Wednesday, November 26, 2008

Disebalik Isu Projek Ladang Babi

MUQADDIMAH

Penternakan babi di negeri ini telah menjadi perhatian media sepanjang minggu lalu (16 hingga 21 November 2008). Malah ia menjadi antara laporan utama media pada Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada 18 hingga 20 November 2008 (Selasa – Khamis) baru-baru ini. Paling menonjol memberi liputan mengenai perkara ini ialah TV3 dari Kumpulan Media Prima Berhad.

OBJEKTIF

1. Menjelaskan perkara sebenar dari perspektif media.

2. Membuktikan unsur tidak profesional media terbabit.

3. Dokumentasi untuk tindakan lanjut pihak-pihak berkenaan.

PERBINCANGAN DAN PERBAHASAN

Secara rasmi, perkara ini menjadi perhatian media bermula pada Majlis Konvensyen Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Kedah 2008, Ahad, 16 November lalu yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Alor Star. Pada konvensyen tersebut, dalam kertas kerja yang dibentangkan ada menyebut butiran mengenai projek berkenaan.

Sehubungan itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Dato’ Badri Yunus semasa menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Besar telah meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan semula lokasi yang dicadangkan iaitu di Bukit Selambau.

Bermula dari situ, pihak media semasa sesi sidang media telah mengemukakan perkara itu untuk penjelasan lanjut Menteri Besar. YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sekadar memberi penjelasan umum disamping menegaskan kawalan terhadap hal itu. Kebanyakan media hadir pada sesi tersebut termasuk dari Kumpulan Media Prima Berhad iaitu TV9.

Pada Rabu, 19 November iaitu hari kedua Sidang DUN Kedah, TV3 melalui siaran Buletin Utama jam 8:00 malam telah menonjolkan perkara ini sebagai tajuk utama. Laporan TV3 adalah seperti berikut:

Saluran : TV3

Slot : Buletin Utama

Tarikh : 19 November 2008 (Rabu)

Masa : 8:00 malam

Penyampai : Mohamad Yasir Mansor (Y)

: Azwaliza Azman (A)

Tajuk Skrin Paparan: LADANG MODEN DI KEDAH?

Gambar Skrin Paparan: Babi

Tag Tajuk Utama: PENUHI KEPERLUAN BUKAN ISLAM

SL: “Tajuk Utama 19 November; Kedah pula rancang buka ladang babi berteknologi moden.”

Y: “Selepas Selangor dicanang membuka ladang babi mega di Sepang, sebuah lagi Kerajaan Negeri, Kedah yang majoriti penduduknya orang Melayu turut merancang membuka ladang babi.”

A: “Ladang itu dicadang dibuka di Bukit Selambau, daerah Kuala Muda membabitkan kawasan seluas 160 hektar.”

Tag Tajuk: DICADANG DIBUKA DI BUKIT SELAMBAU

SL: “Cadangan membuka ladang ternakan babi itu terkandung dalam jawapan bertulis dikemukakan pada Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri siang tadi. Persidang dewan yang bermula semalam akan berakhir esok. Soalan asal mengenai projek ternakan babi itu dikemukakan ADUN Bakar Bakar Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah. Menjawab soalan itu, Kerajaan Kedah mengakui mempunyai perancangan membuka ladang menternak babi bersistematik. Ladang terbabit akan dibuka di kawasan perindustrian kayu kayan berat di Bukit Selambau. Projek akan diusahakan sebuah syarikat swasta. Dalam jawapan bertulis ini juga Kerajaan Kedah menjelaskan, ladang ternakan babi itu akan menggunakan teknologi moden iaitu ‘closed house system’ atau sistem tertutup. Turut dirancang dibina di ladang yang sama sebuah rumah sembelih tertutup. Kapasiti babi bakal diternak di ladang ini satu-satu masa dianggarkan 46 ribu ekor. Jumlah itu dikatakan bagi menampung keperluan penduduk bukan Islam di Kedah.”

Rujukan:

*SL: Suara Latar

**Siaran turut diselangi paparan ketika sidang dewan, buku jawapan bertulis sidang dewan dan petikan yang dimaksudkan.

Pada Khamis, 20 November, semasa sesi penggulungan sidang dewan, Menteri Besar menegur laporan media berhubung perkara tersebut sekaligus memberikan penjelasan berdasarkan jawapan sebenar yang terkandung dalam buku jawapan bertulis. Beliau turut meminta media memberi laporan yang benar.

