Tuesday, March 17, 2009

Belasungkawa!

Saudara Ramli Jaafar (RJ)[foto], mantan exco DPPKPS yang terlibat dengan kemalangan jalanraya semasa kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini telahpun kembali ke rahmatullah jam 7.30 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Beliau meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak. Beliau pernah menjadi wartawan sambilan Harakah semasa hayatnya. Semasa pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac tahun lalu, beliau menjadi wakil calon kepada calon PKR YB N. Gobalakrishnan yang bertanding di Parlimen Padang Serai. Terakhir, beliau merupakan salah seorang pegawai Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah. Pihak kami mendoakan semoga rohnya aman dan beliau ditempatkan bersama-sama dengan golongan syuhadak dan solihin.

Al-Fatihah!


Tuesday, March 10, 2009

Unit Simpanan British Masih Belum Jumpa Jalan Pulang

Ketika kurun ke 15, (1400 - 1500), orang Inggeris masih belum jumpa jalan Laut untuk ke Asia.

Hari ini, Unit Simpanan British masih belum lagi menjumpai Jalan pulang ke England.

Bagaimana mereka untuk balik ke Istana Buckingham? Belum jumpa jalan pulang.

Bagaimana polis British nak balik mengadap Permaisuri Victoria?

Eh, Tahukah mereka bahawa Permaisuri Victoria sudah lama mampus.


Kasihanilah mereka.


Gambar Unit Simpanan British sedang mencari Jalan Pulang ke England.



"Kita nak balik lalu mana bos?"
"Jalan Laut belum jumpa lagi kah?"
"Kalau lalu darat tak boleh kah?"



sumber gambar: minoq_jjinggo

sumber cerita : hasbullah pit

Thursday, March 05, 2009

Bekas Menteri akui wujud kecelaruan dalam PPSMI

Khamis Mac 5, 2009

KANGAR: Bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad (gambar) mengakui wujud kecelaruan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun tujuan pelaksanaannya adalah baik.Menurutnya PPSMI bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia tetapi sepanjang enam tahun pelaksanaannya ia dilihat seperti tidak mencapai sasarannya disebabkan kecelaruan itu.

"Masalah itu hanya dapat diatasi jika para pendidik meningkat dan menggalakkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dengan kemudahan-kemudahan sokongan yang disediakan termasuk bahan pengajaran dan pembelajaran," katanya selepas menyampaikan syarahan tokoh kebangsaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Menurutnya Kementerian Pelajaran termasuk para pendidik serta pelajar perlu bertindak segera untuk menangani kelemahan yang ada sekiranya ingin merealisasikan PPSMI.

"Galakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian kerana ia penting bagi meningkat kefahaman dalam bahasa itu," kata Musa yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Katanya, identiti bangsa Melayu tidak akan berubah sekiranya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar," katanya.

Sebelum itu, beliau yang menyampaikan syarahan bertajuk "Isu-isu Dalam Pendidikan Tinggi Semasa di Malaysia Sejarah dan Hala Tuju" berkata proses pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar memang berkesan tetapi setiap rujukan atau jurnal harus diterjemahkan segera ke dalam bahasa penghantar itu.

"Setiap rujukan dan jurnal adalah di dalam bahasa Inggeris dan sekiranya bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dapat disokong dengan bahan-bahan dalam bahasa penghantar itu sendiri ia tidak akan menimbulkan masalah untuk para pendidik dan pelajar mendapatkan rujukan segera. Tetapi kini kebanyakan jurnal adalah dalam bahasa Inggeris," katanya.

Selain itu, Musa berkata, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula kedudukan pencapaian pelajar di bandar dan di luar bandar kerana wujud perbezaan antara taraf pendidikan di bandar dan luar bandar menyebabkan pelaksanan PPSMI tidak mencapai sasarannya.

"Kita tidak boleh bezakan antara pendidikan di bandar dan luar bandar kerana tahap pendidikannya berbeza tetapi kita mampu mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikannya," katanya. BERNAMA

sumber : www.mstar.com.my

Polis benar himpunan anti-PPSMI

Jimadie Shah Othman | Mar 5, 09 2:52pm

Polis membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Bagaimanapun perhimpunan hanya dibenarkan diadakan di Masjid Negara jam 2 petang, sementara dua lokasi lagi yang dirancang - Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo - tidak jelas.

Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas memberitahu Malaysiakini sebentar tadi, polis bagaimanapun melarang perarakan ke Istana Negara seperti dirancang.

"Kami dimaklumkan boleh berhimpun di Masjid Negara tetapi perarakan (ke Istana Negara) tidak boleh," katanya.

Beliau dimaklumkan, tambahnya, perarakan itu tidak dibenarkan setelah polis mempertimbangkan faktor keselamatan.

Bagi menyerahkan memorandum gabungan itu kepada istana, polis menawarkan khidmat menghantar pemimpin GMP ke lokasi itu menggunakan kenderaan pasukan keselamatan itu, kata Hasni.

Kebenaran itu dimaklumkan oleh polis sewaktu pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad, timbalannya Dr Shahrir Mohd Zain dan beliau sendiri ke ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Keputusan terbaru ini membayangkan polis mengambil sikap bertolak ansur selepas amaran diberikan kepada orang ramai semalam agar tidak menyertai perhimpunan itu.

Ditanya tindakan lanjut GMP setelah mendapat kebenaran polis itu, Hasni berkata, gabungan itu akan bermesyuarat petang esok di ibu pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) bagi memutuskan perkara itu.

Semalam, Istana Negara dilaporkan bersedia menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera.

Satu salinan memorandum pemansuhan PPSMI telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong kelmarin, kata Dr Hassan.

sumber : malaysiakini

Permit demo anti-PPSMI dimohon

Jimadie Shah Othman | Mar 4, 09 4:47pm

Permit polis untuk perhimpunan membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di Istana Negara pada Sabtu ini telah dimohon petang ini, kata Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Timbalan setiausaha GMP Suhaizan Kaiat berkata, permohonan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Brickfields.

Tambahnya, permohonan dibuat di balai-balai tersebut kerana perhimpunan mereka melibatkan Masjid Negara, Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo bawah pengawasan kedua-dua IPD berkenaan.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur hari ini yang dilaporkan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.

Datuk Mohammad Sabtu Osman berkata polis mengkelaskan program itu sebagai haram kerana penganjur tidak memohon permit untuk tujuan itu, lapor Bernama.

Tambahnya, polis tidak berkompromi dengan penganjurnya dan mereka yang melibatkan diri dalam perhimpunan itu kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam.

Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 27 Akta Polis terhadap orang ramai termasuk penganjur yang mengingkari arahan.

Dihubungi Malaysiakini, Suhaizan yang juga exco penerangan Dewan Pemuda PAS berkata, walaupun permohonan dibuat hari ini, tetapi usaha untuk mendapatkan permit telah dibuat sejak Ahad lagi.

Tambahnya, seorang wakil GMP pada mulanya hadir ke Bukit Aman bagi tujuan itu tetapi disarankan berbuat demikian di IPD Dang Wangi dan kemudian diminta ke IPD Brickfields.

Wakilnya itu menyerahkan sepucuk surat rasmi yang bertandatangan timbalan pengerusi GMP Dr Shahrir Mohd Zain memaklumkan butiran perhimpunan 7 Mac ini.

sumber : malaysiakini

Guna undi untuk tolak pemimpin yang hina bahasa sendiri - A. Samad Said


Harakahdaily

Thu | Mar 05, 09 | 9:12:49 am MYT


"Ini pemimpin bertelinga satu dan berlidah dua. Banyak pemimpin jenis begini saya lihat sekarang." Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said mengungkap kata-kata kritis :"Gunakan undi jika dasar PPSMI ini masih diteruskan," bila ditanya apa yang harus dilakukan jika kerajaan tetap mahu meneruskan dasar tersebut.

Beliau kesal bila ada pihak mengatakan beliau diperalatkan kerana berceramah di Markas PAS, Taman Melewar. Bagi Pak Samad yang lebih senang dipanggil Bapak itu, dalam usianya itu beliau tidak mudah untuk diperalatakan sebaliknya apa yang dilakukan hanyalah semata-mata kerana mahu mendapatkan pentas dalam perjuangannya melestarikan bahasa.

Pak Samad menegaskan, pemimpin Umno yang ada sekarang adalah mereka yang sedang melakukan pengucupan bahasa yang kemudiannya akan menjadi penazak bahasa akhirnya pengubur bahasa.Untuk mendapatkan pandangan beliau, wartawan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB dan IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama jurugambar NASIR SUDIN menembual Sasterawan Negara itu di KL Sentral pada 3 Februari lalu. Ikuti temubual tersebut.

