Friday, February 29, 2008

Calon PKR N34 Lunas

UNDILAH CALON PKR
N34 LUNAS


Encik Mohd Radzhi Salleh

Tuesday, February 26, 2008

Calon N33 Merbau Pulas

UNDILAH CALON PAS
DUN N33 MERBAU PULAS
USTAZAH SITI AISHAH GHAZALI


KEDAH SEJAHTERA
NIKMAT UNTUK SEMUA




Penipuan BN : Janji Lain, Realiti Lain

Kalau kita semak Manifesto Barisan Nasional (BN) dengan slogan "Selamat, Aman, Makmur", terlihat oleh kita bahawa selama hari ini BN yang memerintah negara sehingga menjangkau usia 50 tahun tidak mampu menyediakan persekitaran yang Selamat, Aman dan Makmur kepada rakyat. Mereka hanya menipu rakyat dengan kata-kata yang manis. Peluang memerintah telahpun kita beri selama 50 tahun tetapi keadaan sekitar cukup membimbangkan kita sebagai rakyat. Takkan kita sebagai pengundi nak bagi peluang lagi kepada mereka?

Janji Mereka :
Selamat
Aman
Makmur

Realitinya :
Tak Selamat (Jenayah menjadi-jadi)
Tak Aman (Berlaku rusuhan kaum)
Masyarakat Pincang

Friday, February 22, 2008

BN Kedah retak, bilik gerakan ditutup tanda protes

Oleh Bernama
Rabu, 20 Februari 2008

KULIM: Pengerusi MCA Padang Serai Datuk Goh Then Hock hari ini meletak jawatan sebagai protes terhadap keputusan pucuk pimpinan parti tidak menyenaraikan penyandang kerusi Parlimen Padang Serai Datuk Lim Bee Kau untuk bertanding pada pilihan raya umum ini.


Goh, 48, seorang ahli perniagaan juga melepaskan jawatan naib pengerusi MCA Kedah.

"Saya mengambil tindakan ini (letak jawatan) atas dasar individu dan tidak melibatkan ahli lain dalam bahagian Padang Serai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Goh berkata beliau dimaklumkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting bahawa Lim digugurkan daripada senarai calon atas faktor kesihatan semasa beliau bertemu Ong di Pulau Pinang minggu lepas.

"Sabtu lepas, MCA Padang Serai turut menutup bilik gerakan pilihan rayanya sebagai tanda tidak berpuas hati dengan keputusan itu"
"Kami dengar bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kulim Datuk Boey Chin Gan akan mengambil tempat Bee Kau," katanya.

Sabtu lepas, MCA Padang Serai turut menutup bilik gerakan pilihan rayanya sebagai tanda tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Goh berkata surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Ong dan salinannya kepada Setiausaha Agung MCA Datuk Ong Ka Chuan dan Pengerusi MCA Kedah Datuk Beh Heng Seong.

Boey yang dihubungi berkata penutupan bilik gerakan itu tidak menjejaskan persiapan parti itu menghadapi pilihan raya umum pada 8 Mac ini.

"Tidak perlu komen banyak... pucuk pimpinan parti tahu siapa calon yang layak dipilih," kata Boey yang merupakan bekas setiausaha akhbar Ong sebelum dipilih bertanding di DUN Kulim pada pilihan raya umum 2004.


p/s DPPKPS: Apa tunggu lagi Datuk Goh? Jom join PAS dan PKR la pulak!


Calon PAS Negeri Kedah





Senarai calon PAS yang akan bertanding untuk seluruh negeri Kedah :-

N01 AYER HANGAT

Saudara Zubir Ahmad

P005 JERLUN

Ustaz Haji Idris Haji Ahmad

N03 KOTA SIPUTEH

Haji Ismail Wan Teh @ Jaziz

N04 AYER HITAM

Ustaz Abdul Ghani Ahmad

P006 KUBANG PASU

Dr. Abd Isa Ismail

N06 JITRA

Dr. Rohani Abd. Mutalib

P007 PADANG TERAP

Ustaz Mohd Nasir Zakaria

N07 KUALA NERANG

Ustaz Zawawi Hj Ahmad

P008 POKOK SENA

Haji Mahfuz Hj Omar

N09 BUKIT LADA

Ustaz Ahmad Izzat Mohamad Shauki

N10 BUKIT PINANG

Haji Md Roshidi Osman

N14 ALOR MENGKUDU

Dr Ismail Salleh

N15 ANAK BUKIT

Ir Haji Amiruddin Hj Hamzah

N16 KUBANG ROTAN

Saudara Mohd Nasir Mustafa

N17 PENGKALAN KUNDUR

Ir Haji Phahrolrazi Zawawi

P011 PENDANG

Dr Mohd Hayati Othman

N18 TOKAI

Haji Mohamed Taulan Mat Rasul

N19 SUNGAI TIANG

Saudara Sobri Hj Awang

P12 JERAI

Ustaz Mohd Firdaus Jaafar

N20 SUNGAI LIMAU

Ustaz Haji Azizan Abd Razak

N21 GUAR CHEMPEDAK

Ustaz Mohamad bin Ismail

P013 SIK

Haji Che Uda Che Nik

N23 BELANTEK

Saudara Mohd Sanusi Md Nor

N24 JENERI

Cikgu Yahya Abdullah

N26 TANJUNG DAWAI

Dr Hamdan Mohamed Khalib

N27 PANTAI MERDEKA

Haji Abdullah Jusoh

P016 BALING

Ustaz Haji Taib Azamudden Md Taib

N30 BAYU

Ustaz Musoddak Hj Ahmad

N31 KUPANG

Cikgu Johari Abdullah

N32 KUALA KETIL

Cikgu Md Zuki Yusof

N33 MERBAU PULAS

Ustazah Siti Aishah Ghazali

N36 BANDAR BAHARU

Ustaz Yaakub Hussin

Wednesday, February 20, 2008

Kempen PRU : KATAK REBUS

katak.jpg

KATAK REBUS

Jika katak itu disimbah dengan air panas, mungkin cepatnya ia melompat pergi mencari dingin. Katak itu akan segera melarikan diri kerana terkejut dengan perubahan suhu yang memudaratkannya.

