Tuesday, December 25, 2007

Pengundi Melayu makan duit, tak makan isu

Oleh Zulkifli Yahaya



Seorang lelaki yang umurnya melewati 60-an begitu mengkagumi Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star sewaktu berkunjung buat pertama kalinya ke situ untuk melawat kenalannya yang sakit. Di hadapan pintu wad agak ramai pelawat dari pelbagai latarbelakang sedang berbual kosong menunggu pintu wad dibuka. Lelaki tadi terus rancak memperihalkan kehebatan dan kecanggihan Hospital Sultanah Bahiyah sekalipun segalanya telah tersergam di depan mata.

“Bukan sikit duit yang kerajaan belanja ni untuk bagi kemudahan kepada rakyat,” tiba-tiba terlontar perkataan dari mulutnya yang dapat mengesahkan sikap politiknya. "Itupun kerajaan dok tak betoi situlah (sentiasa tidak betul),” kata-kata itu memantapkan lagi identiti politiknya.

Seorang lelaki yang kelihatan agak muda dan kemas lantas menyahut: “Yang tak betul tu perkara lain pak cik, isu rasuah, salahguna kuasa, kurung orang tapi tak bicara, tindas sekolah agama... (panjang lagi senarai disebutnya). Soal bina hospital siapa memerintah pun dia kena buat, itu tanggungjawab. Duit buat hospital ni duit kita, duit cukai macam-macam yang kerajaan kutip dari kita, bukan duit poket Pak Lah. Dan kebajikan untuk rakyat yang kerajaan buat tak boleh tutup perkara silap lain yang depa buat.”




Macam ceramah libasannya. Ramai yang tersenyum sambil mengiyakan kata-kata lelaki itu. Seorang lelaki lain cuba mengalih suasana: “Sudah, sudah, bincang politik sampai bila tak habis.” Kebetulan pintu wad dibuka, kerancakan berbual terhenti di situ.

Sketsa pendek di atas bukanlah plot baru cerita politik di Kedah, mahupun di negara ini. Dailognya sentiasa berulang-ulang sejak sekian lama. Mungkin sejak sebahagian rakyat kenal apa itu demokrasi, sementara sebahagian lagi buta pemahaman terhadap demokrasi.

Hakikatnya di Kedah, di mana ada Umno di situ ada PAS. Tiada kampung yang tiada ahli atau sekurang-kurangnya penyokong PAS. Ini ditunjukkan oleh keputusan pilihanraya. Saluran mengundi yang tiada bangsal panas PAS, kerana tiada cawangan di situ, boleh mencatatkan ratusan undi untuk PAS.

Kedah, seperti Kelantan dan Terengganu adalah negeri yang PAS ada kekuatan tapi belum pernah menang. Sebab utama ialah kerana peratus undi bukan Melayu yang tinggi (23 peratus) dan mereka jarang memihak kepada PAS. Dengan itu peratusan undi Melayu yang menyokong PAS perlu betul-betul tinggi, melebihi 65 peratus.

Pilihan raya dan isu adalah sinonim. Persoalannya, isu di Kedah berlambak-lambak sejak dulu tapi PAS belum pernah menang. Isu Montoya, tragedi Lubuk Merbau, pembunuhan beramai-ramai di Memali, pengambilan tanah di Kerpan, curi balak, Jerai International Park (JIP), kegagalan projek Kompleks Lembu Korban Paya Pahlawan, tanam padi atas bumbung, Universiti of Tomorrow di Langkawi, penindasan, sekolah agama rakyat dan macam-macam lagi. Namun semuanya masih gagal menundukkan BN.

Sekarang muncul isu penutupan Pedu Lake Resort, kegagalan Marina Pearl Harbour, Kompleks Ikan Bakar Kuala Kedah, Chalet Pulau Payar, Chalet Muzium Padi, Jambatan Pulau Bunting, pengambilan beribu ekar tanah rizab Melayu untuk projek Stargate dan Star City, penyelewengan Sukma ke 11, jet peribadi Mahdir Khalid, Majlis Bandaraya Alor Star menuju bankrapsi, kerugian berpuluh anak syarikat kerajaan negeri dan hutang kerajaan negeri mencecah RM2 billion. Jika isu sebanyak ini muncul di Jepun, kerajaan sudah letak jawatan sebelum dikalahkan dalam pilihan raya!

Kadang-kadang tercetus kata-kata bebal penganalisis politik kedai kopi: “Orang Melayu bukan makan isu, tapi makan duit”. Semacam ada benarnya.

Sebanyak mana pun isu yang dimainkan PAS, tetapi yang menjadi perhitungan sebahagian pengundi beberapa hari sebelum pembuangan undi ialah ‘apa aku dapat’ sekarang. Golongan ini boleh dibeli hanya dengan nilai seratus dua, hamper atau bantuan segera menjelang pilihan raya.

Kekalahan PAS dengan beza undi 283 dalam pilihanraya kecil selepas kematian Almarhum Dato' Fadzil Noor adalah sebesar-besar pengajaran. BN memperalatkan Pekida (sebagai broker) untuk membeli sebahagian 'polling & counting agent' PAS. Tidak semua boleh dibeli. Tapi dengan tawaran RM5,000 seorang kepada petugas tahap bawahan PAS, tidak pelik kalau ada yang kelabu mata.

Kes pengambilan 4,500 relong tanah milik Melayu di Daerah Yan untuk projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) adalah isu besar. Ia melibatkan 8 buah kampung yang ramai penduduk, dua buah masjid dan sebuah sekolah kebangsaan. Hampir semuanya Melayu-Islam.

Sewaktu Adun kawasan terbabit, Ustaz Azizan Razak beriya-iya membawa isu tersebut di pentas ceramah dan sidang Dun, penduduk terbabit masih belum panggung kepala. Sedangkan kehilangan yang dialami penduduk cukup besar iaitu tanah dan maruah Melayu. Belum nampak sebarang persatuan atau badan bertindak. Semuanya tunggu dan lihat, macam setia menunggu tali gantung dikalungkan ke leher. Jika isu yang melibatkan nasib sendiri pun masing-masing tidak ambil peduli, isu apa agaknya yang mampu mengoncang lubuk nurani orang kita?

Pilihan Raya Umum 2004 adalah catatan pahit bagi PAS di seluruh negara. Di saat semua negeri merekodkan penurunan undi perolehan PAS, Kedah mencatatkan sedikit kenaikan jumlah undi berbanding tahun 1999. Perlu diingat, kira-kira empat bulan sebelum pilihan raya 2004, Kedah dilanda banjir besar. Gerakan jentera PAS yang luar biasa dan pantas dalam membantu mangsa banjir mengatasi jentera kerajaan telah melonjakkan imej parti.

Apakah sumbangan kebajikan itu yang telah meningkatkan undi PAS, sewaktu PAS kehilangan sebahagian besar undi simpati Dato' Seri Anwar Ibrahim? Tiada kajian untuk membuktikannya. Telahan yang nyata ialah di saat sistem demokrasi masih tempang, isu bukan faktor utama kemenangan.

No comments:

Post a Comment