HARAKAH: Mutakhir ini bapak dilihat ke depan dalam memperjuangkan isu bahasa Melayu terutama PPSMI. Apakah ini merupakan penglibatan bapak dari awal atau kerana kedudukan bahas Melayu semakin terancam?

DATO' A. SAMAD SAID: Saya dari dulu sampai sekarang menumpukan perhatian kepada bahasa dan sastera. Jadi apa sahaja yang ada alir bahasa dan sastera saya akan libatkan diri.

Apakah perjuangan melestarikan bahasa ini sudah lama bersama bapak atau ia cuma hadir sejak akhir-akhir ini sahaja?

Untuk orang lain saya tak tahu tapi kalau saya memang ia bersambung saja. Dari dulu saya menulis, saya menghadir diri dalam aktiviti-aktiviti sastera dan budaya, itu yang saya suka hingga sekarang, sama saja. Cuma barangkali yang bertambahnya saya tidak menumpu hanya kepada bahasa dan sastera saja, saya juga memerhatikan apa yang sedang berlaku kerana itu terakhir baru anda lihat saya secara berdikit memasuki dalam aktiviti yang sedikit diluar bahasa dan sastera. Induknya masih sama.

Macam sekarang saya terlibat dalam perjuangan memansuhkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik atau dipanggil Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahas Inggeris (PPSMI). Itu saya lihat tidak cukup sekadar hanya menulis tetapi perlu berada di tengah masyarakat. Kebetulan saya juga ahli jawatankuasa dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Bagi seorang pejuang bahasa atau penulis, apakah cukup sekadar dengan menulis untuk memperjuangkan bahasa atau ia memerlukan lebih dari itu?

Memang tak cukup menulis saja. Saya fikir saya akan mula menghadiri atau menerima jemputan yang munasabah yang ada hubungan dengan perjuangan untuk melestarikan bahasa dan kesusasteraan saya dengan kepercayaan bahasa dan kesusasteraan saya itu pengucapan jujur bangsa. Kalau pengucapan jujur bangsa saya itu mahu diperkecil maka ia menjadi musuh saya. Jadi saya kira pertama kali, yang saya hadir waktu hari itu lah di Sogo kemudian saya hadir juga di Markas PAS di Taman Melawar.

Kehadiran bapak di Markas PAS, Taman Melewar itu merupakan yang pertama kali?

Itu yang pertama kali saya hadir dan saya memang memerlukan pentas. Saya sudah tidak lagi fikir itu pentas orang politik atau pentas orang bisnes asalkan pentas tempat saya menyatakan kecintaan saya kepada bahasa saya. Pentas tempat saya menyatakan kesungguhan saya untuk melestarikan bahasa saya. Kalau PAS jemput saya, jika ada masa saya akan pergi kalau kelompok KeADILan jemput pun saya akan pergi. Kalau Umno pun saya akan pergi. Saya perlukan pentas. Ini tentunya agak berbeda sebab orang menyangka bahawasanya saya ini sudah mula diperalat oleh orang politik.

Ada yang secara terang-terangan mengatakan bahawasanya saya ini diperalatkan oleh parti politik dalam isu PPSMI. Tapi rasional saya ialah bahawasanya bahasa suka atau tidak suka berada dalam wilayah yang politikal juga. Kalau Umno mengambil sikap berhati-hati atau berlambat-lambat untuk menyokong bahasa Melayu sebagai bahasa pengatar Sains dan Matematik tentu juga tindakan itu ada hubungan dengan sikap politiknya. Tak ada salah bagi orang yang sudah 50 tahun yang memperjuangkan yang sesuatu yang dekat dengan hati saya. Apakah jika kita memperjuangkan bahasa Melayu kita dianggap pengkhianat? Kita seharusnya dianggap sebagai pembela bukan pengkhianat.