Tetapi katak yang satu ini bersenang lenang.

Disangkanya kolam sekangkang katak itu adalah tasik terindah, termewah dan terbaik. Kerana katak yang satu ini hanya kenal kolam sekangkang itu, lantaran tempurung yang lama menjadi langitnya jua. Sedangkan katak itu tidak sedar, bahawa tasik impiannya itu adalah air rebusan di dalam periuk.

“Panas pula air sekarang ini”, keluh si katak yang terasa pijar.

“Oh, semua tasik impian hari ini suam dan panas. Ia fenomena sejagat”, kata suara ghaib di balik dinding.

“Aku yang harus bertahan. Panas ini tiada jalan keluarnya. Lagi pun segalanya masih ada”, jawab si katak kepada dirinya sendiri. Lidah panjangnya asyik mengejar lalat habuan tembolok.

“Tenanglah katak. Bukan air tasik impianmu yang panas. Ia fenomena sejagat”, suara ghaib itu terus datang. Menyumbat telinga, menyumbat mata, menyumbat hati… kerana sumbat menyumbat memang kerja *al-Mala’.

MATI ATAU BUNUH DIRI?

Akhirnya katak kembung yang sepatutnya cekap melompat ke sana sini, MATI KATAK.

Mati dalam rebusan yang panas sedikit demi sedikit, selari dengan sangka baiknya yang sedikit demi sedikit percaya, bahawa ia fenomena sejagat.

Mati katak… mati atau bunuh diri?

Anda mampu menjawabnya dengan pilihan pada HARI MENGUNDI!

Abu Saif @ www.saifulislam.com

P17 - Padang Serai : Parti Keadilan Rakyat (PKR)
N33 - Merbau Pulas : Parti Islam SeMalaysia (PAS)
N34 - Lunas : Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Wednesday, February 13, 2008

PAS sesiakan peluang lonjakkan agenda perkasa Muslimat

Oleh : Puteri Gunung Ledang www.harakahdaily.net


PAS dilihat terlalu konservatif dalam penglibatan Muslimat sebagai calon pilihan raya.

Apakah PAS mensia-siakan peluang bagi melonjakkan agenda memperkasakan perjuangan Muslimat? Kehangatan demam piliha raya telah mula dirasai kini. Di dada-dada akhbar arus perdana yang dimiliki oleh BN telah mula timbul spekulasi calon-calon bertali arus setiap hari.

Pakar-pakar strategi mereka mula menganalisa respons dan tindak balas masyarakat umum. Mereka giat memainkan isu-isu tertentu bagi mempengaruhi sikap dan tanggapan para pengundi.

Mereka juga giat berusaha memadamkan isu-isu yang dianggap merugikan, dengan membesar-besarkan isu pembangunan wilayah seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan lain-lain.

Di dalam hiruk pikuk dan riuh rendah spekulasi calon-calon BN yang dimainkan oleh mereka belum dapat dilihat adanya agenda menarik untuk wanita.

Malah calon-calon wanita utama BN di peringkat Parlimen sudah boleh diduga. Mereka hampir pasti majoritinya terdiri daripada kalangan pimpinan utama kini yang telah bergelar nenek, terutamanya daripada Umno.

Situasi ini cuba diberikan gambaran yang baik dengan janji-janji pertambahan calon-calon daripada Puteri Umno di peringkat Dun. Suasana ini membuat masyarakat mengalihkan pandangan kepada BA dan parti-parti pembangkang untuk melihat sebarang petunjuk yang dapat memberikan harapan jelas terhadap isu-isu memperkasakan perjuangan wanita.

Peluang keemasan ini cepat direbut DAP dengan pengumuman dan janji mereka untuk menambahkan calon wanita sekali ganda daripada kalangan pelapis muda dan profesional.

Begitu juga KeADILan yang telah turun padang menemui para pengundi dan mengenalkan calon-calon wanita mereka. Semua tindakan ini didorong oleh faktor yang dapat dilihat dengan jelas daripada statistik SPR, bahawa dalam banyak kawasan Parlimen pengundi wanita adalah majoriti dan undi mereka adalah undi penentu kemenangan mana-mana calon.

Bagi PAS pada peringkat awal rata-rata masyarakat telah mula melihat tawaran-tawaran yang menarik bagi wanita yang diutarakan di dalam ceramah-ceramah mereka.

Situasi ini membuat masyarakat menanti-nanti penuh harapan untuk melihat kewibawaan calon-calon muslimat yang akan ditonjolkan. Bagi pihak NGO wanita pula sudah mula memfokus dan meneliti calon-calon tersebut yang akan bersuara di Parlimen.

Suasana ini menggalakkan spekulasi calon-calon muslimat dari kalangan akar umbi PAS sendiri. Dari desas desus dan kerancakan pencalon daripada kawasan-kawasan PAS telah mula terdapat senarai yang ada calon-calon muslimat.

Bagi pakar-pakar strategi BN suasana ini amat mencabar. Sehingga kini mereka masih memantau dan melihat dari jauh tanpa sebarang respon yang jelas.