Selepas sidang dewan tamat, pihak media memohon untuk mengadakan sidang media dan Menteri Besar memenuhi permintaan tersebut. Pada sesi tersebut yang diadakan diruang menunggu pejabat Menteri Besar, beliau meluahkan rasa kesalnya dengan laporan media berkenaan terhadap perkara itu yang disifatkannya telah mensensasikan perkara sensitif. Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu adalah dari kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional. Beliau juga memberi reaksinya dengan melahirkan nada hairan terhadap tindakan ADUN Bakar Bata membangkitkan perkara tersebut sedangkan ADUN berkenaan adalah Exco semasa keputusan itu dibuat di bawah kerajaan terdahulu.

Jelasnya, beliau juga telah menerima pandangan daripada jabatan berkenaan agar pelaksanaan itu tidak diteruskan di Bukit Selambau. Beliau juga menegaskan ladang tersebut bukan untuk pasaran luar tetapi penggunaan tempatan yang dikawal sebaiknya. Menteri Besar turut menasihati wartawan agar memberi laporan yang benar kerana kerja mereka juga adalah rezeki mereka.

Wartawan dan jurugambar TV9 yang turut hadir membuat rakaman penuh sidang media itu. Malah jelas terlihat pada wajah wartawannya keadaan separuh pucat dan beliau mengaku ketakutan untuk mengajukan soalan kepada Menteri Besar dengan disaksikan ramai media, pegawai dan tetamu yang ada di situ. Bagaimanapun, TV3 pada malam berkenaan tidak menyiarkan penjelasan Menteri Besar semasa sesi sidang dewan mahupun sidang media itu sebaliknya membawa laporan berikut:

Saluran : TV3

Slot : Buletin Utama

Tarikh : 20 November 2008 (Khamis)

Masa : 8:00 malam

Penyampai : Mohamad Yasir Mansor (Y)

: Azwaliza Azman (A)

Tajuk Skrin Paparan: LADANG MODEN?

Gambar Skrin Paparan: Babi

Y: “Laporan kami semalam mengenai cadangan Kerajaan Negeri Kedah membuka ladang babi bersepadu di Bukit Selambau mengundang rasa hairan di kalangan masyarakat termasuk bukan Melayu.”

A: “Ini kerana projek bersekala besar seumpama itu belum pernah diteroka Kerajaan Negeri sebelum ini. Begitupun penyokong PAS ada alasan sendiri, cadangan itu menunjukkan sikap terbuka Kerajaan Negeri.”

Tag Tajuk: REAKSI CADANGAN LADANG BABI

SL: “Cadangan projek ini terkandung dalam jawapan bertulis pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah. Menurut Jawapan itu ladang itu akan diusahakan sebuah syarikat swasta menggunakan teknologi moden. 46 ribu ekor babi mampu diternak pada satu masa bagi menampung keperluan penduduk Kedah.”

Respon awam; Azmi Yaakob

SL: “Malangnya masyarakat bukan beragama Islam yang secara realiti hidup berjiran dengan masyarakat bukan Islam kurang senang dengan cadangan itu.”

Respon awam; Teoh San Seng

SL: “Tidak terkecuali timbul tandatanya berikut.”

Respon awam; Abdul Aziz Yaakob

Respon awam; Shuib Abdul Khadir

SL: “Untuk rekod Bukit Selambau yang didiami pelbagai kaum terletak kira-kira 20 km dari Bandar Sungai Petani. DUN Bukit Selambau diwakili Parti Keadilan Rakyat.”

“Sebentar tadi Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan projek ternakan babi di Bukit Selambau dibatalkan. Katanya, lokasi lain akan dicari.”

Rujukan:

*SL: Suara Latar

**Siaran turut diselangi paparan ketika sidang dewan, temubual dengan responden, tempat cadangan di Bukit Selambau, sekumpulan penduduk kononnya sedang melihat kawasan tersebut dan suasana di Pekan Bukit Selambau.