Apakah bila kita memperjuangkan bahasa itu, kita dengan mudah saja dianggap sebagai orang yang memundurkan bahasa, menolak kemajuan. Saya fikir, satu-satunya perjuangan bangsa adalah perjuangan bahasanya. Kalau dia tidak dapat mencintai dan meyakini bahasanya maksudnya dia tidak mempunyai hati nurani. Semua bangsa mencintai bahasanya. Kalau boleh mereka ingin memperjuangkan bahasanya sebagai pernyataan kehidupan. Itu yang saya lakukan. Saya kira itu satu kerja yang murni dan sepatutnya disanjungi dan didokongi. Saya tak begitu hirau kalau ada yang anggap saya diperangkap atau diperalat. Itu semua itu tidak penting. Apa yang penting perjuangan saya untuk melestarikan bahasa saya.

Pemimpin Umno tidak melihat bahawa bahasa Melayu itu mampu menjadi bahasa ilmu, tidak yakin dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Apakah mereka ini layak digelar sebagai pengkhianat?

Saya tak mahu sampai menggunakan perkataan 'pengkhianat' tetapi saya lebih suka gunakan perkataan 'pengucup bahasa'. Mereka yang menentang secara sedar atau tidak sedar akan keupayaan bahasa ibundanya sendiri bagi saya mereka adalah pengucup bahasa. Bahaya mereka ini kerana selepas penguncup ia akan jadi 'penazak' bahasa. Selepas penazak mereka akan jadi 'pengubur' bahasa. Itu lebih bahaya. Saya lihat beberapa pemimpin Umno tertentu boleh saya panggil pengucup bahasa yang sudah sampai ke tahap penazak bahasa dan tidak mustahil mereka akan jadi pengubur bahasa. Ini lah orang yang saya tidak senangi.

Pada pandangan bapak, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gapena mencukupi atau tidak dalam perjuangan melestarikan bahasa ini atau mereka ini tidak langsung bersama dengan pejuang-pejuang bahasa memartabatkan bahasa?

Kalau Dewan Bahasa dan Pustaka, saya fikir ada yang mereka perjuangkan cuma tidak ada kesungguhan. Tidak ada perancangan yang benar-benar yang sedar. Apa yang berlaku itu cuma ikut musim. Kalau gelora orang Melayu itu marah, mereka betulkan sedikit. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu bertindak sebagai satu institusi yang terus menerus menyatakan keyakinannya terhadap bahasa. dan itu tugasnya. Terus menerus menyuburkan buku-buku dan kesusasteraan Melayu.

Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan.

Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan.

Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.

Pejuang bahasa saya kira adalah yang paling sopan tetapi kerana kami sudah diketepikan maka kami memilih cara ini. Tapi orang politik ini depan cakap lain, belakang cakap lain. Saya tidak mahu anak cucu cicit mengatakan bahawa seorang sasterawan itu tidak mempertahankan atau melestarikan bahasanya.

Apa pandangan bapak tentang pendapat yang mengatakan perjuangan memartabatkan bahasa ini contohnya PPSMI ini bermusim?

Semua perjuangan agak bermusim bukan hanya perjuangan bahasa sahaja. Itu tidak bererti tidak terus menerus. Saya menulis hampir sepanjang masa, itu bererti saya berjuang terus menerus. Sama seperti kawan-kawan saya yang lain seperti Shahnon Ahmad dan penulis-penulis lain, mereka berterusan berjuang melestarikan bahasa dengan cara terus menulis. Mereka menghasilkan sesuatu yang boleh menjadi khazanah negara dan bangsa. Barangkali ada pihak yang menganggap kesusasteraan itu tidak sepenting ekonomi tetaoi sekurang-kurang kami meninggalkan sesuatu untuk anak bangsa kami, jati diri yang boleh dibanggakan oleh anak cucu kami.

Adakah bapak merasa bahasa Melayu ini dipermain-mainkan oleh pemimpin-pemimpin Umno?

Saya tidak mahu mengatakan bahasa itu dipermainkan. Saya fikir pucuk elita kuasa ini menyedari juga keperluan untuk menangani soal bahasa secara munasabah. Tetapi saya tidak faham sampai sekarang, kenapa bahasa Melayu yang dimaktubkan dalam perlembagaan tidak diyakini oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Itu yang saya tidak faham. Boleh dikatakan dari awal kemerdekaan malah sebelum kemerdekaan sampai sekarang ini, tampuk kuasa biarpun semakin terhakis tetap berada di tangan orang Melayu.

Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat.

Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi penazak bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini.

