Thursday, January 25, 2007

Sambutan Tahun Baru Islam 1428H - mengimbau semangat penghijrahan Nabi SAW


DPPKPS memulakan 1 Muharram 1428H dengan satu program Sambutan Tahun Baru Islam 1428H bertempat di PASTI Islahiyyah Sg Badak, Kelang Lama Kulim.

Menyedari peri pentingnya membawa masyarakat kepada penghayatan Islam, di samping menawarkan kepada masyarakat setempat dengan program yang memberi peringatan dari Al-Quran, pihak penganjur telah menjemput seorang ulama' muda yang berkhidmat di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulama' PAS Negeri Kedah, Tuan Guru Mohd Zainul Asri Ramli.

Majlis juga diserikan dengan persembahan nasyid dari anak-anak PASTI Islahiyyah dan juga persembahan nasyid khas dari kumpulan anak muda dari Masjid Sg Seluang, Lunas.
Dalam penyampaian oleh Tuan Guru Zainul Asri, beliau telah membawa kisah Hijrah bersejarah Ar-Rasul SAW kira-kira 1428 tahun yang lalu di samping beberapa usaha awal Nabi SAW untuk berhijrah untuk mendapatkan tapak yang kukuh untuk Islam mula disebar luaskan.
Tuan Guru juga mengimbas peranan sahabat-sahabat dan orang yang terlibat sepanjang peristiwa bersejarah tersebut. Ini semua menggambarkan ketinggian pengorbanan yang dilakukan demi untuk memartabatkan Islam sehingga sampai ke tangan kita pada hari ini.
  • Bagaimana ceria dan berdebarnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA menunggu panggilan untuk menemani Rasulullah berhijrah ke Madinah
  • Bagaimana cinta dan kasihnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA kepada Rasulullah SAW apabila menahan dengan tangannya seekor kala jengking daripada keluar dari lubangnya dan mengganggu Rasulullah
  • Bagaimana beraninya Saidina Ali mengambil risiko untuk 'mati syahid' dengan menggantikan tempat tidur Ar-Rasul SAW
  • Bagaimana gigihnya Asma' binti Abu Bakar RA yang walaupun sedang mengandung, berupaya mendaki ke Gua Thur untuk menghantar makanan kepada ayahandanya dan Rasulullah
  • Bagaimana beraninya Asma' binti Abu Bakar RA berhadapan dengan Abu Jahal dan puak kuffar dan mengatakan 'tidak tahu' apabila ditanyakan tentang Rasulullah, sehingga dilempang oleh Abu Jahal dan tercabut anting-antingnya
  • Bagaimana cekalnya Abdullah bin Abu Bakar RA meninjau pergerakan puak kuffar untuk memberi maklumat kepada Rasulullah tentang keadaan semasa perjalanan ke Madinah
  • Bagaimana tabahnya Amir bin Fuhairah, seorang gembala kambing membawa kambing-kambingnya menghilangkan bukan saja jejak-jejak perjalanan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar bahkan juga jejak kaki Asma' binti Abu Bakar
  • Bagaimana kesanggupan seorang Yahudi, Abdullah bin Uraiq menjadi penunjuk jalan kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar
Ini semua merupakan secebis kisah pengorbanan para sahabat dalam kisah hijrah tersebut yang wajar dan secara warasnya kita mengambil pengiktibaran besar daripadanya.

Kita akhiri 1427H dengan doa akhir tahun, dan kemudiannya kita mulakan 1428H dengan doa awal tahun. Dan kita mulakan kitab/diari amal tahun baru ini dengan azam yang tinggi untuk meningkatkan ilmu, iman, amal dan kerja buat kita untuk memastikan tahun mendatang ini Islam tidak lagi terhina tapi dijulang....."Islam itu tinggi, tiada yang tinggi daripadanya"

No comments:

Post a Comment