Media yang sama terus memanjangkan perkara ini dalam siarannya pada hari berikut. Laporannya adalah seperti berikut:

Saluran : TV3

Slot : Buletin Utama

Tarikh : 21 November 2008 (Jumaat)

Masa : 8:00 malam

Penyampai : Suhaimi Ahmad (S)

: Pang Chinn Fei (P)

S: Semalam Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan pembatalan projek ladang ternakan babi di Bukit Selambau dan lokasi baru bakal di cari.”

P: “Ini mengundang keresahan penduduk di daerah lain pula yang bimbang projek sensatif itu akan menjadi jiran mereka.”

S: Siang tadi Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi jaminan projek itu akan menggunakan sistem ladang tertutup sekaligus tidak mencemarkan alam sekitar.”

Tag Tajuk: SISTEM LADANG TERTUTUP DIPERKENALKAN

Respon Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPH) Negeri Kedah, Dr Abd Razak Zailan: “Sosio tempat itu akan jauh dari penempatan kerana kita peka dari segi pencemaran alam sekitar dan masyarakat sosial. Sistem ladang yang kita buat ini memang ‘high technology’. Apa yang saya sebut tadi, kita akan gunakan sistem ‘all in one’, maksudnya hanya daging babi yang disembelih dan di’frozen’ beku dan di bawa keluar terus ke pasar, tidak ada lori bawa daging hidup.”

P: “Menurut Dr Abd Razak pembinaan ladang ini meliputi semua aspek termasuk proses pembiakan, penggemukan, proses makanan, pemprosesan dan sistem kumbahan. Jabatan juga sedang mengenalpasti tapak baru bagi projek terbabit. Katanya ada keperluan membina ladang babi di Kedah berikutan masalah pencemaran yang berlaku di Pulau Pinang.”

S: “Apa pun penduduk Kedah tetap menolak cadangan Kerajaan PAS Negeri meneruskan projek ladang babi di negeri itu. Ini jelas ditonjolkan melalui satu demonstarsi di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani selepas solat Jumaat.”

P: “Ia disertai jamaah dan penduduk sekitar. Difahamkan penyokong PAS dan NGO turut menyertai demonstrasi aman itu.”

S: “Kerajaan Negeri sebelum ini bercadang membuka ladang babi di Bukit Selambau. Namun semalam selepas mendapat bantaahan projek seluas 160 hektar dibatalkan.”

P: “Sebaliknya Kerajaan Negeri tetap berhasrat meneruskan projek itu dengan memindahkannya ke lokasi baru. 46 ribu ekor babi akan diternak melalui kaedah ladang tertutup. Ia akan diusahakan sebuah syarikat swasta dikenalpasti Kerajaan Kedah.”

Rujukan:

*Siaran turut diselangi sesi temubual dengan Dr Abd Zailan dan gambar statik demonstrasi.

Tindakan TV3 memanjangkan perkara ini selepas penjelasan rasmi dalam sidang dewan dan sidang media 20 November oleh Menteri Besar nyata mempunyai motif disebaliknya. Walaupun telah dinyatakan mengenai pembatalan, namun perkara ini dipanjangkan dengan dakwaan berhubung lokasi baru (rujuk ayat bergaris).

Pun begitu, TV3 menyiarkan pada siang hari itu (Jumaat, 21 November?) pihak jabatan berkenaan memberi penjelasan seperti yang dinyatakan. Keghairahan TV3 akhirnya memakan diri kerana hari Jumaat adalah hari cuti bagi Negeri Kedah dan sidang dewan telahpun tamat pada hari Khamis, 20 November. Sedangkan rakaman itu jelas diadakan semasa sidang dewan berlangsung di luar pintu DUN Kedah di Tingkat 3, Wisma Darul Aman oleh wartawan TV9 yang kelihatan dalam temubual itu.

Ternyata TV3 telah melakukan satu penipuan fakta dan cubaan untuk mengadakan propaganda bahawa Kerajaan Negeri Kedah mencari lokasi dengan menjadikan kenyataan Pengarah JPH sebagai sandarannya.

Turut dipersoalkan di sini, jika benar rakaman itu dibuat pada siang hari tersebut, bagaimana pihak TV9 dapat masuk ke dalam kawasan Wisma Darul Aman dan daripada pihak mana kebenaran diperolehi?