Ketika Dr Mahathir menjadi Menteri Pelajaran, beliau pernah berkata sesiapa yang menolak cadangan untuk menjadi sekolah satu aliran sebagai seorang yang tidak patriotik, tidak yakin dengan bahasa sendiri. Tetapi bila beliau menjadi Perdana Menteri, beliau pula yang berusaha keras untuk menggunakan bahasa Ineggeris dalam pengajian Sains dan Matematik. Apa pandangan bapak dalam soal ini?

Itu sebab yang saya cakap, orang yang berkata itu bergantung kepada situasi. Waktu dia bercakap begitu situasinya akan mendukung dia. Tetapi bila dia sudah berkuasa, dia merasakan dia lebih tahu. Orang seperti ini sudah beredar hati nurani bangsanya. Pemimpin ini saya namakan pemimpin bertelinga satu dan berlidah dua. Tidak begitu mendengar dan tidak begitu jujur untuk menyatakan kebenaran. Ini pemimpin bertelinga satu dan berlidah dua. Banyak pemimpin jenis begini saya lihat sekarang.

Pemimpin Umno seolah-olah berusaha untuk mempertahankan PPSMI, apa puncanya perkara ini terjadi?

Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua.

Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.

Apakah yang dilakukan oleh pemimpin Umno ini merupakan satu penghinaan?

Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersdia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.

Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.

Bapak mencadangkan jika sekiranya bantahan dijalanraya pada 7 Mac ini tidak menjadi kenyataan, protes harus dibuat melalui undi. Apa yang sebenarnya bapak maksudkan?

Maksud saya ialah setiap orang melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.

Adakah bapak yakin orang Melayu khususnya akan menggunakan undi untuk menolak pemimpin yang cuba menguburkan bahasa ibundanya?

Itu antara yang saya tak begitu tahu tapi saya harap orang Melayu menggunakan undinya untuk memperjuangkan bahasa ibundanya selain menggunakan undi itu untuk kepentingan-kepentingan lain. Tetapi harus guna undi untuk menolak mereka yang mengucupkan bahasa. Menjadi kerungsingan saya juga jika orang Melayu tidak menggunakan undi ini untuk menolak mereka yang menguncupkan bahasa.

Saya gembira bila melihat orang muda begitu bersungguh-sungguh mahu melestarikan bahasa. Saya menyokong GMP ini kerana anak muda PAS yang menghubungi saya. Mereka kata "Bapak bantulah kami" saya bilang, saya sudah bersama kamu. Yang perlu lagi ialah seluruh anak muda menyatakan pendirian mereka. Kalau bahasa ibunda mereka diperkotak katikkan maka apa lagi yang tinggal untuk anak muda ini.

Bapak juga menyarankan agar anak muda lebih aktif dalam isu bahasa ini. Boleh bapak jelaskan sedikit tentang ini?

Anak muda perlu lebih ke depan. Kalau dijalanan, saya didepan kalau terjadi apa-apa, saya yang awal akan tumbang. Itu kalau berlaku kekerasan.

Satu hal lagi, anak muda perlu ke depan kerana perjuangan ini melibatkan masa depan mereka. Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda dan ia juga merupakan jati diri sesuatu bangsa, hati nurani sesuatu bangsa. Kalau ia tidak dipertahankan apa lagi yang tinggal untuk anak muda ini.

Kalau anak muda melihat ini sebagai satu perkara yang remeh ianya silap kerana kalau dalam soal bahasa yang melibatkan maruah bangsa sanggup elita kuasa ini perkotak-katikkan, apa lagi dalam soal lain. Jadi saya harap lebih ramai, anak-anak muda yang tampil ke depan berjuang bersama saya dan rakan-rakan untuk melestarikan bahasa ibunda kita demi untuk kita semua juga bukan hanya untuk saya seorang.

Bila bapak ke Markas PAS di Taman Melewar, sudah ada yang mengatakan bapak kini diperalatkan oleh pembangkang. Apa yang bapak ingin tegaskan dalam soal ini?

Mereka tidak ternampak apa yang saya lakukan. Pemimpin oposisi juga ada mengatakan saya terlalu Umno, buku saya diterbitkan dengan bantuan kerajaan negeri Melaka. Saya bukan orang politik, saya cuma berjuang melestarikan bahasa. Saya katakan tadi saya perlukan pentas. Saya bukan diperalatkan.