Bagi NGO wanita pula mereka sudah mulai memberi fokus khusus kepada PAS. Berbagai persoalan timbul, adakah tawaran-tawaran itu hanya cantik di atas kertas? Sejauh mana kesungguhan dan komitmen PAS terhadap isu tersebut? Berapa ramaikah calon-calon muslimat yang akan bertanding di peringkat Parlimen?

DI kalangan akar umbi PAS dilihat suasana ini seolah-olah menjadi satu 'tonik' yang dapat meningkatkan penglibatan ahli-ahli terutama daripada kalangan muslimat dalam kerja-kerja pilihanraya.

Sesungguhnya tenaga muslimat adalah amat penting bagi mencapai kemenangan. Harapan dan tuntutan mereka agar pimpinan PAS bertindak pro aktif merebut peluang ini dan menyusun strategi yang berkesan serta menambah jumlah calon-calon muslimat.

Sejauhmana PAS bertindak dalam menangani peluang terbuka ini masih tidak meyakinkan. Sehingga kini dilihat mengecewakan dan tiada usaha dan pendekatan yang radikal.

Pada mesyuarat AJK PAS Pusat terakhir, 10 Februari lepas desas desus keputusan dan spekulasi yang bertiup kencang pada peringkat akar umbi amat meragukan. Tiada kesungguhan dan komitmen daripada pimpinan tertinggi PAS memastikan suara muslimat akan bergema di Parlimen dengan memberikan kerusi selamat.

Keistimewaan ini nampaknya hanyalah khusus bagi pihak Pemuda PAS saja. Amat aneh pula dijangka status quo calon-calon muslimat di Parlimen hampir kekal seperti pada 2004. Jika ada pertambahan pun tidak akan dapat dilihat sebagai satu lonjakan terhadap usaha-usaha memperkasakan penglibatan muslimat di Parlimen.

Desas-desus yang amat menyedihkan dan melemahkan moral muslimat di peringkat akar umbi PAS adalah ura-ura meletak Ketua Muslimat di DUN pinggir kota atau satu DUN di hulu dekat hutan. Timbalan Ketua Muslimat pula dikatakan tidak bertanding langsung. Malah calon-calon muslimat di DUN-DUN lain pun tiada yang diletakkan pada DUN tumpu yang dijangka meraih peluang cerah untuk menang kecuali mungkin satu kes di Kelantan.

Setengah pihak melihat senario ini sebagai petanda bahawa pimpinan PAS masih lagi dibelenggu oleh kerangka pemikiran yang konservatif. Sikap ini tidak menarik bagi mereka yang berada di kelas pertengahan dari kalangan professional muda terutamanya wanita.

Kumpulan masyarakat ini mula menjadi satu kuasa politik yang vokal dan penting dengan pertambahan graduan dari dalam dan luar negeri setiap tahun. Jika tidak diurus dengan baik jelas PAS tidak akan dapat sokongan bulat dari mereka.

Bagi setengah pihak pula terutama pimpinan PAS di peringkat kawasan melihat petanda ini sebagai satu kelesuan pihak Dewan Muslimat PAS Pusat dalam memperjuangkan agenda ini. Muslimat PAS dilihat terlalu akur dengan sepak terajang politik pimpinan tertinggi PAS.

Komitmen dan tuntutan mereka tidak nampak bersungguh-sungguh dan vokal seperti tuntutan Pemuda sedangkan sudah pasti tenaga muslimat adalah amat penting untuk kemenangan. Mungkin juga tanggapan-tanggapan tersebut merupakan satu persepsi yang salah. Tetapi sejauh manakah PAS dapat memberi gambaran yang positif dan menarik bagi membetulkan tanggapan itu.

Usaha itu yang akan dapat mematikan persepsi tersebut. Atau ianya menjadi satu tawaran yang cantik di kertas saja dan yang paling parah diungkap dengan kata-kata "cakap tak serupa bikin!". - mks.

Wednesday, February 06, 2008

Perutusan Tahun Baru Cina Dewan Pemuda PAS Pusat

Oleh YB Salahudin Ayub



全国回教党青年团主席的农历新年献词

我在此先敬祝马来西亚龙的子孙的华裔各界在

二零零八年二月七日的农历年新年快乐。农历

新年是中华民族最重要的节日,依据华人的农

历,今年即将进入鼠年。



对华人来说,农历新年代表着新的希望和新的

开始以及新的期望,因此华裔各界都非常重视

这个节日,当然要很隆重的庆祝,也包括马来

西亚的华裔人民。

无可否认的事实,马来西亚人民正承受着百物涨价的痛苦。虽然

这是无法避 免的事实,但是年年难过还是年年要过
我在此也

希望华人的优良传统如一家老少大团圆和吃团圆饭能够长长久久

的延续和发扬光大。

年少的得到年老的红包代表着好运,成家的给红包与未成家的拿

红包,年轻的向年老的拜年象征着互相尊重和相亲相爱。舞狮舞

龙的表演代表着好运。。。

我在此谨代表马来西亚回教党,希望在这新的一年里,全国各族

人民能够更加的团结,同时我也觉得,华人的农历新年的优良传

统,全民应该共同庆祝,以提升各族的团结。

回教党带领大家团结一起

沙拉胡丁国会议员

(SALAHUDDIN AYUB)

全国回教党青年团主席

吉兰丹Kubang Krian国会议员

Tuesday, February 05, 2008

MB Kedah arah SPR ubah undi pos?

Oleh : Helmi Khalid www.harakahdaily.net

Tarikh Pilihan raya Umum ke-12 masih dirahsiakan, namun sudah ada 'keputusan' bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Belantek di Sik, Kedah, BN 'menang' dengan majoriti 980 undi, dan 'keputusan' ini juga bukan rekaan, ia diwartakan oleh SPR sendiri.

Sudah jelas, satu dari lima Dun yang PAS menang di Kedah sudah kalah, nasib empat Dun lagi, Sungai Limau, Tokai, Anak Bukit dan Bukit Pinang mungkin sama, sebab itu BN Kedah berani keluarkan kenyataan bahawa mereka akan pastikan lima kerusi PAS itu akan dirampas semula.

Terlalu mudah Umno dan BN Kedah bekerja, tak perlu tunggu bubar Parlimen, tak perlu habis duit untuk kempen dan segalanya tak perlu.

Cukup sekadar tambahkan pengundi di kawasan yang PAS menang, bagi banyak sungguh-sungguh, lepas itu tunggu tarikh nak angkat sumpah sebagai wakil rakyat, sebelum angkat sumpah dah boleh angan-angan siap-siap kot-kot dilantik sebagai Exco, paling tidak pun belajar cara berjalan atau cara nak angkat tangan pada orang ramai.

Belantek dah sah kalah 980 undi, ini kerana SPR sudah bawa masuk 1031 pengundi pos dari Kem Sungai Petani dan Gerik ke Kota Aur di Kem Gubir, PAS menang pada 2004 lalu sebanyak 51 undi, jadi itulah keputusannya.

Memang kerja SPR begitu di mana-mana pun, 'siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jadi SPR', tetapi kenapa SPR sanggup buat kerja kotor ini.?

Jawapan mudah tanpa perlu fikir panjang adalah kerana ini semestinya mendapat arahan dari pihak yang berani keluarkan kenyataan kononnya akan rampas semua kerusi PAS di Kedah.

Sebelum ini SPR juga telah menghantar kad bancian pengundi kepada sebahagian besar pengundi di Dun Anak Bukit, kata SPR dalam kad itu, kalau pengundi tak pulangkan semula kad jawapan banci itu, nama mereka akan dikeluarkan, yang dapat kad itu banyaknya adalah orang PAS, kalau lah MTD Anak Bukit atau Adunnya, Haji Amiruddin Hamzah tak bertindak, sudah pasti Anak Bukit juga akan ikut jejak Belantek.

Apabila Haji Amiruddin tanya SPR, kalau pengundi itu dapat kad itu pada tarikh yang telah melepasi syarat kena jawab balik kepada SPR macam mana? Ini bukan surat berdaftar, kalau pengundi kata tak dapat, SPR kata dah hantar, macam mana? Kalau pengundi itu tidak tinggal di alamat yang diposkan, macam mana?.

Tak lama lepas itu SPR jawab, abaikan saja isu kad jawapan itu, itu hanya satu latihan biasa SPR untuk mendapat maklum balas keprihatinan mereka sebagai pengundi.

Ada orang bagitau, pernah dilihat Pegawai Pendaftar Sementara (PPS) Umno dari Parlimen Pokok Sena heret guni gula berisi borang pendaftaran baru ke pejabat SPR di Alor Star, harus diingat, Bukit Pinang adalah terletak alam Parlimen Pokok Sena, rajin betul PPS itu cari pengundi baru, sampai kena isi dalam guni gula.

Sungai Limau kawasan Pesuruhjaya Kedah, Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, tidak dengar lagi taktik kotor berlaku, mungkin tak ada arahan kepada SPR kerana mungkin orang ramai akan terlalu pelik jika Ustaz Azizan boleh kalah, begitu juga dengan Tokai, menang dengan majoriti lebih lima ribu, takkanlah begitu ramai orang PAS di Tokai keluar PAS masuk Umno.

Nampaknya Mahdzir Khalid yang naik jadi Menteri Besar atas kelayakan kesihatannya lebih baik dari Syed Razak yang diserang angin ahmar sedikit masa lalu telah bertindak kotor, SPR hanya budak suruhan, BN adalah bapak yang menyuruh, kalau nak tunjukkan jasa pun jadilah jantan sejati.

Jangan 'tikam dari belakang', tak baik, jijik sangat kerja macam ni. Zaman Mahdzir juga menyaksikan Kedah Tak Jadi Maju pada 2010, zaman Mahdzir juga menyaksikan proses penyingkiran muka-muka lama sebagai Exco diganti dengan muka baru, zaman Mahdzir juga menyaksikan beberapa projek mega di Kedah dilaksanakan tanpa buka tender, zaman dia jugalah menyaksikan tiba-tiba sahaja seorang perempuan Cina dari Ibu Kota menjadi kaya raya, zaman Mahdzir juga menyaksikan perpecahan dalam Puteri Umno Kedah kerana dikatakan ahli tidak puas hati, pimpinan utama negeri hanya ambil berat tentang Ketua Puteri, zaman Mahdzir juga berlakunya rombongan yang kerap ke Macau.

SPR boleh ubah, masukkan, tiadakan nama pengundi, tetapi gelombang kebangkitan rakyat Kedah sejak akhir-akhir ini rasanya lebih menenatkan Mahdzir.

India dan Cina mula menampakkan sokongan yang amat positif tak kira di mana-mana ceruk negeri ini, dengan pengumuman oleh Ustaz Azizan bahawa sekitar 15 calon muda yang akan mewarnai senarai calon PAS dalam pilihan raya kali ini dan terlalu banyak kepincangan BN pimpinan Mahdzir, rakyat seharusnya sudah boleh menilai.

Isu Kota Aur, Belantek ini amat busuk, memperlihatkan jahatnya SPR dan BN Kedah untuk terus berkuasa, PAS Kedah sedang berusaha membatalkan pemindahan 1031 pengundi pos di situ kerana ia dibuat tanpa mengikut prosedur sah, 1031 pengundi itu tidak tersenarai ketika DPT (Daftar Pemilih Tambahan) ke-3 2007 disenarai untuk bantahan, peliknya selepas diwartakan, ada senarai nama 1031 anggota tentera itu. - mks.

Monday, February 04, 2008

NEGARA BANGKRAP JIKA HARGA MINYAK DITURUNKAN?

Fikirkan sejenak…

Terdapat pihak yang mengatakan bahawa adalah mustahil untuk menurunkan harga minyak kerana harga minyak sedang meningkat naik di peringkat global. Timbalan Perdana Menteri menyatakan negara akan bangkrap jika harga minyak diturunkan.. ..

Untuk kenyataan seperti ini kita patut tanyakan terlebih dahulu. Adakah kerajaan sebenarnya tidak mampu menanggung subsidi?

Berdasarkan laporan Belanjawan 2006 mukasurat 10 dan 15,jumlah kutipan kerajaan drpd Petronas adalah RM39.924billion. Jika ditolak subsidi yang ketika itu berjumlah RM 12 billion, maka lebihan hasil kerajaan daripada Petronas adalah RM27.924 billion. Ini adalah kenaikan dana RM12.82 billion berbanding tahun 2005. Harus diingat, anggaran ini dibuat akhir tahun 2005 sebelum subsidi minyak dikurangkan pada Feb 2006 sebanyak RM4 billion dan keuntungan Petronas mencecah RM76 billion. Jadi pertambahan dana tersebut pasti lebih tinggi.

Pernah sekali dipersoalkan ke mana RM500 billion duit keuntungan Petronas hilang. Buat pengetahuan semua, Audit Petronas tidak perlu dibentangkan di Parlimen dan Petronas hanya bertanggungjawab pada PM. Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi.Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian 'World's Most sustainable And Ethical Companies'. Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol. Dalam kajian itu,Petronas mendapat 20.15% berbanding Shell 89.01%.

Sekitar 1986, terdapat satu Tabung dipanggil Tabung Warisan Petronas. Tujuan tabung ini adalah bagi membantu kerajaan sekiranya kita menjadi pengimport minyak satu hari nanti. Setiap tahun, sebahagian keuntungan Petronas akan dimasukkan ke dalam tabung ini. Soalnya, berapakah jumlah kutipan tabung ini sekarang dan mengapa ianya tidak pernah didedahkan?

Minyak Malaysia antara yang paling berkualiti di dunia. Harga setong minyak Malaysia adalah 1-2 dolar lebih tinggi dari harga pasaran dunia. Contoh, katalah harga minyak dunia sekarang USD100 setong. Tapi harga minyak Malaysia yang dijual ke luar negara adalah USD102 setong. Lebihan 2 dollar setong ini sudah menghasilkan keuntungan USD438j @ RM1.49 billion setahun.

Minyak yang diimport masuk ke Malaysia sebenarnya minyak bermutu rendah. Dengan kata lain, kita ada minyak mahal pegi jual. Lepas tu bagi kat rakyat minyak tak elok. Kitaran penjualan ini menyebabkan peredaran wang USD yang sangat besar ini menyebabkan jika sedikit masalah berlaku pada matawang US,kita terjejas sama.

Semoleknya, minyak digunakan ke dalam negara dan lebihannya barulah dieksport. Penggunaan NGV sebagai bahan bakar mesti dipertingkatkan bagi mengelakkan tumbuh guna petrol yang terlalu besar dalam negara. Dengan cara itu, minyak kita tidak akan bergantung pada harga ekonomi dunia lagi. Sementelah lagi, PM pernah menyatakan bahawa penggunaan minyak di Malaysia hanyalah 575 000 tong sehari, kurang daripada pengeluaran minyak Malaysia sebanyak 650 000 sehari. Taktik ini dipraktikkan di Arab Saudi. Sebab itu, walaupun harga minyak dunia naik, Arab Saudi mampu turunkan harga minyak tempatan 0.35 riyal satu liter.

Kalau kita tengok Qatar, Qatar harga minyaknya RM0.87 seliter @ 80 dirham. Qatar macam kita, pengeksport minyak. Dan kalau kita check Singapura, harga minyaknya RM4.15. Di Indonesia pada 2006, harga minyaknya berada pada paras 4500 rupiah. Ini bersamaan RM1.84. Sila ambil perhatian: Indonesia adalah pengimport minyak. Keluaran minyaknya tidak mencukupi untuk menampung keperluan dalam negara. Malaysia pengeksport minyak. Keluaran minyaknya melebihi keperluan tempatan.

Di Indonesia, sudahlah harga petrolnya lebih murah, keretanya pula murah. Toyota Avanza di sana harganya RM40 000. Di sini harganya kira-kira RM70 000.

Sebagai perbandingan, harga LPG di Malaysia adalah RM1.75 satu kg. Di Thailand RM1.65 satu kg.(Anda boleh rujuk kenyataan media JPM pada 27 Feb 2006). Untuk rekod, Thailand bukan pengeksport LPG. Kita? LPG belambak kat Sarawak nun.

Penipuan yang kerajaan buat tentang hal kenaikan amat jelas. Kerajaan kata subsidi kena hapus perlahan-lahan sebab nanti tak lama lagi rizab minyak akan habis. Jadi rakyat kena berlatih hidup tanpa subsidi. Tapi berdasarkan jawapan bertulis Perdana Menteri di Dewan Rakyat November 2005, rizab minyak negara adalah 5.29 billion tong yang boleh kekal sehingga 2024. Ini belum termasuk penemuan telaga baru seperti telaga Pisagan 1A dan rizab gas lainnya terutama di laut Sabah. Bohong tak bohong.

Ingat, jangkaan habis petrol pada 2024 ini dibuat mengambil kira rizab pada tahun 2005 sahaja dan pengeluaran sehari secara purata 750 000 tong. Untuk rekod, pengeluaran sekarang adalah 650 000 tong.

Dan jika diikutkan, kenaikan harga minyak mentah dunia sebenarnya memberikan rahmat besar buat Malaysia. Menurut laporan Asian Development Bank, dalam buku laporan tahun 2007 menyatakan bahawa setiap kenaikan sebanyak USD1 bagi pasaran dunia untuk minyak mentah, kerajaan Malaysia mendapat keuntungan tambahan USD 62 juta bersamaan RM210.8 juta. Pada saat minyak kali terakhir dinaikkan RM0.30 satu liter Awal 2006, harga minyak mentah dunia adalah USD70 setong. Kini harganya kira-kira USD96 setong. Bermakna penambahan keuntungan buat kerajaan Malaysia sebanyak USD 1.612 bilion.

Sekarang ayuh kita fikirkan pula mengapa subsidi diturunkan dan keuntungan kerajaan meningkat, masalah kewangan tetap berlaku. Dikatakan duit penjimatan RM4.4 billion itu pergi kepada pengangkutan awam. Pergi kepada pengangkutan awam atau pergi pada siapa? Anda kenal Scomi? Scomi Group Berhad adalah milik Kamaluddin bin Abdullah bin Ahmad Badawi. Berdasarkan The Star Online Bizweek 18 Mac 2006, Scomi telah memasuki tawaran untuk Syarikat Prasarana Negara (PNSB) sebanyak RM120 juta bagi membina 400 badan bas dan kontrak RM50j utk pembaikan 1500 gerabak dan landasan KTM.

Ini yang keluar suratkhabar. Yang tak keluar? Skandal PKFZ tu macammana?

Sekarang tuan-tuan nampak duit jimat subsidi itu pergi mana?

Pem'bailout'an syarikat-syarikat individu seperti MISC dan Scomi milik anak PM dengan jumlah mencecah RM4 billion selain pembinaan projek-projek mega yang tidak menguntungkan adalah antara punca utama kelemahan kewangan kerajaan. Pemberian subsidi bahan api berjumlah RM14 billion pula terlalu banyak menguntungkan Penjana Tenaga Bebas(IPP) seprti YTL, Genting Sanyen dan Powertec milik Ananda Krishnan, Lim Goh Tong dan Yeoh Tiong Lai. Syarikat- syarikat IPP ini pula telah menandatangani perjanjian berat sebelah dengan TNB yang menghasilkan kerugian sejumlah RM30b kepada TNB...(Tan Sri Ani Arope telah mengesahkan ini....)

Najib kata berjimatlah. Dia duk baiki umah rasmi dia RM5 juta. Projek tu dapat kat adik dia tanpa kelulusan JKR. Berjimat apebendanya?

Kata-kata Najib baru-baru ini amat mengelirukan. Negara akan bangkrap jika minyak diturunkan harga. Negara tidak akan bangkrap Najib. Yang bankrap mungkin beliau.

Kesimpulannya, ketelusan, kebijaksanaan menandatangani perjanjian, tadbir urus wang yang baik serta dasar 'tidak pada bail out' dan pembatalan projek mega yang bodoh akan membolehkan harga minyak diturunkan. Nah.... sekarang rakyat yang terpaksa menanggung semua ketidaktelusan mengurus tabdir wang negara... RAKYAT MENJADI MANGSA... SEMUA HARGA BARANG NAIKKKKK.... ...

Undi BN, Singapura yang memerintah?

Oleh : Abdul Halim Mohd Rashid www.harakahdaily.net

Sejak pentadbiran negara ini dikuasai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, seorang blogger Umno yang memperkenalkan dirinya sebagai The "thirteen million plus Ringgit" guy (bigdogdotcom.wordpress) melihat negara ini "bermain dan menari kepada rentak dan irama Singapura dalam serba serbi".

Ia bermula dengan isu Bank Negara meluluskan Temasek Holdings membeli saham penguasaan dalam Malaysian Plantations Bhd dan sekaligus menguasai Alliance Bank Bhd, kata beliau.

Keadaan itu berlaku ketika Singapura sendiri amat liat untuk melepaskan asset negara itu, termasuk syarikat-syarikat dalam negara itu, dari dibeli oleh kepentingan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah merayu agar kerajaan Singapura bersikap lebih terbuka bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia memiliki aset di republik itu.

Najib berkata, aliran pelaburan dua hala yang saksama dan seimbang adalah untuk kepentingan bersama serta menguntungkan kedua-dua negara.

Merujuk pelaburan syarikat milik Singapura, Temasek di negara ini beberapa tahun kebelakangan ini, kata Najib, aliran kemasukan pelaburan dari Singapura ternyata besar.

''Diperhatikan bahawa jumlah dan saiz pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar berbanding pemilikan syarikat-syarikat Singapura oleh rakyat Malaysia," kata Timbalan Perdana Menteri.

Lebih mendukacitakan, Khazanah Holdings seolah-olah menjadi extension atau tangan kepada Temasek Holdings.

"Dalam pada itu, anak syarikat pelaburan negara, Khazanah Holdings Bhd persis dan menjadi pseudo Temasek Holdings Ltd, syarikat pelaburan Singapura. Terma baru seperti Government Linked Companies (GLC) mula digunakan dalam 'cakap cakap pasaran'. Temasek Holdings juga mula membeli kepentingan dalam syarikat syarikat strategik Malaysia, seperti Telekom Malaysia," kata ahli Umno itu dalam postingnya yang bertajuk "Kerjasama dengan Singapura dan mengadai kepentingan ekonomi, kawasan pembangunan dan ketenteraan?".

Perkara itu sebenarnya pernah mendapat perhatian Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar. Sikap Khazanah Nasional kebelakangan ini amat menimbulkan kecurigaan, kata beliau.

"Pintunya yang terbuka luas untuk membolehkan perluasan cengkaman dan penguasaan syarikat-syarikat Singapura dalam projek-projek dan syarikat-syarikat strategik di negara ini menimbulkan tanda tanya adakah sayap perniagaan kerajaan yang sangat penting itu berkhidmat kepada negara ini atau sebenarnya kepada kerakusan cita-cita strategi Singapura ke atas negara ini," katanya lagi dalam satu kenyataan pada bulan November 2006..

Lebih buruk lagi, katanya, Khazanah Nasional juga berusaha untuk membawa pemikiran yang sangat bahaya kepada rakyat negara ini apabila ia menyeru rakyat Johor supaya jangan berfikiran sempit bila berurusan dengan Singapura.

Mahfuz mmbangkitkan kenyataan Naib Presiden Kanan Khazanah Nasional di dalam Pejabat Pengarah Urusan, Ahmad Shahizam Mohd Shariff yang menyatakan rakyat Johor hari ini mesti bersikap realistik dalam penilaian mereka terhadap rancangan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau sebelum ini dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER).

Ternyata bukan pembangkang sahaja yang begitu curiga dengan Khazanah Holdings yang semakin didakwa lebih mengutamakan kepentingan Singapura dari kepentingan negara.

Malah, The "thirteen million plus Ringgit" guy yang selalu mempertegaskan kesetiaanya kepada Umno melihat pembelian saham Pantai Holdings yang melibatkan pelaburan Khazanah Holdings sebagai satu skandal. Kemungkinan amat ramai ahli Umno yang lain yang mempunyai tanggapan yang sama seperti beliau amat sukar ditolak.

Dalam kenyataan yang sama pada bulan November 2006 itu, Mahfuz mengecam Khazanah Nasional telah membelanjakan begitu banyak wang negara untuk mengambilalih Pantai Holdings Bhd dari Parkway Holdings Ltd dalam satu urusniaga yang amat berat sebelah dan hanya menguntungkan syarikat Singapura.

"Lebih menyakitan hati rakyat negara ini ialah apabila Khazanah Nasional menguasai semula Pantai Holdings Bhd melalui Pantai Irama Sd Bhd dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba 49 peratus saham Pantai Irama diserahkan pula kepada Parkway yang kemudiannya akan menguruskan hospital-hospital di bawah Pantai Holdings," katanya.

Melalui Pantai Irama, katanya, Khazanah membeli saham Pantai daripada Parkway dengan cara membeli 6.6 peratus pegangan atau 30.92 juta saham dengan harga yang tidak dinyatakan dan kemudian membeli keseluruhan 26 peratus pegangan yang dimiliki Parkway dengan harga RM2.65 sen sesaham, harga yang dianggap terlalu tinggi, dan selepas itu Pantai Irama akan membuat tawaran awam pula yang akan meletakkan Pantai pada nilai RM1.25 bilion.

"Rakyat terus tidak puas hati dengan Pantai Holdings yang sebelum itu menolak tawaran dari dua konsortium pelabur tempatan untuk mengambilalih dua anak syarikatnya, Pantai Medivest Sdn Bhd dan Fomema Sdn Bhd, kedua-duanya memegang konsesi dari kerajaan," kata Mahfuz.

Fomema memegang konsesi 15 tahun untuk menjalankan pemeriksaan kepada semua pekerja asing yang hendak masuk berkerja di dalam negara ini. Konsesi hanya akan berakhir pada September 2012. Pantai Medivest pula memegang konsesi 15 tahun dari Oktober 1996 untuk membekalkan perkhidmatan sokongan kepada hospital-hospital di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.Medivest dan Fomema adalah punca pendapatan utama Pantai, iaitu kira-kira separuh jualan kumpulan Pantai Holdings dan lebih 40 peratus keuntungan dari operasi kumpulan itu.

Selepas isu Pantai Holdings, timbul pula pembatalan jambatan bengkok ke Singapura. Menurut The "thirteen million plus Ringgit" guy, pembatalan jambatan tersebut yang dirancang untuk menggantikan Tambak Johor berlaku kerana Abdullah membuat keputusan 'flip-flop' apabila timbul soal "penjualan pasir disamping permintaan untuk pengunaan ruang udara" yang dibangkitkan Singapura dalam siri rundingan berkenaan projek itu.

Walaupun perkara itu dibantah keras oleh Johor dan Tentera Udara Diraja Malaysia dan menerima pelbagai reaksi negatif, "PM 'Flip-Flop' Abdullah masih berdegil mempertahankan keputusan yang ramai percaya dibuat secara terburu buru dan cuai itu," kata beliau.

Apa yang sentiasa didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura ke atas Malaysia di zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri dikatakan semakin mengancam keselamatan negara dengan pelancaraan dan perlaksanaan projek pembangunan mega Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada November 2006.

Blogger ahli Umno itu melihat WPI lebih "menguntungkan Singapura berbanding diri sendiri, kerana membeli peluang industri sokongan bernilai rendah republik itu dipindah dan segala sumber negara pulau-bandaraya itu ditumpu sepenuhnya kepada industri nilai tinggi seperti ICT, bio-teknologi, perkhidmatan kewangan dan pasaran modal".

Lebih buruk lagi, beliau juga menyatakan bahawa "WPI juga akan melaksanakan pembangunan di mana kepentingan Melayu sebenarnya akan terabai".

Apa yang sentiasa didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura ke atas Malaysia di zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri seolah-olah disempurnakan Mei tahun lepas di Langkawi, apabila "PM 'Flip-Flop' Abdullah telah menjemput Singapura terlibat secara pro-aktif dalam perancangan pembangunan WPI, semasa berunding dengan PM Singapura Brig Gen (NS) Lee Hsien Loong".

Mahfuz membangkitkan tuduhan ramai pihak yang medakwa Abdullah mengkhianati negara ini apabila WPI kini dipanggil perluasan de facto Singapura secara rasmi (official de facto extension of Singapore) di dalam wilayah Malaysia.

Beliau juga mengecam Abdullah yang memekakkan telinga ketika ketika begitu ramai rakyat Johor membantah dengan mesej bahawa mereka "tak setuju pelan khianat SJER adakan Free Acces Zone, kuasa autonomi, utamakan port (pelabuhan) dan airport (lapangan terbang) Singapura dan jadi bandar satelit tempat enjoy rakyat Singapura. Johor negeri berdaulat!"

Apa yang sentiasa didakwa sebagai pengkhianatan kerajaan Abdullah ke atas negara ini semata-mata untuk menyerah diri kepada apa yang didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura lebih ketara lagi apa laman web Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) melaporkan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengakui bahawa terdapat kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal dengan tatacara sepatutnya.

Akta IRDA 664 diwujudkan untuk memudahcarakan cita-cita mewujudkan WPI.

Menteri Besar Johor itu menjawab isu yang dibangkitkan oleh ProWaris mengenai Akta IRDA 664. ProWaris melihat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa Melayu, menggugat kesucian agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan Negara.

Akibatnya, kata The "thirteen million plus Ringgit" guy, pegawai-pegawai Singapura kini menjadi sebahagian dari task force khas yang diwujudkan untuk merangka program pembangunan WPI, termasuk hub pengangkutan, soal imigresyen, pelancongan dan soal alam sekitar.

"Singapura mempunyai kepetingan khusus dan strategik dalam apa (jua) keputusan dan perancangan task force ini. Kini Singapura diberikan 'kuasa' untuk menentukan isu-isu yang melibatkan mereka dalam negara kita sedangkan isu seperti pengeksportan-pembelian semula air Johor-Singapura dan hub logistik PTP-Senai-Pasir Gudang masih tertangguh dan belum selesai," kata beliau.

Sebab itulah, menurut ahli Umno itu, apa jua kenyataan yang positif yang dibuat oleh Lee Kuan Yew "dilihat sebagai 'meragukan' dan menimbulkan tanda tanya (adanya) 'udang disebalik batu' di kalangan penganalisa politik".

Jumaat lalu, Bernama melaporkan Lee Kuan Yew berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Malaysia bagi membolehkan kedua-dua negara maju bersama.

Laporan Berita Harian Singapura lebih jelas lagi dari apa yang dilaporkan oleh Bernama. Berikut ialah petikan laporan akhbar itu:

Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew berkata Singapura akan meraih manfaat dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) namun pada jangka panjang Malaysia akan meraih manfaat lebih besar.

Oleh itu, Malaysia perlu merubah pemikirannya - daripada pandangan berasaskan persaingan dan kebencian terhadap Singapura kepada kerjasama dan sedia menerima negara ini.

Apatah lagi, Malaysia mempunyai bakat dan sumber tenaga lebih luas berbanding Singapura.

Encik Lee berkata, Singapura akan melakukan apa yang terdaya dan patut dilakukan untuk memastikan IDR berjaya.

'Soal siapa yang akan dapat lebih manfaat (daripada projek IDR), sejarah akan menentukannya,' kata Encik Lee semasa ditemui media di Istana semalam.

Kenyataan beliau adalah sebagai mengulas lebih lanjut komen yang dibuatnya dalam satu sidang Institut Pengajian Dasar, tengah hari semalam, tentang adakah Singapura memerlukan kawasan pedalaman, seperti Malaysia, untuk berkembang sebagai sebuah kota jagat.

Kenyataan itu amat jelas bagai memujuk rakyat Malaysia supaya mengundi Barisan Nasional. Maklumlah, parti itu dikuasai oleh sahabat Lee sendiri, Abdullah.

Lebih dari itu, Malaysia kononnya akan "meraih manfaat lebih besar".

Tidak hairanlah kalau Mahfuz menyeru rakyat supaya bangkit beramai-ramai menentang Barisan Nasional yang dipimpin Abdullah yang semakin dituduh menjadi khadam suruhan Singapura dan agen-agennya di negara ini.

Tindakan itu wajib dilakukan rakyat negara ini, kata beliau lagi, bukan sahaja kerana apa yang didakwa sebagai penyerahan wilayah Malaysia kepada Singapura.

Malah, pengambilalihan syarikat-syarikat Singapura ke atas syarikat-syarikat strategik negara ini telahpun sampai ke peringkat yang parah dan akan memusnahkan negara ini - antaranya termasuk pengambilalihan Pantai oleh Parkway; pembelian sebahagian kepentingan AirAsia, Proton Holdings Bhd oleh GSIC; pemilikan ekuiti Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Malaysian Plantations Bhd oleh Temasek Holdings dan pemilikan saham-saham pelabuhan tempatan, Westports, oleh pengendali pelabuhan Singapura, PSA, melalui Hutchison Ports Holdings.

Agaknya sebab itulah beberapa anak muda yang ditemui ketika menanti pembebasan beberapa pemimpin dan aktivis yang ditangkap di hadapan penjara Pudu baru-baru ini mendakwa, "kalau undi Barisan Nasional, Singapura akan perintah Malaysia"!