Motif ADUN Bakar Bata juga wajar dipersoalkan kerana mengemukakan soalan seolah-olah ingin tahu mengenai perkara yang beliau tidak tahu dengan mengemukakan soalan menggunakan frasa ‘Apakah benar...’, walhal beliau adalah salah seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah semasa di bawah pemerintahan BN. Keputusan mengenai perkara itu pula dibuat ketika dalam Mesyuarat Exco ketika itu.

Berikut petikan penuh soalan dan jawapan berkenaan dari buku pertanyaan bertulis tersebut:

Y.B DATO’ PADUKA AHMAD BASHAH BIN MD. HANIPAH

(ADUN BAKAR BATA)

Apakah benar Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membuka ladang bagi menternak babi secara komersial bagi menampung keperluan masyarakat bukan Islam di Negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Pohon penjelasan :-

a) Kawasan manakah yang telah dikenalpasti bagi menjalankan kerja-kerja penternakan tersebut?

b) Berapa buah syarikatkah yang terbabit dalam menjalankan ternakan berkenaan dan bilangan babi yang dibenarkan pada satu-satu masa?

c) Adakah syarikat yang terbabit mengendalikan ladang berkenaan menggunakan teknologi terkini?

d) Adakah Kerajaan Negeri memberi jaminan keselamatan terhadap penduduk sekitar, sekiranya ladang berkenaan dibuka berdekatan dengan penempatan penduduk?

JAWAPAN :

Kerajaan Negeri hanya merancang untuk membuka ladang menternak babi yang bersistematik. i.e. ‘Modern Pig Farming Area’ (MPFA) jika mendapat aduan kacau ganggu daripada masyarakat setempat.

a) Kawasan yang telah dikenalpasti ialah kawasan perindustrian kayu-kayan berat di Bukit Selambau seluas 407 ekar yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK. 4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007, bertajuk : “Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman”.

b) Hanya satu syarikat akan dikenalpasti untuk menjalankan aktiviti perladangan ternakan babi secara moden. Bilangan babi yang akan diternak pada satu-satu masa tidak melebihi 46,000 ekor. Jumlah ini dapat menampung keperluan pengguna bagi Negeri Kedah.

c) Ya, syarikat terbabit dikehendaki mengendalikan sistem penternakan babi secara teknologi terkini, iaitu ‘closed house system’ dengan ‘zero discharged’ dan mewujudkan satu rumah penyembelihan khindzir yang berpusat di situ.

d) Ya, untuk memberi jaminan keselamatan terhadap penduduk sekitar, Kerajaan Negeri perlu menguatkuasakan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Bil. 12 Tahun 1991, yang telah diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman pada 11 Ogos 1991 (dengan pindaan). Dalam Enakmen ini menyatakan zon penampan daripada ladang khindzir ialah sekurang-kurangnya 300 meter daripada penempatan penduduk

KESIMPULAN

Terdapatnya keraguan dan motif sama ada secara langsung mahupun tidak langsung pada pihak media tersebut dan juga ADUN berkenaan. Nyata sekali terdapat unsur-unsur sengaja untuk menimbulkan perkara ini kepada khalayak secara sensasi selain terdapatnya kesalahan, penyembunyian, pemesongan dan putar belit terhadap fakta sebenar.

PENUTUP

Semoga semua fakta sebenar yang ditampilkan berguna untuk semua pihak sama ada untuk tujuan penerangan atau perundangan.

Disediakan oleh:

IZWAN ABDUL HALIM

Friday, November 21, 2008

Dialog Penerangan Dan Dasar Kerajaan Negeri Kedah

 Jutaan terima kasih khusus untuk TV3 diatas usaha gigih menyiarkan secara terperinci dan eksklusif laporan dalam Buletin Utama program yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah bertempat di Dewan Dato’ Fadhil Noor Komplek PAS Kedah baru-baru ini.


Juga dirakamkan ucapan terima kasih kepada individu yang berusaha menyalurkan maklumat kepada pihak TV3.

Secara tidak langsung penyiaran ini memberikan ‘political mileage’ dan publisiti secara percuma kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di Kedah yang selama ini cuba dihindarkan.

Walaupun cara pemberitaan yang digarap lebih bercorak untuk memutar-belit dan menyelirukan rakyat namun hakikatnya telah mempromosi akan ketelusan dan keterbukaan PAS dalam mentadbir kerajaan negeri yang telah diamanahkan.