Dalam usia saya sebegini, saya tidak mungkin diperalatkan tetapi demi bahasa saya maka saya akan pergi ke pihak yang mahu berjuang melestarikan bahasa saya. Kalau pemimpin Umno tidak mahu saya naik ke pentas PAS atau KeADILan maka mereka jangan semudahnya menguncup, menazak dan kemudian menguburkan bahasa ibunda saya. - azm _

Wednesday, March 04, 2009

Himpunan mansuhkan PPSMI diteruskan tanpa permit



SHAH ALAM: Himpunan Aman 100,000 orang sempena majlis penyerahan memorandum pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di hadapan Istana Negara pada 7 Mac ini akan tetap diteruskan walaupun tanpa permit polis.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hassan Ahmad berkata mereka bukan mahu mengadakan demonstrasi, sebaliknya hanya mahu mempersembahkan memorandum itu kepada Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Itu salahkah? Saya rasa ia tidak perlu permit (polis) pun," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perjumpaan GMP bersama persatuan yang menyokong gerakan itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini malam tadi. Turut hadir Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Hassan yang juga bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata memorandum setebal lapan halaman dengan menggunakan bahasa Istana itu ditandatangani beliau serta lima anggota GMP dan pihaknya juga telah menghubungi setiausaha sulit kanan Yang diPertuan Agong pagi semalam.

Beliau berkata memorandum itu antara lain menyembah maklum kepada baginda bahawa PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 adalah satu keputusan yang silap dan perlu dikembalikan kepada bahasa ibunda.

Setiausaha GMP, Hasni Abas pula berkata gerakan itu telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit ke Bukit Aman Sabtu lepas tetapi diminta berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.Setakat ini, GMP belum mendapat kelulusan daripada polis untuk perhimpunan itu, katanya.

Beliau mendakwa sehingga kini, gerakan itu mendapat sokongan daripada 132 gabungan yang mewakili pelajar, kesatuan sekerja, persatuan ulama dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan.

Malah, katanya, usaha GMP turut mendapat sokongan masyarakat Orang Asli di Tapah, Perak, dalam satu pertemuan Sabtu lalu, apabila Tok Batinnya menyatakan persetujuan untuk menghantar dua bas rombongan bagi menyertai perhimpunan itu.

Semalam, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor berkata Kementerian Pelajaran telah menyiapkan kertas berhubung cadangan pelaksanaan PPSMI untuk dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat. BERNAMA

sumber : www.mstar.com.my

PPSMI bawa 'kecelakaan' kepada pelajar luar bandar


Basiron Abd Wahab
Wed | Mar 04, 09 | 10:26:14 am MYT

TEMERLOH 4 Mac (Hrkh)- Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantowi berkata pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Ingeris (PPMSI) memberi 'kecelakaan' kepada pelajar luar bandar.

Menurutnya, kedegilan kerajaan Umno-BN mempertahankan PPMSI yang diwarisi daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir itu menunjukkan Umno-BN mempunyai agenda besar tersembunyi di sebalik PPMSI itu sedang semua pakar bahasa dan cendekiawan negara memberi petunjuk negatif terhadap PPMSI itu.

Pakar bahasa itu bimbang PPMSI akan memberi kesan negatif terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam jangka masa panjang.

Nasruddin mengimbau sejarah lampau apabila Umno menghapuskan penggunaan tulisan jawi bagi bahasa Melayu yang akhirnya telah mematikan tulisan itu sehingga generasi kini tidak lagi mampu menulis dalam tulisan itu.

Katanya, strategi jangka panjang penghapusan tulisan jawi dahulu telah mencapai matlamatnya apabila generasi muda tidak lagi boleh membaca buku agama yang bayak ditulis dalam tulisan jawi.

Kini Umno sekali lagi cuba mengubah penguasaan bahasa di kalangan orang-orang Melayu dengan PPMSI yang kesan akhirnya akan menghapuskan pengunaan bahasa Melayu melalui PPMSI di sekolah-sekolah.

Nasruddin percaya, dengan penguasaan meluas bahasa Inggeris akan memudahkan penyebaran ideologi barat di kalangan orang Melayu-slam yang gagal dilaksanakan penjajah Inggeris kerana orang-orang Melayu tidak memahami bahasa Inggeris.

"Saya percaya PPMSI ini adalah usaha untuk menjauhkan orang dengan Islam dahulu mereka telah ubah penggunaan tulisan Jawi kini bahasa Melayu itu sendiri pula cuba dihapuskan," katanya ketika berucap dalam Majlis Penerangan di Kerdau.

