Monday, May 28, 2007

DPPKPS Kesal Premis Sekolah Digunakan Untuk Konsert

Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai (DPPKPS) kesal dengan tindakan pihak Komuniti Bestari bersama-sama Pejabat Penerangan Daerah Kulim yang menggunakan premis Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik untuk penganjuran konsert baru-baru ini.

Konsert yang telah diadakan pada malam tanggal 22 Mei 2007 di padang sekolah tersebut didapati turut mengganggu ketenteraman penduduk yang tinggal di kawasan sekitar dengan bunyi bisingnya.

Bagi DPPKPS, penggunaan premis sekolah tersebut seolah-olah telah mencabuli Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berusaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Pihak penganjur juga menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dan bebal dengan mengadakan konsert tanpa mendapat persetujuan penduduk sekitar terlebih dahulu. DPPKPS juga turut merasa bimbang terdapatnya unsur meraih sokongan politik oleh pihak tertentu disebalik penganjuran konsert tersebut.

DPPKPS mengambil sikap menentang sebarang penganjuran konsert yang tidak berlandaskan syarak yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas terutamanya dikalangan remaja. Konsert sebegini cenderung untuk menyumbangkan masalah sosial kepada umat Islam yang majoritinya tinggal di kawasan persekitaran sekolah. Kesan buruk yang biasanya ditinggalkan oleh penganjuran konsert sebegini iaitu meninggalkan ibadah solat, berlakunya zina, penyalahgunaan dadah, perlumbaan motor haram, mengundang berlakunya jenayah rogol, bunuh, pecah rumah, rompakan atau kecurian akibat pengambilan arak dan dadah yang berleluasa semasa konsert dijalankan.

Pihak DPPKPS turut kesal dengan sikap Guru Besar dan Pengerusi PIBG sekolah kerana mendiamkan diri dan membiarkan premis sekolah digunakan sewenang-wenangnya untuk aktiviti sedemikian. Sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sekolah, kedua-dua pihak tersebut seharusnya memikirkan kesan dan akibat sama ada di pihak masyarakat sekitar mahupun murid-murid sekolah sebelum membiarkan konsert tersebut berlangsung.

Harapan DPPKPS dimasa-masa hadapan, aktiviti sebegini tidak lagi berlaku di premis pendidikan di seluruh kawasan Parlimen Padang Serai khasnya dan Negeri Kedah amnya. Pihak penganjur disarankan terlebih dahulu memahami sensitiviti masyarakat sebelum mengadakan sebarang penganjuran konsert dimasa-masa akan datang. DPPKPS juga berharap pembaziran wang rakyat seharusnya dielakkan dalam aktiviti-aktiviti sebegini yang diketahui umum tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat keseluruhannya.


Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai
24 Mei 2007