Ahli – ahli parti khususnya dan rakyat amnya diberi ruang serta kebebasan secukupnya untuk mendapat penerangan tentang dasar pentadbiran kerajaan negeri. Mereka juga dibenarkan mengemukakan pandangan, persoalan dan teguran secara terus sekiranya terdapat sebarang keraguan maupun ketidakpuasan hati bagi mendapatkan penjelasan dari Menteri Besar sendiri.

Untuk rekod, program seperti ini telah dianjurkan sebanyak tiga ( 3 ) kali dalam tempoh lapan ( 8 ) bulan Pakatan Rakyat mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri dari rejim Umno/Bn.

Ironinya rejim Umno/Bn yang telah mentadbir kerajaan negeri selama lebih lima puloh ( 50 ) tahun tidak pernah sekalipun menganjurkan program seumpama ini.Tidak hairan kenapa terdapat banyak kepincangan yang berlaku sehingga membuatkan rakyat merasa muak dan menghukum rejim Umno/BN dalam PRU12 yang lalu.

Penganjuran program seumpama ini jelas menunjukkan keikhlasan kepimpinan dan ahli-ahli parti untuk bermuhasabah dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Secara langsung mempraktis dan menyuburkan fungsi ‘check and balance’ yang menjadi teras kepada corak kepimpinan yang cekap, telus dan bertanggungjawab.

Adalah amat dialu-alukan kepada TV3 untuk terus membuat liputan yang eksklusif atau siaran secara langsung program ini dimasa-masa depan agar rakyat mendapat maklumat disamping membantu mempromosi kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah khususnya dan PAS amnya.

Ustaz Musoddak bin Hj. Ahmad

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Wednesday, November 19, 2008

PROGRAM PEWARISAN PAS Siri ke-3

JABATAN PEMBANGUNAN PELAJAR (JPP)
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PADANG SERAI
______________________________________________________________________________________________________

‘DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI’


1.0 PENGENALAN
’Akademi Pewarisan PAS’ merupakan cetusan idea daripada program Program pewarisan pas yang diadakan pada 7 & 8 Disember 2007 yang lalu. Akademi ini bermatlamatkan kepada pengkaderan yang menjadi pokok kepada penjanaan ahli yang seimbang didalam jemaah (PAS).


2.0 OBJEKTIF PROGRAM
Di antara objektif ‘Akademi Pewarisan PASi’ adalah:

2.1 Mengumpulkan kembali kesemua peserta yang hadir dalam ’Program Pewarisan PAS’ yang lalu.

2.2 Mengumpulkan seramai mungkin anak-anak pimpinan dan ahli PAS peringkat kawasan Padang Serai dan Kulim Bandar Baru.

2.3 Menjana ukhuwah kearah pengembelingan usaha bersepadu antara pimpinan PAS (Kawasan, Muslimat, Pemuda) dengan anak-anak pimpinan dan ahli PAS.

2.4 Menyediakan suatu mardasah bagi pembentukan fikrah, menggilap potensi dan penjanaan iltizam kepada perserta (anak-anak ahli)

2.5 Menyemai kesedaran, matlamat dan peranan terhadap diri sendiri, Islam dan perjuangan PAS

2.4 Memberikan pendedahan kepada anak-anak pimpinan dan ahli PAS mengenai perjuangan PAS dalam pentas dakwah dan politik Malaysia.

2.5 Sebagai titik mula proses pengkaderan amilin muda PAS.

3.0 ANJURAN

3.1 Jabatan Pembangunan Pelajar (JPP) Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai
3.2 Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Serai
3.3 Dewan Muslimat PAS Kawasan Kulim Bandar Baru
3.4 Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulim Bandar Baru.

4.0 PERLAKSANAAN
Di bawah adalah butir-butir program:

4.1 KUMPULAN SASARAN (PESERTA)
Anak-anak pimpinan, ahli PAS, penyokong dan juga terbuka kepada mana-mana remaja yang berminat mengenali perjuangan PAS dari Kawasan Padang Serai dan Kulim Bandar Baru (15-21 tahun).
Sasaran 50 orang/kawasan (Jumlah = 100 orang)