Justeru, semua pihak mesti mendesak PPMSI kembali diajar dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.

Dalam ucapanya yang tegas itu, Nasruddin menarik perhatian bahawa tiada negara yang berjaya di dunia dengan menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar berbading negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda.

Katanya antara negara yang gagal mundur menggunakaan bahasa Inggeris ialah Filipina, India dan Zimbabwe manakala negara-negara yang maju seperti Jepun, Jerman, Korea Selatan dan lain-lain semuanya menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. - azm/mks. _

Sumber : harakah

Tuesday, March 03, 2009

Menunggu guru bersama budayawan bantah PPSMI

Oleh Dinsman
Tue | Mar 03, 09 | 1:39:40 am MYT

Hari Khamis malam Jumaat 26 Februari yang lepas, Prof Dato' Dr Nik Safiah Karim terpaksa bersengkang mata bersama kami. Kira-kira pukul 2.30 pagi, profesor bahasa Melayu ini masih duduk minum dan berbual di RnR Nilai. Biasanya waktu itu dia sudah nyenyak tidur di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Tetapi mengapa malam itu dia masih di lebuh raya?

Betul seperti kata Mohammad Sabu ketika berucap di Dataran Hamas, Jasin, Melaka, beberapa jam sebelum itu. Orang seperti Prof Nik Safiah Karim dan orang seperti Sasterawan Negara A Samad Said yang sedang berada di hujung hayat mereka, sepatutnya tidak perlu lagi bersusah payah merempuh perjalanan jauh seperti yang sedang mereka lakukan sekarang. Apa sebenarnya yang mereka mahu lagi?

"Prof Nik Safiah bukannya hendak melawan Sharizat Jalil untuk jadi Ketua Wanita Umno. Sasterawan Negara A Samad Said pun bukannya hendak berkempen untuk menjadi menteri. Mereka tak perlu lagi kepada itu semua? Tetapi mereka terpaksa melakukan ini semata-mata kerana hendak memelihara bahasa Melayu, disebabkan oleh adanya pemimpin Melayu sendiri yang cuba hendak membunuh bahasa Melayu."

Naib Presiden PAS itu menyatakan dia berasa sangat sedih melihat tokoh-tokoh bahasa dan sastera kita terpaksa menghadapi masalah yang tidak menyenangkan itu, disebabkan oleh sikapmasyarakat kita yang semakin tidak mempedulikan nilai budayanya sendiri.

Malam itu Mat Sabu, pimpinan PAS yang dikenali sebagai tokoh penceramah paling diminati ramai itu, sedang dalam siri jelajah negara untuk meraih sokongan rakyat terhadap perjuangan memansuhkan PPSMI. Dia sememangnya hampir setiap malam berceramah untuk PAS. Danceramahnya dalam sebulan ini semuanya dijadikan kempen untuk menyokong perjuangan memansuhkan PPSMI.

Selepas Dato' Dr Hassan Ahmad bersetuju memimpin gerakan memperjuangkan semula kedaulatan bahasa Melayu ini, diikuti oleh Profesor Shaharil Mohd Zain, Profesor Abdullah Hassan, danSasterawan Negara A Samad Said yang dengan beraninya berdiri di atas pentas PAS dan keADILan, bagi menyatakan perjuangan mereka membantah PPSMI, pada 24 Februari pentasKeADILan Kelana Jaya menyaksikan pula Prof Dr Ir Wan Abu Bakar menceritakan pengalamannyaberpuluh tahun mengajar kejuruteraan di universiti, dalam bahasa Melayu, tanpa menghadapimasalah.

Pada 26 Februari tampil pula Prof Nik Safiah, berdiri di sebuah pentas PAS, menjelaskan kepada orang-orang Melaka yang berkumpul di Jasin, mengapa PPSMI perlu dimansuhkan, dan mengapa sebahagian masyarakat kita (khasnya orang-orang Umno) telah hilang kecintaan terhadap bahasa mereka sendiri.

Sebenarnya ramai lagi tokoh-tokoh akademik yang tidak setuju dengan pelaksanaan PPSMI. Nik Safiah sendiri menghadiri perbincangan apa yang selalu disebut Menteri Pelajaran sebagai perbincangan meja bulat' bagi mendapatkan pandangan para ahli akademik terhadap pelaksanaan PPSMI. Kata menteri itu, perbincangan tersebut menyokong PPSMI. Tetapi kata Nik Safiah lebih ramai yang membantah daripada yang menyokong. Hanya pihak menteri itu yang menyelewengkan fakta yang sebenar.

Saya sendiri menerima banyak SMS daripada pembaca yang mengaku sebagai guru, yang menyokong perjuangan GMP (Gerakan Mansuh PPSMI), dan berjanji akan turun beramai-ramai ke hadapan Istana Negara pada jam 2.00 petang 7 Mac ini.

Peristiwa penyertaan kalangan budayawan dan ahli akademik dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh GMP sejak beberapa minggu ini, bagi saya adalah peristiwa yang sangat menarik. Ia adalah satu gelombang baru kebangkitan rakyat Malaysia, sebagai kesinambungan daripada gerakan Reformasi 1998.

Seperti yang pernah saya bincangkan di ruangan ini tidak lama selepas pilihan raya umum ke-12, perubahan di kalangan para budayawan dan cendekiawan kita berlaku terlambat. Tidak mengapalah. Dulu kita mungkin kecewa melihat tidak ada perubahan di kalangan mereka. Tetapi kini melihat gelombang kebangkitan yang berlaku, hilanglah semua rasa kecewa dulu itu.

Menariknya kebangkitan baru ini kerana ia bukan digerakkan oleh motif politik mahupun ekonomi, tetapi oleh kesedaran ilmu dan budaya. Kita perhatikan pihak penguasa dan parti Umno-BN yang sombong dan angkuh itu pun jadi seolah-olah 'kebengongan' dan serba salah untuk bertindak balas. Mereka kurang mahir dalam membaca riak dan angin yang baru ini.

Perkembangan ini memang sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan. Ia baru saja bermula. Barangkali himpunan yang disebut sebagai 'Himpunan 100 ribu' pada Sabtu 7 Mac ini akan memberikan banyak petunjuk untuk kita membaca ke mana arah yang akan dituju oleh gelombang baru ini.

Para budayawan dan cendekiawan sudahpun bangkit menunjukkan jiwa amarah mereka terhadap kepandiran dan kezaliman yang berlaku. Yang kita tunggu-tunggu sekarang ialah golongan guru. Persoalan PPSMI ini pun sebenarnya adalah persoalan yang membabitkan guru secara khusus dan langsung. Apakah mereka akan terus menikus dan menunjukkan peribadi yang takut,ataupun mereka juga akan bangkit?

Sama-samalah kita tunggu perkembangan menarik itu. Dan sementara itu saya ingin mengingatkan sekali lagi akan satu peristiwa yang agak menarik juga, terutamanya bagiorang-orang utara, iaitu majlis forum GMP yang akan diadakan disebuah masjid di Permatang Pauh, menjelang hari bersejarah yang ditunggu-tunggu, iaitu pada 5 Mac, lepas solat Isya'. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Batu.

Samad Said akan hadir, Cikgu Azmi (Teras) akan hadir, Azizi Hj Abdullah akan hadir, Hasni Abas akan hadir, dan saya juga insya-Allah hadir. Oleh sebab majlis ini dianjur bersama oleh sebuah badan penulis yang menjadi kerabat Gapena, khabarnya beberapa orang pimpinanGapena dari Kuala Lumpur juga akan hadir.

Ya, marilah kita bertemu di Masjid Batu itu!

sumber : harakah

Monday, March 02, 2009

KENYATAAN MEDIA S/U GMP

KENYATAAN MEDIA
27hb Februari 2009


Bersama Menjayakan Himpunan Aman 100 Ribu Mansuhkan PPSMI

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Himpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7hb Mac 2009 jam 2 petang. GMP telah menetapkan tiga lokasi tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti berikut :
a. Pusat Perniagaan SOGO
b. Centrel Market
c. Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan himpunan ini maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir dalam himpunan ini. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit himpunan telah dipohon kepada Y.Bhg Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Peserta adalah dilarang samasekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Dato’ A.Samad Said, Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof Emeritus Abdullah Hasaan, Prof Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Y.B Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Y.B Lim Kit Siang dan ramai lagi

Warna tema GMP adalah ’putih’. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI. GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP. Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul dihadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.



SDR HASNI ABAS
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)