubahsuai adalah antara RM35 – RM40 ribu sahaja daripapa wang simpanan beliau sendiri, wang pencen suami (Cikgu Ramli) dan duit kebun getah pusaka keluarganya. Sebahagian daripada kos tersebut masih belum dibayar (berhutang) kepada pembekal (hardware) dan upah tukang, dianggarkan berjumlah RM17 ribu. Dakwaan bahawa kos yang melebihi RM80 ribu dari dana kerajaan yang diseleweng adalah tuduhan yang amat berat dam keterlaluan. Saya harap abudzaralghifari bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t dan daripada YB Adun Merbau Pulas, keluarga beliau dan seluruh pengundi beliau. Ingatlah penegasan Allah dalam Al_Quran “Sesungguhnya dosa memfitnah adalah lebih berat daripada membunuh”.

Beliau tahu pihak-pihak yang bertanggungjawab mereka-reka fitnah tersebut, dan anaknya menyimpan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki oleh dua orang yang mengambil rumahnya pada hari tersebut. Laporan polis sedang dipertimbangkan untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

Saya secara pribadi amat berat untuk bertanyakan hal tersebut, dan jawapan beliau mengundang titisan air mata tanpa disedari. Memandangkan beliau memegang portfolio kebajikan, memberi sumbangan dari wang gaji, melawat, menziarah dan merasai pederitaan rakyat (seperti Adun-Adun lain), tidak dapat dielakkan lagi. Hampir separuh daripada gaji dan elaun bulanan disumbangkan kepada masyarakat, PKWR dan parti, satu pertiga untuk perjalanan ulang-alik beliau ke pejabat di Alor Setar dan sebahagian kecil untuk diri dan keluarga beliau. Semuanya dibentangkan secara terperinci. Tidak dapat saya bayangkan kesukaran dan pengorbanan beliau untuk melaksanakan amanah yang dipikul, semoga semua itu dianugerahkan ganjaran kebaikan daripada Allah s.w.t. Walaupun tidak ada baki untuk menjadi harta dunia untuk diwarisi anak-anak, beliau tetap bersemangat untuk terus berkhidmat dan menunaikan amanah yang amat berat itu. Marilah kita berdoa semoga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk meneruskan perjuangan mulia ini.

Saya amat berharap jawapan ini dapat menamatkan pergelutan maya dalam suasana politik yang serba terbuka di zaman ini. Anasir-anasir jahat pihak musuh perlu sentiasa diawasi, baik musuh itu berupa syaitan, jin, manusia, dan nafsu dalam diri.

Kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, saya menyeru agar kita dapat bersatu dan mendokong hasrat melahirkan sebuah negeri yang sejahtera, tempat berteduh orang miskin dan lemah yang terbela bersama orang kaya yang pemurah. Semoga usaha kita mendapat barakah dan hidayah daripada Allah s.w.t.Sekian Terima kasih.

Yang benar,
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
SETIAUSAHA POLITIKYAB DATO’ SERI MENTARI BESAR KEDAH
msanusi@kedah.gov.my / mhmmd_sanusi@yahoo.co.uk

Friday, May 15, 2009

SENARAI JAWATANKUASA DPPNK SESI 2009/2011

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) menyokong penuh saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah sesi 2009/2011. DPPKPS juga merakamkan tahniah kepada Sdr Yahya Abdullah (Timb. Ketua Pemuda DPPKPS) atas perlantikan sebagai ahli jawatankuasa pemuda negeri yang baru. Berikut merupakan senarai penuh DPPNK sesi 2009/2011:

Ketua Pemuda
Ust. Ahmad bin Yahya
Lajnah: Tarbiah dan latihan Kepimpinan

Timbalan Ketua Pemuda
Sdr. Muhammad Sanusi bin Md Nor
Lajnah: Politik dan Organisasi

Naib Ketua Pemuda
YB Ust Ahmad Izzat bin Hj Shauki
Lajnah: Sukarelawan Pemuda Kedah (SPP)

Setiausaha
Mohd Rosli bin Azmi

Bendahari
Sdr. Yusrin Zakri bin Adnan

Ketua Penerangan
YB. Ust Nasir bin Zakaria

AHLI JAWATANKUASA :
1. Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan
Ust. Fadzil Muhd Noor bin Sahani
2. Jabatan AMAL Kedah
Ust. Zelani bin Nik Chik
3. Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Sdr. Yusrin Zakri bin Adnan
4. Lajnah Petani, Peniaga dan Penternak
Sdr. Fadzil bin Baharum
5. Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Ust. Salim bin Mahmud
6. Lajnah Sukan dan Kebudayaan
Ust. Yusuf bin Awang
7. Jabatan PASTI
Ust. Mohd Azam bin Abd Samat
8. Lajnah Pendidikan
Ust. Mohamad bin Ismail
9. Lajnah Pembangunan Remaja
Ust. Syahril bin Azir
10. Lajnah Perpaduan Nasional dan Guaman
Sdr. Muhammad Afif bin Abdullah
11. Lajnah IT
Sdr. Azman bin Ahmad
12. Lajnah Media dan Perhubungan Awam
Sdr. Mohd Helmi bin Khalid

5 orang Exco Pemuda baru :
1.Sdr Helmi bin Khalid
2.Sdr. Fadzil Muhd Noor bin Sahani
3.Ust Syahril bin Azir
4.Sdr. Yahya bin Abdullah (DPPKPS)
5.Cikgu Nasri bin Muarat

Pengerusi-pengerusi baru bagi sekolah-sekolah dibawah Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
1. Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU)
Ust. Mohamad @ Fauzi bin Husin
2. Sekolah Integrasi Faizin
Ust. Musoddak bin Hj Ahmad

Penubuhan Unit Penyelidikan dan Thaqafah yang diletakkan dibawah Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan. Ust Yusuf Awang dilantik sebagai Pengarah unit tersebut.