4.2 TARIKH
27 /11/ 2008 hingga 29 /11/2008

4.3 TEMPAT
Pasti Islahiah Kg. Sungai Badak, Kelang Lama, KULIM.

4.4 YURAN PENYERTAAN
RM 40.00/Seorang

4.5 TENTATIF PROGRAM

27/11/2008 (Khamis)
5.00 ptg : Pendaftaran
6.00 ptg : Taklimat Program & “Ice breaking”
7.00 mlm : khidmat diri
7.30 mlm : Solat maghrib
8.00 mlm : Makan malam
8.30 mlm : Solat Isya’
9.00 mlm : Kuliah 1 “Tujuan Hidup Muslim”
Oleh : Ustaz Salim Bin Mahmud
10.30 mlm : Himpun daya

28/11/2008 (Jumaat)
4.30 pg : Hidupkan malam
6.00 pg : Solat Subuh
6.15 pg : Kuliah Subuh
- Oleh :Ustazah Siti Aishah Binti Ghazali
Exco Kerajaan Negeri Kedah

8:00 pg : ”Riadah Toward Ibadah”
9:00 pg : Sarapan pagi
9.15 pg : LDK 1 (Tujuan Hidup Muslim)
10.30 pg : Indoor bersama NISA’
12.30 ptg : Khidmat diri
- Solat Jumaat (muslimin)
- Slot Muslimat (muslimat)
2.00 ptg : Makan Tengahari
2.30 ptg : Outdoor bersama UNIT AMAL
4.30 ptg : Solat Asar berjemaah
5.00 ptg : ”Riadah Toward Ibadah”
7.30 mlm : Solat Maghrib
- kuliah Maghrib,Oleh : Mu’adz Md Nazan
8:00 mlm : Makan malam & Solat Isyak berjemaah
9:00 mlm : Ucapan Aluan Pengarah ‘Program Pewarisan PAS’
9:30 mlm : Pengisian 1 (“PAS”) – Rujuk Lampiran 1
Oleh: Cikgu Sukarno (Bekas Exco DPPNK)
11:00 mlm : Kudapan (Bersama Fasilitator)
12:00 mlm : Himpun daya


29/11/2008 (Sabtu)
5:00 pg : “KEMBARA SUBUH”
8:00 pg : Makan pagi
9:00 pg : Pengisian 2 (“Anda dan PAS”) – Rujuk Lampiran 2
Oleh: Ustaz Ahmad Yahya
10:30 pg : Minum pagi
11:00 pg : Latihan Dalam Kumpulan (LDK) – Rujuk Lampiran 3
12:30 tgh hari : Perasmian Penutup
Oleh: YB Ustaz Mohd Firdaus Jaafar
Ahli Parlimen Jerai
Exco DPPP (DACS)
Ketua Penerangan DPPN Kedah
1:30 tgh hari : Bersurai

Sebarang pertanyaan sila hubungi:-
Dr Nazil: 0139322542
Ridzuan: 0134664660
Shaharani:0134808366

Thursday, November 13, 2008

Pilihanraya Kecil di DUN Kuala Nerang?






Khabar angin yang mula bertiup menunjukkan kemungkinan satu lagi pilihanraya kecil akan berlaku di DUN Kuala Nerang, di bawah Parlimen Padang Terap, Kedah setelah ADUN Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim dilaporkan muflis.

Menurut berita yang dipercayai, Speaker DUN Kedah, Dr. Isa Ismail sudah menghantar surat kepada SPR berkenaan kekosongan kerusi DUN tersebut.

Berikutan itu, semua jentera parti terutama PAS dan UMNO mula digerakkan untuk mengadakan persiapan menjelang pengumuman pilihanraya kecil tersebut.

Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang memenangi Pilihanraya ke 12 yang lalu menewaskan Ust.Zawawi Ahmad yang merupakan YDP PAS Kawasan Padang Terap dengan majoriti hanya 805 undi.

N7 KUALA NERANG
Jumlah Pengundi: 18,394
Peratusan Kaum: M:96.91% C:1.97% I:0.19% L:0.93%
1. Datuk Syed Sobri Syed Hashim (BN) (7,856)
2. Zawawi Ahmad (Pas) (7,051)
Majoriti: 805
Jumlah undi: 15,216
Peratus mengundi: 82.72%
Undi rosak: 309

Sumber : http://www.nasirzakaria.com


Admin : Buat seluruh jentera Pemuda PAS! Ayuh kita buat persiapan untuk menghadapi peperangan Pilihanraya Kecil.