Wednesday, March 04, 2009

Himpunan mansuhkan PPSMI diteruskan tanpa permit



SHAH ALAM: Himpunan Aman 100,000 orang sempena majlis penyerahan memorandum pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di hadapan Istana Negara pada 7 Mac ini akan tetap diteruskan walaupun tanpa permit polis.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hassan Ahmad berkata mereka bukan mahu mengadakan demonstrasi, sebaliknya hanya mahu mempersembahkan memorandum itu kepada Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Itu salahkah? Saya rasa ia tidak perlu permit (polis) pun," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perjumpaan GMP bersama persatuan yang menyokong gerakan itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini malam tadi. Turut hadir Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Hassan yang juga bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata memorandum setebal lapan halaman dengan menggunakan bahasa Istana itu ditandatangani beliau serta lima anggota GMP dan pihaknya juga telah menghubungi setiausaha sulit kanan Yang diPertuan Agong pagi semalam.

Beliau berkata memorandum itu antara lain menyembah maklum kepada baginda bahawa PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 adalah satu keputusan yang silap dan perlu dikembalikan kepada bahasa ibunda.

Setiausaha GMP, Hasni Abas pula berkata gerakan itu telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit ke Bukit Aman Sabtu lepas tetapi diminta berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.Setakat ini, GMP belum mendapat kelulusan daripada polis untuk perhimpunan itu, katanya.

Beliau mendakwa sehingga kini, gerakan itu mendapat sokongan daripada 132 gabungan yang mewakili pelajar, kesatuan sekerja, persatuan ulama dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan.

Malah, katanya, usaha GMP turut mendapat sokongan masyarakat Orang Asli di Tapah, Perak, dalam satu pertemuan Sabtu lalu, apabila Tok Batinnya menyatakan persetujuan untuk menghantar dua bas rombongan bagi menyertai perhimpunan itu.

Semalam, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor berkata Kementerian Pelajaran telah menyiapkan kertas berhubung cadangan pelaksanaan PPSMI untuk dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat. BERNAMA

sumber : www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment